
Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime – AMMTC) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan Kali Ke-20 yang berlangsung di Makati City, Republik Filipina pada 19 hingga 21 Oktober 2026. Majlis Pembukaan Mesyuarat AMMTC Kali Ke-20 telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr., Secretary of the Department of the Interior and Local Government, Republik Filipina selaku Ketua AMMTC – Republik Filipina pada 20 Oktober 2026.
Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) dengan disertai oleh Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Senior Officials’ Meeting on Transnational Crime (SOMTC) Negara Brunei Darussalam, serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat AMMTC dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan merupakan sebuah platform tahunan yang signifikan bagi Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal jenayah rentas sempadan untuk membincangkan trend semasa aktiviti jenayah serta situasi keselamatan serantau. Mesyuarat ini didahului oleh Mesyuarat Persediaan SOMTC (Preparatory SOMTC) bagi AMMTC Kali Ke-20 yang diadakan pada 19 Oktober 2026.
Dalam ucapannya di sidang Plenari AMMTC Kali Ke-20 pada 20 Oktober 2026, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah menegaskan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam menangani jenayah rentas sempadan, khususnya pemerdagangan orang (Trafficking in Persons – TIP), pengganasan dan ekstremisme ganas, pengubahan wang haram dan penipuan dalam talian, serta pengedaran dadah haram. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) turut mengongsikan pencapaian signifikan Negara Brunei Darussalam yang telah dinaiktaraf kepada Tahap 2 (Tier 2) daripada Senarai Pemerhatian Tahap 2 (Tier 2 Watch List) dalam Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat Tahun 2026, sekali gus mencatatkan peningkatan bagi dua (02) tahun berturut-turut, dan menyatakan keyakinan bahawa perkongsian amalan terbaik oleh Republik Filipina selaku SOMTC Lead Shepherd bagi TIP dan Negara-Negara Anggota ASEAN turut menyumbang kepada kemajuan tersebut. Menurut Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), menegaskan bahawa pencapaian ini bukan sebagai titik akhir, tetapi sebagai dorongan untuk melakukan lebih banyak usaha.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) juga menegaskan bahawa ancaman pengganasan tidak lagi bersifat konvensional, dengan kebimbangan utama kini tertumpu kepada pelaku tunggal (lone actor), khususnya golongan belia yang terdedah kepada radikalisasi kendiri dalam talian. Mengenai pembersihan wang haram, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) menjelaskan bahawa hasil penipuan dalam talian dipindahkan ke luar negara dengan lebih pantas daripada siasatan yang dijalankan maka rentas sempadan yang lebih pantas bagi penyiasatan.
Mengenai isu dadah, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan sindiket untuk mengeksploitasi Negara Brunei Darussalam sebagai negara transit, serta menegaskan pendirian tegas negara dan tidak berkompromi terhadap kanabis, memandangkan trend normalisasinya di sesetengah negara boleh menimbulkan tanggapan salah dalam kalangan generasi muda bahawa kanabis tidak berbahaya, sedangkan hakikatnya ia membawa risiko serius terhadap kesihatan dan kesejahteraan. Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap Kenyataan Bersama Mesyuarat serta komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Negara-Negara Anggota ASEAN ke arah rantau yang lebih selamat dan terjamin.
Seterusnya pada 21 Oktober 2026, AMMTC juga telah mengadakan konsultasi dengan Negara-Negara Rakan Dialog ASEAN iaitu konsultasi AMMTC + 3 Kali Ke-16; AMMTC + China Kali Ke-13; AMMTC + Jepun Kali Ke-11 dan AMMTC + Republik Korea Kali Ke-7. Dalam sesi-sesi konsultasi berkenaan, Yang Berhormat Menteri telah menyuarakan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Negara-Negara Rakan Dialog ASEAN, serta merakamkan penghargaan atas sokongan yang dihulurkan dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
Semasa berada di Republik Filipina, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) juga telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, Malaysia selaku Ketua AMMTC – Malaysia dan Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr. Pertemuan-pertemuan tersebut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam menangani penipuan dalam talian, pemerdagangan orang, pengedaran dadah serta jenayah rentas sempadan yang lain.
Mesyuarat AMMTC Kali Ke-20 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr. dan disertai oleh Menteri-Menteri, Ketua-Ketua Delegasi dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Negara-Negara Anggota ASEAN. Mesyuarat turut dihadiri oleh Puan Yang Terutama Dato’ Astanah Abdul Aziz, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri
