Titah KDYMM Sempena Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA ISTIADAT PERBARISAN
BAGI MAJLIS ISTIADAT PENGANUGERAHAN BENDERA PANJI-PANJI PERIBADI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
PADA
HARI SABTU, 18 Januari 2025

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita sama-sama berkumpul dalam Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Beta.

Penganugerahan ini adalah pengiktirafan Beta kepada seluruh pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei di atas khidmat jasa bakti, penat lelah, komitmen serta dedikasi yang telah ditunjukkan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang utama di negara ini.

Mengimbas kembali semasa Majlis Sambutan Hari Polis yang Ke 86 Tahun dimana Beta telah menganugerahkan penukaran kepala atau tampuk panji-panji Pasukan Polis. Penganugerahan tersebut telah meletakkan Pasukan Polis di satu kedudukan yang berprestij sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini dari sebarang bentuk ancaman keselamatan.

Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta ini mempunyai signifikannya tersendiri. Ianya bukan sekadar lambang atau hiasan semata-mata tetapi membawa makna yang amat mendalam yang mencerminkan betapa tinggi amanat dan kepercayaan Beta terhadap pasukan Polis. Dengan pengibaran bendera Panji-Panji Peribadi Beta di setiap upacara perbarisan akan melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Pasukan Polis kepada Raja, Negara dan Agama. Setiap pegawai dan anggota Pasukan Polis bertanggungjawab untuk menanai dan mempertahankan nilai panji-panji yang melambangkan Keberanian, Disiplin dan juga Kecekapan dalam memikul tugas dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pada 28hb., Oktober, 2024 yang lalu, Beta telah memperkenankan bagi pelancaran Buku Pelan Strategik Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertema “PASUKAN UNTUK MASA DEPAN” bersempena penubuhan Pasukan Polis yang ke-100 tahun. Buku pelan strategik tersebut juga menjelaskan Strategi Teras Pasukan yang tertumpu kepada lima (5) aspek penting iaitu; Struktur Prestasi, Pengurusan Sumber, Penggunaan Teknologi, Latihan dan Kerjasama Pasukan Polis dan orang awam.

Buku Pelan Strategik ini memberikan panduan secara holistik dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Dengan penekanan kepada peningkatan keupayaan siasatan siber dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat, pasukan Polis berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, keamanan, dan kesejahteraan negara.

Beta berharap buku pelan strategik Pasukan Polis ini akan dijadikan sebagai satu manifesto untuk Pasukan Polis terus berkembang maju dengan lebih terarah. Ianya meliputi semua aspek termasuk kepimpinan, meningkatkan profesionalisme, memantapkan urustadbir pasukan dan terus membina keupayaan pasukan bersama rakan-rakan strategik di dalam dan di luar negara dalam membanteras sebarang bentuk kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam kesempatan ini, Beta ingin melihat competency framework yang Beta perkenankan digunakan bagi semua peringkat Pasukan Polis untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dan kepakaran-kepakaran dalam bidang kepolisian.

Competency framework ini juga akan dapat membantu dalam menyusun atur dan melancarkan succession planning serta penstrukturan semula Pasukan Polis sebagai sebuah organisasi.

Tahun ini, genaplah usia Pasukan Polis menjangkau 104 tahun. Beta ingin melihat Pasukan Polis menujukan kematangan dari segi perlaksanaan amanah dan tugasnya serta bermuhasabah diri dan bertekad untuk terus meningkatkan profesionalisme dalam Pasukan Polis.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang utama di negara ini, Beta ingin mengulangi lagi seruan sebelum ini agar semua pegawai dan anggota Pasukan Polis untuk sentiasa menunjukkan etika kerja yang baik, berdisiplin, berintegriti dan Professional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanatkan.

Tindakan yang berlandaskan kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab akan memastikan kepercayaan masyarakat negara ini terhadap pasukan Polis  terus utuh. Disiplin yang kukuh bukan sahaja membentuk keperibadian pegawai dan anggota Pasukan Polis yang cemerlang, tetapi juga menjadi benteng pertahanan kepada cabaran moral dan etika.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota Pasukan Polis yang telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Upacara Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Masihi 2025

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN MASIHI 2025

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk melangkah ke tahun Masihi 2025.

Semoga tahun baru ini akan lebih mendorong kita untuk sama-sama menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan komitmen demi mencapai perubahan lebih bermakna bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Untuk itu, mengekalkan perpaduan adalah penting, kerana perpaduan merupakan kunci pembangunan, dimana setiap lapisan masyarakat jika kekal bersatu, hidup harmoni, saling hormat menghormati dan bekerjasama, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik.

Ditambah lagi dengan pegangan ugama yang kuat, akan memastikan Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan kekal merdeka lagi berdaulat.

Adapun pendokong negara itu ialah rakyat terutama para belia. Merekalah harapan masa depan yang dikehendaki untuk terus menimba ilmu dan kemahiran. Bagi mereka terbuka banyak peluang, maka rebutlah peluang itu.

Menyentuh mengenai ekonomi Negara, ianya Alhamdulillah, masih sahaja berdayatahan sekalipun berhadapan dengan ketidaktentuan situasi global.

Pihak International Monetary Fund (IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Asean+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) telah meramalkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2025 masing-masing sebanyak 2.5 peratus; 2.8 peratus dan 2.9 peratus. Jangkaan ini adalah hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran sektor hiliran.

Dalam masa yang sama, langkah Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi Negara, khususnya dalam Sektor Bukan Minyak dan Gas telah menunjukkan trend yang positif.

Sehubungan itu, Kerajaan Beta juga akan terus memberikan tumpuan kepada beberapa aspek penting, khususnya mempertingkatkan lagi usaha bagi menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti dan berimpak besar kepada Negara ini.

Dalam pada itu juga, perniagaan tempatan, khasnya Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSMEs) akan terus dibantu dan diperkukuhkan untuk membolehkan mereka memanfaatkan peluang perniagaan yang dihasilkan daripada Pelaburan Langsung Asing (FDI) ini dan juga untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Fokus juga akan diberikan kepada meningkatkan pembangunan sumber manusia tempatan melalui pendidikan dan Latihan kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri.

Di arena antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam akan tetap berpegang kepada dasar luarnya yang menekankan keseimbangan dalam menimbangkan kepentingan serantau dan pembangunan ekonomi.

Keahlian dan penglibatan aktif Negara dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan kita terhadap Kerjasama multilateralisme, dan menanai perundangan antarabangsa.

Natijahnya, peluang untuk berkembang dan bekerjasama dengan negara-negara jiran adalah terbuka luas. Tinggal saja lagi kita diperlukan untuk lebih bijak mengambil peluang ini dengan sebaiknya, disamping tetap mengekalkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kepada pembangunan negara.

Agenda utama ialah untuk terus mempertingkatkan daya saing negara, dengan menekankan kepentingan pembangunan yang inklusif dan mampan dengan kerjasama erat pelbagai pihak yang berkepentingan dikalangan sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amnya.

Kita juga menghargai peranan penting warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan, yang menjadikan kita berkewajipan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara, selaras dengan pendekatan: Tidak ada sesiapapun yang dibiarkan tercicir dalam pembangunan negara.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2024.

Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama mereka mengeratkan lagi hubungan dengan Negara Brunei Darussalam.

Selamat Tahun Baru Masihi 2025 kepada seluruh rakyat dan penduduk di Negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Gurkha Ke-50

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS
HARI ULANG TAHUN PASUKAN
SIMPANAN GURKHA KE-50
 
HARI SABTU
28 NOVEMBER 2024
 
BERTEMPAT
DI PERKHEMAHAN SUNGAI AKAR,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin dan rahmatNya jua dapatlah kita hadir bagi meraikan satu mercu tanda yang amat bermakna iaitu Upacara Sambutan Jubli Emas Pasukan Simpanan Gurkha (PSG). Setinggi-tinggi tahniah diucapkan atas perbarisan yang membanggakan sebentar tadi yang mencerminkan kesiapsiagaan dan mutu disiplin yang tinggi para anggota Pasukan ini.

Selama dalam tempoh lima puluh tahun, PSG telah bersama-sama menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran yang telah dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam.

Beta sangat gembira dengan perkembangan Pasukan ini yang secara berterusan telah mengukuhkan keupayaan dalam menempuh perubahan-perubahan yang mencabar. Setelah lima dekad penubuhan PSG, Pasukan ini telah berkembang sebagai sebuah organisasi keselamatan yang mempunyai reputasi tinggi dan amat digalati. Dengan berlainan latar belakang pengambilan anggota Pasukan Simpanan Gurkha, yang terdiri daripada pesara-pesara anggota British Army Brigade of Gurkhas, Gurkha Contingent Singapore Police Force, Nepal Army dan Indian Army serta termasuk rakyat Negara Brunei Darussalam telah menyumbang kepada kepelbagaian kepakaran, kompetensi dan pengalaman luas, menjadikan PSG sebuah organisasi yang berdaya tahan.

Mengambil sukut yang bersejarah ini, dan juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa bakti dan pencapaian PSG, Beta sukacita mengurniakan Pingat Jubli Emas Pasukan Simpanan Gurkha kepada semua anggota PSG yang sedang berkhidmat, dan juga kepada mantan-mantan pemimpin yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan organisasi ini. Pengurniaan pingat ini juga mencerminkan komitmen Pasukan ini dalam melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan dan dedikasi.

Selanjutnya Galeri Gurkha yang akan dirasmikan pada hari ini, memaparkan sejarah Pasukan Simpanan Gurkha semenjak penubuhannya sehingga ke hari ini, dan profil anggota-anggota Gurkha yang menerima penghormatan ‘Victoria Cross’ serta kebudayaan dan warisan Gurkha secara umumnya.

Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas pada hari ini, Beta juga sukacita memperkenankan perubahan nama Pasukan Simpanan Gurkha kepada Pasukan Sekuriti Gurkha atau Gurkha Security Unit.

Beta berharap semua anggota Pasukan ini akan terus menerapkan nilai-nilai teras dengan penuh komited, agar PSG sentiasa kekal relevan untuk generasi seterusnya.

Akhirnya, Beta mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua anggota Pasukan Sekuriti Gurkha yang masih berkhidmat dan yang telah bersara serta kepada semua yang terlibat menjayakan Sambutan Jubli Emas ini. Beta turut mendo’akan, semoga Pasukan Sekuriti Gurkha akan sentiasa berada dalam sejahtera.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND

PADA :
HARI AHAD,
20 JAMADILAKHIR 1446 / 22 DISEMBER 2024
 
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL, LONDON, UNITED KINGDOM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, atas limpah rahmat-Nya, mentakdirkan Beta dapat hadir bersama-sama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, khususnya para pelajar yang sedang menuntut ilmu dan menimba pengalaman, serta juga pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Para pelajar boleh disifatkan sebagai peneraju negara dan ejen perubahan yang akan merealisasikan aspirasi kita di masa hadapan. Maka untuk itu, kemajuan, kejayaan dan kestabilan negara dan bangsa amatlah bergantung kepada para pelajar sekalian. Oleh yang demikian, para pelajar mestilah berusaha untuk menjadi pemimpin yang bersemangat dan berilmu tinggi, yang mampu bersaing dengan apa jua tantangan di hadapan.

Kita akan tetap  berhadapan dengan cabaran keadaan yang semakin kompleks, yang terbit dari isu-isu ekonomi, sosial, politik serta teknologi. Selain kita sangat diperlukan untuk sentiasa peka dengan apa jua yang mendatang, kita juga adalah dituntut untuk mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi. Oleh itu bagi pelajar, ambillah peluang semasa berada di luar negeri untuk memupuk kualiti diri.

Pendedahan kepada keadaan, budaya dan ilmu yang berbeza boleh mengembangkan minda dan kualiti kemahiran. Maka oleh itu, jadikanlah kesempatan ini untuk mencabar diri sendiri supaya para pelajar dapat memiliki kualiti yang dimaksudkan.

Dalam kepesatan teknologi, para pelajar mestilah bijak serta mahir untuk membezakan sumber yang boleh dipercayai ataupun tidak. Maka oleh itu, para pelajar, jadilah awda semua warga digital atau ‘Digital Citizen’ yang bertanggungjawab dan beretika, supaya awda sekalian selamat dan berjaya.

Dalam keadaan dunia semakin tidak menentu ini juga, kita sering terdedah kepada tekanan yang boleh mempengaruhi akal budi kita. Beta menyeru kepada pelajar semua supaya sentiasa menjaga kesihatan mental, dan jangan malu untuk mendapatkan bantuan jika diperlukan. Sesungguhnya pertolongan adalah tanda kekuatan, bukan kelemahan.

Perkara yang paling penting ialah, berpegang dengan kuat kepada nilai-nilai ugama, iaitu mengamalkan segala aktiviti yang bermanfa’at yang boleh membawa kepada ketenangan, serta juga menjaga kesihatan dan mengawal pemakanan. Disamping itu Beta teruja untuk menasihatkan, supaya para pelajar yang berjauhan dengan keluarga, hendaknya jangan lupa untuk meluangkan masa berhubung dengan mereka.

Dalam proses menjadi individu cemerlang, bataskanlah diri dari mendekati aktiviti yang tidak bermoral. Perkara ini jangan dipandang remeh kerana ia boleh merosakkan masa depan, jika tidak dibendung dari awal.

Maka sehubungan itu, Beta tidak jemu-jemu mengingatkan supaya para pelajar semua janganlah mengabaikan ajaran ugama. Dekatkanlah diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dengan mengekalkan ibadat serta banyak membaca Al-Qur’an dan berzikir. Insya Allah dengan cara ini para pelajar akan selamat.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan agar semua pelajar dan rakyat Beta di sini sentiasa dalam sejahtera dan kekal di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

*       *       *

 

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Tahun 1446H / 2024M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE EMPAT BELAS

KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN

TAHUN 1446H/2024M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​​​

 

​                  Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

​​Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua dapatlah kita berkongsi kejayaan dan kegembiraan dengan para graduan dan ibu bapa serta penjaga dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-14, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi ini.

Beta juga dengan penuh syukur dan sukacita turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini sebagai tanda kejayaan dalam pengajian masing-masing. Tidak lupa juga penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas pengorbanan mereka untuk kejayaan para graduan.

KUPU SB memainkan peranan penting untuk melahirkan guru-guru ugama yang terlatih, selaku tonggak pembentuk akhlak dan pembekal ilmu bagi anak bangsa.

Untuk keberkesanan pendidikan, Beta sangat berharap supaya KUPU SB sentiasa menilai dan memperbaharui program-programnya supaya kekal relevan dan memenuhi keperluan negara, khasnya dalam bidang Pendidikan Islam. Disamping menghasilkan graduan, maka yang dihasilkan itu juga hendaklah mampu untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Dari aspek pengurusan dan kesejahteraan warga KUPU SB pula, mereka juga adalah sangat perlu untuk terus diberi perhatian, bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif dan berkualiti tinggi.

Beta juga menghargai usaha kepimpinan KUPU SB dalam menyusun strategi pembaharuan dan penambahbaikan di KUPU SB, yang meliputi penyusunan semula hala tuju, menyelaras sistem pengurusan dan pentadbiran, penjenamaan semula dan penubuhan pusat baharu, menyemak kursus dan struktur program, serta meneliti keperluan sumber tenaga manusia.

Beta juga menyambut baik akan segala usaha pembaikan, kerana pada hemet Beta, ini adalah tindakan yang tepat bagi sesebuah institusi pengajian tinggi untuk melakukannya dalam memburu kecemerlangan.

KUPU SB mesti menjadi pelopor bagi memperkasa pendidikan ugama dan juga jadi peneraju kepada dasar pendidikan patuh syarak. Dalam makna, KUPU SB bukan hanya setakat untuk melihat ke dalam dirinya semata-semata, malah juga berhak untuk turut memantau dan menilai, bahkan unutk memberi pandangan tentang mana-mana amalan atau strategi pendidikan yang memerlukan pembaikan dari segi hukum dan kemasyarakatan.

Dalam erti kata lain, KUPU Sb mempunyai tanggungjawab tersendiri untuk menyuarakan pandangannya melalui Majlis KUPU SB tentang apa-apa jua yang berkaitan dengan pendidikan ugama, selaras dengan tanggungjawab yang khusus dalam bidang perguruan ugama.

Akhirnya, Beta ingin mengambil peluang mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Ahli Majlis KUPU SB, pentadbiran KUPU SB di bawah pimpinan Ra’es, dan seluruh warga KUPU SB serta ibu bapa atau penjaga graduan yang turut sama-sama hadhir bagi meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam Majlis Konvokesyen Ke-14 ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.

 

*    *    *​