
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berangkat balik meninggalkan Republik Rakyat China setelah selesai menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-33 di Shenzhen.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan menyusuri permaidani merah sebelum berangkat menaiki pesawat khas.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing, Protocol Ambassador, Ministry of Foreign Affairs of the People’s Republic of China; Puan Yang Terutama Li Xin, Vice Chairman of Guangdong Provincial Committee of Chinese People’s Political Consultative Conference; dan Tuan Yang Terutama Chen Shaochun, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam.
Juga hadir ialah Tuan Yang Terutama Dato Seri Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, berserta para pegawai dan kakitangan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China.
Semasa AELM Ke-33, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyertai Ketua-Ketua Ekonomi APEC yang lain bagi membincangkan langkah-langkah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, meningkatkan hubungan perdagangan serta mempererat kerjasama di rantau AsiaPasifik. Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mencerminkan sokongan berterusan Negara Brunei Darussalam terhadap usaha memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan serantau demi keamanan dan kemajuan bersama.
Di bawah tema “Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together”, APEC 2026 telah memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama. Perbincangan turut merangkumi usaha-usaha untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), serta meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran bersama.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
