
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji AlMuhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan berangkat ke Amiri Diwan bagi Majlis-Majlis Perjumpaan bersama His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Amir Negara Qatar, dan His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad AlThani, Timbalan Amir Negara Qatar.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar dan seterusnya telah dialu-alukan dalam satu upacara Sambutan Rasmi. Duli Yang Teramat Mulia telah disembahkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Qatar diikuti dengan delegasi Negara Brunei Darussalam pula diperkenalkan secara rasmi kepada His Highness Timbalan Amir. Sambutan Rasmi ini menandakan permulaan yang mesra dan penuh hormat bagi urusan diplomatik pada hari tersebut.

Kunjungan Hormat kepada His Highness Amir Negara Qatar
Selepas Sambutan Rasmi tersebut, Duli Yang Teramat Mulia telah disambut dengan mesra oleh His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Amir Negara Qatar dalam satu kunjungan hormat yang merupakan satu peristiwa bersejarah yang mencerminkan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua negara. Turut berangkat ialah His Highness Timbalan Amir.
Semasa kunjungan hormat tersebut, Duli Yang Teramat Mulia telah menyampaikan salam muhibah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada His Highness Sheikh Tamim bin Hamad AlThani, Amir Negara Qatar. Duli Yang Teramat Mulia dan His Highness menyambut baik hubungan dua hala yang mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar.
Duli Yang Teramat Mulia dan His Highness juga bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha strategik kedua-dua buah negara untuk mempelbagaikan ekonomi sebagai kedua-dua buah negara yang kaya dengan hasil minyak serta meneroka peluang bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pelaburan. Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda bahawa pada tahun 2027, Negara Brunei Darussalam bakal meraikan detik bersejarah iaitu Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta serta Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year).


Majlis Perjumpaan bersama His Highness Timbalan Amir Negara Qatar
Susulan kunjungan hormat kepada His Highness Amir, Duli Yang Teramat Mulia telah menghadiri Majlis Perjumpaan bersama His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar, dimana perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi, dan pelaburan. Perjumpaan ini mengetengahkan hubungan serta kerjasama dua hala yang semakin berkembang antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar.
Duli Yang Teramat Mulia juga mengambil kesempatan untuk memuji Qatar atas peranannya yang penting dan berkesan sebagai orang tengah dalam geopolitik serantau dan antarabangsa, serta mengiktiraf sumbangan besar negara tersebut terhadap keamanan dan kestabilan global. Dalam hubungan ini, perbincangan termasuk potensi kerjasama untuk berganding bahu dalam penyaluran bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Sebagai penutup kepada perjumpaan-perjumpaan diplomatik ini, His Highness Timbalan Amir telah meraikan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dalam satu Majlis Santap Tengah Hari sempena Lawatan Rasmi Duli Yang Teramat Mulia ke Negara Qatar.
Majlis-majlis yang berlangsung di Amiri Diwan ini mencerminkan layanan mesra serta ikatan persahabatan yang mendalam antara kedua-dua buah negara. Lawatan rasmi ini merupakan satu mercu tanda bersejarah yang menandakan genap 35 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
