Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Ke-11 KUPU SB

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KESEBELAS
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA

SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1443H/2021M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita hadhir ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-11 pada pagi yang berkat ini.

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan kursus dan pengajian masing-masing.

Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada semua tenaga akademik dan ahli keluarga di atas kesabaran dan dedikasi mereka memberikan bimbingan dan sokongan kepada para graduan sehingga mereka itu berjaya.

Dedikasi adalah antara ciri utama untuk meraih kejayaan dan keberkesanan dalam pendidikan. Oleh itu para guru, ibu bapa dan lebih-lebih lagi graduan sendiri sangatlah mustahak untuk sentiasa memiliki sifat dedikasi itu.

Bagi para graduan adalah perlu untuk mengamalkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dari pusat pengajian seperti KUPU SB ini, serta menyebarkannya kepada masyarakat. Pengalaman dan pengetahuan yang sentiasa dipupuk dan diamalkan itulah, sebenar-benarnya, matlamat pengajian.

Beta melihat, KUPU SB sangat berkaitan dengan banyak keperluan semasa.

Sejak penggubalan korikulumnya beberapa tahun yang lalu, KUPU SB sudahpun menawarkan pelbagai kursus minor sebagai nilai tambah bagi pengalaman dan pasaran kerjaya graduannya.

Demikian juga KUPU SB telah menjadikan ‘Sejarah Islam’ sebagai subjek teras bagi Program Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama. Langkah ini diambil, adalah sebagai respon spontan terhadap titah Beta semasa Majlis Mengadap Hari Keputeraan pada tahun 2018, yang menyarankan supaya Mata Pelajaran Sejarah Islam itu dijadikan mata pelajaran wajib di semua institusi pengajian. Tahniah kepada KUPU SB.

Sehubungan itu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah lagi fakulti baru di KUPU SB iaitu ‘Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan’, yang akan berfungsi untuk membuat penyelidikan, mengembangkan silibus dan pedagogi yang berkaitan dengan kemasyarakatan, seperti Sejarah Islam, Pendidikan Kesihatan, Peradaban dan lain-lain.

Beta juga gembira mengikuti langkah-langkah kemasyarakatan KUPU SB, seperti mengadakan program-program kerohanian dan intelek dengan menganjurkan umpamanya, jerayawara Menghalusi Sembahyang Menurut Mazhab As-Syafi’e yang melibatkan sehingga lebih kurang 1,500 guru-guru yang bukan mengajar subjek Pengetahuan Ugama Islam di Kementerian Pendidikan, menganjurkan Kursus Training for Trainers untuk guru-guru bagi kemahiran mengajar al-Qur’an, menganjurkan Seminar Kebangsaan Pendidikan MIB, mengadakan Bengkel Pemantapan Da’ie dan lain-lain.

Ini semua adalah projek ilmu yang bermanfaat belaka.

Dari sudut antarabangsa pula, Beta mengambil maklum bahawa KUPU SB adalah semakin menyerlah dikalangan universiti-­universiti mahupun individu yang berminat dalam bidang pendidikan. Beberapa seminar antarabangsa secara maya dan kesepakatan membuat kajian bersama diantara KUPU SB dengan universiti luar negara telahpun pernah diadakan. Sementara pada tahun ini, KUPU SB terus melangkah ke hadapan menawarkan biasiswa “Brunei Darussalam Government Scholarship for Foreign Students” kepada calon-calon yang berkelayakan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Apabila ini diteroka, bererti KUPU SB telah mengembangkan sayapnya sehingga ke arena antarabangsa.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan sekalian di atas jasa dan khidmat mereka yang telah disumbangkan.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga setiap amal kebajikan itu akan diganjar oleh Allah dengan ganjaran yang melimpah-limpah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-9
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
 
PADA HARI SABTU
10 REJAB 1443 /
12 FEBRUARI 2022
 
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.

Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Beta amat gembira dengan kejayaan UTB meraih kecemerlangan dalam penarafan Bintang 5-Plus oleh QS Star Rating. Pencapaian ini adalah bukti ketangkasan UTB melonjakkan UTB kepada piawaian global.

Perkara lain yang juga menggembirakan ialah kejayaan UTB dalam meraih kedudukan ke-344 di QS World University Rankings, Ke-126 di QS Asia University Ranking  dan tempat ke-40 di Asia bagi universiti di bawah umur 50 tahun.

Beta juga mengambil maklum bahawa sejak 2018, UTB telah naik 98 anak tangga dan meningkat tiga kali serta tidak menunjukkan prestasi negatif. Kejayaan ini telah meletakkan UTB di hadapan beberapa buah universiti berprestij.

Manakala, laporan QS Subject Ranking juga telah mendedahkan pada julung kalinya bahawa program Kejuruteraan Petroleum UTB telah mencapai tangga 150 teratas dan program Kejuruteraan Awam dan Struktur, meraih 5 bintang. Beta ucapkan syabas di atas kejayaan ini.

Pada tahun 2019, Beta pernah bertitah untuk mengemaskini program-program yang ditawarkan supaya relevan dengan keperluan semasa.

Dalam hubungan ini, Beta dimaklumkan bahawa UTB kini telah menawarkan beberapa program baru yang telah dikaji mengikut keperluan dan trend semasa. Program-program tersebut antara lain adalah dihasratkan untuk mendukung keperluan dan perkembangan negara.

Beta difahamkan bahawa Majlis Konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan penganugerahan sulung bagi ijazah Sarjana Muda Sains dalam Architecture, Data Analytics, Matematik Gunaan dan Ekonomi serta Sains Makanan dan Teknologi.

Manakala program-program Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi kecuali Kejuruteraan telah dipendekkan kepada 3 tahun. Sehubungan itu, Beta menasihatkan supaya kesempatan ini dapat digunakan untuk menyemak sumber keperluan tenaga pekerja secara menyeluruh menurut keperluan kepakaran.

Beta juga menyambut baik mengenai kerjasama berterusan UTB dengan pihak industri, termasuk kerjasama UTB dengan Brunei Shell Petroleum dan Shell Deepwater Borneo untuk menubuhkan Artificial Intelligence Lab di UTB, yang merupakan “Gift to the Nation”. Manakala kerjasama dengan Makmal Akademi ICT Huawei adalah melalui pensijilan nilai tambah kepada pasaran pekerjaan global dalam bidang ICT.

Selain itu, UTB dan AITI juga akan menubuhkan makmal 5G bagi 5G Use Cases Showcases dalam kampus. Program artikulasi di antara UTB dan Micronet International College dalam Ijazah Sains Pengkomputeran akan melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang multimedia dan network security. Beta gembira dengan langkah dan inisiatif-inisiatif UTB dalam mendukung hasrat negara ke arah Smart Nation yang dipacu oleh lanskap Teknologi Digital dalam Kerajaan, Ekonomi dan Masyarakat.

Melalui usaha-usaha ini, Beta berharap UTB akan dapat mempertingkatkan lagi penyelidikannya dengan menumpukan bidang-bidang pengkhususan seperti sains dan teknologi makanan, nanoteknologi, teknologi industri hiliran, sains bahan dan artificial intelligence. Ini akan dapat menyumbang kepada penghasilan penerbitan, patent dan juga pengkomersialan yang akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara kita.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta berharap agar semua graduan dapat memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi negara sebagai tenaga kerja yang memiliki growth mindset dan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dan merebut peluang daripada perkembangan teknologi dan perubahan global yang pesat.

Beta turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai­Pegawai Utama, Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-11 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-11
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
PADA HARI RABU
29HB. JAMADILAKHIR 1443
02HB. FEBRUARI 2022
 
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah Beta merafa’kan Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-11, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Mengambil sukut baik Majlis ini, Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka dalam bidang pengajian masing-masing. Tidak lupa juga, ucapan tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan para pensyarah atas usaha dan pengorbanan mereka dalam sama-sama menyokong bagi kejayaan para graduan.

Kepada para graduan pula, segulung ijazah yang diterima, bukanlah garis penamat dalam menimba ilmu. Sebaliknya ijazah, cuma pendorong atau pencetus semangat ke arah yang lebih jauh lagi. Kerana semakin tinggi dan mantap ilmu itu, maka semakin berupayalah ia untuk mengangkat bangsa ke martabat yang tinggi, sebagaimana mafhum dari ayat 11, Surah AI-Mujadalah:

“…Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat…”

Di sinilah letaknya kepentingan pendidikan sepanjang hayat, khusus pendidikan seimbang bagi kepentingan duniawi dan ukhrawi.

Oleh itu, Beta ingin menekankan supaya pendidikan seimbang itu benar-benar diperkasa untuk mencorakkan identiti bangsa.

Sehubungan itu, Beta gembira mengetahui, bahawa UNISSA begitu aktif menawarkan program­program pembelajaran sepanjang hayat kepada para penjawat awam dan swasta serta orang ramai. Program-program seumpama ini sememangnya baik, dan malah perlu untuk diteruskan, bukan sahaja oleh UNISSA malahan juga institusi-institusi pengajian tinggi yang lain dengan menawarkan program-program baharu yang relevan dengan keperluan semasa.

Turut penting juga, ialah usaha untuk melengkapkan dan mengembangkan kemahiran pengetahuan profesional dikalangan tenaga profesional sendiri, termasuk para tenaga akademik dan tenaga bukan akademik. Usaha ini perlu dibuat secara berterusan supaya hasilnya dapat meningkatkan kualiti dan keberkesanan pengurusan di universiti.

Atas kepentingan inilah, Beta menyambut baik inisiatif menubuhkan Unit Pembangunan Profesional di UNISSA, yang akan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kompetensi dan kualiti sumber tenaga manusia di UNISSA.

Selain itu untuk kecemerlangan pengajaran, UNISSA juga perlu terus bergiat meningkatkan program penyelidikannya. Perundangan Islam, perbankan dan kewangan Islam, pertanian, sains halal dan isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa ini adalah bidang-bidang yang boleh diteroka untuk dikajiselidik oleh tenaga akademik UNISSA.

Pencapaian dan kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan itu kelak akan menjadikan UNISSA sebagai antara universiti-universiti Islam terkemuka di dunia.

Dalam hubungan ini, Beta turut mengikuti perkembangan UNISSA dalam bidang penerbitan, yang antaranya baru-baru ini, berjaya menerbitkan 33 buah buku ilmiah terbaharu 2021, yang dihasilkan secara kerjasama antarabangsa melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA.

33 buah buku dalam pelbagai bidang yang ditulis dalam bahasa­bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, bukanlah satu kerja yang mudah, melainkan hasil dari usaha memeras otak dengan melakukan kajian dan penyelidikan jua. Kerana itu untuk UNISSA, wajar diberikan pujian, berdasarkan, usaha seperti ini dapat disifatkan sebagai ‘usaha besar’ yang melayakkan UNISSA memiliki taraf (level of rank) tersendiri.

Beta melihat usaha seperti ini elok diteruskan dan bahkan patut dicontohi.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan, sambil berharap, semua mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari untuk sama-sama menangani dan menyelesaikan isu-­isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa ini.

Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi­tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-11 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati serta mengurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-33
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM 
(UBD)

PADA HARI SABTU
25HB JAMADILAKHIR 1443
29HB JANUARI 2022

BERTEMPAT 
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Universiti Brunei Darussalam pada hari ini.

Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik coronavirus, namun alhamdulillah, situasi pandemik di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal, sehingga membolehkan aktiviti-aktiviti seperti majlis konvokesyen pada hari ini dapat dijalankan.

Menyebut mengenai strategi, Beta difahamkan, bahawa UBD telahpun sampai keputaran Pelan Strategik lima tahunnya pada hujung tahun 2020. Di antara pencapaian signifikan dalam pelan strategik tersebut ialah kemasukan UBD buat julung kalinya ke dalam dua world university rankings yang terkemuka, iaitu QS dan Times Higher Education. Selain dari itu, UBD juga telah memperkembangkan kampusnya berupa kampus luar negara pertama di Da Nang, Vietnam.

Beta juga difahamkan bahawa UBD telah memulakan inisiatif-inisiatif pelan strategiknya dari 2021 ke 2025 dengan visi National Relevance, Global Impact. Sehubungan itu, Beta mengharapkan supaya UBD lebih memfokus kepada keperluan nasional yang berimpak tinggi, seperti teknologi digital dan kesejahteraan sosial. Penyelidikan juga patut diberi tumpuan, sejajar dengan keadaan masa kini yang mementingkan kesihatan dan perubatan, pendidikan, alam sekitar dan pembangunan lestari. Secara langsung, diperlukan juga untuk terlibat memberikan input akademik dalam agenda pembangunan dan perkembangan sosio-ekonomi negara.

Mengenai sosio-ekonomi negara, adalah sangat diperlukan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan. Oleh itu Beta gembira, bahawa UBD akan terus memperkembangkan serta menekankan lagi pembelajaran sepanjang hayat, sebagai inisiatif meningkatkan kemahiran dan kecekapan masyarakat, terutama sekali dalam konteks ekonomi global dan teknologi yang pesat berkembang.

Disamping itu, Beta turut melihat, bahawa institusi pengajian tinggi di negara ini, mungkin sudah masanya untuk meneroka kelayakan mikro ataupun micro credentials yang kini mengubah landskap pendidikan, akibat pendigitalan sektor pendidikan tinggi dan transformasi digital di kalangan industri. Micro credentials menawarkan bentuk pembelajaran yang sangat fleksibel dan inklusif yang membolehkan kemahiran dan kecekapan diperolehi. Ini amat sesuai dalam keadaan kita sedang memerlukan pekerja dan pencari kerja yang mahir serta berdaya-saing. Tidak diragukan lagi, penyelidikan dan inovasi adalah pemangkin utama ekonomi digital.

Mengenai pencapaian inovasi, Beta mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UBD atas penganugerahan Clarivate South and South East Asia Innovation Award 2020 dalam kategori institusi pendidikan. Beta difahamkan bahawa anugerah ini adalah berdasarkan invention atau penemuan, jumlah dan kejayaan paten serta tahap globalisasi berdasarkan pelaburan paten. Beta juga difahamkan bahawa UBD adalah antara 6 universiti di rantau ini yang mendapat anugerah sebagai ‘innovator’ teratas tersebut. 

Beta yakin, jika aspek pengajaran dan penyelidikan dimantapkan, maka UBD boleh akan lebih melonjak selaku sebuah universiti ternama di dunia.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta menyeru supaya semua graduan gigih berdikari dan berdaya tahan serta pandai menyesuaikan diri untuk sentiasa relevan. Selain dari itu, Beta juga mengingatkan para graduan untuk mengekalkan integriti berdasarkan ajaran Islam supaya sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. 

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaranNya yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***

Titah KDYMM sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS

10 JAMADILAKHIR 1443 / 13 JANUARI 2022

BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah kita syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat sama-sama hadhir untuk menyaksikan Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh (20), Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Tahniah dan Syabas kepada Lapan Puluh Satu (81) orang Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka serta sekaligus mempamerkan penampilan yang kemas dan bersemangat di perbarisan sebentar tadi, setelah menamatkan latihan selama setahun, dan kini bersedia pula untuk memikul tanggungjawab sebagai pegawai atau pemimpin muda di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Penghargaan dan ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga atas sokongan dan do’a untuk kejayaan anak-anak mereka mengikuti latihan Pegawai-Pegawai Kadet Ke Dua Puluh (20) ini.

Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah merupakan wadah penting dalam membentuk syakhsiah Pegawai Tentera dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Oleh itu, bagi Sekolah Pegawai Kadet ini, mustahaklah ia sentiasa relevan untuk melahirkan barisan pemimpin Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkualiti.

Disamping menitikberatkan latihan ketenteraan dan kepimpinan, Sekolah Pegawai Kadet juga perlu menekankan penerapan kerohanian supaya Pegawai-Pegawai Tentera mempunyai disiplin yang teguh, bercirikan nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan falsafah Melayu Islam Beraja.

Dengan kelahiran terbaru 81 orang pegawai pada hari ini, alhamdulillah, Sekolah Pegawai Kadet telah berjaya menghasilkan seramai 606 orang para Pegawai Tentera dari dua puluh (20) pengambilan.

Beta melihat, Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan kini, sudahpun mampu untuk menerima kemasukan Pegawai-Pegawai Kadet dari negara-negara sahabat, khususnya di rantau ini, bagi mengikuti latihan Pegawai Kadet di Negara Brunei Darussalam.

Membuka peluang ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi hubungan diplomasi pertahanan yang sedia ada, malah juga mampu untuk menaikkan profil dan pengiktirafan Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei khasnya, dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam sudut yang berkaitan, Beta sangat menghargai sumbangan dan komitmen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selaku sebuah institusi pertahanan negara yang sentiasa siap siaga menunaikan amanah menjaga keselamatan dan keamanan negara. Ini terbukti, bilamana Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama-sama dengan agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan telah memainkan peranan utama dalam menangani penularan COVID-19. Beta berharap usaha-usaha yang terpuji seperti ini akan dapat disumbangkan secara berterusan.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai kadet yang baru saja menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan, Pegawai Pemerintah, Ketua Pengambilan, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, Jurulatih dan Staf Sekolah Pegawai Kadet atas kegigihan dan pengorbanan mereka menjayakan latihan dan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini. Beta berdo’a, semoga kita semua dapat taufeq dan ‘inayah Allah Subhanahu Wata’ala serta Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan akan bergerak terus ke hadapan, memacu kejayaan dan kecemerlangan.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam, maka Beta kurniakan tauliah Sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Lapan Puluh Satu (81) Pegawai Pengambilan Ke Dua Puluh (20).

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masihi 2022

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN BARU MASIHI 2022
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, tidak ada yang lebih bererti, dari merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat berada dalam tahun baru Masihi 2022.

Inilah antara nikmat yang tidak dapat dinilai dengan apapun, seperti juga nikmat umur, nikmat kesihatan, nikmat kemakmuran dan pelbagai lagi bentuk nikmat, yang semua itu adalah merupakan kurnia Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata.

Menyebut lagi tentang wabak koronavirus, baru-baru ini dunia dikejutkan pula oleh kemunculan varian baru (Omicron). Menurut sumber mutakhir, Omicron setakat ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia, yang menambahkan lagi kebimbangan global. Namun kita selaku umat yang beriman, tetap melihat perkara itu sebagai ketentuan Allah jua.

Sebagai usaha menghadapi wabak, Brunei telah melaksanakan program vaksinasi kebangsaannya dengan lancar dan berjaya, sehingga mampu membawa Negara ini memasuki fasa endemik.

Dengan memasuki fasa ini, beberapa aktiviti yang dahulunya disekat sudah boleh dibuat, tetapi masih saja dikehendaki untuk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Beta juga ingin terus mengingatkan supaya kita semua jangan leka atau lupa apabila diberi kelonggaran, kerana sedikit sahaja lupa, boleh mengundang padah.

Walaupun kita sama-sama bergelut dengan wabak pandemik, namun pada tahun 2021, Negara alhamdulillah, telah ditakdirkan berjaya mempengerusikan ASEAN. Warga ASEAN dilihat gembira, kerana dapat meningkatkan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN.

ASEAN juga sedang berusaha supaya warga belia dapat mewarisi rantau ini dengan pembangunan-pembangunan mampan, di mana untuk itu ASEAN telahpun menubuhkan ASEAN Junior Fellowship Programme.

Berbalik mengenai pencapaian negara, alhamdulillah Negara kita telah dinobat mendapat kedudukan ke-21 daripada 214 buah negara dalam Government Effectiveness Index yang berpandukan kepada laporan Worldwide Governance indicators 2021 keluaran World Bank. Sudah setentunya pencapaian ini memerlukan kerja keras yang lebih di kalangan semua pihak di Negara ini.

Dalam usaha memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, penyediaan sumber tenaga manusia yang marketable dan employable adalah sangat penting untuk diberi perhatian. Di sini, program-program pembelajaran sepanjang hayat adalah berkaitan.

Mengenai pembelajaran ini, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian-Kementerian yang berkenaan, telahpun membuat perancangan menyeluruh untuk meneruskan program persekolahan dalam fasa peralihan atau fasa endemik. Beta berharap, ia akan dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang.

Secara umumnya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke Sebelas, agenda-agenda pembangunan adalah berjalan dengan baik. Di bawah rancangan ini, banyak projek telah dan sedang dalam perlaksanaan. Namun agak dikesali apabila mengetahui, bahawa banyak bangunan kepunyaan Kerajaan yang terbiar dan tidak digunakan lagi. Mengapa? Beta melihat, perkara ini perlu ditangani secara holistik oleh pihak berkepentingan, supaya aset-aset berkenaan dapat dimanfaatkan dan sekaligus untuk mengelak pembaziran. Disamping itu, semua kementerian adalah digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared facilities agar perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai Wawasan Negara 2035.

Kita juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN). Dengan sistem ini, permohonan bantuan kebajikan akan dapat dipercepatkan, serta bantuan pula dapat ditentukan hanya untuk mereka yang benar-benar berhak sahaja.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, para sukarelawan, para barisan hadapan, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2021.

Beta juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak mahupun dalam mendokong agenda pembangunan negara.

Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan, khusus ketika Negara mengalami gelombang kedua pandemik.

Selamat Tahun Baru Masihi 2022 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***