
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II telah mengadakan lawatan kerja ke Persekutuan Rusia dari 27 hingga 29 Ogos 2026, di atas jemputan dari Tuan Yang Terutama Sergei Shoigu, Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia. Lawatan ini adalah susulan kepada Memorandum Persefahaman yang diperbaharui di antara Jawatankuasa Keselamatan Negara, Negara Brunei Darussalam dan Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia pada April 2024.
Pada 28 Ogos 2026, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Tuan Yang Terutama Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia. Semasa mesyuarat tersebut, delegasi Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia telah bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara berkepentingan bersama di bawah Memorandum Persefahaman tersebut termasuk isu-isu keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa serta peluang-peluang untuk mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua buah negara khususnya dalam menangani jenayah merentas sempadan. Kedua-dua buah negara juga telah menzahirkan komitmen untuk merealisasikan objektif-objektif di bawah Memorandum Persefahaman tersebut dengan mengadakan usaha-usaha kerjasama yang lebih konkrit dan bermakna, termasuk melalui hubungan yang lebih rapat di antara agensi-agensi berkaitan, pertukaran maklumat dan pengalaman, pembangunan kapasiti serta pertukaran lawatan.
Semasa mesyuarat dan lawatan kerja dari 27 hingga 29 Ogos 2026, pihak Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia juga telah mengaturkan beberapa siri lawatan yang berkaitan dengan hal-ehwal sekuriti dan keselamatan untuk delegasi Negara Brunei Darussalam di kota Moscow dan Saint Petersburg.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri
