

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berangkat tiba di Moscow, Persekutuan Rusia, malam ini bagi mengadakan Keberangkatan Negara selama dua (2) hari yang dijadualkan berlangsung pada 24hb. dan 25hb. November 2026, atas undangan Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Vnukovo 2, Moscow, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Valery Falkov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi; Tuan Yang Terutama Andrey Rudenko, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, dan Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya disembahkan dengan penghormatan Kawalan Kehormatan Statik, dan diikuti dengan Lagu Kebangsaan Persekutuan Rusia dan Negara Brunei Darussalam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga disembahkenalkan kepada para pegawai kanan Persekutuan Rusia sebelum menaiki kenaikan khas menuju ke tempat persemayaman Baginda di Moscow.
Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II; dan Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
