Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-25

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI
OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM
KALI KE-25

HARI RABU, 22 SAFAR 1440 / 31 OKTOBER 2018

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di Majlis Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam.

Pada tahun ini adalah merupakan kali ke-25 tahun kita menyambut Hari Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam. Selaras dengan tema ‘Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif’, Beta berharap usaha-usaha menggerakkan Perkhidmatan Awam dengan penglibatan sektor swasta akan terus digiatkan. Beta mahu Perkhidmatan Awam akan meneroka pendekatan lebih berkesan dalam tugasnya memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan negara.

Perkhidmatan Awam selaku jentera pembangunan negara, tidak boleh berhenti dari mencari jalan ke arah menambahbaikkan lagi mutu perkhidmatan untuk rakyat dan negara. Memang keadaan sekarang semakin kompleks dan mencabar. Namun inilah juga masanya untuk kita melihat Perkhidmatan Awam mampu untuk mengatasi sebarang tengkarah atau kesulitan.

Para pemimpin yang berjiwa besar dalam Perkhidmatan Awam, perlu lebih peka terhadap orang bawahan mereka. Tugas dan tanggungjawab mereka bukan sekadar menjadi ketua di dalam jabatan atau bahagian atau unit, tetapi juga bersedia untuk memberikan tunjuk ajar atau bimbingan kepada orang bawahan jika mereka itu berhadapan dengan sebarang kesulitan. Inilah namanya keperihatinan pemimpin terhadap anak buah.

Disamping mempunyai sifat timbang rasa, pemimpin juga tentunya memiliki kelebihan-kelebihan lain seperti ilmu dan pengalaman. Maka sehubungan ini, Beta menyambut baik usaha Jabatan Perdana Menteri menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, untuk mengenalpasti pegawai-pegawai muda di dalam Perkhidmatan Awam yang mempunyai bakat kepimpinan. Mereka akan diasuh di bawah Program Eksekutif Muda iaitu “Young Executive Programme (YEP)”. Beta mahu pihak yang berkenaan akan sentiasa memastikan program ini berjalan dengan teratur sehingga mencapai objektif yang dihasratkan.

Ini semua kita rancang ialah untuk menghasilkan ‘Modal Insan Perkhidmatan Awam’ yang mempunyai nilai moral yang tinggi berpaksikan Islam, yang mencakupi sifat jujur, ikhlas, amanah dan cekap.

Ini juga ada hubungannya dengan usaha melalui ‘Program Penggredan Prestasi Sektor Awam Melalui Penarafan Bintang’ yang telah dilaksanakan penilaiannnya oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan. Dengan adanya penarafan ini, Beta berharap agensi-agensi kerajaan akan terus mempertingkatkan lagi urus tadbir agensi masing-masing demi kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

Menyentuh inovasi dalam Perkhidmatan Awam, Beta menyambut baik inisiatif yang telah diambil oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan Institut Perkhidmatan Awam yang meneliti semula Program Inovasi dalam Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan satu anugerah baru yang dikenali sebagai ‘Anugerah Inovasi Perdana’, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Perkhidmatan Awam, Negara Brunei Darussalam.

Beta percaya dengan adanya anugerah ini nanti, dapatlah meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran awam. Inilah harapan semua dan harapan negara.

Akhirnya kepada penerima-penermia Anugerah 3PSA, Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Penghargaan Khas Kakitangan Perkhidmatan Awam, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Beta berharap penganugerahan dan penghargaan ini akan dapat memberikan motivasi dan sumber inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk bekerja lebih gigih mempertingkatkan tahap kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Konvokesyen Kali Ke-6 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
KONVOKESYEN KALI KE-6
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)

PADA HARI SABTU
19 MUHARRAM 1440 / 
29 SEPTEMBER 2018

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah  Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Tahun 2018.
 
Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa memupuk semangat cintakan ilmu kepada para graduan sehingga mereka itu beroleh kejayaan. 
Dalam era revolusi industri ke empat (fourth industrial revolution), teknologi adalah memainkan peranan sangat penting dalam mengatur cara hidup dan cara kita bekerja. Sebagai sebuah universiti teknologi, Beta melihat, era ini adalah merupakan cabaran kepada UTB untuk melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.
 
Memang, kecemerlangan sesebuah universiti banyak bergantung kepada kejayaannya mengeluarkan para graduan dan menghasilkan hasil-hasil penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. 
Dalam konteks ini, Beta mengucapkan tahniah kepada UTB kerana pada julung kalinya pada tahun ini, telah termasuk dalam QS World University Rankings pada tangga 442, dan juga tangga ke-57 dalam Young Global University  bagi universiti di bawah umur 50 tahun. Pencapaian terkini pula ialah penarafan bintang (Star rating), di mana UTB telah berjaya meraih 5 bintang pada penilaian keseluruhan. 
Ini tidak diragukan lagi merupakan pencapaian penting bagi UTB, sebagai sebuah universiti muda, yang baru berusia 10 tahun. 
Bagaimanapun, Beta ingin mengingatkan UTB supaya tidak cepat berpuas hati, tetapi masih perlu pro-aktif dalam membuat pelan-pelan tindakan untuk pengajaran termasuk menggiatkan usaha-usaha penyelidikan di UTB. 
Satu lagi keutamaan bagi UTB dan malah semua institusi pengajian tinggi untuk memberikan tumpuan kepada tenaga akademik masing-masing. Beta berharap, supaya semua institusi pengajian tinggi menyediakan perancangan sumber manusia secara terperinci, selaras dengan keperluan universiti dan pembangunan negara.
 
Beta difahamkan, perancangan dan hala tuju UTB ke fasa seterusnya ialah melaksanakan Pelan Strategik bagi 5 Tahun akan datang dengan visi baru iaitu “A Global University Impacting Society”. Prestasi UTB akan sentiasa dinilai, antaranya melalui kualiti graduan, kebolehpasaran, keberkesanan terhadap masyarakat dan penyelidikan.
 
Mengenai penyelidikan, Beta gembira dengan kejayaan Pusat Kejuruteraan Inovatif UTB yang mendapat dana daripada ICT Virtual Organization of ASEAN Institute and NCT (ASEAN IVO), sebuah organisasi ICT Virtual yang mempunyai keahlian daripada beberapa institut penyelidikan, universiti-universiti ASEAN  dan National Institute of Information and communications Technology Jepun, di mana UTB telah diberi kepercayaan untuk mengetuai projek teknologi pintar berasaskan aplikasi visi komputer dan Artificial Intelligence  dalam industri pelancongan. Manakala dua buah projek lain pula bertujuan untuk mengintegrasikan teknologi pintar di dalam bidang perlindungan alam sekitar dan industri pertanian.
 
Berhubung dengan penyelidikan dalam bidang pertanian, Beta menyambut baik penubuhan Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Agri-Makanan atau Centre for Research on Agri-Food Science and Technology, ringkasnya CrAFT. Beta difahamkan bahawa Pusat ini berperanan untuk meningkatkan keupayaan pertanian melalui penggunaan teknologi, misalnya penggunaan Internet of Things atau IOT dalam bidang pengurusan ladang atau Smart Farm. Beta juga difahamkan bahawa Pusat ini juga akan menjalankan penyelidikan untuk menyokong dan mengembangkan lagi industri makanan. Beta berharap CrAFT akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, institusi-institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.
 
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan, di atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan mengurniakan mereka dengan keberkatan, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-28

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-28

PADA HARI ISNIN
14 MUHARRAM 1440 / 24 SEPTEMBER 2018

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadir di Majlis Sambutan Hari Guru kali ke-28, Tahun 2018 pada pagi ini. Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru  dan pendidik di Negara Brunei Darussalam.

‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’ adalah tema sambutan Hari guru pada tahun ini. Rakyat dan penduduk yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah teras kepada pembangunan dan daya saing negara. Oleh itu, langkah utama untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berjaya adalah melalui sistem pendidikan yang berkualiti. Di sinilah peranan guru itu diperlukan, kerana melalui pengaruh keguruanlah keperibadian anak bangsa dapat dibentuk.

Dunia sekarang sedang mengalami perkembangan pesat teknologi, yang membawa perubahan besar bagi setiap aspek kehidupan. Kemajuan industri digital yang memfokus kepada Internet of Things, Artificial Intelligence dan pembinaan robot-robot pintar adalah diantara yang membawa kepada perubahan tersebut, terutama di segi pekerjaan, struktur industri, interaksi sosial dan sistem urus tadbir.

Dengan ini, kita perlu untuk turut mendepaninya. Jika tidak. Kita akan ketinggalan.

Dalam konteks ini, bidang pendidikan turut menerima impak besar dan mendalam. Oleh itu, sistem pendidikan dan latihan perguruan diperlukan untuk melakukan sebarang perubahan penting, khasnya di segi penyediaan kurikulum dan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.

Para guru bukan sahaja untuk mengajar atau membimbing anak-anak bagi menghadapi peperiksaan, tetapi juga menunjuk cara bagaimana persediaan dibuat untuk menempuh era globalisasi dan teknologi yang serba pesat. Dalam makna, para guru juga diperlukan untuk memberikan pengajaran kompetensi abad ke-21, dari peringkat rendah sampai peringkat tinggi. Melalui pengajaran demikian, barulah mungkin akan berkembang pemikiran-pemikiran kreatif dan kepekaan budaya (cultural sensitivity) dikalangan pelajar.

Berdasarkan ini, kerjaya guru dapat dilihat sebagai makin mencabar dan kompleks. Hanya guru yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan sahaja, yang mampu untuk mendepani cabaran ini. Oleh itu, kriteria dan proses pengambilan bakal guru melalui Master of Teaching di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam sangatlah perlu dikemaskinikan, sebagai usaha untuk memastikan guru-guru kita adalah benar-benar berkelayakan.

Ini termasuk juga perisian kurikulum Master of Teaching sangat mustahak diperingkatkan, meliputi turut memikirkan bagaimana cara melatih yang berkesan. Kita memang memerlukan guru-guru yang  benar-benar terlatih, yang diharap mampu untuk membentuk keperibadian (character) yang baik.

Adalah menjadi harapan Beta, supaya kerjaya guru menjadi antara pilihan utama di negara ini. Maka untuk itu, kesejahteraan para guru perlulah diberikan perhatian. Ekosistem perguruan yang meliputi pengambilan dan juga pembangunan Professional adalah memerlukan pelaksanaan lebih kemas dan teratur, supaya guru-guru dapat sentiasa memberikan pengajaran yang terbaik dan berkualiti.

Dalam hubungan ini, diharapkan para guru akan dapat juga meningkatkan dedikasi dan komitmen mereka untuk lebih bersedia memberikan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang kepada para pelajar.

Dedikasi para guru juga boleh dilihat melalui kerjasama mereka dengan para ibu-bapa dan penjaga. Beta dalam hal ini, adalah menyambut baik mengenai Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang julung-julung kali diadakan pada awal tahun ini.

Ianya boleh diperluaskan kepada masyarakat mahupun agensi-agensi bukan Kerajaan (NGOs) yang sama-sama dapat menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, semoga segala usaha mereka dalam mendidik anak bangsa kita akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat bagi seluruh warga guru untuk merealisasikan ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-8 Universiti Islam Sultan Sharif Ali Bagi Tahun 1440H/2018M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
HAFLUT TAKHARRUJ KE-8 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI 
BAGI TAHUN 1440H/2018M

PADA HARI ISNIN
07 MUHARRAM 1440 / 17 SEPTEMBER 2018

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Haflut Takharruj kali ke-8, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini. 

Beta terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing. Beta juga tidak lupa melafazkan penghargaan kepada para ibubapa, penjaga dan pensyarah yang sama-sama menyumbangkan sokongan dan khidmat bagi kejayaan para graduan ini.
 
Kita sama-sama memahami, bahawa universiti adalah sebuah gedung ilmu. Disinilah tempat menimba ilmu, tempat berguru dan tempat membina syakhsiah para siswazah. Oleh yang demikian, suka Beta mengingatkan semula, bahawa kelahiran UNISSA, bukan setakat untuk menambah bilangan universiti di negara ini, malah penubuhan UNISSA bertujuan untuk menyediakan pengajian tinggi Islam tulen sejati. Kerana itu pastikan, UNISSA tidak menyimpang ke mana-mana.
 
Berjalanlah di atas landasan asal mengagungkan ilmu, bagi satu perubahan pesat yang mencabar. Para graduan perlu mampu untuk mengusai ilmu dan menggunakannya bagi pembangunan. Inilah cabaran abad ke-21 untuk dipenuhi. Semua orang tidak boleh lalai menghadapinya. 

Oleh itu, sebagai pelengkap, UNISSA perlu menyediakan program-program berkualiti dan sekaligus mengajarkan kepada pada pelajarnya kemahiran-kemahiran bagi mengadaptasi keperluan sekarang dan  akan datang. Ini, termasuklah dengan mengemaskinikan semua program akademik yang ada. 

Pastikan semua program menepati sasaran. Kita tidak mahu, yang tersurat sahaja kelihatan cantik, tetapi yang tersirat jelik. Misalnya, semua orang mengakui kebaikan undang-undang, tetapi terhadap undang-undang Islam, ada yang memandang serong. Ini juga, turut menjadi kewajipan kepada UNISSA, untuk membetulkan perspektif yang lapok ini, yang amat mengelirukan. 

UNISSA, mesti terus berazam untuk memperkasa pengajian dan pendidikan Islam tulen. Kuatkanlah hujah memerangi kebatilan. Kebatilan itu, tidak mesti muncul daripada dalam, bahkan banyak yang datang daripada luar. Ia datang dengan pelbagai cara, ada dengan cara dibawa, dan lebih lumrah ialah melalui aplikasi media.
 
Kita orang Brunei dan UNISSA, jangan terlepas pandang perkara ini. Ini adalah racun perlu dielakkan. Sebaliknya pertahankanlah ‘kebenaran’ dalam ugama, sekalipun banyak pihak tidak menyukainya. Selama mana Allah suka, maka itulah pilihan kita. 
Beta mahu, UNISSA menjadi tonggak memelihara ugama. Ia perlu kukuh dan teguh, ibarat tembok yang kuat, berperanan menahan ombak besar.
 
Kerana itu, melihat kepada kepentingan ini, Beta telah memperkanankan satu tapak, di Mukim Labu, Temburong bagi kampus kekal UNISSA didirikan. Beta juga memperkenankan satu peruntukkan di bawah Rancangan kemajuan Negara ke-11 bagi pembinaan kampus ini.
 
Beta berharap dengan adanya kampus ini kelak, akan melonjaklah lagi reputasi UNISSA dan sekaligus merealisasikan harapan kita semua untuk melihatnya sebagai hab pengajian tinggi Islam di rantau ini.
 
UNISSA bukan sahaja perlu cemerlang dalam negara, malah juga mesti cemerlang di peringkat serantau dan global. Maka untuk itu, tibalah masanya untuk UNISSA merebut kedudukan dari segi sistem ‘ranking’ di peringkat rantau mahupun dunia. Alangkah baiknya, jika UNISSA dapat membuktikan dirinya sebagai mampu untuk menjadi saingan kepada universiti-universiti yang lain. Akhirnya, Beta turut mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi ahli-ahli Majlis, ahli-ahli Senat, rektor, pegawai utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Bersempena Menyambut Awal Tahun Hijrah 1440

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA
MENYAMBUT AWAL TAHUN
HIJRAH 1440

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Hijrah adalah sebahagian daripada Sejarah Islam. Sejarah, tidak hanya merakam satu-satu peristiwa, malah mengandungi iktibar dan pengajaran. Di sinilah harga sejarah itu. Sekiranya tanpa sejarah, kita pun tidak akan tahu apa nasib Islam dan umatnya.

Di sinilah juga hikmah, Allah memerintahkan Nabi berhijrah untuk menyelamatkan Islam dan Umat Islam.

Ini semua namanya ilmu: ‘Ilmu Sejarah’. Peranannya sungguh besar, selaku ‘cermin kehidupan’. Daripadanya, kita dapat melihat gambaran keadaan, bagaimana negara dan umat pada ketika itu, dan bagaimana mereka berusaha dan berjuang? Dari sejarah juga, kita tahu siapa kawan dan siapa lawan. Semuanya terakam dalam sejarah.

Dalam sejarah Hijrah, kita melihat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam adalah rasul dan pemimpin, sementara Sayyidina Abu Bakar pula, sebagai teman dan pengikut yang setia. Kedua-duanya berpegang kuat kepada falsafah: Rela melakukan apa saja untuk memperolehi redha Allah.

Inilah kunci pembuka pintu langit, sehingga rahmat pun turun menyelamatkan Nabi dan sahabat Baginda, dan bahkan menyelamatkan seluruh umat, berkat keikhlasan mereka.

Siapakah diantara kita pada masa ini yang sanggup berbuat demikian itu, dengan cuma berjalan kaki merentas padang sahara, mendaki dan menuruni gunung-ganang dan bukit-bukau di bawah terik matahari?

Mereka bukan berjalan sebatu dua, tetapi hampir 500 km daripada Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Bayangkanlah betapa sukarnya misi ini.

Kita boleh nampak, betapa pengorbanan yang amat mencabar ini tidak berlaku dengan sia-sia. Tetapi Allah membalasnya dengan kejayaan dan keselamatan.

Beta yakin, manakala kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ini mahu belajar daripada Sejarah Hijrah dan mengambil pengajaran daripadanya, maka tidak mustahil, kegemilangan umat yang telah hilang akan kembali semula ke pangkuan kita. Tetapi syaratnya, semua pemimpin dan yang dipimpin hendaklah mengikut gaya kepimpinan Nabi dan gaya siapa yang dipimpin, seperti sahabat Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu ‘Anhu. Mereka ini mengajak umat mentauhidkan Allah sambil membawa semua yang dipimpin bersatu padu menghindari perpecahan.

Apabila ini wujud, maka kekuatanpun menjelma. Namun kekuatan di sini bukan terbatas kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi nisbah bagi Allah, kekuatan itu harus datang daripada-Nya melalui kehendak dan izin-Nya, sebagaimana Al-Qur’an memberi isyarat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 249, firman Allah tafsirnya: “Berapa banyak golongan yang sedikit (yang lemah) mengalahkan golongan yang banyak (yang kuat) dengan izin Allah”.

Maknanya di sini, jika umat Islam lurus di sisi Allah, lurus kepimpinan dan lurus urus-tadbir serta perjuangan mereka, maka tidak mustahil, akan berlakulah janji Allah memenangkan mereka, menang di dunia dan menang di akhirat.

Oleh itu sebelum terlambat, umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ini, mustahaklah memuhasabah diri, dimana kita ini yang sebenarnya? Di persimpangan mana? Dan di mana kita  dengan isu-isu dalaman dan isu-isu global?

Di dalam, orang masing-masing mahu hidup aman, makmur dan selamat. Tetapi melihat keluar, ada pihak-pihak yang tidak peduli saudara-saudara seugama merintih ditindas, sehingga nyawa sampai melayang dan harta benda musnah.

Inilah yang sedang berlaku, di mana ketidakadilan menghantui dunia kita, termasuk dunia Islam sendiri. Apabila keadilan tidak ditegakkan, bererti kezalimanlah yang mengambil tempatnya. Inilah, tidak dapat diterima sama sekali oleh Islam.

Islam telah mengharamkan segala macam kezaliman, dan mengutuk siapa saja yang melakukannya. Kerana itu, umat Islam khasnya, hendaklah kembali semula kepada Sejarah Hijrah, mencontohi bagaimana “Persaudaraan Seugama” pernah dijalin oleh Muslimin Muhajirin Mekah dan Muslimin Ansar di Madinah. Pernahkah persaudaraan diantara mereka ini pecah, dicemari oleh pergaduhan atau pertumpahan darah sesama sendiri? Jawabnya, tidak pernah.

