

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) ke-29; Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-29; Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-23; Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-21; Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Kali Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, dan penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Singapura.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN PLUS THREE (APT) KE-29
Pada Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) ke-29, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama para pemimpin ASEAN yang lain mengimbas kembali penubuhan rangka kerja APT susulan Krisis Kewangan Asia 1997. APT menghampiri kerjasama selama tiga dekad, Baginda bertitah menekankan kepentingan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu bagi bersedia menghadapi krisis pada masa hadapan dan bertindak balas secara proaktif sebelum ia meruncing.
Bagi memperkukuh daya tahan serantau melalui kerjasama yang lebih erat dalam perdagangan maritim, kesalinghubungan logistik serta sekuriti tenaga dan makanan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan hubungan rapat antara makanan, tenaga dan pengangkutan kerana bidang-bidang ini saling berkaitan, dengan pengeluaran dan pengedaran makanan bergantung kepada tenaga dan pengangkutan yang terjamin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa gangguan merentasi sektor-sektor ini boleh menyebabkan kekurangan bekalan, kenaikan harga dan kelewatan dalam penghantaran barangan keperluan asas. Baginda seterusnya bertitah mencadangkan agar dikaji bagaimana pengaturan sedia ada dapat berfungsi bersama apabila beberapa sektor berada di bawah tekanan secara serentak, dengan hasil penemuan tersebut dijadikan panduan bagi penambahbaikan praktikal dalam penyelarasan dan tindak balas.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mencadangkan agar APT mempertimbangkan untuk menjalankan latihan bersama yang melibatkan agensi makanan, tenaga dan pengangkutan bagi menilai penyelarasan dan tindak balas di negara-negara ASEAN dan Plus Three. Penglibatan yang lebih erat dengan pihak perniagaan dan pengendali logistik boleh membantu mengenal pasti laluan penghantaran atau pembekal alternatif serta menangani halangan yang berpotensi sebelum gangguan berlaku. Usaha-usaha ini akan membantu mengekalkan akses kepada bekalan keperluan asas dan menghadkan peningkatan kos yang ditanggung oleh rakyat semasa krisis.
MESYUARAT PEMIMPIN ASIA ZERO EMISSION COMMUNITY (AZEC) KE-4
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama para Pemimpin ASEAN yang lain menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia Zero Emission Community (AZEC) Ke-4.
Pada mesyuarat tersebut, Duli Yang Teramat Mulia bersabda merakamkan penghargaan kepada Jepun atas kepimpinannya dalam AZEC dan mengetengahkan bahawa ketidaktentuan geopolitik terus menjejaskan pasaran tenaga serta rantaian bekalan. Duli Yang Teramat Mulia menekankan peranan penting AZEC dalam memajukan usaha penyahkarbonan di samping memperkukuh keselamatan tenaga dan daya tahan serantau. Duli Yang Teramat Mulia seterusnya menegaskan bahawa sekuriti tenaga dan penyahkarbonan perlu saling memperkukuh antara satu sama lain, dengan mengambil kira keadaan setiap negara yang berbeza, selaras dengan prinsip AZEC, iaitu “One Goal, Various Pathways”.
Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda mengetengahkan kelebihan yang saling melengkapi antara teknologi Jepun, sumber tenaga Australia dan pasaran ASEAN yang semakin berkembang dalam menyokong peralihan tenaga secara praktikal. Walaubagaimanapun, Duli Yang Teramat Mulia mengingatkan bahawa peralihan tersebut tidak seharusnya mewujudkan kebergantungan baharu, khususnya apabila pengurangan kebergantungan terhadap bahan api konvensional boleh meningkatkan kebergantungan kepada sebilangan kecil pembekal mineral kritikal dan teknologi.
Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda menekankan pentingnya menterjemahkan aspirasi AZEC kepada kerjasama yang praktikal, termasuk memperkukuh kesalinghubungan tenaga dan kesiapsiagaan serantau, serta kerjasama dalam bidang penyelidikan iklim, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan pembiayaan. Dalam hubungan ini, Duli Yang Teramat Mulia bersabda bahawa Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change – ACCC), yang akan berpejabat di Negara Brunei Darussalam, merupakan salah satu saluran kerjasama yang praktikal.
Duli Yang Teramat Mulia merakamkan penghargaan kepada Jepun dan Australia atas sokongan kedua-dua negara terhadap inisiatif perubahan iklim ASEAN, termasuk pembangunan pusat berkenaan; dan mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat dengan Jepun dan Australia bagi memperkukuh keupayaan institusi dan teknikal ACCC serta menghubungkan keutamaan iklim ASEAN dengan inisiatif-inisiatif AZEC yang berkaitan, di samping memastikan usaha sedemikian melengkapi gerak kerja sedia ada dan mengekalkan kepimpinan ASEAN dalam Pusat tersebut.
Akhir sekali, Duli Yang Teramat Mulia bersabda menegaskan bahawa peralihan tenaga perlu memperkukuh dan bukannya menjejaskan daya tahan serantau, manakala AZEC hendaklah menggalakkan kerjasama dan bukannya perpecahan dalam menghadapi persaingan geopolitik. Duli Yang Teramat Mulia turut menegaskan semula komitmen Negara Brunei Darussalam untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan AZEC bagi menghasilkan manfaat yang praktikal kepada ekonomi dan rakyat.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN-JEPUN KE-29
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berangkat bersama para Pemimpin ASEAN menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun Ke-29.
Semasa sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan bahawa ASEAN dan Jepun telah menjalin hubungan kerjasama yang berteraskan kepercayaan bersama dan hubungan ‘dari hati ke hati’ sesama rakyat selama melebihi lima dekad. Baginda seterusnya menekankan bahawa hubungan erat ini berupaya membawa hasil yang praktikal dalam memperkukuh sekuriti makanan, sambil menyatakan bahawa gangguan bekalan boleh mencetuskan lonjakan harga secara mendadak serta memberikan masa yang terhad kepada kerajaan untuk mengambil tindakan.
Bagi mengelakkan ancaman terhadap sektor pertanian daripada meruncing menjadi krisis yang lebih serius, Baginda bertitah menyeru agar risiko-risiko dikenal pasti pada peringkat awal dengan memanfaatkan teknologi satelit dan kepakaran Jepun dalam pemantauan tanaman. Baginda menekankan bahawa pengintegrasian data berkenaan ke dalam rangka kerja serantau yang sedia ada akan membolehkan tindak balas yang lebih terselaras serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan serantau secara menyeluruh.
Akhir sekali, Baginda bertitah menekankan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik dengan membantu para petani meningkatkan hasil pertanian serta membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gangguan. Baginda turut mengetengahkan Pelan Kerjasama Midori ASEAN-Jepun sebagai salah satu mekanisme penting dalam menyediakan teknologi digital yang mampu milik dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim, serta latihan praktikal yang boleh disesuaikan dengan keperluan setempat. Sehubungan itu, Baginda bertitah menggesa menteri-menteri yang berkaitan untuk membawa cadangan-cadangan tersebut ke hadapan melalui mekanisme sekuriti makanan yang sedia ada, demi melindungi mata pencarian rakyat serta memastikan bekalan makanan terus mudah diperoleh pada harga yang berpatutan untuk semua.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN-INDIA KE-23
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berangkat bersama para Pemimpin ASEAN menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-23.
Pada Sidang Kemuncak berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengetengahkan hubungan maritim yang telah lama terjalin antara Asia Tenggara dan India melalui perdagangan, kebudayaan serta pertukaran antara rakyat. Baginda turut mengingatkan bahawa peningkatan ketegangan maritim boleh mengancam hubungan tersebut dan seterusnya menekankan peranan penting kerjasama ASEAN-India dalam memelihara keamanan, kestabilan serta kebebasan pelayaran.
Menyatakan bahawa keselamatan dan kemakmuran ekonomi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pesisir yang kecil bergantung kepada lautan yang terbuka dan selamat, Baginda bertitah bahawa hak semua negara, tanpa mengira saiz, hendaklah dihormati berlandaskan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS). Bagi mengelakkan insiden maritim daripada meruncing, Baginda menekankan kepentingan kerjasama praktikal dengan mengetengahkan Latihan Maritim ASEAN-India ke-2 sebagai landasan yang bermanfaat dalam memperkukuh komunikasi dan perkongsian maklumat antara pihak berkuasa maritim.
Akhir sekali, Baginda bertitah menekankan kepentingan melindungi sumber marin, mata pencarian masyarakat pesisir pantai serta ekosistem marin melalui kerjasama yang lebih erat dalam pengurusan perikanan mampan, khususnya dalam membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia. Baginda merumuskan bahawa kerjasama maritim yang diperkukuh akan memantapkan keselamatan dan kestabilan serantau, sekali gus memajukan perdagangan, kesalinghubungan serta hubungan ekonomi yang lebih luas antara ASEAN dan India.
SIDANG KEMUNCAK ASIA TIMUR (EAS) KE-21
Pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-21, Baginda bertitah menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan strategik yang semakin menjejaskan kestabilan serantau, dengan mengambil kira risiko berterusan berlakunya insiden dan salah percaturan di Laut China Selatan, di samping konflik global yang mengganggu perdagangan serta bekalan tenaga. Dalam hubungan ini, Baginda bertitah menekankan kepentingan EAS sebagai forum yang diterajui ASEAN dalam menghimpunkan kuasa-kuasa besar dan negara-negara kecil bagi menguruskan perbezaan secara bertanggungjawab, di samping mengekalkan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Menggariskan bahawa ASEAN Centrality membantu memelihara seni bina serantau yang inklusif dan memastikan dialog kekal terbuka meskipun berdepan dengan persaingan strategik, Baginda bertitah bahawa dialog terbuka bukan sahaja memerlukan pertukaran pendirian antara negara, malah juga pengiktirafan terhadap kesan yang lebih luas daripada keputusan yang dibuat oleh sesebuah negara serta tanggungjawab bersama dalam memelihara kestabilan. Baginda seterusnya bertitah menekankan bahawa apabila timbulnya ketegangan, rundingan, kawalan, dan penyelesaian secara aman yang berpandukan penghormatan sepenuhnya terhadap undang-undang Antarabangsa yang diterapkan secara konsisten dan tanpa diskriminasi adalah penting, khususnya bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara-negara kecil.
Akhir sekali, Baginda bertitah menekankan bahawa perbezaan strategik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha bersama dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi. Dalam hubungan ini, Baginda mengetengahkan isu penipuan berasaskan teknologi siber dan penipuan dalam talian sebagai antara bidang yang memerlukan kerjasama secara praktikal. Baginda turut bertitah bahawa jenayah-jenayah berkenaan bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan dan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi digital, malah turut mengeksploitasi golongan yang mudah terdedah, termasuk mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa melakukan kegiatan jenayah.
Sehubungan itu, Baginda mencadangkan agar pengaturan kerjasama sedia ada dimanfaatkan bagi memperkukuh perkongsian maklumat dan usaha bersepadu antara pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dalam mengesan aliran kewangan bagi membantu mengenal pasti pihak yang mengendalikan dan membiayai operasi jenayah, membanteras rangkaian jenayah serta meningkatkan perlindungan terhadap mangsa dan masyarakat.
MAJLIS PENUTUP SIDANG KEMUNCAK ASEAN KALI KE-49 DAN SIDANG-SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN SERTA PENYERAHAN PENGERUSI ASEAN KEPADA SINGAPURA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta para Pemimpin ASEAN yang lain telah menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Kali Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, serta penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Singapura.
Majlis dimulakan dengan lagu rasmi ASEAN, “The ASEAN Way”, diikuti dengan ucapan daripada Presiden Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini. Presiden Republik Filipina menyerahkan ‘Gavel Pengerusi ASEAN’ kepada Perdana Menteri Republik Singapura, yang kemudiannya diikuti dengan ucapan oleh Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura.
Majlis turut menampilkan tayangan video ‘Singapore ASEAN Chairmanship in 2027’ serta diserikan dengan beberapa persembahan pentas.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
