Sabda DPMM Sempena Majlis Pembukaan Rasmi Anugerah Perniagaan Asean (ABA) 2021 Menerusi Rakaman Video

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS PEMBUKAAN RASMI ANUGERAH PERNIAGAAN ASEAN (ABA) 2021 MENERUSI RAKAMAN VIDEO


PADA
HARI SELASA, 30 NOVEMBER 2021

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Para tetamu yang dihormati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Selamat malam.

Saya berbesar hati menyertai awda secara maya, pada Majlis ASEAN Business Awards 2021 yang berprestij ini.

Malam ini, kita meraikan pencapaian sektor swasta di Asia Tenggara yang mencapai pencapaian cemerlang ke arah menyokong pemulihan ekonomi serantau, pada tahun ini.

Pandemik COVID-19 berkembang secara meluas, daripada kecemasan kesihatan, kepada krisis ekonomi global. Sektor swasta mengalami kesan negatif daripadanya pada peringkat global.

Tetapi melalui masa yang sukar ini, komuniti perniagaan menunjukkan kekuatan yang luar biasa dan saya bangga menyertai acara yang meraikan daya tahan, inovasi juga semangat untuk mengatasi cabaran tersebut.

Sungguh memberangsangkan, pada tahun 2021, rantau ini telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi, di mana sektor swasta memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada usaha pemulihan berkenaan.

Oleh itu, adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta untuk mencapai pemulihan yang mampan daripada pandemik.

Untuk menyokong kerjasama ini, beberapa dialog dan program di antara sektor swasta dan pelbagai Badan-Badan Sektor ASEAN telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam bidang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pelancongan, dan Rantaian Bekalan Global.

Program-program seperti ASEAN Business Rountables, ASEAN Business and Investment Summit, dan ASEAN Business Awards, menunjukkan banyak manfaat yang diperoleh, jika kerajaan dan sektor swasta sama-sama berganding bahu.​

Negara-negara bukan anggota ASEAN juga dilihat turut menunjukkan minat dan memberi sokongan dalam ASEAN Business Award.

Para tetamu yang dihormati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta sudah pasti akan membantu mengenal pasti peluang-peluang ekonomi dan tindakan yang relevan untuk terus menyokong perniagaan dalam membangunkan asas yang kukuh dan meneroka gelombang inovasi baharu untuk menjalankan perniagaan.

Apabila kita memasuki fasa baharu transformasi digital ekonomi, kemajuan teknologi yang pesat membentuk semula persekitaran ekonomi kita.

Oleh itu, sektor swasta, khususnya PMKS, hendaklah menyesuaikan diri dalam era digital global pada masa kini, dengan meningkatkan tahap kapasiti masing-masing, bagi persediaan memasuki pasaran-pasaran baharu, di luar negara.

Acara hari ini merupakan satu pengiktirafan daripada kerja keras dan sumbangan sektor swasta terhadap usaha pemulihan ekonomi kita. Oleh itu, saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang anugerah tahun ini, yang mengiktiraf bukan sahaja kedayatahanan awda, dalam menghadapi cabaran yang dibawa oleh pandemik, tetapi juga usaha awda dalam bidang berkepentingan seperti Kelestarian, Pembangunan Kemahiran juga Keusahawanan wanita.

Tajaan yang diterima daripada pihak korporat adalah sangat menggalakkan, yang mana mereka mendedikasikan pendapatan mereka untuk tujuan sosial, haruslah disanjung dan dedikasi mereka itu akan dianugerahkan dengan Brunei Special Award for Emerging Social Enterprises.

Sebagai penutup, dengan penganugerahan kepada syarikat-syarikat atas dedikasi ikhlas mereka, kita cabar diri kita untuk membuat yang lebih baik. Potensi untuk melakukan sesuatu yang lebih baik akan sentiasa ada, dengan motivasi, dorongan dan sokongan yang betul, syarikat boleh berkembang dan menyumbang kepada masyarakat, negara dan serantau.

Saya ingin melihat kerjasama berterusan antara sektor swasta dan awam untuk mencapai persekitaran yang lebih dinamik, mampan juga berdaya saing, supaya kita boleh pulih lebih kukuh bersama-sama.

***​

Titah KDYMM Sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Bagi Tahun 1443H/2021M

TITAH PERUTUSAN
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN
 MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1443H / 2021M
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua telah menyampaikan kita ke bulan yang bersukut istimewa, Rabiul Awwal, bulan diputerakan Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala jua, kita buat pertama kalinya tidak akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berhimpun             beramai-ramai kerana penularan wabak koronavirus. Namun kita masih saja dapat menyambutnya dengan cara yang bersesuaian dengan keadaan.

Ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah belaku. Namun kita selaku umat yang berakidah, wajiblah melihatnya sebagai ada hikmah disebalik itu. Tetapi kita sesungguhnya tidaklah tahu hakikat hikmah. Kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216 bagi memberitahu kita akan kedudukan hikmah itu, tafsirnya:

“… Boleh jadi sesuatu yang kamu benci (tidak sukai), padahal ia adalah baik bagi kamu, dan (begitu juga) boleh jadi sesuatu yang kamu suka, padahal ia buruk (tidak baik) bagi kamu. (Ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Inilah pegangan yang betul untuk dipegang. Kita tidak dapat lari dari apa jua yang ditentukan oleh Allah, dan setiap ketentuan-Nya itu pastinya ada mengandungi hikmah.

Kita wajib mempunyai “sangkaan baik” terhadap Allah. Apa-apa jua yang ditentukan oleh-Nya adalah semua itu baik untuk kita. Kerana sesungguhnya Allah itu tidak pernah menzalimi sesiapa. Jika Dia mendatangkan satu-satu ujian, adalah ujian itu bukannya satu penzaliman, tetapi mungkin satu pengajaran atau sebagai cara untuk Dia (Allah) menambahkan lagi darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian tersebut.

Demikianlah yang patut kita fahami mengenai satu-satu situasi yang berlaku. Namun untuk menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam, tetapi disuruh untuk berikhtiar bagi memperolehi sesuatu yang terbaik.

Apakah jenis ikhtiar yang afdhal untuk kita lakukan? Jika merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Hadits, ikhtiar yang afdhal itu ialah “do’a”. Kita disuruh berdo’a, samada dalam senang atau dalam susah. Kita berdo’a dalam senang, supaya dikekalkan kesenangan dan berdo’a dalam susah, supaya dihapuskan kesusahan.

Salah satu jenis do’a atau jenis zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat kita ialah “Selawat” ke atas Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Maka bersempena dengan kita menyambut Maulid Ar-Rasul ini, sangatlah wajar untuk kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai do’a dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan kita daripada musibah koronavirus.

Beta berharap, di samping meneruskan rancangan berupa bacaan-bacaan ayat suci al-Qur’an, do’a dan zikir yang sedang berjalan pada masa ini, maka khusus untuk sepanjang Bulan Rabiul Awwal ini, rancangan “Selawat” eloklah dibanyakkan dan lebih dikerapkan kemunculannya. Sementara orang ramai pula secara bersendirian janganlah ketinggalan untuk sama-sama mengamalkannya. Insya Allah, dengan berkat dan syafaat Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Brunei Darussalam akan bebas dan bersih daripada wabak koronavirus. Amin. Allahumma Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah Perutusan Khas KDYMM – Tahun 1443H/2021M

TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
TAHUN 1443H/2021M
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan bertawakal dan merendah diri kepada Allah, Beta terpanggil untuk menyampaikan perutusan ini, bersabit dengan perkembangan terbaharu Pandemik Koronavirus di negara kita.

Selama lebih setahun, Brunei Darussalam telah dapat menikmati keadaan selamat (sunyi) daripada jangkitan. Alhamdulillah, kita tidak lupa bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas nikmat ini. Kerana kita sedar, bahawa tidak akan berlaku sesuatu itu, kalau bukan dengan izin dan kehendak Allah jua.

Maka demikian itulah yang sudah terjadi ke atas Brunei. Namun pada 7hb Ogos 2021, kita tiba-tiba dikejutkan oleh jangkitan tempatan, yang membabitkan 7 individu. Jangkitan ini meningkat pada hari-hari berikutnya, yang tentu saja menambahkan kebimbangan.

Tetapi kita selaku umat yang berakidah, tetap sahaja menaruh harapan, bahawa Allah akan memperkenankan do’a kita untuk membersihkan semula bumi Darussalam ini daripada wabak koronavirus, insya Allah.

Selaku umat yang berakidah kita memahami, bahawa tiada turun sesuatu bala, melainkan hanya kerana dosa jua, dan tiada berundur bala itu, kecuali dengan taubat atau istighfar sahaja.

Ini, dari sejak lama lagi telahpun diisyaratkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 52 tafsirnya:

“Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah ta’at kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat (yakni rahmat), dan akan menambahkan lagi kekuatan kamu di samping kekuatan yang sedia ada, dan janganlah kamu membelakangi suruhanKu dengan terus melakukan dosa.”

Inilah antara ayat istighfar, yang menggalakkan kita supaya bertaubat, dan manakala taubat itu telah berlaku, maka Allah pun berjanji akan menurunkan rahmat-Nya, termasuk insya Allah, dengan menarik balik bala bencana dan penyakit, bahkan akan menambahkan lagi kekuatan kita yang sedia ada. Adapun kekuatan itu di sini, boleh saja disebut sebagai kesihatan, kemakmuran dan keselamatan, insya Allah.

Kita selaku hamba Allah, janganlah malu mengaku berdosa dan berat untuk bertaubat. Kita tidak tahu, berapa banyakkah dosa kita, sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar, semua itu pembasuhnya, hanyalah satu sahaja, iaitu istighfar atau taubat.

Kalau membasuh tangan dengan air atau sanitizer, tetapi membasuh dosa adalah dengan istighfar dan taubat.

Maka marilah, sama-sama kita munajat mengikhlaskan diri dan merafa’kan tangan ke langit berdo’a:

“Ya Allah, ya Tuhan kami, kiranya kami ini sudah terlanjur mengkufuri nikmat-Mu dengan kelakuan-kelakuan kami yang Engkau tidak redhai, maka Engkau ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami dengan menarik balik wabak koronavirus daripada negara kami. Ya Allah mohon, supaya Engkau bersihkan negara kami ini daripada wabak sebersih-bersihnya. Amin. Wahasbunallahu Wani’malwakeel, Walahaula Walaa Qowwata Illa Billahil ‘Aliyyil ‘Azeem. Walhamdu Lillahi Rabbil ‘Aalameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 

Titah KDYMM sempena Tahun Baru Hijrah 1443H

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1443
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Peluang untuk menyambut Tahun Baru Hijrah adalah peluang yang sangat berharga, kerana dengan peluang ini, dapatlah kita menikmati suasana tahun baru yang penuh dengan hikmah.

Kita bukan sahaja melangkah ke tahun baru, tetapi juga dapat mengambil pengajaran daripadanya.

Tahun Hijrah adalah merujuk kepada sejarah hijrah Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sejarah ini tiada duanya. Ia berlaku dengan perintah Allah untuk menyelamatkan akidah umat.

Melalui hijrah, pelbagai iktibar atau pengajaran dapat dikenal pasti, seperti bagaimana Allah memberikan pertolongan-Nya yang luar biasa kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan menghantar makhluk-makhluk yang lemah, iaitu labah-labah, burung merpati dan pohon kayu sebagai bala tentera-Nya bagi melindungi Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Ini tidak syak lagi adalah satu ‘iktibar tertinggi’, iaitu betapa Allah dengan kuasa-Nya mampu untuk melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya, termasuk menggagalkan semua usaha dan rancangan musuh untuk menangkap dan membunuh Nabi dan Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Tidakkah ini bukti nyata mengenai kekuasaan Allah? Dia tidak menghantar singa atau gajah untuk memusnahkan musuh, tetapi hanya menghantar labah-labah dan burung merpati, dua makhluk yang sangat lemah untuk mengelirukan musuh dan sekaligus menggagalkan niat jahat mereka.

Inilah antara pengajaran besar daripada peristiwa hijrah, selaku ianya petunjuk daripada Allah yang mengandungi rahsia besar atau hikmah.

Di antara rahsia atau hikmah itu di sini ialah ‘peringatan’, supaya kita jangan meremehkan makhluk-makhluk, yang dilihat sebagai kecil dan lemah, tetapi di sisi Allah, ia boleh dikerah untuk jadi tentera yang gagah bagi mengajar makhluk-makhluk yang kuat. Contoh makhluk yang kecil dan lemah itu ialah seperti bakteria dan bahkan lebih kecil lagi daripada bakteria ialah virus yang mampu untuk mencetuskan penyakit-penyakit berjangkit.

Dengan merujuk kepada hikmah, bukankah umat manusia sekarang ini sedang berhadapan dengan ancaman virus, sehingga setakat perutusan ini dilakar, korban wabak bawaan virus di seluruh dunia sudah melimpasi 4 juta jiwa.

Jadi di manakah kekuatan manusia berbanding dengan virus, makhluk yang sangat halus lagi lemah itu? Di sini, kita juga boleh belajar dari sejarah Namrud, Penguasa yang melontarkan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ke dalam api yang bernyala-nyala, di mana Penguasa yang kejam lagi gagah ini telah ditakdirkan mati di tangan seekor nyamuk yang diutus oleh Allah sebagai tentera-Nya.

Begitulah, jika Allah berkehendak, makhluk yang lemah boleh sahaja memusnahkan atau mengharu-birukan makhluk yang kuat dan gagah.

Demikian antara iktibar yang boleh diambil daripada sejarah hijrah.

Apabila kita benar-benar menghayati rahsia atau hikmah pengajaran seperti ini, nescaya akan datanglah keinsafan, bahawa tiada satu kuasapun yang dapat mengatasi kuasa Allah.

Dalam kehidupan, menyedari dan mengakui kekuasaan Allah adalah sangat-sangat dituntut. Kerana dengan cara ini, sifat kehambaan kita akan bertambah-tambah subur, menjadikan kita akan terpanggil untuk sentiasa merendah diri kepada Allah, bukan seperti umat-umat terdahulu yang rata-rata menyombongkan diri tidak mahu mengakui kekuasaan Allah, yang natijahnya, menjadikan mereka berkubur satu demi satu.

Impak baik orang yang merendah diri dengan Allah, akan menjadikan orang itu seorang yang saleh yang sentiasa tunduk mentaati perintah dan suruhan Allah.

Inilah yang kita mahukan bagi umat Negara Brunei Darussalam, dan jika ini berlaku, maka insya Allah, kita dan negara ini akan selamat dan makmur, sebagaimana janji Allah dalam surah Al-A’raf ayat 96, tafsirnya:

“Sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, tentu sahaja Kami bukakan untuk mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya (yang turun) dari langit dan (keluar) dari bumi.”

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1443 kepada selurus lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-16

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-16
 
TEMA: ‘BELIA SIAP SIAGA MASA DEPAN’

PADA HARI SABTU
27 ZULHIJJAH 1442 / 7 OGOS 2021

DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA, BERAKAS
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-16 pagi ini.

Cabaran bersabit wabak pandemik telah menampilkan golongan belia sebagai sumber tenaga masyarakat dan negara.

Belia, tanpa mengenal letih, mampu untuk menjadi sukarelawan yang berjasa. Inilah belia.

Mereka layak untuk dicontohi dalam perkara menyumbangkan bakti kepada negara. Apabila diperlukan, biasanya mereka cepat-cepat tampil menyahut panggilan. Inilah sifat belia.

Mereka akan tampil dengan semangat juang yang tinggi serta tenaga yang kental dan segar, berbanding golongan-golongan lain. Ini tidak syak lagi, adalah ciri istimewa belia itu.

Beta berharap, ciri ini biarlah kekal untuk mewarnai kehidupan belia, supaya mereka terus unggul, dihargai oleh semua peringkat.

Jangan runtuhkan identiti belia yang baik. Kekalkan identiti ini untuk mendapatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka. Ingatlah, keyakinan boleh luntur apabila identiti tidak dipelihara.

Masyarakat cukup sensitif dengan belia. Jika baik belia, maka masyarakat pun sangat teruja dan menyanjung mereka. Tetapi jika sebaliknya, masyarakat akan lari, menjauhi diri daripada mereka.

Contohnya, apabila belia misalnya, terjebak menagih dadah, maka masyarakat dengan sendirinya akan berundur, untuk melindungi diri daripada angkara dadah.

Maka disinilah, para belia itu perlu insaf, bahawa mereka adalah ibarat ‘cermin’ masyarakat, dimana baik atau buruk keadaan, dapat dilihat menerusi cermin ini.

Beta telah melihat dari cermin ini satu perkara yang menggembirakan, iaitu mengenai Ekosistem Keusahawanan Belia dan Program i-Usahawan, yang sedang berkembang dengan baiknya semenjak ia dilancarkan pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-13, tahun 2018.

Bukti awal kejayaan Ekosistem dan Program i-Usahawan ini berhasil mengkhususkan sebanyak 35 kontrak di dalam Sektor Tenaga, dalam mana, 19 daripadanya telahpun dianugerahkan kepada 24 pengusaha-pengusaha belia dengan anggaran nilai kontrak berjumlah 29 juta ringgit.

Dalam kalangan pengusaha belia, mereka juga telah berjaya untuk memberikan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 300 orang anak tempatan.

Semua ini menjadi petunjuk jelas, bahawa para belia Brunei sudah mampu untuk mencapai dan mencatatkan kejayaan di peringkat yang tinggi.

Pada hemat Beta, Program i-Usahawan ini, elok juga dilaratkan ke dalam sektor bukan tenaga, terutama dalam sektor awam dan keseluruhan pelaburan yang dihasratkan.

Disini kita dapat memahami, bahawa kedayatahanan adalah kunci kejayaan belia, disamping kualiti keperibadian dan sikap tidak mahu mengalah dalam bersaing.

Persaingan yang dimaksudkan disini, ialah bersaing bagi mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Untuk akhirnya, bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan syabas kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka sama-sama membangun dan memajukan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***