Titah Perutusan KDYMM Bagi Majlis Ilmu 2020 Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-74 Tahun

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BAGI MAJLIS ILMU 2020
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG
KE-74 TAHUN
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, Majlis Ilmu tahun ini masih saja dapat diungkayahkan, walaupun negara masih berwaspada terhadap penularan wabak koronavirus.

Sehubungan itu, Beta berpendapat, kita masih saja tidak boleh leka dengan keadaan sekarang. Usaha dan langkah berjaga-jaga masih saja perlu diteruskan, dengan ayat-ayat al­Qur’an dan do’a-do’a terus diamalkan.

Sesuai dengan tema Majlis Ilmu pada tahun ini iaitu “Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah”, kita tidaklah wajar untuk lupa bersyukur di atas limpah kurnia Allah menyelamatkan kita dan negara dari wabak yang sedang menular itu.

Tema ini cukup relevan untuk dibincangkan oleh para ilmuan yang terdiri daripada para ulama, pakar perubatan dan kesihatan, serta juga ahli akademik. la tidak syak lagi adalah perkara penting, kerana kesihatan merupakan anugerah Allah yang amat berharga.

Sejajar dengan tuntutan ugama, maka inilah masanya untuk semua pihak komited dengan perkara kesihatan. Kerana itu juga dianggap satu cara untuk mengelakkan jangkitan wabak.

Pada hemat Beta, sesuai dengan suasana Majlis Ilmu, tidak syak lagi, perkara wabak koronavirus mustahak untuk dibuat kajian dan huraian termasuk mencari jawapan mengapa wabak ini alhamdulillah, dapat dikawal dengan berkesan di negara kita, adakah pada pendapat para ilmuan, bahawa diantara sebabnya ialah, kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, disamping secara konsisten menggunakan ‘vaksin ketuhanan’ berupa ayat-ayat al­Qur’an dan do’a-do’a?

Perkara ini penting, kiranya dengan kajian dan huraian itu akan dapat menyingkap sedikit hikmah disebalik kejadian. Sesungguhnya hikmah itu mampu untuk memberi impak kepada jiwa sebagai pengajaran.

Kita semua yakin, setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah adalah tidak sunyi dari mengandungi hikmah. Kerana itu ia perlu difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu. Jika hikmah dapat diketahui walaupun sedikit, maka kesannya adalah mampu untuk menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita. Inilah harganya hikmah itu.

Beta dari dahulu lagi mengharapkan, supaya Majlis Ilmu berupaya, untuk memacu kesedaran berugama dan bermasyarakat. Ia Beta lihat sebagai mampu untuk memainkan peranan khusus dalam bidang keilmuan dan dakwah, iaitu apabila diantara acara-acaranya ialah berupa forum atau seminar dan ceramah. Ini semua tidak diragukan lagi adalah wadah ke arah penyibaran ilmu dan dakwah itu.

Beta optimis, Majlis Ilmu memang mampu untuk mencipta visi dan misi yang berkebajikan bagi negara. Kerana itu, adalah sesuai untuk ia terus diadakan dari tahun ke tahun untuk meraih manfaat daripadanya.

Akhirnya, Beta mendo’akan, semoga semua pihak yang berkenaan bagi menjayakan Majlis Ilmu ini, akan sentiasa dikurniakan dengan kesihatan, supaya mereka dapat terus berbakti melaksanakan khidmat masing-masing kepada negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kesepuluh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Negara Brunei Darussalam Tahun 1442h/2020m

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA 
MAJLIS KONVOKESYEN KESEPULUH 
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA 
SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1442H/2020M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-10 pada pagi yang mubarak ini. 

 

Dengan amat gembira, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.

 

Beta juga mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan penjaga serta para pensyarah KUPU SB yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan kepada para graduan.

 

Kejayaan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini, perlulah disyukuri dengan meningkatkan lagi ketaqwaan terhadap-Nya.

 

Matlamat KUPU SB ditubuhkan ialah untuk melahirkan modal insan pendidik yang berkepakaran. Begitu juga dengan UNISSA untuk melahirkan para ulama.

 

Alhamdulillah, kedua-dua buah institusi ugama ini sudahpun melahirkan sekian ramai graduan, cuma soalnya, adakah mereka itu sudah boleh diiktiraf sebagai ulama?

 

Pada hemat Beta, ini semua banyak bergantung kepada sistem dan program pengajian. Oleh itu, seyogia sistem dan program itu sentiasa dinilai atau direbiu.

 

Kiranya graduan Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama pada hari ini adalah keluaran dari program yang telah dikemaskinikan sejak tahun 2016. Program ini mengintegrasikan antara pengalaman akademik dan perkembangan syakhsiah melalui program kokurikulum.

 

Jika program seperti ini dilaksanakan dengan berkesan, pada pendapat Beta, ia sudah tentu mampu untuk melahirkan para graduan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang.

 

Negara bergantung harapan kepada para pendidik untuk membentuk dan melahirkan generasi cemerlang dalam semua aspek, terutama aspek ilmu dan akhlak yang mulia.

 

Ilmu dan akhlak, manakala keduanya itu menjadi pakaian bagi bangsa, maka bangsa tersebut tidak diragukan lagi adalah bangsa yang bermartabat.

 

Inilah, yang kita di Brunei Darussalam sedang mengisi atau membina diri dengan ilmu dan akhlak yang dibawa oleh junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.  

 

Adapun institusi pengajian tinggi, seperti KUPU SB, adalah turut dibebankan dengan amanah ini.

 

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat dan sumbangan yang mereka hulurkan. Semoga Allah jua yang akan membalasnya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-8
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
 
PADA:
Hari Isnin
30HB Rabiulawal 1442
16HB November 2020
 
BERTEMPAT DI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta tidak jemu-jemu bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.

Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-­masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Alhamdulillah, Beta sebentar tadi telahpun melancarkan Permulaan Penulisan Mushaf UTB. Insya Allah Mushaf ini nanti akan mengepelai setiap perarakan dalam Majlis Konvokesyen UTB. Dengan ini juga bererti, UTB tidak ketinggalan memertabatkan Mushaf sebagai ‘lambang keilmuan’ yang tidak ada tolok bandingnya.

Beta, dalam majlis yang permai ini mengambil maklum, bahawa UTB buat julung kalinya akan menganugerahkan ijazah kedoktoran atau PhD. Ini menunjukkan UTB semakin meningkat matang dalam bidang penyelidikan dan pasca ijazah.

Beta pernah menyentuh mengenai peranan UTB sebagai penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan serta berupaya untuk menyelesaikan isu-isu kontemporari melalui usaha-usaha penyelidikan.

Sehubungan itu, Beta menyambut baik mengenai kerjasama penyelidikan kejuruteraan bertaraf dunia bersama Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP), Imperial College (UK) dan University of New South Wales (Australia). Projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan salah satu cabaran teknikal paling mahal di Negara Brunei Darussalam, iaitu isu pasir dalam pengeluaran hidrokarbon.

Projek ini juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar dan menyediakan pekerjaan tempatan kepada para graduan UTB.

Malah, Beta juga difahamkan bahawa aktiviti-aktiviti penyelidikan UTB telah juga dilaratkan kepada komuniti, seperti Majlis Perundingan Kampung, sebagai live project bagi kakitangan dan mahasiswa UTB, selaras dengan visi UTB untuk menjadi sebuah universiti global yang memberi kesan kepada masyarakat.

Mengenai kedudukan UTB sebagai sebuah universiti global, Beta mengucapkan tahniah, kerana pada tahun ini UTB telah berjaya meraih kedudukan ke-350 di QS World University Ranking. Pada julung kalinya juga, UTB telah masuk ke dalam senarai 50 Young Global University dibawah umur 50 tahun, pada tangga ke-40.

Dalam usaha UTB mempersiapkan sumber manuasia, Beta ingin mengingatkan, supaya etika Islam yang selari dengan budaya bangsa sentiasa diutamakan. Ini penting, supaya jati diri tidak dapat di gugat oleh sebarang pengaruh asing.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’ a semoga Allah Subhanahu Wata ‘ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-10 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-10
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
PADA:
Hari Isnin
23HB Rabiulawal 1442
09HB November 2020
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat sama-sama berhimpun di Majlis Haflut Takharruj kali ke-10, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Haflut Takharruj kali ini, sedikit berbeza dari tahun-tahun yang lalu. Ada pun sebabnya, telah dimaklumi bersama.

Beta menyifatkan Majlis Haflut Takharruj UNISSA pada kali ini sangatlah bermakna dan bersejarah, kerana bertepatan dengan 10 tahun UNISSA mengeluarkan graduannya, Mushaf UNISSA tulisan tangan, buat julung kalinya, telah dijulang dan diarak sebagai mengepalai perarakan Haflut Takharruj pada kali ini.

Beta gembira mengetahui, bahawa Mushaf UNISSA ini telah ditulis tangan dan direka bentuk sepenuhnya oleh anak tempatan. Ini adalah merupakan kejayaan sangat bermakna dan sekaligus menjulang syi’ar Islam di negara ini.

Beta ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa Tertinggi Penulisan Mushaf UNISSA dan juga semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya.

Dalam tempoh satu dekad Haflut Takharruj berlangsung, tidak dinafikan bahawa UNISSA telah meraih banyak kejayaan. Namun ia bukanlah ‘titik noktah’ untuk berhenti berusaha. Kerana pendidikan, sifatnya bukanlah mati, tetapi dinamik dan progresif.

Keperluan pendidikan dalam satu dekad yang lalu adalah tidak sama dengan keperluan masa kini yang telah memasuki fasa digital. Dalam era digital, dunia pendidikan memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada sebelumnya.

Maka untuk itu, berasaskan al-Qur’an al-Karim selaku sumber ilmu, termasuk ilmu sains dan teknologi, maka Beta dengan sukacita memperkenankan penubuhan Fakulti Teknologi Islam atau Faculty of Islamic Technology di UNISSA. Penerokaan baru oleh UNISSA ini adalah merupakan satu usaha proaktif bagi membongkar lebih banyak lagi khazanah keilmuan dari al-Qur’an dan al­Hadits. Beta berharap penubuhan fakulti baru ini akan mencetuskan penyelidikan yang bernilai tinggi.

Mengambil sukut hari yang baik ini, Beta tidak lupa mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing di UNISSA. Beta berharap para graduan akan bersikap lebih proaktif dan tidak cuma menjadi pemerhati.

Rebutlah segala peluang yang ada dan pupuk sikap ingin memajukan diri, kerana segulung ijazah bukanlah penamat dari terus menimba ilmu, sebagaimana Islam melihat bahawa menuntut ilmu itu adalah kerja sepanjang hayat.

Akhirnya, Beta juga tidak lupa untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj ke-10 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Ke-32 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-32
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
 (UBD)
 
PADA:
Hari Isnin
16HB Rabiulawal 1442
02HB November 2020
 


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua dapatlah Beta hadir Ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-32 Universiti Brunei Darussalam pada tahun ini, walaupun dalam keadaan yang berbeza dari biasa.

Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Begitu juga ucapan yang sama kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Pada masa ini negara masih sahaja berhadapan dengan cabaran wabak koronavirus  yang mengancam dunia. Namun alhamdulillah, setakat ini kita di Brunei mampu mengawal penularannya. Kalau kita melihat hikmah, wabak ini turut merangsang penggunaan teknologi digital, yang meningkat begitu cepat. Selain dari itu, penggunaan artificial intelligence juga turut membantu usaha Kerajaan bagi membendung penularan wabak.

Sehubungan ini, Beta gembira, UBD telah mengemaskinikan Program Sains Komputer dan memperkenalkan Sarjana Muda Sains Digital dengan penekanan jurusan, seperti Artificial Intelligence and Robotic, Data Science dan Cybersecurity. Beta menyarankan supaya inisiatif-inisiatif digital UBD biarlah selaras dan mendokong Digital Ekonomi Masterplan 2025 yang diperkenalkan pada tahun ini.

Mengenai inisiatif inovasi pula, Beta menyarankan supaya penyelidikan di UBD perlu sensitif kepada perubahan pelbagai lanskap.  Beta difahamkan UBD telah mula meneroka penyelidikan dalam Smart Farming iaitu pertanian dengan menggunakan teknologi canggih, dan perubatan peribadi (Personalised Medicine) di mana perubatan disesuaikan dengan individu berdasarkan informasi genetik individu tersebut.

Ini semua sangat bagus untuk meningkatkan daya saing. Diharap ia dapat berjalan dengan baik dan berjaya.

