Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Republik Singapura, bertempat di Grand Hyatt.

Perjumpaan tersebut membawa makna sejarah yang istimewa, memandangkan Menteri Kanan Lee Hsien Loong merupakan individu yang bersetuju bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memulakan Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan. Keputusan penting ini dicapai semasa lawatan Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2012. Kini memasuki edisi ke-12, YLP terus berkembang dengan meluaskan kerjasama ke bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan, ekonomi hijau, dan keselamatan makanan di bawah Zon Teknologi Agri-Makanan.

Perbincangan tersebut tertumpu kepada usaha memperkukuh keselamatan makanan di bawah Zon Makanan Teknologi Pertanian (Agri-Tech Food Zone). Bagi melindungi kedua-dua negara daripada gangguan bekalan global, Negara Brunei Darussalam mempelawa syarikat-syarikat Singapura untuk melabur di Brunei bagi tujuan penternakan ayam dan pengeluaran telur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import jarak jauh seperti dari Poland dan Ukraine. Negara Brunei Darussalam turut mengetengahkan projek akuakultur bersama bagi menternak ikan siakap (Barramundi) yang tahan penyakit.

Di akhir Majlis, Duli Yang Teramat Mulia memuji kejayaan berterusan Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei sejak ia dimulakan semasa tempoh perkhidmatan Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Republik Singapura, sambil menekankan peranan unik program itu dalam menghubungkan pemimpin generasi akan datang demi memelihara ikatan bersejarah yang telah dimulakan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien III dan mendiang Perdana Menteri, Lee Kuan Yew.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto