Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis-majlis Perjumpaan Dua Hala secara berasingan bersama Puan Yang Terutama Keiko Fujimori, Presiden Republik Peru; dan Tuan Yang Terutama John Lee, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, bertempat di Grand Hyatt Shenzhen.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong telah bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan baik antara kedua-dua pihak, serta menegaskan semula komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertukaran antara rakyat.

Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menikmati hubungan dua hala yang mesra, yang didokong oleh kerjasama ekonomi, perundangan, serta hubungan sesama rakyat yang kukuh. Kedua-dua pihak terus memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, perkhidmatan kewangan, dan penyelesaian pertikaian, sambil bekerjasama rapat dalam kerangka APEC bagi memajukan kesalinghubungan serantau dan kemakmuran bersama.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto