Titah KDYMM Sempena Perasmian Majlis Ilmu 2016 Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-70 Tahun

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

PERASMIAN MAJLIS ILMU 2016 SEMPENA HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN YANG KE-70 TAHUN

PADA
23HB OGOS 2016
20HB ZULKAEDAH 1437

BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA BERAKAS,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya jua, dapatlah kita berkumpul pula, pada pagi yang berkat ini di Majlis Ilmu 2016.

Disamping kita digesa untuk meningkatkan iman dan takwa, kita juga disuruh untuk mendalami ilmu pengetahuan sebagai suluh dalam kehidupan.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah Al-Mujadalah, ayat sebelas tafsirnya : “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dengan) beberapa darjat”.

Ilmu itu diibaratkan sebagai pelita, untuk dimanfaatkan pada saat manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sejauh mana ilmu itu diperolehi, sejauh itulah ia akan berperanan.

Beta sangat gembira, kerana perhimpunan para intelek dan cendekiawan, terus disemarakkan di negara ini. Landasan ini amatlah penting, untuk kita dapat mengupas dan mendalami apa-apa yang ada kaitan dengan pembangunan bangsa.

Pada tahun ini, Majlis Ilmu memaparkan satu tema yang cukup mencabar, berbunyi : “Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat Pemankin Kesejahteraan Ummah”.

Tema ini cukup ‘relevan’ untuk melebarkan perbahasan mengenai peranan perhubungan dalam pembangunan bangsa dan negara, apatah lagi dunia sekarang sudah dibungkus oleh istilah globalisasi tanpa sempadan.

Dari dimensi duniawi dan ukhrawi, kita telah dipandu untuk menjaga hubungan dengan Allah dan juga hubungan kita sesama manusia sendiri.

Hubungan dengan Allah berpaksikan iman, takwa dan ehsan, dalam makna, setiap amalan baik di dunia ini adalah penghubung untuk mendapatkan keredhaan Allah di akhirat.

Sementara perhubungan sesama manusia pula, ialah dalam konteks pertalian diplomatik, sosial, ekonomi dan sebagainya yang membawa kepada keamanan, kesejahteraan dan faedah bersama.

Sebaliknya, jika tanpa perhubungan, maka sesuatu yang baik dan bermanfaat tidak mungkin untuk diperolehi.

Setiap negara membangun, pasti memerlukan masyarakat dinamik, social mobility  dan ekonomi yang kental lagi kompetitif.

Matlamat ini hanya boleh dicapai dengan adanya sistem perhubungan yang berkesan untuk mengendalikan pelbagai pergerakan, barangan, perkhidmatan dan maklumat.

Dengan berlakunya kelancaran perhubungan, maka sudah barang tentu akan dapat membuka peluang-peluang pasaran, pencarian pekerjaan dan malah ruang perekonomian yang sangat luas.

Sistem perhubungan dan pengangkutan yang cemerlang adalah sejajar dengan kehendak syari’at Islam, untuk memudahkan ummah bertebaran di muka bumi bagi mencari ilmu dan rezeki.

Tidak diragukan lagi, perhubungan yang sihat, berkat dan selamat akan membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan. Namun begitu, perlu juga diingat, bahawa ledakan teknologi kini tidak kurang membawa kepelbagaian gaya hidup dikalangan masyarakat sejagat. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Kerana itu, semuanya mesti dilihat dan dikendalikan dengan bijaksana.

Kita sedia memahami, bahawa seluruh dunia kini adalah terkait dengan rangkaian pengangkutan dan ICT canggih. Ia menjamin pengurusan yang cepat dan mudah untuk kemajuan masa depan.

Baru-baru ini Kerajaan Beta telah melancarkan rancangan peningkatan sistem Pengangkutan Awam ke arah mencapai matlamat perkembangan ekonomi.

Penubuhan badan-badan berkuasa iaitu Autoriti Maritim dan Pelabuhan; dan Autoriti Pengangkutan Awam, juga sedang giat diteliti untuk merancang sistem pengangkutan secara berterusan.

Beberapa cabaran sedia menunggu, diantaranya penyediaan prasarana, kesesakan lalu lintas dan penggunaan laluan serta jalan raya yang selamat.

Sejajar dengan tuntutan syari’at dan pendekatan bersepadu semua agensi kerajaan, Beta yakin, Majlis Ilmu pada tahun ini akan dapat menghuraikan dengan jelas istilah Perhubungan Berkat dan Selamat itu, sebagaimana yang diharapkan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-70 Tahun Bagi Tahun 2016

TI​​TAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-70 TAHUN BAGI TAHUN 2016

BERTEMPAT
DI ISTANA NURUL IMAN

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat meraikan Hari Keputeraan beta pada tahun ini, dalam keadaan aman lagi selesa.

Istiadat berlangsung pada tahun ini, ketika mana kita baru saja sempurna melaksanakan ibadat puasa dan kini sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri yang mubarak.

Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Beta berharap kita di negara ini akan mengamalkan sifat berhemah dan sederhana dalam meraikan apa saja sambutan perayaan selaras dengan ajaran ugama kita yang suci.

Melalui istiadat ini, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada semua tetamu khas beta yang sudi hadir dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada beta serta keluarga bersempena dengan perayaan ini.

Beta mengajak semua rakyat di negara ini supaya sama-sama bersyukur kerana dapat secara berterusan menikmati keamanan dan kesejahteraan. Namun ini bukanlah tiket untuk kita melonggarkan sikap berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan yang tidak diingini. Bahkan senario hari ini meminta kita untuk lebih berwaspada lagi.

Turut lebih kita beratkan ialah membangun ekonomi. Brunei tidak boleh leka dalam keadaan ekonomi global dilihat sedang bermasalah. Brunei perlu mempelbagaikan ekonominya sambil terus meningkatkan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita perlu lebih aktif serta mempunyai agenda lebih terancang bagi mencapai sasaran ini.

Usaha-usaha peningkatan perlulah  menyeluruh terutama bagi bidang yang dianggap utama, seperti pertanian makanan asasi. Bidang ini mestilah terus diperkasa sehingga mampu untuk kita memenuhi sara diri. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pihak luar sahaja. Sayugia perkara ini dapat diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan dalam kerajaan.

Sudah tiba masanya untuk Brunei mengaktifkan segala usaha tanpa berlengah-lengah lagi. Salah satu contoh ke arah itu, kita sekarang sedang merancang untuk  menggerakkan ekonomi negara, dengan kerajaan mengungkayahkan satu projek  membina sistem pengangkutan yang selamat dan cekap.  Projek ini ialah untuk memanjangkan Dermaga Pelabuhan Muara dan membesarkan terminal kontena Muara. Ia akan menjadi pemudahcara bagi kemasukan dan penarikan pelabur luar asing ke negara ini.

Di samping itu, secara umum kita juga menggalakkan sifat kreatif dan inovatif dalam melaksanakan semua projek pembangunan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta atau
Public Private Partnership. Kaedah ini bertujuan sebagai pendorong ke arah  perkongsian di antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan projek-projek kerajaan.

Menyebut lagi permasalahan ekonomi, baru-baru ini, rakyat Britain telah memutuskan untuk keluar dari Kesatuan Eropah atau Brexit. Keputusan ini menimbulkan sedikit gusar di kalangan para pelabur kerana ia dilihat sebagai mampu untuk menjejaskan nilai pelaburan di bursa-bursa saham antarabangsa dan malah juga turut berisiko ke atas nilai mata wang negara berkenaan sendiri. Brunei sebagai negara yang juga terlibat dalam perdagangan antarabangsa tidaklah terkecuali dari turut merasakan kesan keputusan tersebut.

Namun Alhamdulillah, dengan adanya dasar kerajaan melaksanakan pelaburan seimbang, maka risiko tersebut dapat kita tangani secara terurus.

Beta penuh yakin, Kerajaan Britain dan antarabangsa adalah mampu untuk menangani pelbagai isu berpunca dari Brexit tersebut, berdasarkan pengalaman yang luas semua pihak dalam mengatasi semua permasalahan yang ada.

Brunei sendiri akan terus menghargai hubungan dengan United Kingdom, khasnya hubungan perdagangan yang telah berjalan sekian lama itu.  Kita akan tetap mengukuhkan hubungan ini untuk kebaikan bersama  kedua-dua buah negara.

Ke arah peningkatan ekonomi, kerajaan beta juga terus memacu perkembangan pendidikan. Kerana pendidikan juga adalah aset, malah ‘kuasa’ untuk menentukan kelangsungan bangsa.

Sebab itu kualiti pendidikan, tidaklah ia dapat dikompromi melainkan mesti terus diperkaya dan ditingkatkan. Ini adalah harapan kita kepada Kementerian-Kementerian  Pendidikan dan Hal Ehwal Ugama supaya sama-sama dapat berbincang dan bekerjasama dengan Unit PENGGERAK di Jabatan Perdana Menteri untuk mencari jalan, bagaimana prestasi Pendidikan Rendah dan Menengah khasnya, dapat ditingkatkan. Kerana dalam era mutakhir ini, beta sendiri mendapati masih ada perkara yang perlu diperbaiki.

Selaku tonggak utama Wawasan Brunei 2035, pendidikan tidak boleh berada di bawah, melainkan tempatnya ialah di atas untuk benar-benar diambil berat. Kerana pendidikan adalah pelaburan sepanjang hayat untuk menentukan maju mundurnya sesuatu bangsa.  Jika pendidikan lemah, maka tidak siapapun yang akan memandang tinggi kepada kita.

Di peringkat antarabangsa, negara kita akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan  serantau dan antarabangsa dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan lain-lain kepentingan melalui rangkaian-rangkaian pemangkin serantau dan antarabangsa.

Demikian juga kita akan sentiasa bersama-sama memainkan peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa, di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kita.

Akhirnya, beta dengan tulus ikhlas  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan beta.

Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli  Jawatankuasa Perayaan peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha yang disumbangkan untuk menjayakan perayaan ini.

Beta berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan dengan limpah rahmat dan perlindungan oleh Allah  Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an bagi tahun 1437H / 2016M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.


DI MAJLIS

SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN

BAGI TAHUN 1437H / 2016M


PADA

HARI RABU,

 17 RAMADHAN 1437 / 22 JUN 2016


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersemuka lagi di dalam majlis yang berkat ini.

Telah menjadi tradisi kita umat Islam, pada setiap 17 Ramadhan, kita akan mengadakan Sambutan Nuzul Al-Qur’an. Boleh dikatakan, tradisi ini juga turut berlaku di mana-mana di seluruh dunia.

Nuzul Al-Qur’an adalah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Nuzul ertinya, kitab suci Al-Qur’an diturunkan. Kitab ini adalah ‘kitab induk’ untuk menjadi panduan bagi seluruh umat manusia. Kitab agung ini juga diberi nama sebagai An-Nur, yang bererti cahaya yang menerangi, atau Al-Furqan, yang bererti kitab yang dapat memandu untuk membezakan antara hak dan yang batil atau Az-Zikr yang bermaksud kitab yang memberi peringatan.

Memperkatakan keagungan kitab suci Al-Qur’an ini, kita di negara ini Beta percaya, telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu di dalamnya sebagai panduan, sesuai dengan Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al-Baqarah ayat 2 tafsirnya : “Itulah kitab (Al-Qur’an) yang tidak ada keraguan padanya. Ia adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Kerajaan Beta pula melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah tidak  kendur-kendur berusaha untuk mendekatkan masyarakat Islam di negara ini dengan Al-Qur’an, iaitu dengan memasukkan subjek Al-Qur’an itu di setiap sekolah rendah kerajaan dan swasta sehingga sampai ke peringkat tertinggi dan juga membukan kelas-kelas belajar Al-Qur’an di Masjid-Masjid, Surau-Surau dan Balai-Balai Ibadat serta kelas-kelas dewasa. Perkara ini dilaksanakan seupaya masyarakat Islam di negara ini sentiasa berpegang dengan Al-Qur’an sebagai panduan.

Untuk menghormati Ramadhan sebagai ‘bulan Al-Qur’an’, Kerajaan Beta memendekkan waktu bekerja dari jam 7.45 pagi sehingga 4.30 petang kepada 8.00 pagi sehingga 2.00 petang. Perkara ini juga dibuat, ialah untuk memberikan kemudahan dan keselesaan bagi kita semua menunaikan kewajipan berpuasa. Sementara pada malamnya pula, semua Masjid, Surau dan Balai Ibadat, mengadakan Sembahyang Tarawih dan bertadarus sebagai langkah menghayati ibadat-ibadat berkenaan, sambil mengharap-harap akan mendapat pahala Lailatul Qadar, yang lebih baik dari seribu bulan.

“Al-Qur’an sebagai Ubat dan Penawar Bagi Rohani dan Jasmani” adalah tema Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini. Tema ini amat sesuai untuk kita praktikkan di dalam kehidupan kita, tidak kira samada kita dalam keadaan sihat ataupun sebaliknya. Ini adalah satu ungkapan supaya kita sentiasa membaca dan melaksanakan apa-apa jua yang terkandung di dalamnya.

Di antara ajaran Al-Qur’an ialah mengenai halal-haram makanan, yang juga turut diperjelas oleh hadits-hadits Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam  dan para ulama.

Beta difahamkan, usaha kita sekarang ialah ke arah memproses untuk mempercepatkan tempoh kelulusan permohonan Sijil Halal dan Permit Halal.

Langkah ini memanglah wajar dari sudut pentadbiran, tetapi dari sudut yang menyangkut perkara hukum halal-haram, kita tidaklah wajar untuk mengambil jalan pintas, tetapi mesti kemas dan penuh teliti, berdasarkan garis panduan syara’ yang    benar-benar syari’e bukannya setakat untuk melariskan sijil dan permit halal itu.

Hukum ‘halal-haram makanan’ adalah ia tersendiri, memerlukan orang-orang yang betul-betul tahu dan mengerti apa itu halal dan apa itu haram. Jika mereka tidak tahu atau faham semua ini, bagaimanakah boleh dijamin makanan atau hidangan yang dijual itu adalah halal?

Kita tidaklah mahu Brunei akan jadi seperti tempat-tempat lain, yang sering kedengaran ada yang berlaku penyelewengan atau pelanggaran hukum oleh premis-premis pemakanan dan perdagangan.

Mengambil sukut baik di bulan Ramadhan  yang penuh berkat keberkatan ini, maka marilah kita memperbanyakkan amal kebajikan, yang dituntut untuk kita melakukannya. Semoga dengan itu, rahmat Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpah-limpah kepada kita dan juga kepada negara. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-55 Tahun

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN 
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
 KE-55 TAHUN
PADA
HARI SELASA, 
12 SYA’ABAN 1437 / 31 MEI 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya, mengurniakan negara kita sentiasa aman, tenteram dan sejahtera. 
Hari ini, genaplah usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-55 tahun. Kita menyambut ulang tahun ini di Akademi Pertahanan, salah satu dari mercu tanda Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 
Akademi ini berperanan untuk melahirkan generasi muda pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang lengkap dengan asas kepimpinan dan pengetahuan tentang ketenteraan. Kerana itu, Akademi ini mestilah terus merancang dan melebarkan skop pembelajarannya ke arah melahirkan pegawai-pegawai tentera yang berkualiti di peringkat taktikal, operasi dan strategik. Semua ini penting untuk menghadapi ‘contemporary operating environment’  yang serba mencabar dan tidak menentu. 
Dunia kita pada masa ini sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman yang bersifat merentas sempadan. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari kemungkinan menghadapi ancaman-ancaman keselamatan berbentuk tradisional dan bukan tradisional, seperti pengganasan, keselamatan maritim dan siber, serta bencana alam. 
Di sinilah perlunya kerjasama dari pelbagai pihak, bukan sahaja diantara agensi-agensi keselamatan dalam negara, malahan juga kerjasama di peringkat keselamatan antarabangsa. 
Oleh itu, prosedur dan tatacara yang terbaik, perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui perlaksanaan latihan-latihan dua hala dan pelbagai hala sentiasa penting untuk direview supaya selamanya relevan. Beta sedia mengambil maklum, bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah pun meningkatkan usaha-usaha, dari segi Diplomasi Pertahanan, antaranya melalui kerjasama menerusi latihan bersepadu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus Maritime Security and Counter Terrosism Exercise yang telah berjaya dilaksanakan pada awal bulan ini. Selain itu, talian hotline, atau juga yang dikenali sebagai “Direct Communications Link” diantara         Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN akan juga dilancarkan pada tahun ini. 
ADMM dan ADMM-Plus adalah merupakan satu tanda komitmen dan kemampuan kita dalam usaha memperkukuh kedudukan negara di tengah-tengah landskap keselamatan yang bersifat dinamik. 
Ianya juga turut mencerminkan, bahawa sungguhpun Brunei cuma sebuah negara kecil, namun kita juga mampu untuk menyumbang bagi keselamatan di rantau ini dan menyediakan satu landasan pelbagai kerjasama di dalam bidang pertahanan dan ketenteraan. Tidak diragukan lagi, ini adalah satu sumbangan terbesar yang dapat membantu negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog di rantau Asia Pasifik untuk sama-sama meraih keamanan, kestabilan dan kemakmuran. 
Alhamdulillah, keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada masa ini dapat dikenalpasti melalui perolehan peralatan-peralatan ketenteraan yang canggih dan terkini yang kita miliki. Namun ini bukanlah titik noktah untuk kita berhenti dari terus meningkat. 
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan tetap perlu, untuk terus menyesuaikan semua hala tuju perancangan perkembangan dan penyelidikannya mengikut keperluan dan keutamaan. 
Akhir kata, Beta rasa bersyukur dan bangga, dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-55 Tahun. Syabas diucapkan kepada mereka yang menyertai perbarisan pada pagi ini dan tidak lupa juga diucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang Ke-55 Tahun kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam dan luar negara, samada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang telah bersara. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
***

Titah KDYMM Di Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj Bagi Tahun 1437H 2016M

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
DI MAJLIS 
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
BAGI TAHUN 1437H / 2016M
PADA
HARI KHAMIS, 
27 REJAB 1437 / 05 MEI 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita sangat bersyukur, kerana Allah Subhanahu Wata’ala terus mengurniakan kepada kita rahmat-Nya, berupa nikmat sihat dan panjang umur, sehingga dengan itu dapatlah kita menunaikan ibadat dengan penuh selesa. 
Dapat beribadat dengan selesa, terutama ibadat sembahyang, tidak syak lagi adalah satu nikmat. Kerana bukankah sembahyang itu tiang ugama dan malah “Kunci Syurga”?
Tidak diragukan lagi, orang yang mampu mendirikan sembahyang adalah orang yang beruntung. 
Oleh itu, peliharalah sembahyang itu. Cara yang paling utama memelihara sembahyang, ialah melakukannya dengan konsisten pada awal waktunya. 
Di samping itu, adalah juga menjadi perkara asasi, ialah melakukan ibadat ini dengan betul, dengan menjaga segala rukun dan kaifiatnya (cara-caranya). Jika ini dapat dipenuhi dengan baik, maka barulah sembahyang itu dianggap sempurna. Jika tidak, maka selama itulah kita tetap dituntut untuk memperbaikinya. 
Jarang orang bercakap mengenai membaiki ibadat sembahyang. Yang banyak diperkatakan ialah, tentang membaiki bacaan Al-Qur’an. 
Pada hemat Beta, kedua-duanya itu patut diberikan perhatian seimbang, kerana bukan tidak pernah berlaku kekurangan atau kepincangan dalam perkara melakukan ibadat sembahyang itu. 
Hanya kita di Brunei, mungkin belum ada statistik tentang sembahyang, tetapi di luar negara, kita sudah baca, bahawa penuntut-penuntut, bahkan mereka yang di peringkat menengahpun, masih ramai yang tidak atau belum sempurna sembahyang mereka. 
Apakah perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku di negara kita? Siapakah yang boleh berkata “TIDAK”, sedangkan kita belum lagi pernah mengkajinya? Atau belum pernah menyediakan sebarang statistik mengenainya?
Maka melalui majlis yang penuh berkat pada hari ini, Beta sukacita mengharapkan, supaya pihak-pihak yang berkenaan akan tampil untuk membuat kajian-kajian terperinci, bukannya setakat kajian rambang, mengenai pencapaian masyarakat, khasnya penuntut-penuntut kita pada keseluruhannya, termasuk juga para mahasiswa di pusat-pusat pengajian tentang mutu bacaan Al-Qur’an dan sembahyang mereka. 
Perlu diingat, kesalahan atau kekurangan di peringkat awal atau di peringkat kanak-kanak, adalah lebih mudah untuk memperbaikinya daripada setelah umur tua, di mana kesalahan atau kekurangan itu telah menjadi sebati. 
Bersempena dengan meraikan sambutan Isra’ dan Mi’raj ini, marilah kita sama-sama memuhasabah diri. Mana-mana yang masih kurang akan kita tambah dan apa jua yang belum disempurnakan akan kita sempurnakan dengan izin Allah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
***