
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal BolkiahMu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Budi Gunadi Sadikin.
Tuan Yang Terutama berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan kerja selama satu hari untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang-bidang berkepentingan bersama, khususnya sektor kesihatan. Lawatan ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, memperkasa pembangunan kapasiti tenaga kerja kesihatan serta perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik antara kedua-dua negara.
Sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut, Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama kesihatan telah ditandatangani antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan dan penambahbaikan sistem kesihatan demi kepentingan bersama. Tuan Yang Terutama juga mengadakan lawatan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Menyertai Tuan Yang Terutama pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Achmad Ubaedillah; dan Timbalan Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Yang Mulia Yuli Farianti.
Turut hadir semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
