Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap 13 Ketua-Ketua Delegasi ASEAN dan dari Republik Rakyat China yang menyertai “16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC)” yang telah berlangsung mulai 20 hingga 22 Oktober 2026.

Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Ketua-Ketua Delegasi adalah:
1. Tuan Yang Terutama Ying Yong, Ketua Pendakwa Raya China;
2. Puan Yang Terutama Chea Leang, Ketua Pendakwa Raya Kemboja;
3. Tuan Yang Terutama Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara Malaysia;
4. Puan Yang Terutama Dr. Thida Oo, Menteri Kesatuan dan Peguam Negara Republik Kesatuan Myanmar;
5. Tuan Yang Terutama Lucien Wong, Peguam Negara Republik Singapura;
6. Tuan Yang Terutama Dr. Nelson De Carvalho, Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Timor-Leste;
7. Tuan Yang Terutama Nguyen Huy Tien, Ketua Pendakwa Raya Republik Sosialis Viet Nam;
8. Tuan Yang Terutama Dr. R. Narendra Jatna, Timbalan Peguam Negara Indonesia;
9. Tuan Yang Terutama Bounthanh Bounthavilay, Timbalan Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Rakyat Lao;
10. Puan Yang Terutama Rohairah Ampuan Lao, Pendakwa Raya Wilayah Republik Filipina;
11. Tuan Yang Terutama Chart Chaidejsuriya, Timbalan Peguam Negara Thailand;
12. Tuan Yang Terutama Paul Lam Ting-kwok, Setiausaha Kehakiman Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong; dan
13. Tuan Yang Terutama Dr. Tong Hio Fong, Ketua Pendakwa Raya Wilayah Pentadbiran Khas Macao.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib, Peguam Negara selaku Pengerusi Persidangan “16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC)” dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Mulia Dayang Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, Peguamcara Negara dan Dayang Hajah Suriana binti Haji Radin, Penolong Peguamcara Negara.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-Ketua Delegasi telah berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu perundangan di rantau ASEAN dan Republik Rakyat China khas nya Hong Kong dan Macau.

16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC) merupakan sebuah platform pertukaran maklumat pelbagai hala di peringkat tinggi diantara pihak berkuasa pendakwaan Republik Rakyat China dan Negara-Negara ASEAN berkenaan isu-isu kepentingan bersama, yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dalam membanteras jenayah rentas negara, melindungi kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan serantau. Persidangan pada tahun ini diadakan di bawah tema “Protecting Children in the Digital Age: Harmonizing Legal Frameworks and International Cooperation”.

Majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto