Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1439H/2018M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1439H/2018M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala  kerana dapat pula menyambut ‘Idil Adha yang mulia, yang sangat-sangat bermakna kepada kita umat Islam. Sambutan ini menjadi syi’ar di seluruh dunia, di mana saja terdapat penganut-penganut Islam, Ugama Allah yang maha suci.

Inilah masanya umat Islam berkumpul, mempamerkan kesatuan dan perpaduan. Mereka berkumpul di rumah-rumah Allah atau di lapangan-lapangan terbuka untuk sama-sama bertakbir membesarkan Allah. Tidak diragukan lagi, inilah saat yang sangat berkat, dimana rahmat Allah turun untuk memayungi bumi. Betapa seronok dan bersyukurnya mereka yang memahami perkara ini.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Berbeza sedikit dengan Hari Raya Fitrah, di dalam Hari Raya Adha, kita disunatkan untuk bertakbir beberapa hari sehingga hari tasyriq ketiga. Dalam masa inilah juga kita umat Islam disunatkan untuk menyembelih korban.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Sekurang-kurangnya ada dua ‘pengajaran besar’ di sini, satu berkaitan dengan kesatuan dan perpaduan. Ugama Islam memang mementingkan kesatuan dan perpaduan, dan malah melarang keras untuk kita berpecah, sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 103, tafsirnya: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah        (Ugama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah…”

Di sini amat jelas, bahawa Allah melarang kita berpecah belah, kerana risiko pecah belah itu sangatlah tinggi, iaitu boleh mengundang kepada padah yang buruk. Bukankah kekuatan itu dibina dengan perpaduan, sedang kelemahan pula berpunca daripada perpecahan? Ini juga ada disebut oleh peribahasa: Bersatu teguh berpecah roboh.

Oleh itu, kita amatlah mengesali situasi yang ada masa ini, di mana perpecahan itu sedang membelenggu umat Islam. Malah ia bukan lagi setakat berpecah, tetapi telahpun sampai kepada tahap berperang atau berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

Semoga ketelanjuran yang merugikan ini akan segera berakhir hendaknya, diganti oleh kesedaran mengembalikan semua perpaduan umat.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Pengajaran kedua pula dari ‘Idil Adha ialah: “Pengorbanan Kerana Allah”. Apapun matlamat yang hendak dicapai adalah memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak akan wujud kejayaan.

Kita membangun negara, juga dengan pengorbanan. Kerajaan mesti menyiapkan budget dan menyiapkan tenaga manusia untuk menjayakan pembangunan tersebut. Tidakkah ini satu pengorbanan dalam bentuk harta dan tenaga?

Satu contoh mudah yang lain, kita berkorban menyembelih binatang. Bukankah binatang itu aset, dan kita yang menyembelih akan menyedekahkan pula dagingnya. Tidakkah ini juga bererti satu pengorbanan, iaitu kita berkorban dengan harta untuk kebajikan ummah?

Begitu hebatnya konsep berkorban itu. Semua amal dan aktiviti, sebenarnya berasas kepada pengorbanan. Pengorbanan itu sifatnya suci dan sangat mustahak dalam kehidupan.

Beta ingin mengajak semua lapisan rakyat dan penduduk untuk sama-sama mendokong konsep berkorban dalam semua bidang duniawi dan ukhrawi. Kita berkorban untuk negara adalah dengan harta, masa dan titik peluh atau tenaga, sementara kita berkorban untuk akhirat pula ialah dengan keta’atan dalam bentuk ibadat kepada Allah.

Di kesempatan ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam, serta tidak lupa juga merafa’kan do’a, semoga para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci pada masa ini akan sentiasa dalam selamat dan beroleh haji yang mabhur. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-13

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA
KEBANGSAAN KALI KE-13

PADA HARI RABU
19HB ZULKAEDAH 1439
1HB OGOS 2018

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Ke-13 pada pagi ini.

Di kebelakangan ini, Beta mendapati, berlaku kemajuan dan perkembangan positif di kalangan para belia kita, khasnya dalam bidang keusahawanan dan kemasyarakatan, sama ada secara individu mahupun perkumpulan, bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.

Hampir setiap hari kita mendengar dan membaca di dalam laman-laman media sosial tentang kejayaan anak-anak muda menerokai pelbagai bidang dalam kehidupan. Ini setentunya menjadi pembakar semangat kepada semua.

Kita adalah menyedari akan keperluan usaha. Kerana rezeki tidak datang bergolek, melainkan memerlukan usaha, dan dengan usaha itulah juga kita mampu menembusi dunia pasaran.

Dengan adanya ledakan maklumat dan pesatnya jaringan komunikasi berteknologi tinggi, maka bidang perniagaan dan usahawan adalah terbuka lebih luas. Dengan terciptanya platform seperti ini, para belia seharusnya lebih kreatif lagi memperkasa diri masing-masing.

Pada masa yang sama, Kerajaan Beta juga sedang menyusun semula dan memperbaiki ‘Eco-System Keusahawanan Belia’ untuk membantu mereka menjadi pengusaha yang berjaya.

Usaha-usaha ini termasuklah mengemaskinikan program sedia ada di bidang ‘capacity building’, penyediaan kemudahan infrastruktur yang berbentuk fizikal dan ‘digital’, serta kemudahan pembiayaan kewangan dan ‘market access’.

Di samping itu, Kerajaan Beta juga akan turut melangkah lebih jauh menyediakan ‘Eco-System Keusahawanan Belia’ yang lebih komprehensif. Salah satu daripada pembaikan ‘Eco-System’ tersebut  ialah dengan mempromosi dan menyediakan      peluang-peluang perniagaan yang spesifik untuk membantu para belia memulakan perusahaan.

Pihak agensi kerajaan yang berkenaan akan bekerja-rapat dengan pengusaha-pengusaha belia di dalam mengenal-pasti bidang-bidang tertentu, seperti menyediakan pelan perniagaan dan kemudahan-kemudahan lain.

Ke arah ini, Beta amat gembira dengan adanya pelancaran salah satu program pada hari ini yang dipanggil sebagai I-Usahawan.  Program ini akan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan bagi mengambil bahagian di dalam tender atau kontrak-kontrak berisiko rendah dan sebagainya.

Setakat ini, terdapat sebanyak 30 kontrak industri minyak dan gas bagi program perintis I-Usahawan. Program ini berpotensi untuk dilaratkan ke sektor lain dan juga sektor kerajaan.

Pada satu ketika dahulu kita mempunyai program peladang muda. Dengan teknologi yang lebih moden dan peluang yang lebih luas di dalam Agribusiness, maka mungkin saja program ini sesuai untuk dihidupkan semua, dengan pendekatan yang baru.

Pada hemat Beta, semua inisiatif yang sedia ada dan sedang dirancang, jika dimanfa’atkan sepenuhnya, tidak mustahil ia berupaya untuk melahirkan ratusan pengusaha dan ribuan peluang pekerjaan.

Oleh itu, pastikanlah ia, tidak disia-siakan.

Untuk akhirnya, bersempena Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini yang telah memberikan sumbangan mereka kepada negara dan bangsa.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-72 Tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN BAGINDA YANG
KE-72 TAHUN

PADA HARI AHAD
2HB ZULKAEDAH 1439
15HB JULAI 2018

BERTEMPAT
BALAI SINGGAHSANA INDERA BUANA,
DI ISTANA NURUL IMAN,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita meraikan Hari Keputeraan Beta, dalam keadaan aman lagi penuh selesa.

Beta terlebih dahulu, sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para ‘tetamu khas’ Beta, yang sudi hadir keisti’adat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, bersempena dengan perayaan ini.

Perkara-perkara utama yang menjadi agenda global pada masa ini, ialah penjanaan ekonomi serta langkah merealisasikan keamanan. Dua-dua ini dianggap sebagai sangat perlu untuk ditangani.

Dalam perkara ekonomi, Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan menjana ekonominya. Ini, adalah memang menjadi kewajipan kita semua, terutama agensi yang berkenaan dan bahkan semua agensi di dalam kerajaan.

Pertumbuhan ekonomi kita bagi jangka pendek dan sederhana adalah diramalkan akan lebih rancak. Namun ini, tidaklah boleh untuk menjadikan kita leka atau berpuas hati begitu saja. Kerana ekonomi adalah elemen yang tidak pernah berhenti dari mencipta cabaran.

Telah sedia dimaklumi, bahawa sektor minyak dan gas adalah penyumbang utama ekonomi kita. Namun tidaklah bijak untuk semata-mata bergantung kepada sektor ini sahaja. Kerana ekonomi itu sifatnya adalah dinamik, mampu untuk tumbuh dengan lebih pelbagai lagi.

Salah satu langkah ke arah pertumbuhan ekonomi, ialah dengan meneroka sektor pertanian. Sektor pertanian sangat penting untuk kehidupan. Pertanian memainkan peranan utama dalam pembinaan tamadun.

Apabila pertanian meningkat, hasil dari teknologi baru, maka ia dianggap sebagai revolusi pertanian sudah berlaku. Ini, secara ketara, telah membawa hasil pertanian itu bertambah pada awal abad ke-20.

Bagi negara yang menerima hujan dan tanah-tanah masih belum diteroka, maka tidaklah praktikal untuk terus mengimport bahan asas makanan tanpa berusaha sendiri memenuhi keperluan.

Oleh itu Beta tanpa jemu-jemu, mengajak semua pihak, terutama agensi kerajaan yang berkenaan untuk tidak berlengah-lengah lagi menunaikan kewajipan ini.

Kuatkanlah azam dan teguhkan pendirian untuk mencapai sasaran yang diperlukan. Kita bina niat untuk menyara diri dengan keringat sendiri.

Di samping pertanian, negara juga sedang memperkasa sektor perusahaan, yang meliputi Perusahaan-Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. Beberapa inisiatif telah pun dilaksanakan melalui Kementerian Kewangan, seperti mengadakan program-program latihan keusahawanan dan mengadakan bengkel-bengkel yang berkaitan dengan penyimpanan rekod perniagaan serta pengetahuan  asas perakaunan dan lain-lain.

Ini kita anggap penting, untuk memudahkan pengusaha-pengusaha kita mengembangmajukan perusahaan-perusahaan mereka.

Seterusnya menyahut cabaran ekonomi, Kerajaan beta juga sedang meneliti untuk meningkatkan infrastruktur telekomunikasi yang dipercayai dapat memudahkan perniagaan, cost of doing business  dan sekali gus meningkatkan produktiviti.

Sambil kita membangun ekonomi, kita juga membangun negeri. Ada ungkapan berbunyi : “Membangun Bandar Mesra Alam”. Tetapi kita mengungkap : “Membangun Negeri Mesra Alam”. Dalam makna, kita bukan sahaja mahu bandar kita bersih, tetapi seluruh Bumi Brunei Darussalam ini hendaknya bersih.

Beta sangat teruja untuk melihat, semua persekitaran kita adalah mesra alam.

Ini adalah asas kebanggaan kita bersama, maka jelmakanlah ia.

Persekitaran yang mesra alam bukan sahaja kelihatan indah, malah juga menjanjikan kesejahteraan. Bukankah kotoran itu bersinonim dengan pencemaran?

Pencemaran  pula, tidak diragukan lagi, adalah agen mengundang penyakit. Kita ambil contoh, pencemaran udara disebabkan asap rokok, bukanlah asap rokok itu mengandungi bahan-bahan kimia beracun?

Menurut pakar, bahan-bahan ini boleh menjejaskan fungsi jantung dan struktur saluran darah, dimana akibatnya boleh menyekat atau menyumbat saluran darah. Maka risikonya ialah tekanan darah tinggi, serangan jantung dan kerosakan pada organ-organ lain di dalam tubuh badan.

Inilah rasional, makanya kita mahu supaya Brunei Darussalam ini bebas daripada segala macam pencemaran, termasuk pencemaran oleh rokok.

Brunei Darussalam, di samping memelihara dan memperelok fizikal, ia juga tidak mengabaikan elemen dalaman, iaitu ‘rohani’.

Maka ke arah ini, Kerajaan Beta tidak pernah memandang ringan terhadap pendidikan. Pendidikan adalah nadi kehidupan. Ia berfungsi untuk membentuk manusia. Demikian itu peranan pendidikan.

Kerana itu Beta mahu, supaya sistem pendidikan kita tidak sifar Ugama. Ugama mesti jadi paksinya.

Kenalilah ugama kita baik-baik supaya subur cinta terhadapnya. Cara mengenali itu tentu saja dengan belajar, terutama mempelajari sejarahnya.

Maka sehubungan ini, Beta ingin menekankan disini, supaya semua pihak yang berkenaan dengan pendidikan, hendaklah menjadikan subjek “sejarah Islam”, sebagai wajib diajar di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian di bawah Kementerian-Kementerian berkenaan dan swasta.

Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan dasar berbaik-baik dan hormat menghormati dengan negara-negara luar. Kerjasama yang sedia terjalin melalui keahlian dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa, juga akan terus diperkukuhkan.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara diatas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua-dua peringkat, Kebangsaan dan daerah, atas segala usaha dan khidmat mereka untuk menjayakan Perayaan ini.

Semoga Allah memberkati kita semua dan negara. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri 1439 Hijrah/2018 Masihi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA `IDIL FITRI
1439 HIJRAH / 2018 MASIHI
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA HARI KHAMIS,
21HB. SYAWAL, 1439
5HB. JULAI, 2018

BERTEMPAT
DI DEWAN PLEANRY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat lagi meraikan Hari Raya `Idil Fitri dengan penuh kesyukuran dan gembira.

Di Negara Brunei Darussalam, kemeriahan Hari Raya `Idil Fitri tidak hanya dirasakan dalam lingkungan antara keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, tetapi turut juga dikongsi sama oleh seluruh masyarakat dari pelbagai peringkat. Tradisi yang baik ini perlu diteruskan sebagai wadah menyuburkan silaturrahim dan sikap hormat-menghormati.

Di bulan Ramadhan yang baru lalu, seperti biasa, budaya saling membantu berkembang subur dalam masyarakat kita. Golongan yang mampu, tampil kehadapan untuk menyumbangkan bantuan kepada mereka yang berhajat, bagi sama-sama menikmati suasana `Idil Fitri.

Inilah ajaran Islam, sangkut-menyangkuti menjadi amalannya. Tiada beriman seseorang yang membiarkan rumah saudaranya tidak berasap, sedang rumahnya sendiri dipenuhi dengan aneka hidangan atau juadah.

Tema sambutan `Idil Fitri anjuran Yayasan Beta pada tahun ini, berbunyi: “Memajukan Ekonomi Negara Dengan Memperkasa Sektor Swasta.”

Dengan apakah sektor swasta itu diperkasa? Tentu saja dengan mengwujudkan pelbagai produktiviti yang terhasil daripada kerja keras atau usaha manusia.

Beta sangat gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada sektor swasta dan golongan pemegang ijazah yang masih menunggu atau mencari pekerjaan, sebagai peserta pada tahun ini. Kedua-dua golongan ini berpotensi untuk saling membantu diantara satu dengan yang lain bagi memperkasa diri masing-masing.

Sektor swasta di mana-mana saja, memang sudah lama dikenali sebagai jentera penggerak kepada pertumbuhan ekonomi. Di negara kita juga tidak kurang mempunyai bisnes yang resilient yang sudah lama wujud mendepani cabaran membina ekonomi itu.

Jentera ini tentu saja memerlukan bahanapi untuk ia berfungsi. Bahanapi tersebut tidak lain ialah tenaga kerja yang berkualiti.

Beta difahamkan, dari data JobCentre Brunei menunjukkan, bahawa terdapat 1,800 graduan yang berpotensi untuk membantu memperkasakan sektor swasta ke arah mencapai sasaran bisnes. Beta juga difahamkan, terdapat lebih dari 200 syarikat yang memerlukan perkhidmatan dikalangan graduan peringkat sarjana.

Maka dalam hubungan ini Beta berharap, kedua-dua pihak, sektor swasta dan para graduan akan menggunakan peluang keemasan pada hari ini untuk menjalinkan silaturrahim, sambil saling mengenali diantara satu dengan yang lain.

Masing-masing mereka tak syak lagi boleh menyumbang bagi merealisasikan pembangunan ekonomi negara, sehingga ke tahap dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Di pihak sektor swasta Beta yakin, mampu untuk tidak menghampakan harapan semua, dengan bersedia menerima berkhidmat anak-anak tempatan, khasnya para graduan kita yang sedang mencari atau menunggu pekerjaan.

Ini adalah satu tanggungjawab suci, dan jika ia berjaya dilaksanakan, maka sudah pasti, ianya jadi satu sumbangan yang sangat bermakna kepada negara.

Di pihak graduan pula, elakkanlah sikap memilih kerja, kerana apapun pekerjaan adalah ia ‘rezki’. Bukan bekerja di sektor kerajaan sahaja rezki, tetapi di sektor swasta juga rezki. Malah berniaga, berternak, bercucuk tanam dan ke laut menangkap ikan, juga adalah rezki. Jika semua ini dilakukan dengan sabar dan gigih, maka berkatnya yang lumayan, pasti diterima. Berkat itulah segala-galanya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu `Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke-57

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
YANG KE-57

BERTEMPAT
DI INSTITUT LATIHAN,
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI,
PENANJONG GARISAN, TUTONG

PADA
HARI AHAD
17 SYAWAL 1439 / 01 JULAI 2018

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengurniakan nikmat keamanan dan kesejahteraan kepada negara.

Beta dengan penuh bangga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah mempamerkan perbarisan pada pagi ini dan yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-57 kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Kementerian Pertahanan.

Tugas utama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ialah untuk melindungi negara, selaku ianya satu kewajipan dan amanah. Maka laksanakanlah ia dengan penuh berhemah.