Mengenai daya saing ini, Beta mengambil maklum dan mengucapkan tahniah kepada UBD kerana pada julung kalinya ia tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings.  Dalam QS World University Rankings, Beta juga difahamkan bahawa UBD pada tahun ini telah termasuk antara satu peratus universiti-universiti teratas di dunia.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta berharap agar setiap graduan sentiasa mengamalkan sikap menyesuaikan diri dan berdikari dalam keadaan dunia hari ini. Selain itu, Beta juga mengingatkan terutama sekali dalam menghadapi cabaran, agar para graduan sentiasa mengekalkan integriti dan berpegang teguh kepada ajaran Ugama Islam agar apa jua usaha akan sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka dengan ganjaran berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam 1442 Hijrah / 2020 Masihi

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

TAHUN 1442 HIJRAH / 2020 MASIHI

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita wajib bersyukur, di atas limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala yang mengizinkan kita terus dapat meraikan Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1442 Hijrah.

Tidak diragukan lagi, pada tahun ini, kita di Brunei, seperti juga dimana-mana, sedang berhadapan dengan ujian luar biasa penularan wabak koronavirus. Namun Brunei alhamdulillah, berkat kesepaduan dan cara kita menangani penularan ini, Allah Subhanahu Wata’ala telah menyelamatkan kita dan negara.

Maka dengan itu, dapatlah kita menjalani kehidupan biasa dengan selesa dan harmoni.

Beta sangat menyanjung tinggi sikap rakyat dan penduduk yang mengamalkan budaya sabar dalam menghadapi ujian getir ini dengan terus mematuhi arahan dan peraturan kerajaan.

Budaya sabar adalah diantara akhlak agung Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda terkenal sebagai sangat penyabar. Dari umur remaja sampai ke dewasa, Baginda tidak putus-putus diuji dengan pelbagai rintangan dan tentangan oleh penentang-penentang Baginda. Namun berkat kesabaran menghadapinya, Baginda akhirnya berjaya membangun negeri dan ummah yang sangat digalati.

Cara Baginda membangun, sangat dikagumi. Sebelum membangun negeri, Baginda terlebih dahulu membangun peribadi, sehingga berjaya melahirkan peribadi-peribadi besar seperti, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina ‘Umar, Sayyidina Othman, Sayyidina ‘Ali dan lain-lain lagi para sahabat.

Apa makna membangun peribadi itu di sini? Ertinya ialah, mengisi peribadi-peribadi tersebut dengan akhlak-akhlak yang mulia, seperti akhlak adil, akhlak berani, akhlak sabar, akhlak ta’at, akhlak amanah dan seumpamanya.

Apabila peribadi-peribadi itu telah padat berisi dengan akhlak-akhlak yang mulia ini, maka barulah Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam mula bergerak membangun negeri dengan dibantu dan didokong oleh peribadi-peribadi besar yang kaya dengan akhlak-akhlak mulia itu.

Pada hemat Beta, apa yang Beta sebutkan ini, dapat dikaitkan dengan tema sambutan kita pada tahun ini, iaitu: ”Membangun Dengan Akhlak Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.”

Kita memang selamanya akan berada dalam era membangun. Pembangunan yang kita lakukan tidak akan ada titik noktahnya. Maka dalam situasi begini, sangat sesuailah kita menjadikan akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam itu sebagai suluh atau panduan kita dalam membangun, supaya semua pembangunan yang kita ada mengikut landasan ugama.

Satu contoh, antara akhlak-akhlak Rasulullah ialah ‘mengharamkan rasuah’. Sekiranya akhlak ini dipakai dan berjalan mantap dalam negara, maka sudah tentu ia akan menjanjikan sebuah negara yang sejahtera lagi bahagia.

Memang tidak diragukan lagi, negara yang bebas dari rasuah adalah negara yang berkat, penuh dengan rahmat serta terlepas daripada laknat.

Begitu juga satu contoh lain akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah mengamalkan ‘ihsan dan menunaikan amanah. Boleh dibayangkan, jika satu-satu pembangunan itu berpaksikan ihsan dan amanah, nescaya pembangunan yang seperti itu pasti membuahkan kebajikan.

Begitulah luhur dan tingginya akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Jika kita atau siapa saja yang memakai akhlak ini, nescaya mampu untuk melahirkan sebuah dunia yang bahagia.

Demikian itulah hakikat yang telah ditentukan oleh Allah sendiri kepada Nabi-Nya Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, sebagaimana termaktub dalam Al-Qur’an Surah Al-Anbiya, ayat 107, tafsirnya:

”Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam seluruhnya.”

Ini adalah ‘perisytiharan’ yang tidak dapat dipertikai atau dibantah, betapa tingginya kedudukan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam itu, selaku pembawa rahmat.

Marilah kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, semoga dengan itu insya Allah, kitapun akan mendapat syafaatnya di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.