Nah maknanya, rahmat Allah pun turun ke atas umat Islam pada ketika itu, menjadikan hidup mereka tenteram dan harmoni, tidak mampu untuk diganggu-gugat oleh musuh-musuh.

Pada hari dan sa’at yang bersukut baik ini, Beta dan keluarga Beta mengucapkan Selamat menempuh Tahun Baru Hijrah 1440. Semoga dalam tahun ini, Allah memberkati kita semua dan negara dengan keamanan dan rezeki yang melimpah-limpah. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Di Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-30
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

PADA:
HARI RABU
17HB ZULHIJJAH 1439
29HB SEPTEMBER 2018

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta  bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-30 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan  sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di universiti ini. Hari ini juga adalah hari yang dibanggakan oleh para ibu-bapa dan penjaga kerana kejayaan anak-anak mereka. Namun ini bukanlah titik noktah untuk para graduan itu berhenti dari menimba ilmu. Mereka masih saja punya masa depan dan peluang yang luas untuk meningkatkan diri, selaras dengan pasaran kerja global yang pesat berubah.

Mengenai pasaran kerja yang pesat berubah ini, perlu disedari, bahawa kita kini sedang berada dalam era revolusi industri ke empat (fourth industrial revolution), di mana teknologi digital akan mengubah cara hidup kita dan juga cara bekerja. Respon terhadap revolusi ini tentu saja melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sama ada oleh sektor awam, swasta dan malah seluruh masyarakat, termasuk para akademik dan graduan untuk berganding bahu menggerakkan pembangunan negara melalui knowledge-based.

Oleh yang demikian, bagi UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain adalah elok untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan dan penyelidikan kemahiran abad ke-21 yang canggih. Maka sehubungan itu, Beta menyarankan kerjasama rapat dengan pihak industri, untuk antara lain, berkongsi pengetahuan praktikal mengenai trend industri dan pasaran kerja. Selain itu, sistem pendidikan juga perlu memberikan tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam hubungan ini, Beta gembira mengetahui, bahawa UBD telah memperkembangkan program-program yang ditawarkan secara flexible dari segi masa, tempat dan laluan pembelajaran. Beta berharap dengan pendidikan dan juga penyelidikan yang kukuh serta canggih, ianya akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkesan.

Menyentuh mengenai penyelidikan, ia adalah benih untuk pertumbuhan ekonomi. Beta difahamkan bahawa salah satu yang diberikan tumpuan oleh UBD ialah bidang Data Analytics, sebagai salah satu langkah positif ke arah inovasi dan pembangunan ekonomi. Sehubungan itu, Beta yakin, UBD pasti turut terpanggil untuk mengkaji bidang-bidang tertentu, seperti bidang keselamatan siber atau Cybersecurity yang masih banyak dipersoalkan dan lain-lain lagi.

Dalam konteks ini, Beta mengucapkan syabas atas mengkomersialkan paten UBD untuk julung-julung kalinya pada tahun ini. Beta difahamkan produk tersebut, Smart Coating  adalah hasil penyelidikan beberapa orang pelajar Sarjana dan Kedoktoran PhD dan sekarang mempunyai ejen jualan di Brunei Darussalam, Jepun, Thailand dan Myanmar. Beta berharap dengan kejayaan ini lebih ramai lagi para pelajar kita yang akan terpanggil untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan dan aktiviti-aktiviti komersial.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya. Beta berharap supaya setiap graduan akan terus memupuk sikap ingin maju serta berazam untuk sama-sama membangun negara yang kita cintai ini. Selain itu, para graduan juga jangan lupa untuk berpegang kuat kepada falsafah MIB, selaku sistem, kerana MIB telah pun terbukti membawa kebaikan kepada semua, semenjak lebih dari 600 tahun lagi.

Beta juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.