Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini berkenan menghoskan Majlis Persantapan Diraja sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman, serta rombongan ke Negara Brunei Darussalam dari 2 hingga 4 November 2026.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman dari The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.

Turut berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu-alukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, selaku Kerabat Pengiring.

Berangkat sama ke Majlis Persantapan Diraja tersebut ialah ahli-ahli Kerabat Diraja.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ialah His Highness Sayyid Shihab bin Tarik Al Said, Deputy Prime Minister for Defence Affairs. Juga hadir semasa Majlis tersebut ialah rombongan rasmi Kesultanan Oman.

Majlis tersebut dimulakan dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan titah. Ini diikuti dengan titah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman ke Negara Brunei Darussalam bagi Keberangkatan Negara pertama Baginda, dan bertitah bahawa keberangkatan tersebut merupakan satu detik bersejarah memandangkan ia merupakan keberangkatan pertama seorang Sultan Oman ke Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengimbas kembali keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ke Negara Brunei Darussalam sebelum menaiki takhta Kesultanan Oman dan berharap agar hubungan persahabatan terjalin dengan mesra.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengiktiraf dedikasi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman dalam memperkukuh hubungan dua hala, termasuk melalui peranan Baginda sebagai pengerusi bersama Bilateral Consultative Meeting pada tahun 1993.

Baginda bertitah bahawa kedua-dua kesultanan yang telah wujud sejak berkurun lamanya disatukan oleh Ugama Islam serta nilai-nilai bersama, sekali gus mewujudkan hubungan yang lebih erat. Baginda bertitah mengimbas kenangan Al-Marhum Sultan Qaboos bin Said serta menzahirkan penghargaan atas sumbangan Al-Marhum terhadap hubungan rapat antara kedua-dua negara, dan berharap agar hubungan dua hala ini akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan Sultan Oman yang sekarang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan harapan agar Kesultanan Oman mencapai Wawasan Oman 2040 (Oman Vision 2040) dan akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat Kesultanan Oman.

Baginda bertitah bahawa peningkatan hubungan kepada Strategic Partnership memberikan hala tuju baharu kepada jalinan hubungan yang telah terjalin melebihi empat dekad. Baginda bertitah bahawa dengan melalui Oman Brunei Investment Company, beberapa kerjasama tercapai di bidang Pendidikan dan Kebudayaan dan dokumen-dokumen yang dimeterai pada hari ini akan membina asas dan menjana peluang kepada rakyat kedua buah negara.

Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa generasi seterusnya dari Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman akan terus membina hubungan berdasarkan keakraban, kepercayaan, dan persahabatan yang dikongsi oleh kedua buah negara. Baginda juga menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan kepimpinan Sultan Oman dalam usaha mencapai keamanan di tengah-tengah situasi mencabar yang melanda rantau Teluk pada masa ini untuk mengekalkan dialog demi keamanan dan kestabilan. Baginda bertitah bahawa keberangkatan Sultan Oman ke Negara Brunei Darussalam telah mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan antara kedua-dua buah negara, dan menantikan peluang pada masa hadapan untuk bersua serta memajukan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara kesultanan ini.

Pada titah balas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman menegaskan semula hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam, dengan pegangan agama Islam yang dianuti bersama, penghormatan terhadap tradisi, serta komitmen untuk mengimbangi pemodenan dengan identiti kebangsaan. Baginda mengimbau kembali keberangkatan Baginda ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2014 dan menzahirkan penghargaan terhadap layanan mesra yang diterima, warisan negara tersebut, serta hubungan erat antara kedua-dua kerabat diraja dan rakyat kedua-dua buah negara.

Baginda turut memuji kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kemajuan negara yang dicapai, sambil memelihara warisan budaya Negara Brunei Darussalam. Baginda bertitah menyentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik, khususnya dalam bidang ekonomi dan pelaburan, serta pendidikan dan kebudayaan.

Meninjau masa hadapan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman bertitah menyeru agar interaksi antara generasi muda diperdalam, serta menekankan tanggungjawab bersama kedua-dua negara untuk mempersiapkan rakyat masing-masing bagi menghadapi cabaran masa depan, dengan tetap berpegang teguh pada nilai-nilai teras masing-masing. Akhir sekali, Baginda menzahirkan penghargaan atas layanan baik Negara Brunei Darussalam serta keyakinan terhadap masa depan hubungan antara Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Persantapan Diraja telah diserikan dengan beberapa persembahan yang dipersembahkan oleh Orkestra terdiri dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Radio Televisyen Brunei, dan Simfoni Belia Brunei.

Majlis Persantapan Diraja tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto