TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-40
BAGI TAHUN 1445H / 2024M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas  limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-40 Tahun pada tahun ini yang bertemakan “Bersatu Mencapai Cita Negara“.

Nikmat 40 tahun kemerdekaan yang kita sambut pada hari ini, merupakan kurnia Allah melalui usaha dan perjuangan generasi masa kini dan orang-orang sebelum kita. Pengertian kemerdekaan merangkumi aspek-aspek kebebasan dan pencapaian hidup harmoni. Inilah pengertian sejati kemerdekaan itu.

Kerana itu, kemerdekaan mesti dipelihara, ditanai dan dipertahankan demi kesucian ugama dan kedaulatan bangsa, negara dan raja.

Ini semua memerlukan adanya perpaduan dan semangat patriotisme dikalangan rakyat jelata, selaku tunjang ketahanan dan keutuhan negara.

Alhamdulillah, sejak empat (4) dekad kemerdekaan, negara telah meraih pelbagai pencapaian bermakna, dalam banyak bidang. Ini terbukti, apabila negara beroleh kedudukan yang tinggi dalam laporan Human development Indeks (HDI)  pada tahun 2021, yang meletakkan Negara Brunei Darussalam di tangga ke-51 daripada 191 buah negara. Dari petunjuk terbitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini yang mengukur taraf kehidupan dan ekonomi, maka dapatlah kita menterjemahkannya sebagai keberhasilan usaha negara dalam meningkatkan jangka hayat penduduk, kemahiran dan pendidikan serta kualiti kehidupan, selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) dan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

Ianya juga dikaitkan dengan keberkesanan inisiatif-inisiatif dibawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) yang telah banyak menyumbang kepada pencapaian-pencapaian penting, dimana sehubungan ini, Kerajaan beta akan terus memberikan tumpuan kepada projek-projek Strategik RKN, khususnya di bidang yang berkaitan dengan transformasi digital, yang mampu untuk memberikan impak positif dan signifikan kepada kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Ini termasuklah, penekanan untuk meningkatkan kapasiti tenaga kerja, daya inovasi dan tahap produktiviti negara serta peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Menyentuh sedikit mengenai pembangunan ekonomi negara, Beta gembira dengan adanya kemajuan dalam bidang bukan minyak dan gas ini memberi akses kepada pasaran-pasaran baharu dengan meningkatkan maritime connectivity dengan negara-negara luar.

Alhamdulillah, usaha telah dilihat tercapai, apabila Syarikat Muara Port Company Sdn Bhd telah berjaya merasmikan pelayaran pertama perkapalan kontena, langsung dari Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Qinzhou, Republik Rakyat China pada tahun 2023.

Pencapaian ini juga adalah seiring dengan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah hab terpenting dalam meningkatkan rangkaian perdagangan antarabangsa, khasnya kawasan BIMP-EAGA.

Dalam masa yang sama, usaha juga dilaratkan kepada peningkatan projek usahasama dengan Pelaburan Langsung Asing, antaranya dalam bidang berkaitan sekuriti makanan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan import.

Kita juga ingin terus melihat kemajuan pengusaha-pengusaha tempatan dalam bidang-bidang yang diutamakan oleh negara, dan meningkatkan penglibatan pengusaha-pengusaha baharu, khususnya di kalangan generasi muda. Keyakinan ini terbit dari sikap orang-orang Brunei yang cekal berusaha memajukan diri, meskipun ada kalanya berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Di arena antarabangsa pula, pada tahun ini adalah merupakan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dengan 37 buah negara luar. Ini termasuk keahlian negara di pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa, khasnya ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Komanwel, dimana dengan jalinan hubungan diplomatik itu telah mengharumkan nama serta sekaligus profil Negara Brunei Darussalam di mata dunia.

Untuk akhirnya, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta, petugas dan ahli-ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Sambutan kali ini.

Tidak lupa juga ucapan penghargaan ini ditujukan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan dan belia serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​