Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan menerima mengadap Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, Ketua Hakim Negara Malaysia, yang sedang berada di Negara Brunei Darussalam bagi Mesyuarat dua hala dwitahunan antara Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam dan Mahkamah Persekutuan Malaysia. Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.

Menyertai Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Yang Berbahagia Toh Puan Intan Baizura binti Abdul Wahab, isteri kepada Ketua Hakim Negara Malaysia; Yang Amat Arif Datuk Seri Abu Bakar bin Jais, Presiden Mahkamah Rayuan; Yang Amat Arif Datuk Seri Hashim bin Hamzah, Hakim Besar Malaysia; Yang Amat Arif Datuk Hajjah Azizah binti Haji Nawawi, Hakim Besar Sabah dan Sarawak; Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam; dan Yang Mulia Azhaniz Teh bin Azman Teh, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Turut hadir semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon, Ketua Hakim Mahkamah Besar, Negara Brunei Darussalam; Yang Arif Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar; Yang Arif Awang Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kolonel (Bersara) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Kefli, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar; Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Mulia Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah, Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Besar.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara Malaysia menyentuh mengenai perkembangan kerjasama kehakiman yang terus diperkukuhkan diantara Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh telah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara Malaysia sejak 28 Julai 2025 dan lawatan ini merupakan lawatan pertama beliau ke Negara Brunei Darussalam dalam kapasiti tersebut.

 

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto