Titah KDYMM Sempena Majlis Konveksyen Kali Ke-25 UTB

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS 
KONVOKESYEN KALI KE EMPAT BAGI GRADUAN IJAZAH DAN 
MAJLIS KONVOKESYEN BAGI GRADUAN DIPLOMA TERTINGGI KEBANGSAAN KALI KE-25 
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)
PADA HARI ISNIN
07 SAFAR, 1438 BERSAMAAN 07 NOVEMBER, 2016
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita pada pagi ini, bersama-sama berhimpun di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Tahun 2016.
Di kesempatan ini Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Beta juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa berusaha memastikan para graduan sentiasa berada di landasan yang betul di sepanjang tempoh pengajian mereka sehingga dapat meraih kejayaan yang sungguh bermakna.
Beta juga mengucapkan tahniah di atas pertukaran nama Institut Teknologi Brunei kepada Universiti Teknologi Brunei (UTB) setelah mencapai usia 30 tahun penubuhannya. Beta berharap dengan nama baru ini, semua usaha akan ditingkatkan lagi bagi memenuhi objektif, misi dan visi universiti. Walau bagaimanapun, Beta ingin mengingatkan, supaya apa jua yang dirancang dan dilaksanakan, hendaklah sentiasa berlandaskan MIB.
Seterusnya, Beta difahamkan bahawa majlis konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan penganugerahan sulung bagi 12 program ijazah Sarjana Muda yang mula diperkenalkan pada tahun 2012. Ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana UTB mampu meluaskan lagi bidang pengajian yang ditawarkan dan seterusnya telah membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian mereka di UTB. Dalam hal ini, Beta menyeru supaya UTB akan sentiasa melipatgandakan lagi usaha memperkenalkan program-program lain yang relevan dan yang dapat memacu perkembangan ekonomi negara.
Alhamdulillah, setakat ini Beta ada mendengar bahawa para graduan yang dilahirkan oleh UTB adalah mampu untuk memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dengan baik. Namun di dalam masa yang sama, penglibatan mereka di bidang keusahawanan masih lagi di tahap yang rendah. Memandangkan adanya kekurangan pencapaian ini, maka sudah sampai masanya bagi UTB mengkaji dan menggubal semula kurikulumnya bagi memastikan semangat, kecenderungan dan peluang dalam bidang keusahawanan itu dapat dibentuk seawal-awalnya lagi.
Menyentuh mengenai sumber tenaga kerja dari industri yang bukan berasaskan minyak dan gas, Beta mengambil maklum mengenai penubuhan Sekolah Sains Gunaan dan Matematik (School of Applied Sciences and Mathematics) yang menawarkan program ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Teknologi. Program itu, antara lain dihasratkan untuk mendukung pertumbuhan ekonomi dari industri permakanan di negara ini, selaras dengan usaha kerajaan dalam mempelbagaikan sumber ekonomi melalui pelaburan langsung asing. Beta berharap penubuhan Sekolah Sains Gunaan dan Matematik itu akan mampu mengangkat UTB sebagai penyumbang kepada peningkatan industri permakanan yang berkualiti tinggi, yang mampu bersaing di arena antarabangsa.
Mengenai dengan pengiktirafan bagi program-program profesional pula, usaha tersebut adalah suatu yang sangat perlu bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan. Oleh sebab itu, Beta gembira apabila mengetahui bahawa Sekolah Pengkomputeran dan Informatik UTB telah diiktiraf oleh British Computer Society, sebuah badan profesional antarabangsa. Di dalam iklim ekonomi global yang masih tidak menentu, inisiatif ke arah pengiktirafan program-program itu boleh menjimatkan kos latihan bagi majikan.
Seterusnya dalam mendepani krisis ekonomi dunia ini, UTB dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hendaklan mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. IPTA boleh menjana pendapatan berdaya tahan melalui perkhidmatan kepakaran dan penyelidikan berinovas​​i, sesuai dengan statusnya sebagai separa autonomi. Pendekatan ini mempu untuk menjamin kelangsungan inisiatif-inisiatif agenda pertumbuhan organisasi masing-masing.
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei (UTB), yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua akan memberkati segala usaha dan titik peluh mereka dengan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Belia Kebangasaan Ke-11

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS SAMBUTAN 
HARI BELIA KEBANGSAAN KE-11 TAHUN 2016
PADA HARI KHAMIS
03 SAFAR 1438 BERSAMAAN 03 NOVEMBER 2016
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat lagi bersama-sama hadhir di dalam perhimpunan
Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-11 tahun 2016 ini.
Beta sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia kepada semua para belia di negara ini.
Tema sambutan:
“Belia Berwawasan Pemangkin Transformasi” adalah membawa seribu harapan. Para belia patut menyambutnya sebagai cabaran. Kerana transformasi di sini bermaksud satu cetusan perubahan yang dinanti-nantikan. Ia tidak menunggu lama-lama melainkan terbuka untuk semua, terutama bagi para belia selaku agen kepada perubahan itu.
Satu tanda belia cepat berubah, apabila mendapati ramai di kalangan mereka, walaupun dalam usia masih muda, telah mencapai kejayaan-kejayaan sangat bermakna dalam pelbagai bidang, seperti kedoktoran, guaman, kejuruteraan, keugamaan, keusahawanan dan lain-lain.
Kejayaan-kejayaan yang diperolehi ini adalah alat untuk para belia berkecimpung mencorakkan masa depan negara.
Belia seperti ini tidak syak lagi adalah belia yang berwawasan lagi cemerlang. Negara adalah bersungguh-sungguh mengimpikan mereka. Tanpa mereka, negara akan kehilangan tonggak atau pasaknya.
Tidak ada alasan untuk para belia lemah dan menyerah kalah. Ini bukan sifat belia. Belia adalah berani dan gagah. Mereka berani membuka perusahaan sendiri, walaupun mula-mulanya secara kecil-kecilan, seperti meneroka khidmat cuci kereta, menternak ikan, industri kreatif dan seumpamanya, tetapi dari kecil itu ia boleh jadi besar, jika para pengusaha belia terus gigih dan tabah.
Semua apa yang dirancang dan dibuat adalah cabaran belaka. Ia memerlukan kerja keras dan pengorbanan. Pengorbanan itu bukan setakat wang ringgit dan tenaga, tetapi turut lebih penting ialah berkorban dengan masa. Kalau kita menggunakan masa di jalan kebajikan, itulah satu pengorbanan paling berkesan, dengan kita mengawal diri dari menggunakannya secara sia-sia.
Jika ini dijadikan amalan, bererti kitalah orang yang pandai atau bijak memilih, di mana landasan yang betul dan selamat. Sebab itu, kerana tingginya harga masa itu, Allah sendiri sampai bersumpah dengan masa, bahawa semua manusia di dalam kerugian, kecuali mereka yang mengisi masa dengan amal-amal kebajikan. Demikian menurut Al-Qur’an, Surah Al-‘Asr.
Di sinilah cabaran untuk semua, dalam perkara menggunakan masa. Jika silap menggunakannya, bererti kita menjerumuskan diri ke dalam satu krisis kehidupan, dan krisis ini, mesti segera diatasi.
Para belia mempunyai banyak masa dan peluang untuk terus berkembang. Tinggal saja lagi terpulang kepada mereka, sama ada mahu merebutnya ataupun tidak.
Adapun memanfa’atkan masa dengan sewajarnya adalah pilihan orang-orang bijaksana. Beta berharap, para belia kita hendaklah termasuk antara mereka.
Era hari ini menyediakan ruang lingkup yang cukup luas untuk dilalui, sehingga tiada lagi sempadan dapat membatasinya.
Ini kadang-kadang, boleh mengelirukan orang untuk melakukan apa saja yang disukai tanpa boleh disekat-sekat lagi. Lalu wujudlah golongan yang sangat-sangat mendewakan kebebasan tanpa batasan dan sekali gus membawa muncul budaya baru, tidak menghiraukan lagi adat tradisi dan ugama.
Pada biasanya, golongan seperti ini adalah lebih didominasi oleh kaum belia di mana-mana saja.
Beta berharap, para belia kita tidaklah akan sampai terjebak kepada konsep bebas seperti ini, tetapi akan tetap kekal sebagai belia-belia yang menta’ati ugama dan menghormati undang-undang serta tradisi bangsa.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Konvo KUPU SB 2016

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA 
Majlis Konvokesyen Keenam
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Negara Brunei Darussalam 1438H/2016M
Pada Hari Sabtu
28 Muharram 1438 bersamaan 29 Oktober 2016
Bertempat
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Ke-6 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi ini.
Mula-mula Beta sukacita mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Para graduan wajiblah bersyukur dengan kejayaan ini, kerana kejayaan tersebut adalah datangnya daripada Allah, siapa Yang Maha Pengurnia.
Para graduan KUPU SB adalah guru-guru bertauliah, mereka pastilah memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Sementara ilmu itu pula adalah amanah untuk disampaikan kepada yang berhak, iaitu masyarakat.
Inilah cara guru memanfa’atkan ilmu, dan cara ini perlu kekal sehingga bila-bila. Kerana itu juga guru-guru perlulah tahu, bahawa mereka adalah agen zaman untuk kelangsungan bangsa dan negara.
Sesuai dengan peranan mereka selaku agen zaman, guru-guru ugama khasnya, bukan sahaja bertugas untuk menyampaikan pengajaran di dalam bilik-bilik darjah sahaja, malah juga patut menjadi contoh atau role model kepada pelajar dan masyarakat. Inilah pasak pendidikan yang sebenar-benarnya.
Maka untuk itu, pihak KUPU SB perlulah melakar panduan bagi pelajar-pelajarnya untuk menjadi guru ugama yang beretika dan berwatak hebat, berwibawa dan berkemahiran tinggi. KUPU SB adalah ibarat kilang untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi.
Mutu itu pula, ditentukan oleh matlamat utama pendidikan, iaitu ke arah melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Ini adalah perkara asas yang duduknya tidak boleh di bawah tetapi di atas, sesuai dengan deklarasi Nabi Shallallhu ‘Alaihi Wassalam, riwayat Bukhari dan Muslim, maksudnya:
“Sesunggunya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
Kepentingan akhlak adalah lebih dirasakan lagi di era mutakhir ini, berikutan berlakunya ledakan teknologi maklumat ICT. Dengan ledakan ini, seluruh masyarakat, tidak terkecuali juga kanak-kanak adalah terdedah kepada gejala-gejala yang boleh merosakkan akhlak.
Gejala tersebut banyak macamnya, serta sukar pula untuk mengawalnya. Untuk mengawal itu memerlukan cara dan strategi yang cermat lagi teratur, iaitu satu-satunya melalui khidmat guru berjasa bagi menanamkan akhlak terpuji kepada anak-anak, membimbing dan memotivasi mereka menjadi anak-anak baik dan berguna.
Di samping itu, para ibu bapa juga dituntut untuk menyediakan iklim atau persekitaran yang baik dan islamik bagi anak-anak. Kita usah lupakan maksud hadith, bahawa anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah seperti kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab, sama ada untuk meyahudikan atau menasranikan mereka.
Sehubungan ini, Beta telah memperkenankan bagi KUPU SB menubuhkan pusat yang dinamakan Pusat Kajian Fiqh al-Usrah yang berfungsi untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pendidikan.
Mengenai pendidikan, Brunei Darussalam telahpun melangkah mewujudkan Sistem Pendidikan Wajib Ugama. Ini adalah tanggungjawab besar. Alhamdulilah kita sudahpun menunaikannya. Tinggal sahaja lagi, kita perlu menjadikan pendidikan ugama itu benar-benar menyerlah, maju dan mantap.
Di Brunei, kita ada sekolah, namanya “Sekolah Arab”. Beta mahu, biarlah sekolah ini benar-benar menepati seperti namanya juga. Di dalamnya ada ajaran pelbagai ilmu, terutama ilmu ugama dan bahasa Arab. Lulusannya boleh diterima untuk melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara. Sekolah ini tidak syak lagi boleh dibanggakan oleh negara. 
Tetapi soalnya, kedengaran ada sungutan bahawa nama sahaja Sekolah Arab tetapi penuntut-penuntutnya tidak mampu menguasai bahasa Arab, atau dengan kata lain, tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa ini, berbanding dalam bahasa Inggeris.
Jika benar seperti yang disungutkan itu, maka Beta mengharapkan supaya ia dikaji dan diperbaiki.
Jadikanlah ia tugas utama. Cari jawapannya, mengapa bahasa Arab lemah di Sekolah Arab? Adakah ia menyangkut faktor guru, seperti kekurangan guru? Atau guru kurang berkelayakan? Atau turut menyangkut juga faktor peralatan mengajar, seperti kekurangan buku-buku atau buku itu sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan? Atau mungkin juga menyangkut faktor “kaedah mengajar” yang tidak menepati cara? Dan lain-lain lagi.
Semua ini mestilah dikaji dengan teliti. Kelemahan atau kekuatan bahasa tidaklah boleh diukur semata-mata dari pemarkahan kertas-kertas jawapan di dalam peperiksaan, kerana jawapan-jawapan itu boleh saja dihafal dahulu untuk dijadikan jawapan.
Demikian sedikit dari Beta untuk perhatian.
Akhir kalam, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, Pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala sumbangan dan khidmat yang mereka berikan. Semoga semua amal kebajikan yang telah diberikan akan diterima oleh Allah dan KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-6 UNISSA

TITAH
​​​
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-6
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
BAGI TAHUN 1438H / 2016M
PADA HARI SABTU
20 MUHARRAM 1438 BERSAMAAN 22 OKTOBER 2016
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul di
Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-6, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Beta terlebih dahulu mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada hari ini. Tidak lupa juga dirakamkan tahniah kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah, yang sentiasa bertungkus lumus untuk melihat para graduan beroleh kejayaan.
Beta amat gembira mengetahui bahawa pada Haflut Takharruj Ke-6 ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali berjaya mengeluarkan kumpulan pertama bagi program ‘double-degree’, iaitu Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perudangan Syar’iah. Di samping itu, Beta juga difahamkan bahawa para graduan pengambilan pertama bagi Sijil Sistem Keadilan Jenayah Syar’iah telahpun menamatkan pengajian mereka di UNISSA.
Alhamdulillah, pada hemat Beta, pencapaian ini amatlah bermakna, selari dengan keperluan negara dan perkembangan ilmu pengetahuan semasa.
Sementara itu, Beta juga berharap, para graduan tidak hanya berpuas hati setakat memperolehi sijil dan gelaran akademik semata-mata, tetapi juga, perlu mampu untuk menjadi penggerak kepada jentera Kerajaan Beta, khasnya, dalam pemantapan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013.
 
Demikian juga, dalam menghadapi isu semasa berupa tuhmahan atau provokasi terhadap Islam, Beta melihat UNISSA mempunyai peranan yang sangat diperlukan untuk menyampaikan gambaran yang betul dan tepat mengenai ugama ini.
Ke arah ini, para pelajar UNISSA bukan sahaja dikehendaki untuk celik Al-Qur’an dan bahasa Arab, tetapi juga perlu memahami secara mendalam karya klasik para ulama silam Ahli Sunnah Waljama’ah dalam pelbagai disiplin ilmu.
Di samping itu UNISSA, selaku gedung ilmu, juga perlu peka dengan landskap perkembangan pengajian dan tuntutan keperluan sumber tenaga manusia untuk Brunei.
Maka untuk itu, Beta amat optimis bahawa langkah penjenamaan semula fakulti pengembangan dan penawaran program baru serta penilaian dan pindaan beberapa kursus adalah langkah bijak dan tepat oleh UNISSA. Langkah ini adalah antara inisiatif terbaik untuk mengembangluaskan lagi pasaran kerjaya bagi graduan lepasan universiti ini.
Sebenarnya masih banyak ruang yang perlu diteroka oleh UNISSA. Salah satu ialah bidang yang berkembang pesat sehingga ke peringkat antarabangsa pada masa ini iaitu industri halal. Bukankah aspek halal itu merupakan tuntutan utama dalam Ugama Islam?
Nilai pasaran global adalah semakin meningkat dan dianggarkan berjumlah sangat besar. Ia meningkat sebanyak 16% dari keseluruhan industri makanan dunia dan boleh menjangkau sehingga 20% dari perdagangan dunia dalam produk makanan sahaja.
Oleh sebab itu, Beta menyokong penuh rancangan UNISSA untuk menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Halal di UNISSA sebagai pemangkin kepada hasrat Beta untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai ‘hub halal global’ yang akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Maka untuk itu UNISSA mustahak diberikan perhatian. Perhatian utama, termasuk oleh pihak-pihak berkenaan bagi memikirkan pembinaan bangunan kampus kekalnya di Temburong. Ini penting, sebagai pelengkap perkembangan, selaku sifatnya sebuat pusat pengajian tinggi Islam bertaraf dunia.
Akhirnya, Beta mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA, yang meliputi ahli-ahlii Majlis dan Senat Universiti, Rektor, Pegawai-pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.​​​​

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-23


TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
Sempena 
Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-23
Pada Hari Khamis
19 Muharram 1438 bersamaan 20 Oktober 2016
Bertempat 
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
“Perkhidmatan Awam Perlu Tingkatkan Produktiviti, Hasil Negara”
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat sama-sama berkumpul pada pagi ini di Majlis Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-23 bagi Tahun 2016.
Kita sudah selalu mendengar ungkapan, bahawa Perkhidmatan Awam adalah teras utama untuk kemajuan sesebuah negara. Warga Perkhidmatan Awam adalah pengurus, pemudah cara dan malah agen kepada perubahan.
Kerana itu, warga Perkhidmatan Awam perlu memiliki disiplin yang tinggi dan kesungguhan dalam memainkan peranan masing-masing.
Mereka perlu meningkatkan diri dengan mengenali baseline masing-masing, setakat mana minda, sikap dan kemampuan mereka dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti untuk negara dan pelanggan.
Negara adalah benar-benar berhajat kepada khidmat para penjawat awam. Melalui perkhidmatan merekalah akan dapat ditingkatkan produktiviti dan penghasilan negara.
Kerana itu alhamdulillah, kita sekarang sedang giat menggunakan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan delivery approach. Dan semua ini, adalah berpaksikan kepada amalan-amalan terbaik.
Di samping itu, kita juga menggunakan penanda-aras atau benchmarking, seperti kedudukan negara di mata antarabangsa dalam World Bank Ranking on Ease of doing Business. Dan baru-baru ini, kita telah menyertai World Competitiveness Index yang dikendalikan oleh World Economic Forum.
Beta penuh yakin, dengan usaha bersepadu semua kementerian, yang dilengkapi dengan strategi-strategi yang berasaskan evidence and result-based, kita insyaAllah akan dapat menjayakan pelaksanaan Wawasan 2035.
Mengenai tranformasi Perkhidmatan Awam, beta mengalu-alukan Tema Hari Perkhidmatan Awam pada kali ini yang berbunyi: 'Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif.' Tema ini memberi penekanan, betapa pentingnya Perkhidmatan Awam untuk sentiasa proaktif dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta lebih prihatin terhadap keperluan masyarakat dan para pelabur. Di samping itu, tema ini juga memberikan fokus kepada penilaian yang berkesan melalui health check terhadap keupayaan warga Perkhidmatan Awam dalam menangani setiap cabaran semasa.
Memandangkan tema ini bersifat dinamik dan relevan untuk diguna pakai dalam beberapa tahun, maka beta ingin melihat momentum dan langkah-langkah pembaharuan terus dipertingkatkan.
Selaras dengan strategi Wawasan 2035, beta mengalu-alukan usaha Jabatan Perdana Menteri dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam Tahun 2016 hingga 2020. Beta mengharapkan rangka kerja ini dapat memacu Perkhidmatan Awam di tahap yang lebih hebat dan progresif.
Satu lagi inisiatif pembaharuan Perkhidmatan Awam ialah usaha meminda Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dikenali sebagai General Order yang telah digunakan sejak tahun 1961.
Pindaan ini akan memberikan nafas baru kepada Perkhidmatan Awam agar lebih lengkap dan terkini, khususnya dalam melahirkan modal insan yang cekap dan berdisiplin.
Untuk akhirnya kepada penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan pemenang-pemenang Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Beta yakin anugerah ini akan memberikan motivasi dan inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk bekerja lebih keras lagi bagi mencapai tahap kecemerlangan Perkhidmatan Awam. Beta juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan peribadi beta kepada pegawai dan kakitangan yang bersara pada tahun ini di atas sumbangan dan jasa bakti mereka semasa dalam perkhidmatan dengan kerajaan. Semoga Allah jua akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.