Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1439H/2017M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1439H / 2017M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sambutan Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah salah satu perayaan yang tidak akan dilupakan untuk diperingati di negara ini. Kerana itu Beta sampai mengingatkan, supaya sebarang usaha untuk mempertikai atau memperkecilkan perayaan ini, eloklah ia dari awal-awal lagi ditangani dengan akta, bukan setakat dengan nasihat atau dakwah sahaja.

Tidaklah perlu untuk mengumpul sehingga banyak bukti mengenai orang-orang yang menolak tahlil, menolak talqin, menolak perayaan Maulid Ar-Rasul, menolak mengaminkan do’a imam dan lain-lain. Yang penting ialah, perkara ini memang sudah berlaku. Kalau di tempat kita ini, ia mungkin hanya kadang-kadang berlaku, tetapi di setengah tempat lain, perkara ini sudah pun jadi tengkarah yang lumrah.

Jadi, menggubal akta mengenainya memanglah sesuai, sekurang-kurangnya sebagai persiapan kita untuk menghadapinya.

Tema sambutan kita pada tahun ini berbunyi:
“Rasulullah: Qudwah Kepimpinan Yang Adil”. Memang tidak diragukan lagi, bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah contoh ikutan yang paling unggul melaksanakan keadilan.

Baginda tidak pernah melakukan sebarang kezaliman, sehingga pernah bersabda, maksudnya:
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong jua tangannya”.

Inilah gambaran keadilan Rasulullah. Dalam sejarah, tiada siapa pun yang pernah dizalimi oleh Baginda. Semua orang menikmati keadilan daripada Baginda, walaupun golongan musyrik yang memusuhi Baginda.

Inilah maknanya usaha Baginda mengembangkan Islam sangat berjaya, kerana melalui keadilan itu, hati manusia mudah terpikat kepada Islam yang dibawa oleh Baginda.

Inilah rahsia keadilan apabila ia dilaksanakan. Allah tidak akan menghampakan sesiapa jua yang bekerja untuk keadilan.

Dalam zaman yang penuh bergolak ini, kita biasa mendapati keadilan itu dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Setengah mereka terlalu kejam, merampas kebahagiaan orang lain dengan kezaliman.

Perbuatan ini amatlah terkutuk, hanya menunggu sa’at sahaja lagi untuk dibalas oleh Allah.

Di Negara Brunei Darussalam, kita tidak membenarkan kezaliman berlaku. Kita pantangkan ia berlaku. Sesungguhnya di bumi bertuah ini, kezaliman tidak ada tempat untuknya. Ia adalah musuh kita. Kita tidak mampu untuk berkompromi dengannya.

Kezaliman biasanya dilakukan oleh pihak-pihak yang kuat atau berkuasa, termasuklah dalam dunia pekerjaan atau perkhidmatan. Kerana itu, Beta berkewajipan untuk mengingatkan, supaya sesiapa jua yang dititipkan dengan jawatan atau kuasa, tidak akan menggunakan jawatan atau kuasa itu untuk menzalimi orang lain.

Kezaliman yang paling dahsyat ialah ‘fitnah’: fitnah ke atas orang-orang yang tidak berdosa. Seyugia diingat, fitnah mestilah dijauhi oleh sesiapa saja yang ingin selamat.

Beta mahu, Brunei kita, mestilah bersih dari sebarang gejala fitnah dan kezaliman. Inilah saja modal kita untuk selamat. Allah Subhanahu Wata’ala pasti memberkati negara dan kerajaan yang adil.

Bersempena dengan memperingati Maulid Ar-Rasul
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini, maka marilah kita sama-sama memasang azam untuk benar-benar menghayati tema sambutan, tentang keadilan Rasulullahi
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Biarlah tema ini tidak hanya untuk dibaca atau disebut sahaja, tetapi yang penting, menjadikannya sumber ilham bagi kita untuk mencontohi Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkara mengamal dan menjalankan keadilan itu.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Perasmian Majlis Ilmu 2017 Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-71 Tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

PERASMIAN MAJLIS ILMU 2017
SEMPENA HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN YANG KE-71 TAHUN


PADA HARI SELASA
18 SAFAR 1439 / 07 NOVEMBER 2017


BERTEMPAT
DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita hadir dan berkumpul di Majlis Ilmu pada pagi yang mubarak ini.

Beta sangat gembira, kerana Majlis Ilmu diungkayahkan pada ketika, negara masih saja dalam suasana meraikan sambutan Jubli Emas Beta menaiki Takhta.

Pada tahun ini, Majlis Ilmu memaparkan tema: “Mensyukuri Kepimpinan, Terutama Perkhidmatan Ugama, Sepanjang 50 Tahun Pemerintahan Beta”.

Beta juga difahamkan, bahawa satu ‘Ceramah khas’ akan disampaikan, bertajuk: “Pemerintahan Raja Yang Salih Membawa Berkat”.

Tidak syak lagi, majlis ini akan mendepani usaha, untuk mencari tafsiran tepat siapakah raja, apa tugas dan peranan serta kesan daripada tindak-tanduk raja?

Semua ini akan jadi tugas dan tanggungjawab para ilmuan juga untuk memberikan perspektif yang sahih.

Tugas ini bukanlah ringan, malah berkehendakkan para ilmuan yang benar-benar ahli serta amanah.

Bercakap mengenai kepimpinan, ia adalah berkait rapat dengan ilmu. Tanpa ilmu, kepimpinan boleh saja pincang. Mengapakah begitu? Kerana bukankah ilmu itu ‘pelita’? Cubalah bayangkan kalau kita berjalan di dalam gelap tanpa pelita?

Kerana itu, Beta sangat teruja, dengan Majlis Ilmu ini dapat diadakan pada setiap tahun, yang disempenakan dengan Hari Keputeraan Beta. Banyaklah ilmu yang boleh dikaut daripada majlis ini.

Dunia kini penuh dengan cabaran. Diantara cabaran yang sering-sering menggugat ialah cabaran dalam amalan berugama. Ia silih berganti, seperti saja tidak ada kesudahannya.

Dalang yang membawa cabaran, sangat suka menghambur-hamburkan pendapat, seperti memburuk-burukkan amalan bertahlil, menolak ziarah kubur, mempertikai sambutan Maulid Ar-Rasul, membaca Al-Qur’an sebelum memulakan tugas dan lain-lain, dengan alasan, semua itu tidak dibuat oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mereka ini tidak mahu mendengar penerangan-penerangan oleh para ‘Ulama, kecuali terus saja berdegil dengan pendapat dan pendirian mereka.

Ini tidak boleh dibiarkan untuk terus berleluasa. Walaupun kita sudah berusaha dengan pelbagai cara, melalui dakwah dan nasihat, untuk memberhentikan amalan dan pendapat yang menyalahi kebiasaan ini, namun masih saja kedengaran ia berlaku, dilakukan oleh pihak-pihak yang degil itu.

Pada hemat Beta, ada eloknya perkara ini ditangani secara undang-undang dengan menyediakan peruntukkan di bawah akta bersesuaian, untuk menyekat sama sekali pendapat atau amalan songsang menolak tahlil, mempertikai sambutan Maulid Ar-Rasul, ziarah kubur, membaca Al-Qur’an sebelum memulakan tugas dan lain-lain seumpamanya.

Hanya dengan cara ini sahaja, semua di’ayah untuk mempengaruhi atau mengganggu-gugat keharmonian berugama di negara ini dapat disekat dengan berkesan.

Kita tidak mampu untuk membiarkan sesiapa jua untuk membawa atau mengimport sebarang ajaran yang boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Inilah azam dan pendirian kita yang tidak dapat dikompromi sama sekali. Kita akan tetap dengan pendirian ini.

Aliran akidah yang kita pegang, ialah aliran Ahli Sunnah Waljama’ah. Tidak sesiapapun yang boleh melangkahinya. Ia telah pun dikanunkan dalam Perlembagaan sebagai dasar muktamad kita.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KETUJUH
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 1439H/2017M



PADA HARI RABU
05 SAFAR 1439 / 25 OKTOBER 2017



BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadhir di Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi yang mubarak ini.

Dengan rasa bangga yang mendalam, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing di KUPU SB. Para graduan perlu bersyukur dengan kejayaan ini, kerana ia diperolehi melalui hidayat dan pertolongan Allah disamping sedikit usaha daripada kita sendiri.

Para graduan mustahak sedar, bahawa profesion keguruan adalah sangat mulia. Guru berperanan penting dalam pembentukan masyarakat dan pembangunan negara. Sebagai pembentuk dan pembangun itu, warga guru mesti mempunyai semangat juang yang tinggi serta idea-idea besar untuk perubahan. Tanpa semangat dan idea besar, sebarang perubahan adalah sukar untuk dicapai.

Para graduan perguruan ugama adalah juga agen masyarakat untuk membantu menjelaskan hala tuju serta program-program kebangsaan dari masa ke semasa. Mereka turut berperanan untuk membetulkan keadaan menurut lunas-lunas ilmu ugama yang suci.

Ilmu ugamalah pembentuk cara berfikir terbaik untuk diterapkan ke dalam kehidupan. Jika cara ini, maka itulah asas untuk negara beroleh kebajikan dan berkat. Adapun kebajikan paling bermutu ialah negara sentiasa berada selamat. Firman Allah Ta’ala dalam surah Hud ayat 117 tafsirnya:

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya adalah orang-orang yang berbuat demikian.”

Maka sehubungan ini, KUPU SB dan institusi pengajian tinggi yang lain, amat perlu untuk menyediakan pengalaman-pengalaman berfikir yang kritis, supaya para  graduan mampu untuk menerapkan kebajikan bagi masyarakat dan negara.

Negara sangat memerlukan disiplin-disiplin yang bermanfaat untuk pembangunan modal insan. Adalah tidak memadai, kita belajar hanya untuk ilmu, tetapi ilmu mesti dipelajari untuk jadi pelengkap.

Setiap pusat pengajian tinggi hendaklah sentiasa menilai program yang ditawarkan, supaya kandungan kurikulumnya tetap relevan dan praktis dengan keperluan-keperluan semasa. Ini termasuklah kaedah pengajaran dan penilaian perkembangan pelajar.

Dalam konteks ini juga, pusat pengajian tinggi perlu untuk memastikan staf akademiknya memiliki ciri-ciri profesional yang tinggi, yang mampu menghidangkan pendekatan-pendekatan yang efektif dan inovatif serta dapat pula membuat penilaian perkembangan pelajar secara holistik dan saksama.

Beta mengambil maklum, bahawa KUPU SB telah menyediakan beberapa kompetensi dalam usaha melahirkan graduan pendidik yang berjati diri. KUPU SB juga sedang giat memantapkan program-program bagi mencapai kompetensi berkenaan.

Usaha ini sangatlah wajar dan bagus. Namun kaedah penilaian mestilah juga kemas dan sistematik, supaya para graduan benar-benar mencapai kualiti kompetensi yang diharapkan.

Pendeknya, semua pusat pengajian tinggi, perlu bergerak mengemaskan program dan kokurikulum masing-masing, supaya dapat melahirkan para graduan yang seimbang dan holistik dari aspek-aspek kerohanian, intelek, jasmani, keusahawanan dan kemasyarakatan.

Khusus seperti KUPU SB dan UNISSA, mereka ini adalah sangat menunggu para calun daripada Sekolah Arab. Lepasan daripada Sekolah Arablah yang merupakan calun-calun utama untuk KUPU SB dan UNNISSA. Oleh itu, objektif melahirkan lepasan-lepasan Sekolah Arab, perlulah serba lumayan, bukan sahaja lumayan kuantiti, tetapi lebih-lebih lagi lumayan kualiti.

Dalam makna, ibarat kilang, Sekolah Arab adalah sangat perlu untuk menghasilkan bahan produknya yang berkualiti. Kerana itu, Beta tidak jemu-jemu untuk mengingatkan, supaya Sekolah Arab mestilah terus diperkasa. Mana-mana yang kurang ditambah, atau yang kurang bagus diperbagus, atau yang masih lemah diperkuat, sehingga sekolah ini benar-benar jadi unggul dan ternama.

Ini bukan mustahil, tetapi sesuatu yang mampu untuk dibuat, jika kita benar-benar gigih dan bekerja dengan penuh azam.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala sumbangan dan khidmat yang mereka berikan. Semoga semua amal kebajikan yang telah diberikan adalah diterima oleh Allah. Marilah kita berdo’a semoga KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat dan diredhai Allah serta dapat mencapai matlamat penubuhannya, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


***

Titah KDYMM Sempena Majlis Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Kali Ke-8 Tahun 1439 / 2017

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI

WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
DI MAJLIS MUSABAQAH TILAWAH
AL-QUR’AN BELIA ASIA TENGGARA KALI KE-8
TAHUN 1439/2017



PADA HARI KHAMIS
07 SAFAR 1439 / 26 OKTOBER 2017



BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Terlebih dahulu Beta mengucapkan selamat datang kepada para belia dari negara-negara ASEAN yang menyertai Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi. Khusus kepada peserta baru Timor Leste, Beta menghulurkan salam muhibbah dan selamat maju jaya dalam bidang ini.

Beta seterusnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara bagi tahun 1439 / 2017 dan juga kepada semua peserta lain yang telah menunjukkan semangat perpaduan ASEAN.

Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara, tidak syak lagi, adalah satu langkah ke arah menggalakkan aktiviti dan interaksi sosial yang sihat di kalangan para belia. Ia juga dapat menyifatkan sebagai perkongsian kerjasama antara kerajaan untuk membina generasi belia.

Pertemuan para belia di musabaqah ini mampu untuk meningkatkan jaringan interaksi serantau antara masyarakat belia. Iaitu juga boleh menyumbang kepada perpaduan ummah secara menyeluruh.

Generasi belia adalah merupakan sumber tenaga besar negara-negara ASEAN. Dengan bilangan mereka berjumlah 211 juta, menjadikan mereka berupaya untuk menggerakkan pembangunan dalam negara masing-masing. Kejayaan menggembeling tenaga belia akan menambahkan lagi kekuatan dan ketahanan negara.

Hasrat Beta mengetengahkan Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asian Tenggara ini adalah untuk melihat para belia ASEAN turut memiliki peribadi Al-Qur’an. Maksud Beta dengan peribadi Al-Qur’an ialah akhlak mulia mengikut calak Al-Qur’an. Semua ini orang Islam dikehendaki untuk memiliki akhlak Al-Qur’an.

Menerusi Dasar Belia Negara, kita juga menitikberatkan peningkatan ilmu pengetahuan. Kerana ilmu adalah tonggak bagi pembangunan. Tanpa ilmu, pembangunan tidak mungkin dapat dilaksanakan. Ini juga sangat perlu kepada belia.

Maka ke arah ini, generasi belia perlu celik teknologi terkini, kemahiran teknik dan vokasional serta mempunyai basic keusahawanan selaras dengan kehendak pembangunan negara. Beta juga menggalakkan supaya generasi belia menyertai organisasi atau aktiviti sukarela yang dapat memupuk gaya hidup yang sihat, cergas dan dinamik. Amalan ini tidak diragukan lagi dapat menghasilkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti.

Persoalan kualiti disini tidak saja menyangkut perkara luaran, tetapi juga turut menyangkut perkara yang lebih penting lagi, iaitu pemikiran sikap dan kebolehan.

Dari senario inilah golongan muda itu dapat dinilai, sama ada berkualiti atau sebaliknya. Namun kita tetap percaya, bahawa mereka memang benar-benar berkualiti serta menjadi harapan bangsa yang sangat bernilai.

Ugama Islam memang mahu umatnya berkualiti dan kaya dengan nilai. Nilai yang dikehendaki oleh Islam itu, paksinya adalah ‘akhlak yang mulia’. Dari akhlak yang mulia inilah lahirnya segala sifat terpuji, seperti ta’at berugama, setia kepada ulil amri, cinta kepada negara, amanah, ikhlas dan ihsan. Inilah akhlak yang disuruh kita memakainya oleh Islam.

Semoga para belia dan malah kita semua diizinkan oleh Allah untuk dapat memiliki akhlak yang mulia ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


***

Titah KDYMM di Majlis Haflut Takharruj Ke-7 Universiti Islam Sultan Sharif Ali bagi Tahun 1439H/2017M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
HAFLUT TAKHARRUJ KE-7 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
BAGI TAHUN 1439H/2017M

PADA HARI ISNIN
25 MUHARRAM 1439 / 16 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berhimpun di
Majlis Haflut Takharruj kali ke-7, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Mula-mula Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Begitu juga, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas pengorbanan mereka, sehingga mampu untuk melahirkan para graduan yang berjaya.

Seperti sama-sama dimaklumi, UNISSA pada tahun ini meraikan usianya yang ke sepuluh tahun. Sepanjang tempoh berkenaan UNISSA telah meraih banyak pencapaian sebagaimana dihasratkan.

Sesuai dengan usianya yang semakin matang, Beta berharap, UNISSA akan terus menyerlah selaku mercu tanda kegemilangan Islam di negara ini. Ini bermakna UNISSA perlu, untuk terus berkembang sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa.

Maka sehubungan ini, Beta gembira mengetahui bahawa Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat UNISSA telah memulakan operasinya. Beta melihat, pusat ini mampu untuk jadi pemangkin kepada pengayaan ilmu dan pemerkasaan kemahiran semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia.

Disamping itu, pusat ini juga tentu berupaya untuk memantapkan lagi profesionalisme para penjawat awam dengan menawarkan pelbagai kursus kepada mereka.

Disini, UNISSA perlu menyediakan pelan tindakan yang bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Untuk itu, Beta menyambut baik inisiatif UNISSA dalam meningkatkan kualiti pengajian, penyelidikan  dan urus tadbir serta penawaran program dan kursus-kursus baru yang bersesuaian.

Beta optimis dengan perkembangan ini, ditambah lagi dengan kestabilan sosiopolitik negara, akan menjadikan UNISSA lebih berpotensi untuk menarik lebih ramai lagi pelajar dari dalam dan luar negara, dan sekali gus menjadikan UNISSA sebagai hab pusat pengajian Islam di rantau ini.

Ikhtiar ke arah ini tidak syak lagi akan membuka peluang lebih luas untuk meningkatkan kebolehpasaran lulusan UNISSA. Sesungguhnya dengan pendedahan kepada pelbagai bidang ilmu dan kemahiran, pelajar UNISSA juga mampu untuk menjadi lulusan yang serba boleh, yang boleh berkhidmat di pelbagai sektor, termasuk juga menjadi usahawan yang berjaya.

Faktor inilah yang menjadikan UNISSA semakin dikenali di peringkat global serta menjadi idaman ramai pelajar-pelajar serantau dan antarabangsa untuk menjadikannya tempat pengajian mereka. Peningkatan kemasukan dan permohonan pelajar-pelajar antarabangsa pada setiap tahun ke UNISSA adalah petanda, bahawa UNISSA mempunyai keistimewaan tersendiri di mata luar. Beta turut mendokong usaha UNSSA untuk menarik balik lebih ramai pelajar antarabangsa bagi melanjutkan pengajian mereka di UNISSA sebagai salah satu sumbangan Kerajaan Beta kepada pembangunan ummah sejagat.

Akhirnya, Beta mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Rektor, Pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah
Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM di Majlis Istiadat Mengadap Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

MAJLIS ISTIADAT MENGADAP SEMPENA SAMBUTAN JUBLI
EMAS KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI
DARUSSALAM MENAIKI TAKHTA

PADA HARI KHAMIS
14 MUHARRAM 1439 / 5 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI ISTANA NURUL IMAN

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta mengucapkan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Sambutan Jubli Emas Beta menaiki takhta, dalam suasana aman, tenteram dan harmoni.

Hari ini adalah hari paling bersejarah bagi Beta sendiri, dan juga bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Sejarah Beta adalah juga sejarah bangsa dan negara. Kerana siapa Beta selaku raja, tidak boleh putus hubungan dengan bangsa dan negara. Tegasnya, Beta, tetap berkongsi sejarah dengan mereka.

Kerana itulah, perayaan ini menjadi milik bersama diantara Beta selaku raja dan rakyat jelata. Kalau Beta dilihat gembira, maka rakyat juga adalah berhak untuk bergembira. Jika Beta bersyukur, maka rakyat juga patut bersyukur.

Demikian itu hubungan raja dengan rakyat. Tidak ada tembok pemisah diantara mereka. Kewajipan raja berlaku adil kepada rakyat, sementara kewajipan rakyat pula menta’ati raja. Raja berkewajipan untuk mengetahui susah senang rakyat, sementara rakyat pula dituntut untuk bersimpati kepada raja. Inilah namanya kewajipan timbal balik untuk kesejahteraan semua. Raja dan rakyat sama-sama memegang amanah besar ini.

Inilah rukun kehidupan kita di negara ini. Ia telahpun wujud dengan jayanya semenjak dari enam ratus tahun lagi. Marilah kita pelihara ia, dan teruslah memupuknya sehingga zaman berzaman.

Menzahirkan rasa sukacita yang mendalam, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Beta kepada semua peringkat jawatankuasa yang bertanggungjawab dan bertungkus lumus merancang dan menjayakan sambutan ini.

Penghargaan yang sama juga tidak diabaikan terhadap Kerabat Diraja, Orang-Orang Bergelar, pemimpin-pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara, diatas sokongan berterusan dan ta’at setia mereka kepada Beta dan Kerajaan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala yang akan memberkati dan melimpahkan rahmat dan hidayat-Nya kepada kita semua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.