Titah KDYMM Bersempena Menyambut Awal Tahun Hijrah 1440
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
MENYAMBUT AWAL TAHUN
HIJRAH 1440
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Hijrah adalah sebahagian daripada Sejarah Islam. Sejarah, tidak hanya merakam satu-satu peristiwa, malah mengandungi iktibar dan pengajaran. Di sinilah harga sejarah itu. Sekiranya tanpa sejarah, kita pun tidak akan tahu apa nasib Islam dan umatnya.
Di sinilah juga hikmah, Allah memerintahkan Nabi berhijrah untuk menyelamatkan Islam dan Umat Islam.
Ini semua namanya ilmu: ‘Ilmu Sejarah’. Peranannya sungguh besar, selaku ‘cermin kehidupan’. Daripadanya, kita dapat melihat gambaran keadaan, bagaimana negara dan umat pada ketika itu, dan bagaimana mereka berusaha dan berjuang? Dari sejarah juga, kita tahu siapa kawan dan siapa lawan. Semuanya terakam dalam sejarah.
Dalam sejarah Hijrah, kita melihat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam adalah rasul dan pemimpin, sementara Sayyidina Abu Bakar pula, sebagai teman dan pengikut yang setia. Kedua-duanya berpegang kuat kepada falsafah: Rela melakukan apa saja untuk memperolehi redha Allah.
Inilah kunci pembuka pintu langit, sehingga rahmat pun turun menyelamatkan Nabi dan sahabat Baginda, dan bahkan menyelamatkan seluruh umat, berkat keikhlasan mereka.
Siapakah diantara kita pada masa ini yang sanggup berbuat demikian itu, dengan cuma berjalan kaki merentas padang sahara, mendaki dan menuruni gunung-ganang dan bukit-bukau di bawah terik matahari?
Mereka bukan berjalan sebatu dua, tetapi hampir 500 km daripada Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Bayangkanlah betapa sukarnya misi ini.
Kita boleh nampak, betapa pengorbanan yang amat mencabar ini tidak berlaku dengan sia-sia. Tetapi Allah membalasnya dengan kejayaan dan keselamatan.
Beta yakin, manakala kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ini mahu belajar daripada Sejarah Hijrah dan mengambil pengajaran daripadanya, maka tidak mustahil, kegemilangan umat yang telah hilang akan kembali semula ke pangkuan kita. Tetapi syaratnya, semua pemimpin dan yang dipimpin hendaklah mengikut gaya kepimpinan Nabi dan gaya siapa yang dipimpin, seperti sahabat Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu ‘Anhu. Mereka ini mengajak umat mentauhidkan Allah sambil membawa semua yang dipimpin bersatu padu menghindari perpecahan.
Apabila ini wujud, maka kekuatanpun menjelma. Namun kekuatan di sini bukan terbatas kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi nisbah bagi Allah, kekuatan itu harus datang daripada-Nya melalui kehendak dan izin-Nya, sebagaimana Al-Qur’an memberi isyarat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 249, firman Allah tafsirnya: “Berapa banyak golongan yang sedikit (yang lemah) mengalahkan golongan yang banyak (yang kuat) dengan izin Allah”.
Maknanya di sini, jika umat Islam lurus di sisi Allah, lurus kepimpinan dan lurus urus-tadbir serta perjuangan mereka, maka tidak mustahil, akan berlakulah janji Allah memenangkan mereka, menang di dunia dan menang di akhirat.
Oleh itu sebelum terlambat, umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ini, mustahaklah memuhasabah diri, dimana kita ini yang sebenarnya? Di persimpangan mana? Dan di mana kita dengan isu-isu dalaman dan isu-isu global?
Di dalam, orang masing-masing mahu hidup aman, makmur dan selamat. Tetapi melihat keluar, ada pihak-pihak yang tidak peduli saudara-saudara seugama merintih ditindas, sehingga nyawa sampai melayang dan harta benda musnah.
Inilah yang sedang berlaku, di mana ketidakadilan menghantui dunia kita, termasuk dunia Islam sendiri. Apabila keadilan tidak ditegakkan, bererti kezalimanlah yang mengambil tempatnya. Inilah, tidak dapat diterima sama sekali oleh Islam.
Islam telah mengharamkan segala macam kezaliman, dan mengutuk siapa saja yang melakukannya. Kerana itu, umat Islam khasnya, hendaklah kembali semula kepada Sejarah Hijrah, mencontohi bagaimana “Persaudaraan Seugama” pernah dijalin oleh Muslimin Muhajirin Mekah dan Muslimin Ansar di Madinah. Pernahkah persaudaraan diantara mereka ini pecah, dicemari oleh pergaduhan atau pertumpahan darah sesama sendiri? Jawabnya, tidak pernah.
Nah maknanya, rahmat Allah pun turun ke atas umat Islam pada ketika itu, menjadikan hidup mereka tenteram dan harmoni, tidak mampu untuk diganggu-gugat oleh musuh-musuh.
Pada hari dan sa’at yang bersukut baik ini, Beta dan keluarga Beta mengucapkan Selamat menempuh Tahun Baru Hijrah 1440. Semoga dalam tahun ini, Allah memberkati kita semua dan negara dengan keamanan dan rezeki yang melimpah-limpah. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Titah KDYMM Sempena Di Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Brunei Darussalam (UBD)
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-30
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
PADA:
HARI RABU
17HB ZULHIJJAH 1439
29HB SEPTEMBER 2018
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-30 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.
Beta dengan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di universiti ini. Hari ini juga adalah hari yang dibanggakan oleh para ibu-bapa dan penjaga kerana kejayaan anak-anak mereka. Namun ini bukanlah titik noktah untuk para graduan itu berhenti dari menimba ilmu. Mereka masih saja punya masa depan dan peluang yang luas untuk meningkatkan diri, selaras dengan pasaran kerja global yang pesat berubah.
Mengenai pasaran kerja yang pesat berubah ini, perlu disedari, bahawa kita kini sedang berada dalam era revolusi industri ke empat (fourth industrial revolution), di mana teknologi digital akan mengubah cara hidup kita dan juga cara bekerja. Respon terhadap revolusi ini tentu saja melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sama ada oleh sektor awam, swasta dan malah seluruh masyarakat, termasuk para akademik dan graduan untuk berganding bahu menggerakkan pembangunan negara melalui knowledge-based.
Oleh yang demikian, bagi UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain adalah elok untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan dan penyelidikan kemahiran abad ke-21 yang canggih. Maka sehubungan itu, Beta menyarankan kerjasama rapat dengan pihak industri, untuk antara lain, berkongsi pengetahuan praktikal mengenai trend industri dan pasaran kerja. Selain itu, sistem pendidikan juga perlu memberikan tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam hubungan ini, Beta gembira mengetahui, bahawa UBD telah memperkembangkan program-program yang ditawarkan secara flexible dari segi masa, tempat dan laluan pembelajaran. Beta berharap dengan pendidikan dan juga penyelidikan yang kukuh serta canggih, ianya akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkesan.
Menyentuh mengenai penyelidikan, ia adalah benih untuk pertumbuhan ekonomi. Beta difahamkan bahawa salah satu yang diberikan tumpuan oleh UBD ialah bidang Data Analytics, sebagai salah satu langkah positif ke arah inovasi dan pembangunan ekonomi. Sehubungan itu, Beta yakin, UBD pasti turut terpanggil untuk mengkaji bidang-bidang tertentu, seperti bidang keselamatan siber atau Cybersecurity yang masih banyak dipersoalkan dan lain-lain lagi.
Dalam konteks ini, Beta mengucapkan syabas atas mengkomersialkan paten UBD untuk julung-julung kalinya pada tahun ini. Beta difahamkan produk tersebut, Smart Coating adalah hasil penyelidikan beberapa orang pelajar Sarjana dan Kedoktoran PhD dan sekarang mempunyai ejen jualan di Brunei Darussalam, Jepun, Thailand dan Myanmar. Beta berharap dengan kejayaan ini lebih ramai lagi para pelajar kita yang akan terpanggil untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan dan aktiviti-aktiviti komersial.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya. Beta berharap supaya setiap graduan akan terus memupuk sikap ingin maju serta berazam untuk sama-sama membangun negara yang kita cintai ini. Selain itu, para graduan juga jangan lupa untuk berpegang kuat kepada falsafah MIB, selaku sistem, kerana MIB telah pun terbukti membawa kebaikan kepada semua, semenjak lebih dari 600 tahun lagi.
Beta juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1439H/2018M
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1439H/2018M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menyambut ‘Idil Adha yang mulia, yang sangat-sangat bermakna kepada kita umat Islam. Sambutan ini menjadi syi’ar di seluruh dunia, di mana saja terdapat penganut-penganut Islam, Ugama Allah yang maha suci.
Inilah masanya umat Islam berkumpul, mempamerkan kesatuan dan perpaduan. Mereka berkumpul di rumah-rumah Allah atau di lapangan-lapangan terbuka untuk sama-sama bertakbir membesarkan Allah. Tidak diragukan lagi, inilah saat yang sangat berkat, dimana rahmat Allah turun untuk memayungi bumi. Betapa seronok dan bersyukurnya mereka yang memahami perkara ini.
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Berbeza sedikit dengan Hari Raya Fitrah, di dalam Hari Raya Adha, kita disunatkan untuk bertakbir beberapa hari sehingga hari tasyriq ketiga. Dalam masa inilah juga kita umat Islam disunatkan untuk menyembelih korban.
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Sekurang-kurangnya ada dua ‘pengajaran besar’ di sini, satu berkaitan dengan kesatuan dan perpaduan. Ugama Islam memang mementingkan kesatuan dan perpaduan, dan malah melarang keras untuk kita berpecah, sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 103, tafsirnya: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Ugama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah…”
Di sini amat jelas, bahawa Allah melarang kita berpecah belah, kerana risiko pecah belah itu sangatlah tinggi, iaitu boleh mengundang kepada padah yang buruk. Bukankah kekuatan itu dibina dengan perpaduan, sedang kelemahan pula berpunca daripada perpecahan? Ini juga ada disebut oleh peribahasa: Bersatu teguh berpecah roboh.
Oleh itu, kita amatlah mengesali situasi yang ada masa ini, di mana perpecahan itu sedang membelenggu umat Islam. Malah ia bukan lagi setakat berpecah, tetapi telahpun sampai kepada tahap berperang atau berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Semoga ketelanjuran yang merugikan ini akan segera berakhir hendaknya, diganti oleh kesedaran mengembalikan semua perpaduan umat.
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Pengajaran kedua pula dari ‘Idil Adha ialah: “Pengorbanan Kerana Allah”. Apapun matlamat yang hendak dicapai adalah memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak akan wujud kejayaan.
Kita membangun negara, juga dengan pengorbanan. Kerajaan mesti menyiapkan budget dan menyiapkan tenaga manusia untuk menjayakan pembangunan tersebut. Tidakkah ini satu pengorbanan dalam bentuk harta dan tenaga?
Satu contoh mudah yang lain, kita berkorban menyembelih binatang. Bukankah binatang itu aset, dan kita yang menyembelih akan menyedekahkan pula dagingnya. Tidakkah ini juga bererti satu pengorbanan, iaitu kita berkorban dengan harta untuk kebajikan ummah?
Begitu hebatnya konsep berkorban itu. Semua amal dan aktiviti, sebenarnya berasas kepada pengorbanan. Pengorbanan itu sifatnya suci dan sangat mustahak dalam kehidupan.
Beta ingin mengajak semua lapisan rakyat dan penduduk untuk sama-sama mendokong konsep berkorban dalam semua bidang duniawi dan ukhrawi. Kita berkorban untuk negara adalah dengan harta, masa dan titik peluh atau tenaga, sementara kita berkorban untuk akhirat pula ialah dengan keta’atan dalam bentuk ibadat kepada Allah.
Di kesempatan ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam, serta tidak lupa juga merafa’kan do’a, semoga para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci pada masa ini akan sentiasa dalam selamat dan beroleh haji yang mabhur. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-13
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA
KEBANGSAAN KALI KE-13
PADA HARI RABU
19HB ZULKAEDAH 1439
1HB OGOS 2018
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Ke-13 pada pagi ini.
Di kebelakangan ini, Beta mendapati, berlaku kemajuan dan perkembangan positif di kalangan para belia kita, khasnya dalam bidang keusahawanan dan kemasyarakatan, sama ada secara individu mahupun perkumpulan, bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
Hampir setiap hari kita mendengar dan membaca di dalam laman-laman media sosial tentang kejayaan anak-anak muda menerokai pelbagai bidang dalam kehidupan. Ini setentunya menjadi pembakar semangat kepada semua.
Kita adalah menyedari akan keperluan usaha. Kerana rezeki tidak datang bergolek, melainkan memerlukan usaha, dan dengan usaha itulah juga kita mampu menembusi dunia pasaran.
Dengan adanya ledakan maklumat dan pesatnya jaringan komunikasi berteknologi tinggi, maka bidang perniagaan dan usahawan adalah terbuka lebih luas. Dengan terciptanya platform seperti ini, para belia seharusnya lebih kreatif lagi memperkasa diri masing-masing.
Pada masa yang sama, Kerajaan Beta juga sedang menyusun semula dan memperbaiki ‘Eco-System Keusahawanan Belia’ untuk membantu mereka menjadi pengusaha yang berjaya.
Usaha-usaha ini termasuklah mengemaskinikan program sedia ada di bidang ‘capacity building’, penyediaan kemudahan infrastruktur yang berbentuk fizikal dan ‘digital’, serta kemudahan pembiayaan kewangan dan ‘market access’.
Di samping itu, Kerajaan Beta juga akan turut melangkah lebih jauh menyediakan ‘Eco-System Keusahawanan Belia’ yang lebih komprehensif. Salah satu daripada pembaikan ‘Eco-System’ tersebut ialah dengan mempromosi dan menyediakan peluang-peluang perniagaan yang spesifik untuk membantu para belia memulakan perusahaan.
Pihak agensi kerajaan yang berkenaan akan bekerja-rapat dengan pengusaha-pengusaha belia di dalam mengenal-pasti bidang-bidang tertentu, seperti menyediakan pelan perniagaan dan kemudahan-kemudahan lain.
Ke arah ini, Beta amat gembira dengan adanya pelancaran salah satu program pada hari ini yang dipanggil sebagai I-Usahawan. Program ini akan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan bagi mengambil bahagian di dalam tender atau kontrak-kontrak berisiko rendah dan sebagainya.
Setakat ini, terdapat sebanyak 30 kontrak industri minyak dan gas bagi program perintis I-Usahawan. Program ini berpotensi untuk dilaratkan ke sektor lain dan juga sektor kerajaan.
Pada satu ketika dahulu kita mempunyai program peladang muda. Dengan teknologi yang lebih moden dan peluang yang lebih luas di dalam Agribusiness, maka mungkin saja program ini sesuai untuk dihidupkan semua, dengan pendekatan yang baru.
Pada hemat Beta, semua inisiatif yang sedia ada dan sedang dirancang, jika dimanfa’atkan sepenuhnya, tidak mustahil ia berupaya untuk melahirkan ratusan pengusaha dan ribuan peluang pekerjaan.
Oleh itu, pastikanlah ia, tidak disia-siakan.
Untuk akhirnya, bersempena Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini yang telah memberikan sumbangan mereka kepada negara dan bangsa.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
