Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Shenzhen, Republik Rakyat China bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC (AELM) ke-33 yang akan berlangsung pada 18 hingga 19 November 2026.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Lin Keqing, Chairman of Guangdong Provincial Committee of Chinese People’s Political Consultative Conference; Tuan Yang Terutama Han Zhiqiang, Representative of the Government of the People’s Republic of China; dan Tuan Yang Terutama Chen Shaochun, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berjalan melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan menyusuri permaidani merah sebelum menaiki motorkad rasmi.

Juga hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tuan Yang Terutama Dato Seri Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto