Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini telah berangkat melawat Education City, yang merangkumi kunjungan ke beberapa institusi terkemuka di Qatar yang berdedikasi terhadap pemeliharaan ilmu pengetahuan, penyelidikan saintifik, dan inovasi teknologi.

Sejurus tiba di Education City, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh para pegawai kanan yang mewakili Qatar National Library (QNL), Qatar Environment and Energy Research Institute (QEERI), dan Qatar Science and Technology Park (QSTP).

Atur cara keberangkatan sebelah pagi bermula di Qatar National Library (QNL), di mana Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia meninjau kemudahan serba canggih serta arkib luas yang menyimpan manuskrip-manuskrip langka dan bahan-bahan bersejarah yang mencerminkan warisan kaya rantau ini.

Semasa di Qatar National Library, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia juga telah disembahkan taklimat khas mengenai The Earthna Centre for a Sustainable Future.

Taklimat tersebut mengetengahkan inisiatif nasional sepanjang tempoh lima tahun (2023–2028) dalam memulihkan 40 hektar kawasan bakau serta memperkukuh daya tahan pesisir pantai di wilayah Gerang.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto