Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1444H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL ADHA

TAHUN 1444H / 2023M

 ​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.​

Alhamdulillah, kita dapat lagi menyambut ‘Idil Adha yang mulia dalam suasana aman lagi sejahtera. Suasana aman adalah kurnia paling berharga, yang bukan semua tempat di dunia dapat menikmatinya. Oleh itu, marilah sama-sama kita memeliharanya dengan penuh tanggungjawab sambil bersyukur.

Selain kita memerlukan suasana aman, kita juga memerlukan keadaan selesa dan kesihatan. Maka untuk itu faktor-faktor alami adalah turut menjadi perhitungan.

Sekarang, berbangkit fenomena pemanasan global yang membawa impak besar kepada kehidupan, disamping juga tidak kurang merunsingkan ialah isu meningkatnya penyakit mental.

Perubahan iklim menurut kajian akan mengurangkan pengeluaran hasil tanaman di seluruh dunia, mempengaruhi dan menjejaskan kesejahteraan umat manusia.

Tahap pemanasan melampau boleh membawa kesan yang sangat buruk seperti kematian, penyakit kronik, kehilangan pendapatan dan kurang bekalan air serta makanan.

Sementara itu, turut menambahkan lagi kebimbangan ialah apabila baru-baru ini, sempena menyambut Hari kesihatan Mental Sedunia 2022, telah dianggarkan, bahawa beban kesihatan mental di peringkat global adalah semakin meningkat.

Di Negara Brunei Darussalam, pada tahun 2021 sahaja, sebanyak 1,515 individu telah diagnosis dengan anxiety disorder dan lebih dari 900 individu didapati mengalami depressive disorder.

Menurut kajian global, pandemik Covid-19 adalah menjadi penyebab meningkatnya tahap tekanan mental sehingga mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi, dianggarkan satu (1) dalam empat (4) individu mengalami masalah mental.

Maka beta melihat, kedua-dua isu: Pemanasan Global dan meningkatnya penyakit mental, perlulah sama-sama diberi perhatian mendalam oleh semua pihak.

Pihak berwajib hendaklah menyediakan garis panduan dan nasihat, bagaimana cara untuk menghadapi fenomena ini dan apa cara atau terapi untuk mengelak dan mengubati penyakit mental.

Beta melihat, dua fenomena ini harus dihadapi dan ditangani seperti kita menghadapi dan menangani Covid-19, kerana semua itu adalah sama sahaja berstatus ‘musibah’. Kalau Covid-19 kita hadapi dengan SOP saintifik dan vaksin ketuhanan, mengapa terhadap dua fenomena ini tidak boleh dilakukan demikian?

Tetapi soalnya, kita memerlukan inisiatif bersama pihak-pihak yang berkenaan. Misalnya mengenai gejala mental, Beta telahpun mengikuti dan membaca dua ceramah utama oleh pihak kesihatan dan pihak ugama, dimana kedua-duanya mengemukakan pendekatan berbeza tetapi sama-sama mempunyai nilai signifikan yang boleh dijelmakan menjadi tindakan bersepadu mengenainya. Tetapi belum ada kedengaran usaha ke arah itu.

Pendekatan pihak ugama melihat, bahawa penyakit mental itu pangkalannya ialah ‘di hati’, dan penyakit hati pula menurut al-Qur’an ubatnya ialah ‘zikir’. Pendekatan ini pada hemat beta amatlah menyuntik untuk difikirkan sebagai salah satu jenis rawatan di pusat-pusat perubatan. Pihak-pihak berkenaan Kesihatan dan Ugama sangat elok untuk menunduki perkara ini bersama-sama.​

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mengenai fenomena pemanasan, kita di negara ini patut sama-sama peka untuk sentiasa berhati-hati, kerana cuaca yang sangat panas boleh membawa kesan buruk kepada tubuh badan, seperti contohnya boleh membawa kepada “strok haba”.

Oleh hal yang demikian, langkah terpenting ialah mematuhi segala garis panduan kesihatan seperti antaranya, meminum banyak air tanpa perlu menunggu sehingga dahaga, membatasi aktiviti luaran dan memakai pakaian yang bersesuaian dan sebagainya.

Kerana pemanasan melampau juga adalah satu musibah, maka kita orang-orang Islam janganlah lupa untuk membanyakkan do’a dan ibadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dengan memohon supaya kita dan negara diberikan perlindungan oleh Allah daripada kesan pemanasan yang membahayakan itu.​

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Beta juga berharap, supaya para jema’ah haji kita di Tanah Suci akan bersama-sama mengambil ingatan bagi melindungi diri masing-masing daripada kesan pemanasan melampau yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Semoga mereka akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala  di sepanjang kerja-kerja haji, serta juga akan beroleh haji yang mabrur. Amin.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha al-Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada.

 Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara bagi Tahun 1444H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA

BAGI TAHUN 1444H / 2023M​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana berpeluang lagi menghidupkan bulan Ramadhan dan meraikan peristiwa turunnya kitab suci Al-Qur’an.

Tidak syak lagi peristiwa Nuzul Al-Qur’an adalah merupakan detik yang amat bersejarah bagi umat Islam. Al-Qur’an akan kekal terpelihara dari sebarang kecacatan dan terselamat dari ancaman anasir-anasir jahat sehingga ke hari kiamat.

Oleh yang demikian, kita tidaklah perlu khawatir dengan pelbagai kejahatan yang dilakukan ke atas Al-Qur’an, kerana bukan kita yang menjaganya tetapi Allah Subhanahu Wata’ala selaku penjaga mutlak kitab yang mulia ini.

Apa yang perlu kita buat ialah merujuk kepada Al-Qur’an sebagai panduan dalam semua perkara duniawi dan ukhrawi dengan membaca dan beramal dengan ajarannya. Hanya dengan cara inilah langkah kita akan terarah ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.

Daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Al-Qur’an ini adalah merupakan hidangan Allah. Maka terimalah hidangan-Nya itu semampumu. Sesungguhnya Al-Qur’an merupakan tali Allah, cahaya yang terang dan ubat yang mujarab iaitu perlindungan bagi orang yang berpegang dengannya, kejayaan bagi orang yang mengikutnya, dan tidaklah seseorang itu terpesong melainkan dengan (Al-Qur’an) dia akan kembali ke pangkal jalan, dan tidaklah seorang itu menyimpang melainkan dengan (Al-Qur’an) dia menemui jalan yang lurus…”

(hadits riwayat al-Hakim)

Tema Majlis Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini berbunyi: Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdo’a dalam menghadapi segala ujian dengan petunjuk Al-Qur’an adalah gambaran kebenaran tentang hadis tadi.

Al-Qur’an adalah santapan yang membekalkan kekuatan kepada para hamba. Al-Qur’an mengajak kita bersabar kerana sabar adalah penawar. Al-Qur’an menyuruh kita berikhtiar kerana ikhtiar adalah cahaya yang menyuluh. Al-Qur’an memandu ke jalan yang lurus sewaktu kita bertawakal, dan Al-Qur’an yang memiliki keajaiban tiada henti-hentinya menyuruh kita berdo’a mengharap pertolongan Allah.

Sebab itulah semasa berhadapan dengan kepayahan dan kesukaran, sabar adalah menjadi kekuatan untuk bertahan, kerana kita tahu bahawa Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar dan adapun ujian merupakan tanda kasih sayang Allah ke atas hamba-Nya. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya dan yang paling baik akhlak adalah orang yang paling sabar dalam kesulitan”. (hadis Riwayat Bukhari).

Ikhtiar pula adalah ibadah. Al-Qur’an menyuruh kita supaya berusaha untuk mencapai matlamat memperbaiki kehidupan kita. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang maksudnya: “Apabila kamu ditimpa musibah, maka berikhtiarlah, kerana sesungguhnya setiap kesusahan itu disertai dengan kemudahan”. (Hadis riwayat Bukhari). ​

Dan akhir sekali berdo’a setelah bertawakal. Do’a pula adalah rasa kehambaan dan kerendahan diri kita di hadapan Allah. Allah sangat hampir dan sentiasa untuk mengurniakan belas kasihan terhadap para hamba yang meminta.

