Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-56 Tahun


TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-56 TAHUN

PADA:
HARI AHAD
26HB ZULHIJJAH 1438
17HB SEPTEMBER 2016

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah
Subhanahu Wata’ala yang telah mentakdirkan kita dapat menjalani kehidupan dengan penuh selesa.

Dalam usianya 56 tahun, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah memainkan peranannya dengan berkesan dalam memelihara keamanan dan kedaulatan negara. Tanggungjawab ini sangatlah berat lagi mencabar untuk dilaksanakan, khasnya dalam suasana persekitaran dunia tanpa sempadan.

Ledakan teknologi juga turut membuahkan ancaman-ancaman yang perlu dihadapi.

Ancaman paling jelas pada masa ini ialah penularan pengaruh pihak tertentu di merata dunia yang menggunakan pelbagai cara untuk mempengaruhi masyarakat supaya bersimpati dan menyokong objektif mereka. Di sini, anggota tentera juga adalah tidak terkecuali dari risiko pemesongan ideologi. Oleh itu, Beta berseru kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei supaya terus mengukuhkan benteng dalaman mereka, agar selamanya menjadi perwira sejati, tidak terpengaruh oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Benteng dalaman ini termasuk ketahanan rohani dan ugama. Kefahaman ugama yang sempurna tidak syak lagi, mampu untuk menangkis segala fahaman salah yang menjurus kepada ekstremisme. Disinilah pentingnya nilai-nilai Melayu Islam Beraja menjiwai kehidupan kita.

Kita perlu ingat bahawa anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab sangatlah bijak mempergunakan kaedah-kaedah baru seperti media sosial, untuk menyebarluaskan ideologi mereka, dan seterusnya, mendorong masyarakat ke arah
radicalisation. Oleh itu, Beta menekankan betapa mustahaknya untuk mematuhi etika penggunaan media sosial, dan menjalankan pemantauan secara proaktif, bagi memastikan keutuhan benteng dalaman itu.

Selain daripada ancaman
radicalisation, ancaman siber juga semakin membimbangkan. Dalam zaman digital ini, internet memainkan peranan untuk mematuhi keperluan kita. Ini termasuklah bagi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Oleh itu, risiko terhadap keselamatan siber ini adalah sangat tinggi. Ianya dinamik dan sentiasa boleh dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Maka dalam perkara ini, Beta sukacita mengambil maklum akan usaha-usaha Kementerian Pertahanan dalam meningkatkan pertahanan siber, sebagai langkah memperkukuhkan lagi benteng pertahanan.

Mengambil kira kepelbagaian ancaman keselamatan yang semakin kompleks ini, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei patutlah memberikan perhatian lebih khusus terhadap tahap kesiapsiagaan kita, melalui kaedah-kaedah lebih pintar, selaras dengan keadaan semasa.

Sifat proaktif dan bijak mestilah ada dalam membuat pengurusan, pemeliharaan aset-aset pertahanan dan pembinaan kapasiti anggota-anggota tentera. Beta berharap kesiapsiagaan dalam perkara ini hendaklah sentiasa di tahap yang tinggi, agar peranan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dapat dilaksanakan dengan berkesan. Maka untuk itu juga, Kementerian Pertahanan adalah perlu untuk melaksanakan
Prioritisation Exercise dan
Equipment Care dengan lebih komprehensif, supaya peruntukan kewangan yang sedia ada dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam bidang kerjasama, Beta mengharapkan supaya Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan  dalam negeri untuk menggunakan strategi sekuriti yang holistik. Demikian juga sama pentingnya bekerjasama dengan rakan-rakan luar negara. Beta yakin semua ini boleh dicapai melalui
platforms yang sedia ada di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beta turut berbangga dengan penglibatan kita dalam misi-misi pemantauan dan pengaman melalui Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Republik Filipina dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan. Penempatan anggota-anggota di
Information Fusion Centre dan
Regional Humanitarian Assistance and Disaster Relief Coordination Centre (RHCC) di Changi, Republik Singapura, turut juga menjadi tanda komitmen negara dalam meningkatkan keselamatan serantau.

Beta juga berpuas hati dengan inisiatif-inisiatif di peringkat ASEAN, khususnya di bawah
ASEAN Defence Ministers’ Meeting atau ADMM. Insya-Allah, menteri-menteri pertahanan ASEAN akan melancarkan talian
hotline ASEAN Direct Communications Infrastructure pada penghujung tahun ini. Beta percaya, ini akan memperkukuhkan lagi mekanisme tindak balas dan bantuan dalam keadaan kecemasan, khasnya yang berkaitan dengan keselamatan maritim.

Semua pencapaian ini tentu saja berpunca daripada kepimpinan dan perpaduan yang berkesan di semua peringkat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Beta mengucapkan syabas atas pencapaian ini.

Melalui kesempatan ini, Beta ingin merakamkan penghargaan kepada semua anggota Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, sama ada yang masih bertugas mahupun yang telah bersara di atas komitmen dan dedikasi mereka yang tinggi selama ini. Tidak lupa juga, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei terus memberikan sokongan moral dan semangat kepada mereka.

Akhir kata, Beta mengucapkan syabas kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berbaris tangkas pada pagi ini dan yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Di Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-29
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

PADA:
HARI KHAMIS
16HB ZULHIJJAH 1438
07HB SEPTEMBER 2016


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen kali ke-29 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta lebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di universiti ini. Beta berharap dengan kejayaan ini, para graduan akan dapat menjadikannya sebagai pendorong untuk memperolehi lain-lain kejayaan lagi. Sifat kejayaan adalah penyumbang bagi peningkatan daya saing negara.

Bercakap mengenai daya saing atau
competitiveness, Beta mengambil maklum dan mengucapkan tahniah kepada UBD kerana pada julung kalinya UBD telah termasuk di dalam
QS World University Rankings pada tahun ini. Beta juga mengambil maklum bahawa UBD berada dalam 1.3 peratus universiti-universiti teratas dunia dan juga kedudukan nombor 37 bagi universiti-universiti di bawah usia 50 tahun.

Ranking adalah penting bagi mengukur kualiti sesebuah universiti di peringkat antarabangsa. Namun kerananya, kita tidaklah harus mengabaikan atau terlepas pandang agenda-agenda kebangsaan seperti isu pengangguran. Isu pekerjaan dan pengangguran adalah perlu ditangani secara
whole of nation approach. Ia adalah satu ekosistem di mana agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing.

Sementara institusi-institusi pengajian tinggi pula berperanan untuk mengeluarkan sumber manusia, manakala agensi-agensi lain juga diperlukan untuk membuat inisiatif-inisiatif bagi pertumbuhan ekonomi negara dan mengwujudkan pekerjaan-pekerjaan lain.

Sehubungan itu, UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi lain adalah perlu untuk memastikan yang program-programnya sentiasa relevan dan berkualiti untuk mengeluarkan graduan-graduan yang
marketable dan
future ready.

Menyentuh mengenai piawaian institusi pengajian tinggi, faktor-faktor teras bagi meningkatkan kualiti, antaranya ialah pendidikan, penyelidikan dan pengantarabangsaan. Sehubungan itu, Beta telah pun memperkenankan penubuhan kampus UBD yang pertama,
UBD-FPT Global Centre di Da Nang, Vietnam. Beta difahamkan bahawa kampus yang ditubuhkan itu adalah merupakan kampus luar negara yang pertama yang ditubuhkan oleh universiti dari negara ASEAN. Beta juga gembira dengan usaha UBD dalam mengambil dan melatih 13 orang graduan tempatan sebagai pengajar untuk berkhidmat di
UBD-FPT Global Centre.

Satu peringatan daripada Beta, UBD melangkah keluar adalah merupakan satu pencapaian di arena antarabangsa. Ini adalah petanda baik untuk masa depan, khasnya dari sudut kemajuan dan peningkatan. Namun semakin jauh UBD mengembangkan sayapnya, soal prinsip, sama sekali janganlah diabaikan. UBD mesti tetap UBD, jangan ia dibiarkan bertukar wajah dan isinya.

Dalam usaha mengangkat nama UBD, salah satu faktor teras yang perlu dilaluinya ialah meneroka penyelidikan. Penyelidikan adalah satu-satunya faktor untuk membezakan universiti dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Beta mengambil maklum tentang usaha UBD dalam mengkaji dan mengenal pasti bidang-bidang penyelidikan di tahap antarabangsa atau
peaks of research excellence. Selain daripada bidang-bidang penyelidikan yang sedia ada iaitu
Biodiversity, Energy Studies  dan
Asian Studies, UBD juga perlu turut memberikan tumpuan kepada bidang
Islamic Governance dan
Data Science and Analytics.

Sehubungan itu, Beta telah pun memperkenankan penubuhan dua pusat di UBD. Yang pertama ialah penubuhan
Institute of Applied Data Analytics, yang sebelum ini dikenali sebagai
UBD/IBM Centre yang Beta difahamkan akan memfokus kepada
big data dan
data analytics. Pusat kedua pula ialah penubuhan
FPT-UBD Innovation Lab, hasil dari kolaborasi bersama dengan FPT Universiti di Vietnam dan ianya akan memfokus kepada latihan dan penyelidikan dalam bidang-bidang berkaitan dengan informasi seperti
Data Analytics, Internet of Things, Cloud Computing dan
Cybersecurity.

Adalah sangat perlu untuk aktiviti penyelidikan dapat menyumbang kepada peningkatan ilmu pengetahuan serta menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Beta juga ingin melihat lebih banyak lagi hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan untuk aktiviti komersial serta sekaligus mempromosi peluang pekerjaan. Beta berharap agar penyelidikan dan inovasi terus ditingkatkan, terutama sekali yang melibatkan kolaborasi atau kerjasama rapat di antara universiti dan agensi-agensi yang relevan seperti industri-industri.

Untuk akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya. Beta berharap supaya setiap graduan menanamkan sikap sentiasa ingin maju dan bersama-sama membangun negara yang kita cintai ini. Selain dari itu, Beta juga mengingatkan para graduan untuk sentiasa berpegang kepada ajaran Islam supaya mereka sentiasa disirami dengan berkat dan rahmat Allah.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah
Subhanahu Wata'ala jua akan membalas mereka dengan ganjaranNya yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1438H/2017M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1438H/2017M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Semua kita orang-orang beriman tidak sunyi dari menerima ujian Allah
Subhanahu Wata’ala. Ujian itu bertujuan untuk mengukur sejauh mana iman dan kesabaran kita. Jika iman memang tebal di dada, maka orang yang sedemikian itu akan berjaya menghadapi ujian, walaupun seberat mana ujian tersebut.

Contoh ujian paling berat, ialah ujian ke atas Nabi Ibrahim dan putera Baginda, Nabi Ismail
‘Alaihimassalatu Wassalam. Mereka telah diuji oleh Allah dengan satu tuntutan luar biasa mesti berkorban.

Nabi Ibrahim
‘Alaihissalam  telah diminta oleh Allah untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail, supaya putera itu disembelih hidup-hidup. Bayangkan, bapa manakah yang sanggup menyembelih anak, dan bayangkan juga anak manakah yang bersedia untuk disembelih bapa?

Tetapi inilah permintaan Allah, dan apa jua bentuk perintah, semua itu adalah wajib diikut atau dipatuhi.

Demi ketaatan, Nabi Ibrahim tetap mematuhi perintah Allah. Dan bahkan, bukan Nabi Ibrahim sahaja yang patuh, tetapi puteranya Nabi Ismail juga tidak membantah untuk dia disembelih.

Inilah contoh ‘ta’at’ yang tiada tolok bandingnya. Kerana ta’at, Nabi Ibrahim sanggup menyembelih puteranya, dan kerana ta’at juga, putera yang masih kanak-kanak ini tidak membantah untuk disembelih.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Daripada peristiwa ini, kita mendapat gambaran, betapa setiap perintah Allah itu adalah wajib dita’ati.

Kita umat yang datang kemudian sangat beruntung tidak diuji dengan ujian yang terlalu berat, seperti ujian ke atas Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita hanya diuji dengan perintah melakukan ibadat dan melaksanakan hukum-hukum syari’at sahaja.

Dalam ibadat, misalnya, kita diuji dengan perintah mendirikan sembahyang, berpuasa pada bulan Ramadhan dan lain-lain. Sementara yang berkaitan dengan syari’at, kita diuji untuk memilih yang halal dan menjauhi  yang haram, termasuk menghukum dengan undang-undang Allah dan sebagainya.

Ini saja ‘ujian tanggungjawab’ yang dituntut ke atas kita. Konsepnya adalah      sama: Wajib dipatuhi. Tidak boleh dilanggar, jika dilanggar, hukumnya adalah haram dan berdosa.

Kalau Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail diuji dengan nyawa, mengapakah kita yang cuma diuji dengan ibadat dan melaksanakan hukum-hakam dalam kehidupan ini, tidak sanggup kita tunaikan?

Sepatutnya senario ini membawa keinsafan kepada kita, bahawa setiap ujian itu ada hikmahnya. Kerana Allah tidak menguji kosong, tetapi mahu melihat siapakah diantara hamba yang diuji itu yang mampu bersabar dengan ujian?

Jika seseorang konsisten melakukan keta’atan, maka bermakna orang itu adalah seorang yang sabar, kerana keta’atan tidak mungkin berlaku tanpa adanya kesabaran. Sebagai misalan orang yang berpuasa adalah orang sabar, kerana tanpa sabar, ibadat puasa tidak mungkin dapat dilakukan.

Sebab itulah, Allah
Subhanahu Wata’ala sangat menyukai orang-orang yang sabar, sebagaimana maksud ayat dalam Al-Qur’an, dan malah Allah akan mengurniakan mereka dengan ganjaran yang tidak terbatas.

Demikian maksudnya sabar itu. Dengan sabar kita dapat memelihara dan menyempurnakan ibadat, dan dengan sabar juga kita mampu untuk meraih kejayaan dalam apa jua bidang pekerjaan.

Inilah berkat sabar bagi orang-orang Islam.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Marilah kita sama-sama berdo’a, semoga Allah
Subhanahu Wata’ala menjadikan kita orang-orang yang sentiasa berhias dengan sifat sabar, khasnya bagi para jemaah kita yang sedang menyempurnakan ibadat haji di Tanah Suci, kerana sebagaimana kita      sama-sama maklum, pada ketika inilah, banyak kesukaran atau ujian yang dialami oleh para jemaah daripada seluruh dunia. Semoga dengan berkat kesabaran itu, para jemaah kita Insya-Allah akan beroleh haji yang mabrur. Amin.

Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta dengan sukacita mengambil peluang mengucapkan
Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Penggambilan Ke Enam Belas Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGGAMBILAN KE ENAM BELAS
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS
08HB ZULHIJJAH 1438
31HB OGOS 2017

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bagi menyaksikan Upacara
Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-16 Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada hari ini. Pertunjukan perbarisan yang penuh semangat telah mencerminkan betapa tebalnya sifat keperwiraan serta betapa kuatnya disiplin bagi setiap pegawai kadet yang diraikan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khasnya kepada 32 orang Pegawai Kadet yang telah berjaya mengharungi latihan intensif selama 52 minggu. Mereka ini Beta yakin, telah berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kejayaan itu pula sudah tentu turut bersebab dari adanya sokongan padu para ibu bapa.

Upacara
Sovereign’s Parade pada kali ini adalah lebih bermakna, kerana ianya berlangsung dalam suasana menjelang Hari Raya ‘Idil Adha, yang dikenali juga sebagai Hari Raya Korban. Ini memperkukuh lagi konsep dan objektif Sekolah Pegawai Kadet untuk melahirkan pegawai-pegawai yang benar-benar memahami dan mendalami erti pengorbanan. Pengorbanan yang dimaksudkan tidak lain ialah untuk ugama, bangsa dan negara tercinta.

Beta sukacita mengingatkan, bahawa semua pengorbanan tidak ada titik akhirnya. Ia berlaku selama hayat dikandung badan. Semangat rela berkorban, sama sekali tidak boleh padam. Kerana jika padam, maka lemahnya ‘daya tahan’ bangsa. Bayangkan, kalau ‘daya tahan’ ini lemah, maka apakah yang dapat dibuat lagi untuk memperkasa bangsa dan negara?

Kerana itu, sebagai langkah ke arah memperkasa ‘daya tahan’ tersebut, maka pembangunan strategik yang lebih teratur perlulah ditangani, serta juga latihan-latihan Pegawai Kadet hendaklah dipertingkatkan lagi.

Sehubungan ini, Beta telah pun memperkenankan satu perubahan dasar baru bagi pengendalian latihan dan pengambilan Pegawai-Pegawai Kadet, dari dua sesi pengendalian kepada satu sesi pengendalian pada setiap tahun.

Ini akan lebih memberi fokus dalam usaha kita untuk meningkatkan lagi keberkesanan latihan.

Demikian juga, objektif dasar baru ini adalah dihasratkan untuk menambahkan lagi mutu latihan dan pendidikan, seperti yang dirancang.

Apapun rancangan atau langkah yang diambil, semuanya bertujuan untuk meningkatkan kualiti, khasnya bagi piawaian latihan dan modul-modul pelajaran.

Ini turut menyangkut penerokaan peluang-peluang kerjasama dengan institusi-institusi latihan, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Dalam makna, semua ini boleh saja dilakukan, baik secara dalaman mahupun melalui penglibatan pusat-pusat latihan negara-negara lain, sebagai usaha menambah nilai yang diperlukan.

Akhir kata, Beta sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Khasnya, Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah Sekolah Pegawai Kadet, Pegawai-Pegawai dan
Colour Sergeants serta semua jurulatih yang telah berusaha gigih dalam melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet sehingga ke peringkat ini.

Maka, dengan merafa’akan syukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala serta mengambil berkat kalimat
Bismillahir Rahman Rahim, Beta dengan sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 32 orang Pegawai Kadet Pengambilan Ke-16.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali Ke-12

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA
KEBANGSAAN KALI KE-12

PADA HARI SELASA
8HB ZULKAEDAH 1438
1HB OGOS 2017

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
    
Beta bersyukur kehadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dapat hadir dalam Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-12 ini.
    
Semua orang  pandai dan mesra menyebut ‘belia’. Zaman belia adalah zaman yang indah dan manis. Barang siapa yang sempat melalui zaman belia, maka orang itu adalah orang beruntung. Kerana pada tahap inilah individu mengalami pertumbuhan yang sangat menentukan.
    
Pertumbuhan itu disini, ialah dari segi syakhsiah, kebolehan dan pengetahuan. Seorang belia yang tumbuh normal dan sihat adalah belia yang baik. Ditambah lagi jika pengisiannya sempurna, dari sudut keperibadian, pendidikan dan kebolehan, maka belia yang seperti ini tidak syak lagi adalah belia yang berkualiti.
    
Belia berkualiti, disamping diukur dari sudut pengisiannya, dan juga ditentukan oleh sikapnya.
    
Belia yang bersikap suka memajukan diri, itulah tanda belia yang berbakat besar, yang pada lazimnya sangat aktif dan kreatif.
    
Bukankah semua ini merujuk kepada kualiti?
    
Belia macam inilah yang kita mahukan. Kita mahu belia kita jangan pasif tetapi aktif. Kita tidak mahu para belia itu hanya tahu menghitung hari, tetapi yang kita mahukan ialah, belia yang ligat dan giat ‘mengisi’ waktu atau hari dengan aktiviti-aktiviti berkebajikan, bukan membiarkannya kosong atau berlalu begitu sahaja.
    
Pengisian hari atau waktu ini mustahak diambil kira, kerana zaman kita sekarang adalah zaman yang terlalu banyak berseronok atau bersantai. Jika para belia, kita biarkan asyik memilih trend bersantai sahaja, maka risikonya sangatlah buruk untuk masa depan.
    
Diantara risiko yang dapat diramalkan ialah, negara mungkin saja akan terjebak memiliki sumber tenaga yang lemah atau ketandusan daya saing bagi menghadapi pelbagai cabaran.
    
Ke arah belia berkualiti, tidak syak lagi, adalah satu pelaburan. Ia memerlukan komitmen semua pihak dan dilaksanakan melalui pelan strategik membentuk kewibawaan, yang dimulai dengan meningkatkan kesedaran dikalangan belia.
    
Dengan adanya kesedaran itu, akan menjadikan para belia lebih dewasa dan lebih patriotik.
    
Kesedaran yang dimaksudkan disini, ialah kesedaran berugama, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Keempat-empat jenis kesedaran ini sangat mustahak untuk dimiliki oleh para belia kita, tanpa membezakan status dan peringkat mereka.
    
Inilah rukun kesempurnaan bagi belia.
    
Kita perlu risau, kalau-kalau para belia kita kosong dari memiliki ciri-ciri kesedaran tersebut. Kerana jika ini berlaku, impak buruk pasti menimpa masyarakat dan negara.
    
Dan kita lebih risau lagi dengan apa yang kita dengar dan baca, bahawa di tempat lain telah pun berlaku murid-murid sekolah atau pelajar membuli rakan mereka sampai mati, serta lain-lain lagi jenayah.
    
Ini, adalah betul-betul membimbangkan. Kita boleh bayangkan, jika murid atau pelajar sudah melakukan jenayah paling berat, betapa setelah mereka itu dewasa atau setelah jadi belia kelak?
    
Jadi ternyata, peristiwa seperti ini menambahkan lagi tanggungjawab para pemimpin, ibu bapa dan guru untuk memastikan, bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku di Negara Brunei Darussalam.
    
Tanggungjawab kita bukanlah setakat membina bangunan atau membina negara. Tetapi, tanggungjawab paling mencabar ialah tanggungjawab membina insan.
    
Maka untuk itulah kita membangun sekolah, membangun institusi keluarga dan sekali gus memerlukan pemimpin prihatin dan kekuatan dakwah.
    
Disinilah, semua pihak yang berkenaan sangat perlu untuk mengambil langkah-langkah bersepadu dalam membina bangsa, khasnya membina para remaja dan belia.
Apabila tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka barulah ada harapan untuk kita dapat melihat sebuah generasi masa depan yang menyerlah, Insya-Allah.
    
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.