Titah KDYMM sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Antarabangsa Bagi tahun 1443 Hijrah / 2022 Masihi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS MUSABAQAH
MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR ANTARABANGSA
BAGI TAHUN 1443 HIJRAH / 2022 MASIHI
 
PADA HARI KHAMIS MALAM JUMA’AT
05 SAFAR, 1444 / 01 SEPTEMBER, 2022
 
TEMPAT:
DEWAN PLENARI,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmat-Nya jua, dapatlah kita menghadhiri Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan kali yang ke-63 pada tahun ini.

Sudah setentunya perkara ini tidak akan berlaku tanpa izin Allah Subhanahu Wata’ala dan usaha ikhlas daripada semua peringkat, sama ada kerajaan mahupun masyarakat.

Menyebut usaha sebagai salah satu sebab untuk memperolehi apa yang dihajati, maka tidaklah memadai usaha tersebut cuma bersifat duniawi semata-mata, malah selaku umat berakidah, kita juga dituntut untuk mengimbanginya dengan usaha-usaha yang bersifat ukhrawi. Salah satu usaha bersifat ukhrawi itu ialah dengan mendampingi Al-Quran.

Mendampingi Al-Quran bererti membaca dan beramal dengan ajaran-ajarannya. Ini, adalah satu usaha yang dijamin dapat meraih keselamatan, sebagaimana tafsir ayat 16, surah Al-Maidah, bahawa:

“Dengan (Al-Quran) itu, Allah akan tunjukkan jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa saja yang mematuhi (apa-apa jua) yang di-redhai-Nya, dan (dengannya juga) Allah akan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang. (Demikian) dengan izin-Nya, Dia menunjukkan mereka jalan yang lurus.”

Alhamdulillah, sejak berkurun lamanya, kita di negara ini tidak pernah meminggirkan Al-Quran dan ajaran ugama. Malah kita selamanya bersuluh dengan Al-Quran dan ugama, sehingga datanglah petunjuk Allah kepada kita untuk memartabatkan Ugama Islam sebagai Ugama Rasmi Negara.

Ini adalah bukti, bahawa menghayati Al-Quran dan ajaran-ajaran Islam itu sudah menjadi darah daging kita orang-orang Brunei.

Mengapakah ini menjadi kemestian bagi kita? Kerana Al-Quran dan Islam adalah cahaya yang mampu untuk menerangi segalanya, termasuk mampu untuk melindungi kita dan negara daripada anasir-­anasir perosak, sama ada anasir itu nampak mahupun tidak nampak. Contoh anasir yang tidak nampak ialah seperti musuh dalam selimut dan makhluk dari kalangan jin dan syaitan.

Maka memang sangat bertepatan jika tema Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini, berbunyi: “Bertemankan Al-Quran Sepanjang Zaman.”

Maksud berteman dengan AI­-Quran itu, tidak lain dari menjadikannya sebagai ‘pendamping’ untuk dibawa ke mana saja, dibaca dan diamalkan pengajarannya, sehingga dengan itu insya Allah, dapatlah kita menunggu keberkatan dan syafa’at daripadanya.

Jika ini berlaku, maka barulah dapat dianggap sebagai tercapai maksud berdamping dengan Al-Quran itu. Sayugia pihak yang mencipta tema akan dapat menghurai dan memahamkan perkara ini kepada umum untuk dihayati, bukan setakat mengungkapkannya di atas kertas sahaja.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan tahniah kepada johan qari dan qariah dan juga peserta yang berjaya ke peringkat akhir pada tahun ini. Menang dalam musabaqah bukanlah matlamat utama, tetapi memperdengarkan bacaan yang baik adalah lebih mustahak untuk diberikan perhatian.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

 

Titah KDYMM sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-12 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-12
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
PADA HARI ISNIN
01HB. SAFAR, 1444
29HB. OGOS 2022
 
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadhir ke Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-12, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka dalam pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas usaha mereka memberikan dorongan dan sokongan untuk kejayaan para graduan.

Beta mengambil maklum, bahawa UNISSA menawarkan program da’wah dalam struktur pengajiannya. Sehubungan itu, Beta ingin mengimbas balik saranan Beta semasa mengadakan lawatan tidak berjadual ke Pusat Dakwah Islamiah baru-baru ini, supaya para da’ie diberikan latihan-latihan da’wah atau diberikan peluang bagi pengajian lanjutan dalam bidang da’wah.

Untuk itu, UNISSA memang patut untuk turut menyediakan program keilmuan atau kursus latihan bagi para da’ie. Kerana ketajaman da’wah sangat bergantung kepada ilmu dan kepakaran. Tanpa faktor ilmu dan kepakaran, hasil yang diharapkan tidak akan datang bergolek.

Disamping bidang da’wah, bidang-bidang lain juga sama-­sama perlu diperkasa, dengan para pelajar mesti digalakkan untuk memperolehi kelulusan akademik yang cemerlang.

Beta yakin, UNISSA adalah mampu untuk menjayakan apa jua program yang ditawarkannya. Setiap kejayaan itu adalah ia satu ‘pencapaian’, dan mengenai pencapaian ini, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA telah diiktiraf untuk memenangi Global Islamic Finance Awards (GIFA) dalam kategori GIFA Market Leadership Award (Education in Islamic Banking and Finance) 2021.

Kemudian, UNISSA seterusnya meraih kedudukan Top 201-300 dalam WURI Ranking (World’s Universities with Real Impact) yang diterajui oleh Institute for Policy and Strategy on National Competitiveness (IPSNC).

Manakala kursus ‘Projek Keusahawanan’ yang ditawarkan melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA pula, telah berjaya menduduki Top 51-100 dalam Kategori Semangat Keusahawanan.

Sistem ranking berkenaan adalah disokong oleh empat buah organisasi antarabangsa, iaitu Hanseatic League of Universities (HLU); the Institute for Industrial Policy Studies (IPS); the United Nations Institute for Training and Research (UNITAR); dan Tailor Institute, Franklin University Switzerland (FUS).

Ini adalah syi’ar, satu tanda kecemerlangan. Tahniah dan syabas kepada UNISSA.

Untuk pencapaian seperti ini dapat berterusan menjadi kenyataan, maka pihak UNISSA mustahak mempunyai sistem urus tadbir yang sentiasa relevan, terutama dalam menerajui hal ehwal pelajar, seperti menyediakan jadual pengajian, cara pengajian disampaikan, aktiviti-aktiviti berupa kokurikulum di luar bilik kuliah dan lain-lain, hendaklah mengikut piawaian yang betul. Kerana semua itu menjadi penentu kepada ‘kualiti’ warga UNISSA, khasnya para siswa dan siswinya. Malah peringatan ini juga Beta tujukan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.

Sesungguhnya pencapaian cemerlang para siswa dan siswi adalah merupakan mercutanda bagi semua Pusat Pengajian Tinggi. Kerana itu amat perlu, semua pengajian berjalan dengan lancar dan teratur tanpa banyak diganggu oleh aktiviti-aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan pengajian.

Ini, sangat mustahak diambil berat, demi untuk mengelakkan supaya pengajian dan tujuan untuk menghasilkan siswazah yang berkualiti tidak terjejas.

UNISSA, disamping untuk melahirkan siswazah yang berkualiti, ia juga merupakan agen untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat. Contohnya, UNISSA telah berjaya mewakafkan Mushaf UNISSA kepada masyarakat, termasuk komuniti di luar negara yang memerlukan.

Beta juga mengambil maklum, bahawa UNISSA kini menawarkan program Sains Halal dan Pertanian.

Hendaknya kedua-dua program ini akan bergerak seiring dengan agensi dan institusi lain bagi menjayakan agenda jaminan sekuriti makanan dan produk halal.

Bagi Sektor Tani dan Produk Halal, penyelidikan adalah diperlukan. Penyelidikan tersebut akan meliputi kajian fizikal terhadap bahan sebenar, seperti spesimen segar atau yang telah diawet. Uji kaji akan dijalankan di dalam makmal dengan melibatkan peralatan dan bahan kimia melalui analisis patuh disiplin dan standard yang diiktiraf.

Maka untuk memenuhi kepentingan ini, Beta pun memperkenankan penubuhan sebuah Makmal Saintifik di Kampus Sinaut dengan nama : “Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina Universiti Islam Sultan Sharif Ali”.

Beta optimis, dengan adanya makmal ini akan membuka ruang lebih luas untuk meneroka inovasi baru melalui penyelidikan berteknologi moden dan sekaligus menjadi pelaburan untuk melahirkan para graduan penyelidik yang berkebolehan.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA, yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan mereka untuk menjayakan Majlis Haflut Takharruj ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran pahala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-34 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-34
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
 (UBD)
 
PADA HARI ISNIN
24HB. MUHARRAM, 1444/
22HB. OGOS, 2022
 
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-34 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta lebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Kita sedia maklum bahawa dunia kini sedang melalui pelbagai perubahan, sejajar dengan kemajuan digital yang pesat. Ini tentu saja menjadikan landskap pengajian tinggi juga turut mengalami evolusi, yang memerlukan UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi lain menyiapkan diri ketika menjalani norma baharu dalam pengajaran, pembelajaran dan penggunaan sumber berkesan.

Dalam keghairahan membentuk pembelajaran digital, kita juga dikehendaki untuk menerapkan kecerdasan sosial dan emosi. Kerana selaku pelajar, bukan sahaja perlu cemerlang dalam kelulusan akademik, tetapi juga perlu lengkap dengan nilai-nilai luhur, seperti tabah, gigih, beriman, setia dan berani. Kecerdasan sosial dan emosi ini perlu ditanam dan dibudayakan dari awal pendidikan lagi sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Pengajian tinggi juga perlu terus relevan untuk melahirkan graduan yang employable dan future-proof. Maka untuk itu, kurikulum GenNext UBD dilihat telahpun berhasil melahirkan graduan yang diharapkan itu. Namun, selaras dengan visi UBD iaitu National Relevance Global Impact, maka sangatlah sesuai jika kurikulum GenNext itu direview.

Beta sangat mengalu-alukan inovasi dalam penyediaan program mempraktikkan kaedah blended learning, dimana para graduan bukan sahaja akan mendapat segulung ijazah, malahan juga akan mendapat pensijilan profesional.

Sehubungan itu, Beta gembira, bahawa UBD telahpun memperkenalkan satu program baru, iaitu Bachelor of Applied Artificial Intelligence, yang akan mengambil masa tiga (3) tahun pengajian yang bermula pada sesi akademik 2022/2023. Beta difahamkan, program ini adalah kolaborasi dengan Coursera, iaitu salah satu penyedia terbesar di dunia bagi kursus-kursus profesional melalui platform dalam talian yang akan membawa pensijilan profesional daripada syarikat ternama seperti Google dan IBM.

Beta berharap, semua ini mampu untuk menjadikan para graduan lebih industry-ready, berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan di dalam dan di luar negara mahupun mampu untuk berdikari sendiri mewujudkan peluang pekerjaan.

Menyebut mengenai pekerjaan, Beta mengambil maklum bahawa Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat UBD telah merangka garispanduan dan peraturan bagi pembelajaran sepanjang hayat dimana kelayakan mikro ataupun micro credentials yang dinamakan micro-bachelor dan micro-master akan diperkenalkan, untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini meningkatkan kapasiti dan meluaskan peluang kemajuan kerjaya (career progression) masing-masing.

Mengenai ranking, Beta juga mengambil maklum bahawa subjek Modern Languages di UBD telah untuk julung kalinya menduduki kedudukan 300-330 di dalam QS World University Rankings by Subject pada tahun 2022. Dalam penyelidikan pula Beta ucapkan tahniah kepada UBD atas peningkatan ketara dalam impak citation penyelidikan bagi Times Higher Education World University Ranking. Dalam hubungan ini, Beta amat mengalu-alukan penglibatan pihak industri dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam kesibukan para pelajar dengan agenda pengajian akademik dan kehidupan seharian, Beta gembira mengetahui bahawa UBD juga sedang mengukuhkan lagi program bimbingan Al-Quran yang sedia ada dengan melaksanakan program baru yang dinamakan Quranic Journey yang menjurus kepada membantu dan memastikan para pelajar Islam di UBD pandai dan faham serta cinta kepada Al-Quran,  selaras dengan moto UBD: ‘Ke Arah Kesempurnaan Insan’.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga segala usaha mereka itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17, Tahun 2022

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN

KALI KE-17

PADA HARI SELASA,
11 MUHARRAM 1444 / 9 OGOS 2022
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN

ANTARABANGSA, BERAKAS

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du. 

Beta bersyukur kerana dapat berkumpul bersama-sama bagi menghadhiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17 pada pagi ini.

Tidak syak lagi para Belia adalah komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara, selaku ‘stakeholder’ yang dinamik.

‘Acuan’ yang tepat adalah diperlukan untuk menjadikan golongan belia lebih bersedia dalam memacu pembangunan negara.

Hari ini kita melihat transformasi belia sedang berlaku, dengan mereka itu didapati lebih berwawasan dan berani untuk meneroka bidang-bidang baru, di antaranya bidang perekonomian, digital, inovasi sosial, agri-bisnes dan industri-kreatif.

Beta amat gembira apabila golongan belia kita menunjukkan pencapaian prestasi yang membanggakan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat serantau dan antarabangsa.

Misalnya dari sudut pertumbuhan ekonomi, hasil produk usahawan belia telah melangkaui jauh sehingga ke peringkat luar negara, khususnya dalam bidang teknologi komunikasi, pembangunan aplikasi pintar dan perisian (software), agri-bisnes, tekstil dan kreatif.

Sehubungan ini Beta mengalu-alukan kiranya lebih ramai lagi para usahawan belia menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, sebagai usaha memperkasa ekonomi negara.
Dari aspek kepimpinan pula, para belia kita turut menyandang pengiktirafan dari luar negara atas usaha dan komitmen yang mereka laksanakan, sama ada di peringkat ASEAN mahupun antarabangsa, seperti dalam bidang kesukarelawan, kemanusiaan dan kesukanan.

Baru-baru ini, atlet-atlet belia mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dan kejayaan dalam kejohanan sukan prestasi tinggi pada Kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) ke-31 di Vietnam dan The World Games 2022, Birmingham, Amerika Syarikat.

Namun Beta suka mengingatkan, bahawa ‘keharuman’ nama Negara Brunei Darussalam memang sudah sedia ada, walaupun tanpa meraih sebarang pingat. Tetapi yang lebih penting bagi kita bukanlah mengejar pingat, bahkan sangat utama ialah ‘Menjaga Nama Baik Negara’ dalam apapun bentuk tindak tanduk atau aktiviti kita.

Kalaupun hendak menempah kejayaan, maka para belia juga adalah tetap dituntut untuk tidak mengabaikan akhlak yang mulia dan tidak meminggirkan ke tepi calak kebruneian kita: “Melayu Islam Beraja.”

Beta yakin, inilah wadah atau landasan strategi yang sangat sesuai lagi afdhal untuk dilalui oleh para belia kita. Jangan fikir, dengan wadah ini kita berundur ke belakang, tidak! Tetapi para belia kita masih sahaja tetap berpeluang untuk melakukan pelaburan berskala besar ke persada yang lebih tinggi dan malah mampu untuk mencetuskan perubahan-perubahan dalam usaha-usaha pemulihan dan perkembangan ekonomi.

Pada kesempatan ini, Beta menyeru semua agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara amnya, untuk terus mendukung perlaksanaan Dasar Belia Negara dan Strategi, demi memastikan perlaksanaan dan kejayaan program yang dirancang menepati sasaran.

Untuk akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka, sama-sama membangun dan memajukan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1444

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1444
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1444.

Beta mengambil maklum bahawa tema sambutan kali ini menggalakkan supaya Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa dalam menghadapi ujian.

Tema ini dilihat sangat sesuai dengan situasi masa ini, dimana kita masih berhadapan dengan wabak koronavirus.

Bersabar dan berikhtiar, serta bertawakal dan berdo’a adalah memang ajaran ugama. Terutama sifat sabar menjadi penentu kepada kesempurnaan iman seseorang, sebagaimana maksud sebuah Hadits, riwayat Muslim yang mahfumnya: “(Tanda) iman seorang mukmin sempurna adalah, apabila dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur. Maka itulah kebaikan baginya. (Dan) apabila (sebaliknya) dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka itulah kebaikan baginya.”

Syukur dan sabar adalah pakaian nabi-nabi dan orang-orang salih. Kita perlu bersikap seperti mereka itu, kerana ‘syukur’ menambahkan nikmat, sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Ibrahim, Ayat 7, tafsirnya: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu.”

Sementara ‘sabar’ pula mengukuhkan kedudukan, berdasarkan orang sabar itu sentiasa ‘bersama-sama’ dengan Allah, sebagaimana dapat dirujuk maksud Ayat 153, Surah Al-Baqarah.

Sesungguhnya tidak ada apa lagi yang patut dirisaukan atau ditakutkan, jika Allah sudah bersama-sama dengan kita.

Di sinilah terdapat pengajaran HIJRAH, dimana Sayyidina Abu Bakar radhiallahu ‘anhu yang ketika itu bersama-sama dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam gua, bahawa beliau (Sayyidina Abu Bakar) merasa amat cemas dan takut, kerana menganggap musuh dari luar gua sudah nampak kepada mereka, sehingga mendorong Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda memberikan perangsang, maksudnya: “(Wahai Abu Bakar), janganlah takut dan berdukacita, sesungguhnya Allah adalah bersama-sama dengan kita.”

Dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini, maka turunlah ketenangan kepada Sayyidina Abu Bakar, yang sekali gus telah menjayakan misi Hijrah yang penuh dengan cabaran itu.

Perkara ini seyugia menjadi iktibar, khasnya dalam keadaan kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Disamping melakukan usaha-usaha biasa, maka pergantungan kepada Allah juga adalah rukun utama kehidupan.

Hijrah adalah satu usaha untuk menghindari musibah yang ditimpakan oleh musuh akidah. Tetapi ia bukan setakat usaha biasa, malah usaha yang dihiasi dengan niat kerana Allah, iaitu untuk menyelamatkan ugama dan mencari keredhaan-Nya. Maka dengan niat demikian itulah, HIJRAH telah berjaya menepati sasarannya.

Mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, maka elok sangat, jika dalam menangani Covid-19, kita menghiasi semua usaha kita dengan ‘niat suci’ kerana Allah agar dihindari daripada wabak, supaya dengan itu kita dapat melakukan ibadat dengan selesa dan dapat menunaikan lain-lain kewajipan dengan lebih baik dan sempurna.

Inilah cara yang sebaik-baiknya mendekati Allah, iaitu melalui ‘niat kerana Allah’, bagi memperolehi sesuatu yang dihajati. Sesungguhnya Allah adalah menilai semua perbuatan kita berdasarkan niat, sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu perkara ini, maksudnya: “Semua perbuatan itu adalah dengan niat.”

Maka bersempena dengan menyambut Awal Tahun Hijrah 1444 ini, marilah kita mengotakan azam akan menjadikan “niat baik kerana Allah” sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal salih kita.

Misalnya kalau kita membangun, membangun itu kita niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat. Kalau kita menjana ekonomi, menjana ekonomi itu kita niatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara. Kalau kita menjalankan undang-undang, menjalankan undang-undang itu kita niatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan. Kalau kita memperkasa pertahanan, memperkasa pertahanan itu niatkan kerana Allah untuk keselamatan. Kalau kita menangani Covid-19, juga kita niatkan kerana Allah untuk kebaikan semua, dan lain-lain lagi.

Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita yang demikian itu, semua pekerjaan atau usaha kita yang berkebajikan akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1444, semoga kita dan negara sama-sama dipayungi oleh rahmat di sepanjang tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-76 Tahun 1443H/2022M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-76
TAHUN 1443H/2022M

PADA
HARI JUMA’AT,
15 ZULHIJJAH 1443 BERSAMAAN 15 JULAI 2022

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdullilah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala  di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-76 dalam suasana aman dan selamat.

Terlebih dahulu Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

Walaupun kita masih diselubungi oleh kebimbangan akibat ancaman Covid-19, namun negara perlu melakar beberapa strategi pemulihan ekonomi yang mewajarkan kita dapat kembali kepada keadaan sedia kala.

Perkara ini dianggap perlu kerana mengambil kira Wawasan Brunei 2035 adalah semakin hampir, dimana negara mesti menggerakkan matlamatnya tanpa berlengah-lengah lagi, termasuk menitikberatkan pembangunan ekonomi.

Langkah Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara alhamdullilah, telahpun mula menampakkan hasilnya. Sejak lima tahun kebelakangan ini, Sektor Bukan Minyak dan Gas telah berkembang secara purata, pada kadar 4 peratus setahun.

Sebagai contoh, Sektor Hiliran iaitu salah satu sektor utama ekonomi, telahpun menunjukkan peningkatan signifikan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat dari BND200 juta pada tahun 2019 kepada BND 1.6 bilion pada tahun 2021. Sementara nilai eksport bagi Sektor Bukan Minyak pula, secara keseluruhan pada tahun 2021 adalah berjumlah BND 7.8 bilion, meningkat melebihi nilai eksport sektor Minyak dan Gas yang hanya berjumlah BND 6.4 bilion sahaja.

Bagi tahun 2022, beberapa agensi antarabangsa seperti International Monetary Fund (IMF), ASEAN+3 Marcoeconomic Research Office (AMRO) dan Asian Development Bank (ADB) masing-masing itu telah menjangkakan ekonomi Negara Brunei Darussalam berkembang pada kadar 1.8%, 4.1% dan 4.2%. Jangkaan positif ini mengambilkira potensi pertumbuhan bagi beberapa sektor perekonomian di negara ini, termasuk sektor makanan, baja dan kimia.

Beberapa syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDIs) yang telahpun memulakan operasinya pada tahun ini dan telah juga memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan seperti Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad telah pun menghasilkan eksport urea sejak bulan Februari 2022. Di samping itu, FDIs juga tentu saja akan memberi peluang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beta sangat berharap, PMKS yang dipunyai dan diusahakan sendiri oleh anak-anak tempatan akan meraih peluang ini. Sebagaimana telah Beta titahkan semasa Majlis Bersempena Hari Keputeraan Beta yang ke-75 pada tahun lepas mengenai dengan kajian Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Lembaga Tabung Amanah Pekerja terhadap skim persaraan bagi menggantikan skim TAP yang ada pada masa ini. Alhamdulillah, Beta mengambil maklum bahawa pihak Tabung Amanah Pekerja telahpun mengongsikan struktur Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).

Menyentuh mengenai jaminan keselamatan makanan, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketegangan geopolitik serta gangguan rangkaian perbekalan telah menjejaskan perbekalan makanan dunia. Ini sepatutnya memberi petunjuk kepada kita, bahawa negara tidak boleh untuk selama-lamanya hanya bergantung kepada perbekalan daripada luar. Namun alhamdulillah, data telah menunjukkan bahawa dari tahun 2019, sektor permakanan di negara ini telah berkembang secara purata sebanyak 11.4%. Dan dari sudut eksport pula, pada tahun 2021, nilai yang direkodkan adalah sebanyak kira-kira BND 52 juta berbanding hanya BND 8 juta pada lima tahun yang lalu.

Bagi hubungan antarabangsa, kerjasama dan hubungan pelbagai hala yang telah dijalin dengan rakan-rakan serantau bahkan juga rakan-rakan Dialog akan terus dipelihara dan dikembang majukan. Ini penting, untuk mencapai sasaran menikmati keamanan dan keselamatan bersama.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, Warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan perayaan ini.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***