TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1448
PERINGKAT NEGARA
PADA HARI SABTU
18 MUHARRAM 1448 / 4 JULAI 2026
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita menyambut Tahun Baharu Hijrah 1448 dalam suasana aman dan sejahtera.
Sesungguhnya peristiwa hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi malah adalah penyelamat kepada akidah. Sekiranya tanpa hijrah, akidah akan susah berkembang dihalangi oleh kaum musyrik Mekah.
Lalu kerana itu, Allah memerintahkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk berhijrah.
Peristiwa ini dapat dijadikan pengajaran untuk mendepani cabaran semasa. Diantara cabaran era baru ialah perkembangan pesat teknologi digital, yang menjadikan umat Islam turut berhadapan dengan limpahan maklumat tanpa sempadan. Kita sedia mengakui bahawa kemajuan ini banyak membawa manfaat, tetapi dalam masa yang sama, ia juga membuka ruang yang sangat luas untuk lahirnya pendapat-pendapat atau pemikiran-pemikiran baru yang bercanggah dengan akidah. Jika kita membiarkan pendapat-pendapat dan pemikiran-pemikiran baru ini terus berkembang, maka sudah tentu ianya berpotensi untuk menggugat keharmonian berugama di negara ini.
Oleh itu, Beta berharap, supaya benar semangat Ilal Hijrah akan benar-benar dihayati bagi memperkukuh akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah melalui pembangunan modal insan seimbang.
Kita tidak mahu dalam negara ini ada golongan anti tahlil, anti talqin, anti ziarah kubur dan anti merayakan sambutan Maulidurrasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta lain-lain amalan yang baik.
Kita tidak mahu semua ini, kerana ia mencemari ajaran aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Perkara ini perlu difahami oleh semua agensi kerajaan, institusi pendidikan, institusi masjid, para ilmuan, belia dan malah seluruh lapisan masyarakat.
Maka untuk itu, program-program pengukuhan akidah mestilah terus diperkasa dan dilaratkan kepada semua peringkat masyarakat.
Pendekatan holistik amatlah diperlukan untuk melahirkan generasi, yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, malah sekaligus memiliki akidah yang mantap dan akhlak yang mulia, yang mampu menghadapi segala cabaran.
Cabaran dalam era baru ini adalah pelbagai. Ia berlaku dalam rumah, dalam sekolah, dalam pusat pengajian dan sebagainya.
Contoh cabaran dalam rumah ialah, anak-anak tidak mentaati ibu bapa, suka membantah dan menolak nasihat. Sementara contoh cabaran dalam sekolah dan pusat pengajian pula, berlakunya budaya buli dan dera sesama sendiri, selain kecenderungan melanggar disiplin dan peraturan.
Ini semua menghendaki adanya langkah tegas daripada pihak-pihak berkenaan, bukan menunggu sampai penyakit ini melarat atau merebak.
Pada kesempatan ini, Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Ilal Hijrah pada tahun ini. Diharapkan penganugerahan ini akan menjadi sumber inspirasi untuk lebih ramai lagi individu dan organisasi menjulang tinggi syi’ar Islam dan memperkasa dakwah demi meraih keredhaan Allah.
Akhirnya, Beta berdo’a semoga kita dan Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata ‘ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
* * *
