Titah KDYMM Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1440H/2018H

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


BERSEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1440H/2018M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala  kerana dapat pula menyambut dan memperingati Hari Besar Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.

Sambutan ini, tidak jemu-jemu dilakukan, bahkan sentiasa ditunggu-tunggu untuk kita memperbaharui ingatan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Baginda itu memang wajar diperingati, kerana tanpa Baginda, dunia ini akan selama-lamanya gelap, sehinggalah Baginda diutus, barulah nampak cahaya itu.

Kita pada hari ini, turut menikmati cahaya tersebut: Cahaya Islam dan cahaya Iman.

Cahaya Islam dan cahaya Iman bukanlah calang-calang cahaya. Selain berfungsi membersihkan lahiriah manusia, cahaya ini juga adalah berfungsi menerangi jiwa yang gelap gelita.

Jiwa yang gelap gelita adalah warisan jahiliah, yang menjadi punca kepada kehidupan serba keji dan buruk. Tetapi manakala datang Islam yang dibawa oleh Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam, maka kehidupan yang keji dan buruk itupun, dengan serta merta bertukar menjadi kehidupan yang baik dan mulia.

Demikian kemampuan Islam membawa perubahan. Dan kita kini, bahkan seluruh umat di dunia, adalah sedang menikmati perubahan tersebut. Kalau sebelum Islam, dunia ini dipenuhi dengan perhambaan, maka sesudah Islam, dunia adalah bebas daripada perhambaan. Demikian juga kalau sebelum Islam, manusia dengan sesuka hati berbunuh-bunuhan, maka sesudah Islam, pembunuhan yang sewenang-wenang, sama sekali telah diharamkan.

Maka benarlah perkhabaran Allah Subhanahu Wata’ala mengenai Nabi Muhammad  Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang diutus untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.

Marilah kita mensyukuri rahmat ini, yang bererti juga kita menghargai jasa Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sementara penghargaan tersebut, tidaklah memadai hanya setakat kata-kata sahaja, malah mesti dibuktikan dengan amalan juga.

Adapun amalan yang dimaksudkan ialah melakukan apa-apa yang disukai oleh Nabi dan meninggalkan apa-apa yang tidak disukai oleh Baginda.

Jika kita mampu melaksanakan semua ini, bererti tandanya kita adalah mencintai Baginda. Maka dengan itu sempurnalah tanggungjawab kita terhadap Baginda.

Inilah tujuan utama kita menyambut dan memperingati Maulid Ar-Rasul itu, supaya kecintaan kita terus subur terhadap Baginda, dan supaya kita tidak lupa siapa dan apa ajaran-ajaran Baginda itu.

Manakala semua ini sudah menjadi pakaian kita, maka itulah matlamat dari tarbiah atau pendidikan Rasulullah. Kita sama sekali tidak boleh menolak tarbiah atau pendidikan Rasulullah, kerana jika kita menolaknya, bererti kita adalah menolak rahmat, sedang menolak rahmat itu padahnya sama dengan mengundang musibah.

Setiap kita, adalah digalakkan untuk menjadi pencetus rahmat ke dalam rumah tangga kita, ke dalam masyarakat dan negara. Kerana rahmat itulah punca bahagia. Tanpa rahmat, kebahagiaan akan menyepi dari kita.

Inilah makanya kita dikehendaki benar-benar untuk menghayati tarbiah Rasulullah, sebagai prasyarat untuk memperoleh rahmat itu.

Beta amat gembira, kerana kita mempunyai tradisi yang mantap dalam merayakan Hari-Hari Kebesaran Islam, termasuk Maulid Ar-Rasul. Tradisi ini pada hemat Beta, adalah tradisi mengundang rahmat, yang perlu diteruskan, dan jika perlu, dipertingkatkan lagi.

Kita melakukan ini ialah untuk mengilhami kehidupan berugama dikalangan kita. Kehidupan berugama tidak boleh layu atau lembik, tetapi perlu sentiasa segar dan kental. Maka kerana itulah kita digalakkan menyambut Hari-Hari Kebesaran Islam, untuk menyuntik kesedaran berugama kita. Kesedaran berugama adalah amat penting untuk mengekalkan kelangsungan umat.

Akhirnya, Beta mengucapkan selamat menyambut dan memperingati Maulid Ar-Rasul, semoga kita beroleh syafa’at kerananya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-25

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI
OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM
KALI KE-25

HARI RABU, 22 SAFAR 1440 / 31 OKTOBER 2018

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di Majlis Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam.

Pada tahun ini adalah merupakan kali ke-25 tahun kita menyambut Hari Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam. Selaras dengan tema ‘Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif’, Beta berharap usaha-usaha menggerakkan Perkhidmatan Awam dengan penglibatan sektor swasta akan terus digiatkan. Beta mahu Perkhidmatan Awam akan meneroka pendekatan lebih berkesan dalam tugasnya memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan negara.

Perkhidmatan Awam selaku jentera pembangunan negara, tidak boleh berhenti dari mencari jalan ke arah menambahbaikkan lagi mutu perkhidmatan untuk rakyat dan negara. Memang keadaan sekarang semakin kompleks dan mencabar. Namun inilah juga masanya untuk kita melihat Perkhidmatan Awam mampu untuk mengatasi sebarang tengkarah atau kesulitan.

Para pemimpin yang berjiwa besar dalam Perkhidmatan Awam, perlu lebih peka terhadap orang bawahan mereka. Tugas dan tanggungjawab mereka bukan sekadar menjadi ketua di dalam jabatan atau bahagian atau unit, tetapi juga bersedia untuk memberikan tunjuk ajar atau bimbingan kepada orang bawahan jika mereka itu berhadapan dengan sebarang kesulitan. Inilah namanya keperihatinan pemimpin terhadap anak buah.

Disamping mempunyai sifat timbang rasa, pemimpin juga tentunya memiliki kelebihan-kelebihan lain seperti ilmu dan pengalaman. Maka sehubungan ini, Beta menyambut baik usaha Jabatan Perdana Menteri menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, untuk mengenalpasti pegawai-pegawai muda di dalam Perkhidmatan Awam yang mempunyai bakat kepimpinan. Mereka akan diasuh di bawah Program Eksekutif Muda iaitu “Young Executive Programme (YEP)”. Beta mahu pihak yang berkenaan akan sentiasa memastikan program ini berjalan dengan teratur sehingga mencapai objektif yang dihasratkan.

Ini semua kita rancang ialah untuk menghasilkan ‘Modal Insan Perkhidmatan Awam’ yang mempunyai nilai moral yang tinggi berpaksikan Islam, yang mencakupi sifat jujur, ikhlas, amanah dan cekap.

Ini juga ada hubungannya dengan usaha melalui ‘Program Penggredan Prestasi Sektor Awam Melalui Penarafan Bintang’ yang telah dilaksanakan penilaiannnya oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan. Dengan adanya penarafan ini, Beta berharap agensi-agensi kerajaan akan terus mempertingkatkan lagi urus tadbir agensi masing-masing demi kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

Menyentuh inovasi dalam Perkhidmatan Awam, Beta menyambut baik inisiatif yang telah diambil oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan Institut Perkhidmatan Awam yang meneliti semula Program Inovasi dalam Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan satu anugerah baru yang dikenali sebagai ‘Anugerah Inovasi Perdana’, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Perkhidmatan Awam, Negara Brunei Darussalam.

Beta percaya dengan adanya anugerah ini nanti, dapatlah meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran awam. Inilah harapan semua dan harapan negara.

Akhirnya kepada penerima-penermia Anugerah 3PSA, Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Penghargaan Khas Kakitangan Perkhidmatan Awam, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Beta berharap penganugerahan dan penghargaan ini akan dapat memberikan motivasi dan sumber inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk bekerja lebih gigih mempertingkatkan tahap kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Konvokesyen Kali Ke-6 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
KONVOKESYEN KALI KE-6
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)

PADA HARI SABTU
19 MUHARRAM 1440 / 
29 SEPTEMBER 2018

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah  Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Tahun 2018.
 
Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa memupuk semangat cintakan ilmu kepada para graduan sehingga mereka itu beroleh kejayaan. 
Dalam era revolusi industri ke empat (fourth industrial revolution), teknologi adalah memainkan peranan sangat penting dalam mengatur cara hidup dan cara kita bekerja. Sebagai sebuah universiti teknologi, Beta melihat, era ini adalah merupakan cabaran kepada UTB untuk melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.
 
Memang, kecemerlangan sesebuah universiti banyak bergantung kepada kejayaannya mengeluarkan para graduan dan menghasilkan hasil-hasil penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. 
Dalam konteks ini, Beta mengucapkan tahniah kepada UTB kerana pada julung kalinya pada tahun ini, telah termasuk dalam QS World University Rankings pada tangga 442, dan juga tangga ke-57 dalam Young Global University  bagi universiti di bawah umur 50 tahun. Pencapaian terkini pula ialah penarafan bintang (Star rating), di mana UTB telah berjaya meraih 5 bintang pada penilaian keseluruhan. 
Ini tidak diragukan lagi merupakan pencapaian penting bagi UTB, sebagai sebuah universiti muda, yang baru berusia 10 tahun. 
Bagaimanapun, Beta ingin mengingatkan UTB supaya tidak cepat berpuas hati, tetapi masih perlu pro-aktif dalam membuat pelan-pelan tindakan untuk pengajaran termasuk menggiatkan usaha-usaha penyelidikan di UTB. 
Satu lagi keutamaan bagi UTB dan malah semua institusi pengajian tinggi untuk memberikan tumpuan kepada tenaga akademik masing-masing. Beta berharap, supaya semua institusi pengajian tinggi menyediakan perancangan sumber manusia secara terperinci, selaras dengan keperluan universiti dan pembangunan negara.
 
Beta difahamkan, perancangan dan hala tuju UTB ke fasa seterusnya ialah melaksanakan Pelan Strategik bagi 5 Tahun akan datang dengan visi baru iaitu “A Global University Impacting Society”. Prestasi UTB akan sentiasa dinilai, antaranya melalui kualiti graduan, kebolehpasaran, keberkesanan terhadap masyarakat dan penyelidikan.
 
Mengenai penyelidikan, Beta gembira dengan kejayaan Pusat Kejuruteraan Inovatif UTB yang mendapat dana daripada ICT Virtual Organization of ASEAN Institute and NCT (ASEAN IVO), sebuah organisasi ICT Virtual yang mempunyai keahlian daripada beberapa institut penyelidikan, universiti-universiti ASEAN  dan National Institute of Information and communications Technology Jepun, di mana UTB telah diberi kepercayaan untuk mengetuai projek teknologi pintar berasaskan aplikasi visi komputer dan Artificial Intelligence  dalam industri pelancongan. Manakala dua buah projek lain pula bertujuan untuk mengintegrasikan teknologi pintar di dalam bidang perlindungan alam sekitar dan industri pertanian.
 
Berhubung dengan penyelidikan dalam bidang pertanian, Beta menyambut baik penubuhan Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Agri-Makanan atau Centre for Research on Agri-Food Science and Technology, ringkasnya CrAFT. Beta difahamkan bahawa Pusat ini berperanan untuk meningkatkan keupayaan pertanian melalui penggunaan teknologi, misalnya penggunaan Internet of Things atau IOT dalam bidang pengurusan ladang atau Smart Farm. Beta juga difahamkan bahawa Pusat ini juga akan menjalankan penyelidikan untuk menyokong dan mengembangkan lagi industri makanan. Beta berharap CrAFT akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, institusi-institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.
 
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan, di atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan mengurniakan mereka dengan keberkatan, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-28

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-28

PADA HARI ISNIN
14 MUHARRAM 1440 / 24 SEPTEMBER 2018

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadir di Majlis Sambutan Hari Guru kali ke-28, Tahun 2018 pada pagi ini. Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru  dan pendidik di Negara Brunei Darussalam.

‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’ adalah tema sambutan Hari guru pada tahun ini. Rakyat dan penduduk yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah teras kepada pembangunan dan daya saing negara. Oleh itu, langkah utama untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berjaya adalah melalui sistem pendidikan yang berkualiti. Di sinilah peranan guru itu diperlukan, kerana melalui pengaruh keguruanlah keperibadian anak bangsa dapat dibentuk.

Dunia sekarang sedang mengalami perkembangan pesat teknologi, yang membawa perubahan besar bagi setiap aspek kehidupan. Kemajuan industri digital yang memfokus kepada Internet of Things, Artificial Intelligence dan pembinaan robot-robot pintar adalah diantara yang membawa kepada perubahan tersebut, terutama di segi pekerjaan, struktur industri, interaksi sosial dan sistem urus tadbir.

Dengan ini, kita perlu untuk turut mendepaninya. Jika tidak. Kita akan ketinggalan.

Dalam konteks ini, bidang pendidikan turut menerima impak besar dan mendalam. Oleh itu, sistem pendidikan dan latihan perguruan diperlukan untuk melakukan sebarang perubahan penting, khasnya di segi penyediaan kurikulum dan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.

Para guru bukan sahaja untuk mengajar atau membimbing anak-anak bagi menghadapi peperiksaan, tetapi juga menunjuk cara bagaimana persediaan dibuat untuk menempuh era globalisasi dan teknologi yang serba pesat. Dalam makna, para guru juga diperlukan untuk memberikan pengajaran kompetensi abad ke-21, dari peringkat rendah sampai peringkat tinggi. Melalui pengajaran demikian, barulah mungkin akan berkembang pemikiran-pemikiran kreatif dan kepekaan budaya (cultural sensitivity) dikalangan pelajar.

Berdasarkan ini, kerjaya guru dapat dilihat sebagai makin mencabar dan kompleks. Hanya guru yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan sahaja, yang mampu untuk mendepani cabaran ini. Oleh itu, kriteria dan proses pengambilan bakal guru melalui Master of Teaching di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam sangatlah perlu dikemaskinikan, sebagai usaha untuk memastikan guru-guru kita adalah benar-benar berkelayakan.

Ini termasuk juga perisian kurikulum Master of Teaching sangat mustahak diperingkatkan, meliputi turut memikirkan bagaimana cara melatih yang berkesan. Kita memang memerlukan guru-guru yang  benar-benar terlatih, yang diharap mampu untuk membentuk keperibadian (character) yang baik.

Adalah menjadi harapan Beta, supaya kerjaya guru menjadi antara pilihan utama di negara ini. Maka untuk itu, kesejahteraan para guru perlulah diberikan perhatian. Ekosistem perguruan yang meliputi pengambilan dan juga pembangunan Professional adalah memerlukan pelaksanaan lebih kemas dan teratur, supaya guru-guru dapat sentiasa memberikan pengajaran yang terbaik dan berkualiti.

Dalam hubungan ini, diharapkan para guru akan dapat juga meningkatkan dedikasi dan komitmen mereka untuk lebih bersedia memberikan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang kepada para pelajar.

Dedikasi para guru juga boleh dilihat melalui kerjasama mereka dengan para ibu-bapa dan penjaga. Beta dalam hal ini, adalah menyambut baik mengenai Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang julung-julung kali diadakan pada awal tahun ini.

Ianya boleh diperluaskan kepada masyarakat mahupun agensi-agensi bukan Kerajaan (NGOs) yang sama-sama dapat menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, semoga segala usaha mereka dalam mendidik anak bangsa kita akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat bagi seluruh warga guru untuk merealisasikan ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.