
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Nasional, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun.
Menyertai Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun ialah bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Chen Shaochun dan pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pertahanan Negara, Republik Rakyat China.
Turut hadir, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dan terus diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif kerjasama, antaranya melalui Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Pertahanan, penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama, dan penempatan atase-atase pertahanan di kedua-dua buah negara.
Di bawah platform Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), NBD dan Republik Rakyat China turut mempengerusikan bersama ADMM-Plus Experts’ Working Group on Peacekeeping Operations bagi tempoh 2024-2027. Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto
