Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-15 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-15 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-15
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
 
PADA HARI KHAMIS
26 SAFAR 1447 /  21 OGOS 2025
 
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala Kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua dapatlah kita sekali lagi bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-15, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang diraikan atas kejayaan mereka, yang bukan sahaja mencerminkan ketekunan dan kesungguhan, malah juga membawa harapan besar bagi generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara. Beta juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa dan para penjaga yang menjadi tunggak di sebalik pencapaian hari ini. Seterusnya kepada para pensyarah yang telah sama-sama berusaha untuk memastikan para graduan dapat bersama meraikan kejayaan mereka pada hari ini.

Pada tahun ini genaplah 15 tahun UNISSA melahirkan graduannya. Dalam meniti kedewasaan ini Beta melihat UNISSA bukan sekadar gedung untuk belajar ilmu ugama tetapi berperanan penting menjadi sebuah gedung ilmu yang inklusif, dalam maksud ianya terbuka kepada kepelbagaian idea dan pendekatan baharu, namun dalam masa yang sama tetap berpasakkan nilai-nilai Islam. Beta berharap UNISSA akan dapat melangkah kehadapan menjadi pelopor pengajian tinggi Islam yang holistik dalam era digital ini.

Era digital hari ini menjadikan dunia bergerak pantas. Oleh itu, UNISSA tidak boleh hanya jadi penonton dan berdiri di tepi arus perubahan yang pesat, tetapi sebaliknya perlu tampil menjadi pemain aktif yang responsif dan proaktif. Mungkin sudah tiba masanya bagi UNISSA untuk menilai semula pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memperbaharui kurikulum, serta meningkatkan keupayaan literasi digital terkini dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik. Beta percaya penguasaan terhadap teknologi pada hari ini bukan lagi  satu pilihan, bahkan keperluan untuk kelangsungan dan kecemerlangan institusi pengajian tinggi Islam seperti UNISSA.

Bidang-bidang ilmu tradisional seperti tafsir, hadits, fiqh masih saja mempunyai ruang yang sangat luas untuk diteroka semula dengan pendekatan yang lebih segar, khususnya apabila dihubungkan dengan teknologi digital. Di samping itu, UNISSA juga boleh menawarkan program micro-credential bersifat sepanjang hayat (Lifelong Learning) yang kandungan kurikulumnya adalah gabungan tradisional dan kontemporari.

Seiring dengan itu, aspek Penyelidikan dan Pembangunan adalah mustahak diberi keutamaan. Ia adalah teras utama kepada kecemerlangan sebuah universiti. UNISSA perlu memacu budaya penyelidikan berimpak tinggi, iaitu penyelidikan yang tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi juga yang berkait rapat dengan isu-isu semasa, cabaran masyarakat, serta pembangunan dasar dan penyelesaian kepada permasalahan sebenar. Sebagai contoh ialah penyelidikan dalam bidang halal dan sains makanan. UNISSA boleh menerajui penyelidikan yang berkaitan dengan teknologi pengesanan halal dan kajian piawaian halal serantau yang boleh memberi impak positif kepada integrasi sistem jaminan halal. Di samping itu, penyelidikan di dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam yang digandingkan dengan teknologi moden juga amat diperlukan. Ini adalah bagi merangka penyelesaian untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk meningkatkan tahap sara diri dan kesejahteraan ekonomi keluarga, agar mereka ini tidak terus tercicir daripada pembangunan arus perdana.

Beta juga ingin melihat kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, dan pihak industri diperkasa dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan. Usaha ini boleh dijayakan melalui geran kolaboratif dan perkongsian pakar.

Dengan gabungan yang kuat seperti ini, UNISSA setentunya akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat ilmu yang unggul dan diiktiraf di peringkat serantau dan global.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan UNISSA atas segala sumbangan dan penglibatan mereka dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-15 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas dengan ganjaran berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-20, 2025

Titah KDYMM Bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-20, 2025

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAAN
KALI KE-20, 2025
 
TEMA: ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’
 
PADA HARI SABTU
22 SAFAR 1447 /  16 OGOS 2025
 
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya kerana dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali ke-20 pada pagi ini.

Generasi belia masa kini memiliki semangat dan potensi kepimpinan yang tinggi. Transformasi positif yang ditunjukkan oleh golongan belia memberi gambaran jelas bahawa mereka sanggup menggalas tanggungjawab yang berat selaku pemimpin. Perkara ini penting dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Kerajaan Beta sentiasa komited dalam memperkasa belia dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka berkembang.

Bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 yang semakin mendekat, para belia turut memainkan peranan penting sebagai Pemacu Transformasi Ekonomi. Beta gembira melihat terdapatnya perubahan ‘mindset’ di kalangan belia dimana belia sekarang sudah berani beralih dari pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan, dengan meneroka bidang keusahawanan dan perniagaan.

Dalam Bidang Keusahawanan, Beta sedia menyedari bahawa antara cabaran utama yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan (access to funding) bagi memulakan perniagaan. Situasi ini lebih dirasakan oleh golongan belia yang tidak mempunyai rekod prestasi perniagaan dan sumber cagaran (collateral).

Maka kearah ini, Beta sukacita memaklumkan bahawa satu skim pembiayaan mikro patuh-syarak telah diwujudkan, khusus bagi usahawan belia, hasil kolaborasi strategik di antara Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Bank Usahawan Berhad. Skim ini dinamakan ‘BizBelia’ dan memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan untuk mendapatkan sumber kewangan daripada institusi kewangan tempatan. Inisiatif ini diharapkan akan dapat merangsang pertumbuhan dan perkembangan perusahaan belia tempatan dan menjadi teladan kepada institusi-institusi kewangan lain ke arah memudah cara penglibatan lebih ramai para usahawan belia.

Beta menaruh harapan yang tinggi bagi inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia di negara ini dalam sama-sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Beta turut menaruh keyakinan dengan adanya bimbingan serta dokongan yang padu dari pihak-pihak yang berkenaan, para usahawan belia kita akan mampu menyerlah bukan saja di peringkat kebangsaan malah peringkat antarabangsa.

Namun dalam masa yang sama, Beta turut menzahirkan kebimbangan terhadap Eksploitasi Golongan Belia oleh sindiket-sindiket jenayah yang menawarkan ganjaran lumayan. Beta difahamkan adanya penglibatan beberapa belia tempatan dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang didalangi oleh kumpulan pengedaran dadah antarabangsa. Beta juga amat prihatin akan perkembangan di negara jiran di mana terdapat sebilangan golongan belia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Gejala ini bukan sahaja mengancam masa depan belia tetapi juga keselamatan dan keharmonian masyarakat. Usaha membanteras sindiket berkenaan wajar diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh, meliputi pendidikan serta kesedaran, penguatkuasaan undang-undang, dan sokongan para komuniti.

Para belia sendiri wajar diseru untuk memperkukuh jati diri melalui ilmu ugama serta nilai Melayu Islam Beraja demi mempertahankan masa depan yang cemerlang dan bermartabat.

Belia juga wajar diseru supaya sedia bekerjasama dengan semua golongan masyarakat termasuk warga emas demi sama-sama mencorakkan masa depan negara yang harmoni.

Akhirnya, bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

Beta amat menghargai segala usaha dan sumbangan golongan belia dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya, belia adalah tonggak harapan bagi masa depan yang gemilang.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen kali Ke-37 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen kali Ke-37 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-37
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
 
PADA HARI RABU
19 SAFAR 1447 /  13 OGOS 2025
 
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-37 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Kejayaan ini tidak datang bergolek, sebaliknya hasil dari usaha para graduan dan sokongan padu para ibu bapa dan penjaga di sepanjang tempoh pengajian di UBD.

Semenjak penubuhannya pada tahun 1985, UBD telah berdiri teguh sebagai tunggak pendidikan tinggi negara, melahirkan ribuan para graduan dan telah meneroka pelbagai penemuan ilmu baharu.

Ulang tahun UBD Ke-40 ini mencerminkan komitmen berterusan dalam pembangunan pendidikan negara. Pada setiap tahun, UBD terus berjaya melahirkan graduan yang relevan, berdaya saing dan berkualiti. Maka sehubungan itu, Beta ingin menyeru supaya Institusi Pengajian Tinggi di negara ini terus melangkah kehadapan menjana kapasiti tenaga intelek yang lebih matang, khusus dalam bidang penyelidikan.

Beta berharap, nilai-nilai Islam serta warisan bangsa akan terus menjadi paksi kepada arah tuju UBD. Sesungguhnya kekuatan UBD tidak hanya terletak pada nama atau gagasannya, tetapi lebih utama ialah semangat dan sumbangannya kepada negara mesti berkekalan. Jika ini ada dan terus menyerlah, maka itulah tanda UBD berkualiti.

Beta ingin melihat UBD akan terus mendekati masyarakat, suka mendengar suara mereka dan memahami keperluan bersama. Sesungguhnya sebuah universiti yang hebat bukan hanya pandai mencipta nama tetapi juga tumbuh bersama masyarakat dan mampu pula menyesuaikan diri dengan arus perubahan.

Menyentuh komuniti pelajar, Beta juga mengambil maklum akan usaha UBD memperkenalkan kurikulum baharu bagi memperkukuhkan lagi pembangunan graduan cemerlang iaitu individu yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran. Kurikulum baharu yang dipanggil ‘GenBESTARI’ yang akan mula dilaksanakan pada September 2026 adalah merupakan satu langkah penting, dengan penekanan yang lebih seimbang antara pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran insan atau soft skills. Dalam era yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (A.I), kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritikal dan kebolehsuaian adalah menjadi kunci utama kepada peningkatan daya saing dan kebolehpasaran graduan.

Alhamdulillah, Beta juga gembira mengetahui penubuhan ‘UBD Sustainability Living Lab’ yang merupakan platform inovatif yang strategik dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan industri. Beta yakin inisiatif seperti ini akan memperkukuhkan lagi UBD sebagai hab ilmu dan rujukan utama dalam bidang penyelidikan dan pengetahuan, serta menjadikan UBD kekal relevan bagi keperluan masyarakat dan industri.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Teruslah menimba ilmu, meningkatkan kemahiran diri, dan mengembangkan potensi, demi masa depan negara yang kita cintai ini. Berpegang teguhlah kepada Aqidah Ahli Sunnah Wal-jamaah agar setiap usaha dan jerih payah kita akan mendapat berkat serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Inilah kunci kejayaan hakiki, bagi dunia dan akhirat.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UBD, baik yang masih berkhidmat atau yang telah bersara, yang merangkumi para Ahli Majlis, Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai, kakitangan, pelajar, alumni dan rakan strategik atas segala sumbangan mereka kepada UBD selama 40 tahun ini. Semoga segala usaha mereka akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Beta mendoakan UBD akan terus maju jaya sebagai institusi ilmu yang digalati.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 ​

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-79 Tahun 1447H / 2025M

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-79 Tahun 1447H / 2025M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

​​​SEMPENA
​HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-79 TAHUN
1447H / 2025M

HARI SELASA 19 MUHARRAM 1447 / 15 JULAI 2025

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​​​​

 

    Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.​

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-79 dalam suasan harmoni dan aman.

Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

Alhamdulillah, kita kini semakin rancak melaksanakan inisiatif-inisiatif berkeutamaan di bawah ketiga-tiga blueprint Wawasan Brunei 2035 iaitu blueprint Tenaga Manusia, Sosial dan Ekonomi yang mampu mendatangkan impak besar, khasnya dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk sentiasa terpelihara.

Beta menyedari bahawa dalam era baharu yang penuh mencabar, amatlahpenting bagi kita meneliti dan menyesuaikan kaedah-kaedah serta pendekatan kerja yang selaras dengan perubahan landskap sosial dan keperluan semasa. Maka ke arah itu Kerajaan Beta telah melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap dasar dan undang-undang sedia ada.

Beta telah memperkenankan bagi Perintah kanun Tanah (Pindaan) 2025 untuk mula berkuatkuasa pada 01hb Ogos 2025 yang akan menambahbaik dan memudahkan proses pemilikan tanah bagi rakyat dan beberapa kategori penduduk di Negara Brunei Darussalam termasuk mereka yang berstatus ‘stateless’.

Kerajaan Beta juga sedang merangka ‘Digital Brunei Transformation Plan’ yang akan mengetengahkan potensi Artificial Intelligence (AI) dalam agenda tranformasi negara berbagai sektor. Beta telah memperkenankan Perintah Perlindungan Data Peribadi (Personal Data Protection Order 2025) untuk berkuatkuasa pada 01hb Januari 2026 dengan matlamat untuk mengelakkan risiko penyalahgunaan dan sebarang bentuk ancaman melalui saluran siber demi melindungi kepentingan rakyat dan penduduk di Negara ini.

Dari sudut ekonomi, Kerajaan Beta juga telah memperluaskan pelaksanaan Perintah Pekerjaan (Upah Minimum) kepada tujuh (7) industri tambahan bermula pada 01 hb April 2025. Ini termasuk sektor-sektor Perbankan dan Kewangan; Teknologi dan Info-Komunikasi (ICT); Sekuriti; Pelancongan dan Penginapan; Arkitek, Kejuruteraan Professional, Ukur Bahan dan Ukur Tanah; Perubatan dan Pergigian; dan Pendidikan Tinggi Swasta.

Sementara itu dalam peningkatan kemahiran pula akan terus diperkembangkan menerusi penawaran enam belas(16) kursus baharu di bawah Program SkillPlus yang disesuaikan dengan keperluan industri dan pasaran semasa. Beta berharap para belia khususnya akan mengambil peluang ini untuk terus maju, membina kemahiran baharu, dan menjadi pemimpin masa depan yang berdayatahan.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini.

Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya ke atas seluruh lapisan rakyat yang amat Beta kasihi dan semoga Negara Brunei Darussalam akan terus dikurniakan keberkatan serta kekal aman dan makmur di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

*   *   *​

Titah Perutusan KDYMM Sempena Tahun Baru Ilal Hijrah 1447

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
​ 

SEMPENA
MENYAMBUT TAHUN BARU
ILAL HIJRAH 1447 ​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.​​

Marilah kita sama-sama merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat pula menyambut Tahun Baru Ilal Hijrah 1447 dalam keadaan riang dan selesa.

Semoga Tahun Baru Hijrah yang kita sambut ini akan membawa ‘keberkatan’ kepada kita semua dan negara, dengan keamanan dan kemakmuran menjadi milik kita, dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk.

Kita sedia memahami, bahawa era hari ini adalah era yang tidak menentu, yang berlaku di dalamnya pelbagai kemelut atau krisis. Maka oleh itu, kita adalah diperlukan untuk sentiasa waspada bagi menepis apa jua perkara yang tidak diingini dari menjangkiti kita.

Misalnya, perkembangan dan kepesatan teknologi menggunakan Artificial Intelligence (AI) adalah seumpama ‘Penghijrahan’ yang kini kita alami dalam kehidupanseharian. Meskipun perkara ini diambil positif, namun harus diingat jika AI disalahgunakan oleh mana-mana pihak, ianya boleh menjadi ibarat ‘virus’ yang merebak secara dalaman yang boleh meracuni pemikiran dan mengelirukan minda kita serta boleh memesongkan akidah seseorang.

Pada hakikatnya, Beta amat yakin dan optimis, bahawa kita Insyal Allah mampu untuk menjadi sebuah negara yang mantap dengan pembangunan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Perkara ini telah pun terbukti berjalan baik, dan Insya Allah ia akan berterusan pelaksanaannya.

Mengapakah perkara yang baik ini sentiasa memihak kepada kita? Jawabnya, kerana kita sentiasa konsisten menjadi Islam sebagai teras panduan dalam pentadbiran. Kita sentiasa patuh mengikut apa-apa yang disuruh oleh ugama, dan tidak membuat apa-apa yang dilarangoleh ugama.

Ini menjadi dalil, bahawa iman dan takwa sedang subur di bumi bertuah ini, Brunei Darussalam. Makan kerana itulah janji Allah sedang dan telah berlaku ke atas kita, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-A’raf, Ayat 96, tafsirnya:

 ​”Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan pintu kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…..”

Seyugia diingat, bahawa ‘berkat’ itu bukanlah satu tetapi pelbagai. Negara aman – adalah berkat. Negara makmur – adalah​ berkat. Ketaatan kepada Ulil Amri – adalah berkat. Rakyat hidup bersatu padu – adalah berkat, dan lain-lain seumpamanya.

Oleh itu, keperluan untuk mengekalkan berkat adalah perkara yang utama. Tetapi bagaimanakah cara untuk mengekalkan berkat itu? Caranya, kita anak watan hendaklah terus menyiram bumi kesayangan kita, Brunei Darussalam dengan iman dan amal takwa. Jika ini berlaku, maka Insya Allah, akan kekallah berkat itu.

