
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis-majlis Perjumpaan Dua Hala secara berasingan bersama Puan Yang Terutama Keiko Fujimori, Presiden Republik Peru; dan Tuan Yang Terutama John Lee, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, bertempat di Grand Hyatt Shenzhen.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
MAJLIS PERJUMPAAN DUA HALA BERSAMA PRESIDEN REPUBLIK PERU
Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Peru. Sehubungan dengan itu, kedua-dua pemimpin telah menyampaikan undangan untuk mengadakan lawatan timbal balik bagi meningkatkan interaksi peringkat tertinggi dan memperdalam lagi hubungan dua hala. Puan Yang Terutama Presiden Republik Peru juga mempelawa Negara Brunei Darussalam untuk meneroka peluang pelaburan di Peru, dengan mengetengahkan potensi bagi kerjasama ekonomi yang lebih luas serta perkongsian yang saling menguntungkan dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Peru telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 1 Jun 1990 dan terus menikmati hubungan persahabatan yang berlandaskan sikap saling menghormati. Kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan tenaga. Hubungan ini turut diperkukuhkan lagi menerusi Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Peru pada November 2024. Kedua-dua negara juga bekerjasama rapat melalui platform-platform serantau seperti APEC dan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