Oleh itu, keberadaan kita di abad teknologi tinggi ini, sewajarnya kita semakin dekat dengan Al-Qur’an. Tiada alasan untuk kita berdalih untuk melambat-lambatkan berdamping dengan Al-Qur’an.

Mengambil sukut baik di Bulan Ramadhan ini, marilah kita berazam untuk melazimi diri dengan Al-Qur’an, supaya kita dan negara sentiasa diilhami dengan cahaya Al-Qur’an.

Maka Beta dengan ini tidak lupa merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta, khasnya mereka yang berjaya di dalam Musabaqah Menghafaz Al-Qur’an Berserta pemahamannya Peringkat Kebangsaan dan Peringkat negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah bersamaan 2023 Masihi.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1444H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL ADHA

TAHUN 1444H / 2023M

 ​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.​

Alhamdulillah, kita dapat lagi menyambut ‘Idil Adha yang mulia dalam suasana aman lagi sejahtera. Suasana aman adalah kurnia paling berharga, yang bukan semua tempat di dunia dapat menikmatinya. Oleh itu, marilah sama-sama kita memeliharanya dengan penuh tanggungjawab sambil bersyukur.

Selain kita memerlukan suasana aman, kita juga memerlukan keadaan selesa dan kesihatan. Maka untuk itu faktor-faktor alami adalah turut menjadi perhitungan.

Sekarang, berbangkit fenomena pemanasan global yang membawa impak besar kepada kehidupan, disamping juga tidak kurang merunsingkan ialah isu meningkatnya penyakit mental.

Perubahan iklim menurut kajian akan mengurangkan pengeluaran hasil tanaman di seluruh dunia, mempengaruhi dan menjejaskan kesejahteraan umat manusia.

Tahap pemanasan melampau boleh membawa kesan yang sangat buruk seperti kematian, penyakit kronik, kehilangan pendapatan dan kurang bekalan air serta makanan.

Sementara itu, turut menambahkan lagi kebimbangan ialah apabila baru-baru ini, sempena menyambut Hari kesihatan Mental Sedunia 2022, telah dianggarkan, bahawa beban kesihatan mental di peringkat global adalah semakin meningkat.

Di Negara Brunei Darussalam, pada tahun 2021 sahaja, sebanyak 1,515 individu telah diagnosis dengan anxiety disorder dan lebih dari 900 individu didapati mengalami depressive disorder.

Menurut kajian global, pandemik Covid-19 adalah menjadi penyebab meningkatnya tahap tekanan mental sehingga mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi, dianggarkan satu (1) dalam empat (4) individu mengalami masalah mental.

Maka beta melihat, kedua-dua isu: Pemanasan Global dan meningkatnya penyakit mental, perlulah sama-sama diberi perhatian mendalam oleh semua pihak.

Pihak berwajib hendaklah menyediakan garis panduan dan nasihat, bagaimana cara untuk menghadapi fenomena ini dan apa cara atau terapi untuk mengelak dan mengubati penyakit mental.

Beta melihat, dua fenomena ini harus dihadapi dan ditangani seperti kita menghadapi dan menangani Covid-19, kerana semua itu adalah sama sahaja berstatus ‘musibah’. Kalau Covid-19 kita hadapi dengan SOP saintifik dan vaksin ketuhanan, mengapa terhadap dua fenomena ini tidak boleh dilakukan demikian?

Tetapi soalnya, kita memerlukan inisiatif bersama pihak-pihak yang berkenaan. Misalnya mengenai gejala mental, Beta telahpun mengikuti dan membaca dua ceramah utama oleh pihak kesihatan dan pihak ugama, dimana kedua-duanya mengemukakan pendekatan berbeza tetapi sama-sama mempunyai nilai signifikan yang boleh dijelmakan menjadi tindakan bersepadu mengenainya. Tetapi belum ada kedengaran usaha ke arah itu.

Pendekatan pihak ugama melihat, bahawa penyakit mental itu pangkalannya ialah ‘di hati’, dan penyakit hati pula menurut al-Qur’an ubatnya ialah ‘zikir’. Pendekatan ini pada hemat beta amatlah menyuntik untuk difikirkan sebagai salah satu jenis rawatan di pusat-pusat perubatan. Pihak-pihak berkenaan Kesihatan dan Ugama sangat elok untuk menunduki perkara ini bersama-sama.​

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mengenai fenomena pemanasan, kita di negara ini patut sama-sama peka untuk sentiasa berhati-hati, kerana cuaca yang sangat panas boleh membawa kesan buruk kepada tubuh badan, seperti contohnya boleh membawa kepada “strok haba”.

Oleh hal yang demikian, langkah terpenting ialah mematuhi segala garis panduan kesihatan seperti antaranya, meminum banyak air tanpa perlu menunggu sehingga dahaga, membatasi aktiviti luaran dan memakai pakaian yang bersesuaian dan sebagainya.

Kerana pemanasan melampau juga adalah satu musibah, maka kita orang-orang Islam janganlah lupa untuk membanyakkan do’a dan ibadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dengan memohon supaya kita dan negara diberikan perlindungan oleh Allah daripada kesan pemanasan yang membahayakan itu.​

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Beta juga berharap, supaya para jema’ah haji kita di Tanah Suci akan bersama-sama mengambil ingatan bagi melindungi diri masing-masing daripada kesan pemanasan melampau yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Semoga mereka akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala  di sepanjang kerja-kerja haji, serta juga akan beroleh haji yang mabrur. Amin.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha al-Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada.

 Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Semasa Majlis Bersama Penuntut-penuntut serta Rakyat dan Penduduk yang berada di Australia dan New Zealand

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMASA MAJLIS BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT SERTA RAKYAT DAN PENDUDUK YANG BERADA DI AUSTRALIA DAN NEW ZEALAND 

TARIKH:
SELASA, 1 ZULHIJJAH 1444 / 20 JUN 2023 

TEMPAT:
PARK HYATT MELBOURNE,
MELBOURNE, AUSTRALIA

 

Beta sangat bersyukur, kerana dapat bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Australia, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Pertemuan ini adalah merupakan saat yang dinantikan kerana ianya memberi peluang kepada Beta untuk bersemuka dengan penduduk dan rakyat Beta, khususnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini.

Peluang belajar di luar negara adalah merupakan pengalaman berharga. Oleh itu, gunakanlah peluang ini sebaiknya semata-mata untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran diri.

Masa depan sesebuah negara banyak bergantung kepada sumber tenaga manusianya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, sebagaimana terpahat menjadi matlamat utama Wawasan Brunei 2035.  Oleh itu, para pelajar di mana sahaja mereka berada adalah memainkan peranan amat penting dalam melakar masa hadapan yang cemerlang.

Sehubungan itu, Beta ingin mengingatkan kepada para pelajar, bahawa berada di luar negara bukanlah untuk leka dan lalai, tetapi ketika inilah peluang terbuka untuk membina diri dan syakhsiah dengan ilmu-ilmu yang bermanfa’at, serta juga lebih utama tidak mengabaikan kewajipan berugama seperti sembahyang lima waktu, membaca Al-Qur’an dan lain-lain tuntutan amal salih.

Beta percaya para pelajar menyedari akan cabaran-cabaran dalam pengajian.  Dengan bilangan mereka yang kecil, Unit Ataci Pendidikan bersama para pelajar sendiri dan sokongan Kementerian Pendidikan boleh meneroka cara-cara untuk mengatasi cabaran-cabaran ini. Selain daripada meningkatkan kemahiran pengurusan dan perancangan kewangan, Beta percaya, para pelajar dapat memartabatkan budaya orang Brunei dan menjunjung tinggi falsafah Melayu Islam Beraja di mana sahaja mereka berada.  Selain itu, mereka juga tidak akan ketinggalan untuk beramal dengan vaksin ketuhanan, berupa zikir, do’a, selawat dan membaca Al-Qur’an. Kerana ini adalah perisai kita untuk menolak mudharat dan musibah.

Insya Allah, dengan berkat kecekalan, ketabahan dan ketahanan jati diri, para pelajar akan mampu untuk mengharungi segala cabaran dan bangkit dengan semangat berkobar-kobar untuk berjaya dalam pengajian.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan agar semua pelajar dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini sentiasa berada dalam aman sejahtera di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. ​

* * *

Titah KDYMM di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Jordan

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT

DAN PENDUDUK SERTA PENUNTUT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

YANG BERADA DI JORDAN

PADA:

1 JUN 2023​

TEMPAT:

HOTEL INTERCONTINENTAL, AMMAN, JORDAN

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersua muka dengan rakyat dan penduduk serta para pelajar Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini masa ini.

Beta gembira dengan peluang ini, yang membolehkan Beta mengetahui keadaan sekalian yang hadhir, khasnya para pelajar yang sedang meneruskan pengajian mereka di sini.

Beta mendapat tahu, bilangan pelajar kita yang ada, cuma dalam lingkungan belasan orang sahaja. Namun bilangan yang kecil ini sangat bermakna kepada negara.

Beta menyifatkan mereka adalah bertaraf ‘duta’ kepada negara, untuk menjalinkan hubungan mesra diantara Negara Brunei Darussalam dan Negara Jordan.

Di sini, siapa yang mengenali para pelajar kita, dengan sendirinya adalah mengenali Brunei. Jika elok mereka, maka eloklah Brunei. Begitu juga sebaliknya, kalau buruk mereka, maka buruklah Brunei.

Oleh itu, Beta berpesan, supaya para pelajar mengutamakan akhlak yang baik, dengan ugama pula menjadi pegangan yang kuat.

Semua kita mesti ingat, bahawa di era globalisasi ini, terlalu banyak anasir yang bergiat untuk membawa kepada keburukan. Ia ada di mana-mana, bahkan mungkin ada di dalam rumah kita, atau sepejabat dengan kita, atau sekuliah dengan kita, atau di mana sahaja, sedang mereka itu, tidak mudah untuk dikenali, kecuali kalau ada petunjuk dan pertolongan daripada Allah, maka barulah kita akan terselamat daripada kejahatan mereka.

Maka untuk mendapatkan keselamatan itu, kita seyugia dikehendaki untuk memenuhi persyaratan ta’at kepada Allah, sebagaimana firmanNya yang menjanjikan perkara itu dalam Surah A-Talaq, Ayat 2, tafsirnya: “Dan siapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan menjauhi segala laranganNya) nescaya Allah akan menyediakan untuknya jalan keluar (dari segala yang menyusahkannya).”

Jadi Beta berharap, para pelajar akan memenuhi persyaratan ini, demi untuk memperolehi jalan keluar, terhindar daripada segala kesusahan.

Dengan beroleh keselamatan dan terhindar dari kesusahan, para pelajar sudah tentu akan lebih mudah untuk mencapai kejayaan dalam pengajian, sebagai anugerah, atau balasan dari keta’atan mereka.

Beta sesungguhnya sentiasa menginginkan kejayaan para pelajar, kerana mereka sangat diperlukan oleh negara sebagai agen pembangunan yang berkesan, sama ada pembangunan kebendaan mahupun pembangunan di bidang kerohanian.

Ingatlah, di hadapan para pelajar adalah masa depan yang serba sukar. Maka kerana itu, kita sangat memerlukan sumber tenaga manusia yang hebat untuk menghadapinya.

Dari manakah kita boleh mendapat sumber tenaga yang demikian itu? Tentu sahaja dari pusat-pusat pengajian tinggi yang diiktiraf.

Maka dalam hubungan ini, tidak diragukan lagi, para pelajar sekalian adalah orang-orang yang beruntung kerana berpeluang untuk menjadi pelajar di pusat-pusat pengajian yang dimaksudkan itu.

Dengan berpeluang menjadi pelajar, maka akan berpeluang pula untuk menjadi pemimpin di masa hadapan. Oleh itu, janganlah sia­siakan peluang ini, kerana peluang, biasanya hanya sekali sahaja.

Akhirnya, Beta berdo’a, semoga semua pelajar, keluarga dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam sejahtera, sihat ‘afiat dan maju jaya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***