Akan tetapi, cabaran untuk mengekalkan ‘berkat’ itu tetap ada. Antaranya, dalam meniti arus kemodenan, teknologi AI di dunia siber kini menjadi semakin canggih dan digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan. Ianya juga menyebabkan kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan.

Segelintir masyarakat kini sanggup melakukan apa sahaja untuk menipu di mana AI digunakan sebagai cabang fitnah di media sosial. Sedikit demi sedikit, penyebaran fitnah di akhir zaman ini boleh menghakiskan ‘keberkatan’ dengan melunturkan pengangan dan pengamalan ugama Islam, Oleh itu selamatkanlah diri kita dari fitnah seumpama ini dengan meperkukuhkan iman dan ilmu pengetahuan ugama yang kuat.

Maka bersempena kita memasuki Tahun Baru 1447 Hijrah ini, Beta ingin menyarankan supaya para da’ie dan penceramah ugama akan terus mempromosikan langkah untuk mengekalkan berkat, supaya sama-sama kita, tanpa ada kecualinya, menghayati kehidupan beriman dan bertakwa yang membawa kepada berkat itu.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ilal Hijrah 1447 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini, semoga sama-sama kita dilimpahi rahmat oleh Allah, dan negara berada salam selamat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*     *     *

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1446H/2025M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1446H/2025M​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

‘Idil Adha adalah merujuk kepada peristiwa berkorban Nabi Ibrahim dan putera Baginda Nabi Ismail ‘Alaihumassalam. Dua beranak ini telah menunjukkan contoh, bagaimana cara untuk mematuhi perintah Allah, sekalipun perintah itu amat berat untuk dibuat.

Inilah juga yang kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dituntut untuk melakukannya, iaitu apa yang disuruh oleh Allah (oleh ugama) hendaklah dibuat dan yang dilarang hendaklah ditinggalkan.

Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 206, tafsirnya:

​”Apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah engkau kepada Allah”, maka timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) api neraka jahannam, dan demi sesungguhnya (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Oleh ugama, kita telah dituntut untuk mengamalkan sikap nasihat menasihati. Oleh itu, dikalangan umat, mestilah ada golongan yang menyuruh kepada kebajikan dan melarang dari kejahatan. Dalam makna, mana-mana orang atau pihak yang berkuasa melakukannya, hendaklah dia melakukannya, jika tidak, dia akan dianggap berdosa, kerana berdiam diri tidak menolong Ugama Allah.

Ini selaras dengan janji Allah dalam Surah Muhammad, Ayat 7, tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah (menolong ugama-Nya), nescaya Dia akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Oleh itu, Beta berseru kepada para Da’ie atau Muballigh dan orang-orang yang dipikulkan amanah untuk memelihara ugama, supaya mereka menyampaikan nasihat-nasihat ugama, dengan jujur dan ikhlas tanpa ragu-ragu atau takut-takut.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dalam zaman yang serba kacau ini, nasihat-nasihat ugama adalah sangat-sangat diperlukan, asal sahaja nasihat-nasihat itu menepati kehendak-kehendak syarak aliran Ahli Sunnah Waljama’ah dan pendekatan yang digunakan pula tidak berunsur mencerca atau menghasut.

Kerana itu dalam menjalankan tugas seperti berdakwah, adalah mustahak untuk memasang niat bagi menyelamatkan orang yang dinasihati daripada dosa dan kecelakaan yang amat dahsyat di akhirat.

Di sa’at yang bersukut baik ini, Beta ingin mengambil kesempatan mendo’akan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam sihat-sihat sahaja dapat menunaikan ibadat dengan sempurna.

Alhamdulillah dalam menyambut Hari Raya ‘Idil Adha yang mulia ini, dengan penuh rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu WaTa’ala dan  penghargaan yang mendalam, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang Beta kasihi, serta Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan dan juga para Dif-Dif Kerabat. Segala do’a dan ingatan baik yang diberikan semasa Beta berehat, setelah menghadiri Mesyuarat ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia, adalah amat-amat Beta hargai. Ucapan terima kasih yang sama juga Beta tujukan kepada pihak Institut Jantung Negara Malaysia atas layanan yang amat baik sepanjang keberadaan Beta di sana.

Akhirnya, Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan harapan semoga sekaliannya dalam keadaan bahagia menyambut ‘Idil Adha.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*  *  *