Titah KDYMM Bersempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke Tiga Belas

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
UPACARA PERBARISAN TAMAT
LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI
NEGARA PENGAMBILAN KE TIGA BELAS
 
HARI ISNIN
18 SYA’ABAN 1446H / 17 FEBRUARI 2025M
 
KEM LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI
NEGARA, KAMPONG BATU APOI,
DAERAH TEMBURONG

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita sama-sama hadir bagi menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-13 pada pagi yang permai ini.

Terlebih dahulu Beta dengan besar hati ingin mengucapkan syabas kepada seramai 367 orang Pelatih PKBN Pengambilan Ke-13 di atas persembahan perbarisan yang kemas dan bersemangat sebentar tadi.

Seperti pengambilan-pengambilan PKBN sebelumnya, pencapaian latihan PKBN terus-menerus menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri dengan mengekalkan Calak Kebruneian dalam melahirkan generasi Belia Brunei yang siap siaga selaku pemacu pembangunan negara.

Melalui program ini, para pelatih diharapkan akan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian dengan mengamalkan apa yang telah mereka pelajari.

Beta mengambil maklum bahawa dalam PKBN Pengambilan Ke-13 ini, PKBN sekali lagi melakar sejarah dengan kesemua para Pelatih berjaya menamatkan latihan PKBN dengan baik, selamat dan sempurna.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian ini ialah penerapan Program ‘Pre-Conditioning and Injury Management’  pada dua (2) minggu pertama latihan dijalankan sebagai nilai tambah kepada para Pelatih PKBN. Melalui inisiatif ini, ianya telah dapat memastikan para Pelatih mempunyai daya tahan kecergasan fizikal, mental dan rohani dalam menempuh cabaran latihan PKBN ini.

Beta mengambil maklum semasa Pengambilan PKBN Ke-13 ini, beberapa modul latihan baharu telah diperkenalkan iaitu program keugamaan dan kerohanian serta khidmat komuniti Kepimpinan Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Kesihatan Mental dari Perspektif Islam dan program pemedulian golongan-golongan sasaran.

Penambahan ini bertujuan untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan, kesedaran serta keprihatinan para Pelatih terhadap isu-isu penting dan kontemporari bagi mempersiapkan mereka dalam mengharungi cabaran-cabaran terkini dan akan datang. Beta percaya dengan evolusi serta transformasi PKBN ini akan dapat menghasilkan lebih ramai lagi belia yang berintegriti, berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

Beta melihat, sudah tiba masanya untuk latihan PKBN ini diteliti semula akan tempoh latihannya, kiranya dapat dilaratkan kepada 6 bulan. Penambahan tempoh ini akan memberikan jangka masa latihan yang lebih kondusif dan mencukupi bagi mencapai matlamat utama latihan PKBN. Ianya juga akan memperluas ruang untuk para Pelatih menjalani latihan yang lebih efektif, komprehensif dan teratur. Di samping itu, mereka juga akan dapat menyesuaikan diri dengan kadar intensiti latihan secara berperingkat.

Beta sangat berharap supaya agensi-agensi yang berkepentingan sama ada Sektor Kerajaan, Swasta dan Badan Persatuan Bukan Kerajaan (NGOs) akan dapat memberikan sokongan dan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan serta merealisasikan perancangan ini.

Di kesempatan ini, Beta sukacita turut mengambil maklum bahawa buat julung kalinya seramai 15 orang Alumni PKBN telah kembali untuk menyumbangkan khidmat mereka semula sebagai Jurulatih yang diiktiraf di dalam bidang kemahiran kawad dan kemahiran latihan jasmani melalui Program ‘Train-the-Trainers’. Program ini jelas sekali mampu untuk memperkasa kemahiran (up-skilling) para alumni PKBN dalam membantu mengendalikan serta melaksanakan program-program di bawah Bahagian Khidmat Bakti Negara. Pada masa yang sama, ianya merupakan satu inisiatif untuk membuka peluang pekerjaan dan seterusnya menjadi rancangan penggantian (succession planning) dalam jangka masa panjang BKBN. Beta berharap program ini akan dapat diteruskan dengan lebih ramai penyertaan daripada alumni PKBN lainnya.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para Pelatih PKBN Pengambilan Ke-13 atas pengorbanan, ketekunan dan dedikasi mengharungi liku-liku cabaran latihan dengan jayanya.

Tidak lupa juga diucapkan ribuan terima kasih kepada para Ibubapa dan Penjaga serta ahli-ahli keluarga para Pelatih di atas suntikan semangat, bimbingan dan sokongan padu mereka yang berterusan.

Semoga para Pelatih dan semua yang terlibat dalam melaksanakan program ini akan memperolehi berkat, hidayah dan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Sempena Sambutan Isra’ dan Mi’raj Peringkat Negara Tahun 1446H / 2025M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1446H / 2025M
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul lagi untuk memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
 
Beta mengambil maklum, tema sambutan Isra’ dan Mi’raj pada tahun ini berbunyi ‘Sembahyang Mencerdaskan Minda’.

Minda yang cerdas adalah merupakan alat bermanfaat yang dapat mengatasi pelbagai masalah berpandukan Maqasid Syariah iaitu memelihara ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Kunci kesempurnaan sembahyang ialah khusyu’ dengan memelihara rukun serta tertibnya. Khusyu’ boleh dicapai dengan adanya minda yang sihat. Tanpa minda yang sihat, tidak boleh diharapkan sembahyang akan khusyu’. Manakala tertib dalam sembahyang mengajarkan disiplin diri.

Khusyu’ dalam sembahyang menjadi tanda kejayaan orang-orang beriman, sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah al-Mu’minun ayat 1 hingga 2 tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka.

Demikian peranan minda yang sihat mencetuskan Khusyu’ dalam sembahyang. Oleh itu, sekalian kita perlu memelihara minda supaya tetap sihat. Cara memelihara itu satu-satunya ialah dengan melakukan sembahyang. Kerana bukankah sembahyang itu membawa ketenangan?

Hati dan minda orang sembahyang tidak ke mana-mana, melainkan hanya kepada Allah semata-mata, menjadikan hati dan minda orang sembahyang itu pasti bersih, tenang dan sihat.

Dengan mendalami hikmah setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang, minda akan menjadi terlatih untuk menghindari gangguan, apa jua jenis gangguan, yang boleh menjerumuskan kita kepada pelbagai kerosakan.

Demikian, hanya minda yang sihat dan cerdas sahaja, akan mampu untuk membuat pertimbangan, mana perkara baik dan mana pula perkara buruk, atau mana perkara lurus dan mana pula perkara salah.

Maka dalam hubungan ini, kepentingan minda yang sihat adalah segala-galanya. Oleh itu, Beta ingin mengingatkan supaya kesihatan mental terus dijaga, bukan setakat merawatnya dengan rawatan biasa yang sedia ada, tetapi Beta juga mahu, supaya rawatan bersepadu, iaitu rawatan cara Islam turut juga sama-sama diperkenalkan.

Sejajar dengan ini, minda yang sihat akan setentunya dapat memelihara ugama dan menepis sebarang percubaan untuk memperalatkan dan menyalah-gunakan Agama Islam khususnya untuk kepentingan peribadi.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita mengenai Global Ikhwan Services  and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang telah diharamkan kerana terbabit dengan jenayah ke atas kanak-kanak dan mengamalkan amalan terpesong. Alhamdulillah, percubaan GISBH untuk bertapak di Negara ini telah berjaya dipatahkan.

Maka sayugia Beta mengingatkan supaya janganlah leka dan janganlah memandang ringan perkara ini. Ibarat penyakit berjangkit, mesti ia dicegah dan ditolak tanpa sebarang tolak ansur. Kerana jika tidak, ia akan menganggu keharmonian masyarakat dan bahkan mengancam keselamatan.

Oleh itu, Beta ingin menyarankan supaya kita sentiasa ingat dan menanamkan dalam minda kita bahawa pegangan ugama yang kita amalkan selama ini adalah berdasarkan aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan ini hendaklah terus diperkukuhkan, dipegang erat sampai bila-bila dan dijadikan sebagai kubu atau benteng pertahanan dari sebarang bentuk aliran lain demi memelihara keselamatan masyarakat kita.

Beta ingin menyeru semua golongan dan peringkat lapisan masyarakat yang menganut Agama Islam di negara ini untuk terus mendokong dan mengamalkan aliran ini sebagai pegangan hidup. Dengan pegangan ini, Insya Allah kita dan negara akan terus dilimpahi rahmat, aman makmur, sejahtera dan selamat di dunia dan akhirat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-23 Sekolah Pegawai kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH TIGA
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
 
PADA HARI KHAMIS
23 REJAB 1446 /  18 JANUARI 2025
 
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua, dapatlah kita sama-sama hadir pada pagi yang permai ini untuk menyaksikan Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Tiga (23).

Dengan rasa amat gembira, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas persembahan perbarisan mereka sebentar tadi. Ianya jelas mempamerkan mutu disiplin yang tinggi dan semangat keperwiraan serta regimentasi berpasukan yang berkesan.

Beta mengambil maklum, seramai 52 orang Pegawai Kadet dari pengambilan ke-23 ini telah berjaya menamatkan latihan Pegawai Kadet selama 48 minggu termasuk seorang Pegawai Kadet dari Angkatan Tentera Malaysia. Beta juga gembira difahamkan bahawa seorang Pegawai Kadet yang mengikuti pengambilan ini adalah penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan lepasan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan telah menamatkan latihan dan sekarang bertugas selaku Pegawai Perubatan di Khidmat Perubatan dan Kesihatan Tentera Darat Diraja Brunei.​

Setakat ini, Beta turut berbangga, kerana Sekolah Pegawai Kadet secara keseluruhannya telah berjaya melahirkan seramai 862 orang Pegawai Tentera yang berwibawa yang terdiri daripada 859 Pegawai Kadet tempatan, dua orang Pegawai dari Malaysia dan seorang Pegawai Kadet dari Republik Singapura. Pencapaian yang membanggakan ini menjadi bukti jelas bahawa Sekolah Pegawai Kadet telah mencapai taraf yang tinggi sehingga turut diiktiraf oleh negara-negara sahabat. Penyertaan baharu dari Republik Indonesia dan Kerajaan Thailand pula bagi Pengambilan Ke-24 nanti akan menaikkan lagi profil Sekolah Pegawai Kadet selaku Pusat Kecemerlangan Latihan Pegawai Kadet. Syabas Beta ucapkan kepada Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Beta berkeyakinan melalui Pemodenan Pendidikan Tentera Profesional Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Penubuhan Fakulti Pengajian Tentera di Akademi Pertahanan melalui Memorandum Persefahaman di antara Kementerian Pertahanan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan membawa kepada pengembangan lebih berkesan, efisien dan sentiasa relevan dengan peredaran masa.

Manakala, Fakulti Pengajian Tentera itu pula akan mendokong hasrat  negara ke arah pembelajaran sepanjang hayat dengan menghasilkan pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi menepati antara matlamat Wawasan Brunei 2035.

Namun pada hemat Beta, pendidikan tinggi sahaja belumlah memadai. Tetapi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei juga perlu mendedahkan para anggotanya kepada penglibatan dalam operasi-operasi yang kompleks seperti Operasi Bersepadu dengan agensi-agensi Keselamatan Negara Brunei Darussalam, Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Pemulihan Bencana (HADR) seperti Operasi Badai Taduh yang belum lama ini disertai di Republik Filipina dan Independent Decommissioning Body, Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT)  di Republik Filipina serta Misi Operasi Bantuan Keamanan, Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).

Beta mahu penglibatan seperti ini dipertingkatkan, supaya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dapat terus meningkatkan tahap profesionalisme dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan Negara, di samping turut memberikan sumbangan bernilai kepada negara luar dan antarabangsa.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, School Sergeant Major, Jurulatih dan Kakitangan Sekolah Pegawai Kadet di atas pengorbanan dan dedikasi mereka dalam melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet dan menjayakan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini.

Ucapan terima kasih dan penghargaan juga, Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga di atas suntikan semangat, bimbingan dan sokongan yang berterusan sehingga mereka berjaya mengharungi latihan yang sangat bermakna dan mencabar ini. Kepada semua Penerima Anugerah, Beta ucapkan tahniah dan syabas.

Dengan merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan berkat kalimah “Bismillahir Rahmanir Rahim”, maka Beta dengan sukacita mengurniakan Tauliah kepada Lima Puluh Dua (52) orang Pegawai Kadet, Pengambilan Kedua Puluh Tiga (23).

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA ISTIADAT PERBARISAN
BAGI MAJLIS ISTIADAT PENGANUGERAHAN BENDERA PANJI-PANJI PERIBADI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
PADA
HARI SABTU, 18 Januari 2025

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita sama-sama berkumpul dalam Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Beta.

Penganugerahan ini adalah pengiktirafan Beta kepada seluruh pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei di atas khidmat jasa bakti, penat lelah, komitmen serta dedikasi yang telah ditunjukkan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang utama di negara ini.

Mengimbas kembali semasa Majlis Sambutan Hari Polis yang Ke 86 Tahun dimana Beta telah menganugerahkan penukaran kepala atau tampuk panji-panji Pasukan Polis. Penganugerahan tersebut telah meletakkan Pasukan Polis di satu kedudukan yang berprestij sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini dari sebarang bentuk ancaman keselamatan.

Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta ini mempunyai signifikannya tersendiri. Ianya bukan sekadar lambang atau hiasan semata-mata tetapi membawa makna yang amat mendalam yang mencerminkan betapa tinggi amanat dan kepercayaan Beta terhadap pasukan Polis. Dengan pengibaran bendera Panji-Panji Peribadi Beta di setiap upacara perbarisan akan melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Pasukan Polis kepada Raja, Negara dan Agama. Setiap pegawai dan anggota Pasukan Polis bertanggungjawab untuk menanai dan mempertahankan nilai panji-panji yang melambangkan Keberanian, Disiplin dan juga Kecekapan dalam memikul tugas dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pada 28hb., Oktober, 2024 yang lalu, Beta telah memperkenankan bagi pelancaran Buku Pelan Strategik Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertema “PASUKAN UNTUK MASA DEPAN” bersempena penubuhan Pasukan Polis yang ke-100 tahun. Buku pelan strategik tersebut juga menjelaskan Strategi Teras Pasukan yang tertumpu kepada lima (5) aspek penting iaitu; Struktur Prestasi, Pengurusan Sumber, Penggunaan Teknologi, Latihan dan Kerjasama Pasukan Polis dan orang awam.

Buku Pelan Strategik ini memberikan panduan secara holistik dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Dengan penekanan kepada peningkatan keupayaan siasatan siber dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat, pasukan Polis berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, keamanan, dan kesejahteraan negara.

Beta berharap buku pelan strategik Pasukan Polis ini akan dijadikan sebagai satu manifesto untuk Pasukan Polis terus berkembang maju dengan lebih terarah. Ianya meliputi semua aspek termasuk kepimpinan, meningkatkan profesionalisme, memantapkan urustadbir pasukan dan terus membina keupayaan pasukan bersama rakan-rakan strategik di dalam dan di luar negara dalam membanteras sebarang bentuk kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam kesempatan ini, Beta ingin melihat competency framework yang Beta perkenankan digunakan bagi semua peringkat Pasukan Polis untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dan kepakaran-kepakaran dalam bidang kepolisian.

Competency framework ini juga akan dapat membantu dalam menyusun atur dan melancarkan succession planning serta penstrukturan semula Pasukan Polis sebagai sebuah organisasi.

Tahun ini, genaplah usia Pasukan Polis menjangkau 104 tahun. Beta ingin melihat Pasukan Polis menujukan kematangan dari segi perlaksanaan amanah dan tugasnya serta bermuhasabah diri dan bertekad untuk terus meningkatkan profesionalisme dalam Pasukan Polis.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang utama di negara ini, Beta ingin mengulangi lagi seruan sebelum ini agar semua pegawai dan anggota Pasukan Polis untuk sentiasa menunjukkan etika kerja yang baik, berdisiplin, berintegriti dan Professional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanatkan.

Tindakan yang berlandaskan kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab akan memastikan kepercayaan masyarakat negara ini terhadap pasukan Polis  terus utuh. Disiplin yang kukuh bukan sahaja membentuk keperibadian pegawai dan anggota Pasukan Polis yang cemerlang, tetapi juga menjadi benteng pertahanan kepada cabaran moral dan etika.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota Pasukan Polis yang telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Upacara Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Masihi 2025

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN MASIHI 2025

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk melangkah ke tahun Masihi 2025.

Semoga tahun baru ini akan lebih mendorong kita untuk sama-sama menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan komitmen demi mencapai perubahan lebih bermakna bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Untuk itu, mengekalkan perpaduan adalah penting, kerana perpaduan merupakan kunci pembangunan, dimana setiap lapisan masyarakat jika kekal bersatu, hidup harmoni, saling hormat menghormati dan bekerjasama, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik.

Ditambah lagi dengan pegangan ugama yang kuat, akan memastikan Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan kekal merdeka lagi berdaulat.

Adapun pendokong negara itu ialah rakyat terutama para belia. Merekalah harapan masa depan yang dikehendaki untuk terus menimba ilmu dan kemahiran. Bagi mereka terbuka banyak peluang, maka rebutlah peluang itu.

Menyentuh mengenai ekonomi Negara, ianya Alhamdulillah, masih sahaja berdayatahan sekalipun berhadapan dengan ketidaktentuan situasi global.

Pihak International Monetary Fund (IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Asean+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) telah meramalkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2025 masing-masing sebanyak 2.5 peratus; 2.8 peratus dan 2.9 peratus. Jangkaan ini adalah hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran sektor hiliran.

Dalam masa yang sama, langkah Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi Negara, khususnya dalam Sektor Bukan Minyak dan Gas telah menunjukkan trend yang positif.

Sehubungan itu, Kerajaan Beta juga akan terus memberikan tumpuan kepada beberapa aspek penting, khususnya mempertingkatkan lagi usaha bagi menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti dan berimpak besar kepada Negara ini.

Dalam pada itu juga, perniagaan tempatan, khasnya Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSMEs) akan terus dibantu dan diperkukuhkan untuk membolehkan mereka memanfaatkan peluang perniagaan yang dihasilkan daripada Pelaburan Langsung Asing (FDI) ini dan juga untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Fokus juga akan diberikan kepada meningkatkan pembangunan sumber manusia tempatan melalui pendidikan dan Latihan kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri.

Di arena antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam akan tetap berpegang kepada dasar luarnya yang menekankan keseimbangan dalam menimbangkan kepentingan serantau dan pembangunan ekonomi.

Keahlian dan penglibatan aktif Negara dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan kita terhadap Kerjasama multilateralisme, dan menanai perundangan antarabangsa.

Natijahnya, peluang untuk berkembang dan bekerjasama dengan negara-negara jiran adalah terbuka luas. Tinggal saja lagi kita diperlukan untuk lebih bijak mengambil peluang ini dengan sebaiknya, disamping tetap mengekalkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kepada pembangunan negara.

Agenda utama ialah untuk terus mempertingkatkan daya saing negara, dengan menekankan kepentingan pembangunan yang inklusif dan mampan dengan kerjasama erat pelbagai pihak yang berkepentingan dikalangan sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amnya.

Kita juga menghargai peranan penting warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan, yang menjadikan kita berkewajipan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara, selaras dengan pendekatan: Tidak ada sesiapapun yang dibiarkan tercicir dalam pembangunan negara.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2024.

Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama mereka mengeratkan lagi hubungan dengan Negara Brunei Darussalam.

Selamat Tahun Baru Masihi 2025 kepada seluruh rakyat dan penduduk di Negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Gurkha Ke-50

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS
HARI ULANG TAHUN PASUKAN
SIMPANAN GURKHA KE-50
 
HARI SABTU
28 NOVEMBER 2024
 
BERTEMPAT
DI PERKHEMAHAN SUNGAI AKAR,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin dan rahmatNya jua dapatlah kita hadir bagi meraikan satu mercu tanda yang amat bermakna iaitu Upacara Sambutan Jubli Emas Pasukan Simpanan Gurkha (PSG). Setinggi-tinggi tahniah diucapkan atas perbarisan yang membanggakan sebentar tadi yang mencerminkan kesiapsiagaan dan mutu disiplin yang tinggi para anggota Pasukan ini.

Selama dalam tempoh lima puluh tahun, PSG telah bersama-sama menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran yang telah dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam.

Beta sangat gembira dengan perkembangan Pasukan ini yang secara berterusan telah mengukuhkan keupayaan dalam menempuh perubahan-perubahan yang mencabar. Setelah lima dekad penubuhan PSG, Pasukan ini telah berkembang sebagai sebuah organisasi keselamatan yang mempunyai reputasi tinggi dan amat digalati. Dengan berlainan latar belakang pengambilan anggota Pasukan Simpanan Gurkha, yang terdiri daripada pesara-pesara anggota British Army Brigade of Gurkhas, Gurkha Contingent Singapore Police Force, Nepal Army dan Indian Army serta termasuk rakyat Negara Brunei Darussalam telah menyumbang kepada kepelbagaian kepakaran, kompetensi dan pengalaman luas, menjadikan PSG sebuah organisasi yang berdaya tahan.

Mengambil sukut yang bersejarah ini, dan juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa bakti dan pencapaian PSG, Beta sukacita mengurniakan Pingat Jubli Emas Pasukan Simpanan Gurkha kepada semua anggota PSG yang sedang berkhidmat, dan juga kepada mantan-mantan pemimpin yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan organisasi ini. Pengurniaan pingat ini juga mencerminkan komitmen Pasukan ini dalam melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan dan dedikasi.

Selanjutnya Galeri Gurkha yang akan dirasmikan pada hari ini, memaparkan sejarah Pasukan Simpanan Gurkha semenjak penubuhannya sehingga ke hari ini, dan profil anggota-anggota Gurkha yang menerima penghormatan ‘Victoria Cross’ serta kebudayaan dan warisan Gurkha secara umumnya.

Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas pada hari ini, Beta juga sukacita memperkenankan perubahan nama Pasukan Simpanan Gurkha kepada Pasukan Sekuriti Gurkha atau Gurkha Security Unit.

Beta berharap semua anggota Pasukan ini akan terus menerapkan nilai-nilai teras dengan penuh komited, agar PSG sentiasa kekal relevan untuk generasi seterusnya.

Akhirnya, Beta mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua anggota Pasukan Sekuriti Gurkha yang masih berkhidmat dan yang telah bersara serta kepada semua yang terlibat menjayakan Sambutan Jubli Emas ini. Beta turut mendo’akan, semoga Pasukan Sekuriti Gurkha akan sentiasa berada dalam sejahtera.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***