Negara tidak meminta lain, kecuali ini sahaja. Jangan tanya apa yang negara mahu, tetapi tanyalah kepada diri kita sendiri apa yang sudah kita sumbangkan kepada negara?

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah melalui usianya 57 tahun. Dalam usianya sepanjang itu, tentu saja asam garam pengalaman telahpun banyak dirasai. Ini, menjadikannya lebih matang dan berkualiti lagi.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu menyedari, bahawa kita tidak mampu untuk ketinggalan dengan perkembangan-perkembangan di persekitaran yang semakin dinamik dari hari ke hari. Maka untuk itu, bukan keupayaan fizikal sahaja yang diambil berat, malah keutuhan rohani atau spiritual juga hendaklah diutamakan.

Sebab itulah, seperti kita mengawal negara, hendaklah dikawal juga diri sendiri. Jangan ia dimasuki anasir atau dijangkiti oleh penyakit, seperti anasir dan penyakit dadah umpamanya. Kerana semua itu amat berupaya untuk melemahkan dan malah membinasakan.

Mana-mana penglibatan atau kegiatan yang bermanfaat adalah elok diteruskan, seperti penyertaan kita dalam latihan-latihan ketenteraan serantau, dua hala atau pelbagai hala. Ini, bukan sahaja berguna dari sudut latihan, malah lebih daripada itu, boleh meningkatkan kemahiran dan keupayaan operasi kita.

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu mempamerkan kesungguhan dan keindahan kerjaya tentera itu sebagai satu kerjaya yang menarik dan meyakinkan, biar ia benar-benar diminati untuk diceburi oleh para belia harapan bangsa dan negara.

Tidakkah ini juga, salah satu cara kita membina negara?

Akhir kata, Beta ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, termasuk anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang bertugas di luar negara serta yang telah bersara. Semoga segala khidmat bakti para perwira kita itu, akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu `Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri Bagi Tahun 1439H/2018M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1439H / 2018M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Di hari yang bersukut baik lagi mulia ini, marilah kita sama-sama  merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengurniakan kepada kita nikmat Islam dan Iman, sehingga dengan itu, jadilah kita, para hamba yang beruntung dapat menunaikan segala perintah-Nya termasuk perintah berpuasa.

Ibadat puasa adalah satu dari rukun Islam yang ke lima, di mana kita yang  melakukannya adalah selaku hamba yang mematuhi tuntutan Islam itu. Oleh itu, wajarlah kita bersyukur kerana telah ditakdirkan menjadi orang Islam.

Selepas ibadat puasa, Allah mensyariatkan pula Hari Raya Fitrah, sebagai hari untuk bersukaria, setelah sebulan penuh kita menahan diri daripada perkara-perkara yang ditegah semasa berpuasa.

Hari Raya Fitrah sangat unik dan tersendiri sifatnya. Ia bukan semata-mata untuk bersukaria biasa, tetapi turut dituntut ialah untuk menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. Inilah inti pati kita merayakan Hari Raya Fitrah itu.

Bukankah kemuncaknya, kita bergerak ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri? Di masjid  sebelum sembahyang, kita beramai-ramai bertakbir, bertahlil, bertahmid dan bertasbih mengagungkan Allah. Inilah keraian yang unik itu. Impaknya tidak kosong, tetapi sarat dengan janji pahala daripada Allah.

Pada hemat Beta, senario hari ini, sangatlah mewajarkan kita orang-orang Islam untuk banyak-banyak berzikir atau mengingat Allah. Kerana dunia kini betul-betul sedang tenat dengan kemelut, dengan perkelahian-perkelahian di sana sini. Keamanan sudah tidak terjamin, diganti oleh huru-hara dan pembunuhan-pembunuhan kejam.

Ini semua, tidak terkecuali, turut berlaku dikalangan orang-orang Islam sendiri.

Perkara ini berlaku, kerana mungkin, kita ini sudah, atau semakin jauh daripada Allah. Orang sudah amat sedikit mengingat Allah, berbanding mengingat yang lain-lain. Kerana itulah musuh mudah masuk. Selain musuh syaitan, juga tidak terkecuali ialah musuh dari kalangan manusia.

Pada hemat Beta, usaha yang paling  dharuri untuk mengubat penyakit ini ialah, kita mesti bersegera mendekati Allah, menyebut dan mengingati-Nya banyak-banyak, serta memohonkan petunjuk dan perlindungan-Nya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mengambil sempena bulan yang penuh berkat ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada. Beta berdo’a semoga kita semua dikurniakan kesihatan dan peluang untuk merayakan hari yang berbahagia ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.