Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia menghadiri Sidang Akhbar Bersama di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah yang antara lain menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Rusia atas sambutan yang mesra, dan memberikan penghormatan yang tinggi kerana dapat berangkat mengadakan Keberangkatan Negara Kali Kedua ke Persekutuan Rusia, bertepatan dengan sambutan 35 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Baginda mengimbas kembali mengalu-alukan Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri APEC pada tahun 2000, Keberangkatan Negara pertama Baginda ke Moscow pada tahun 2005, dan lebih baru-baru ini mesyuarat di Kazan dan Shenzhen. Baginda bertitah bahawa mesyuarat-mesyuarat tersebut telah mengeratkan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Rusia.

Baginda juga menggalakkan hubungan berterusan antara pegawai kedua-dua buah negara dan juga peluang-peluang kerjasama mendalam di bidang pendidikan, tenaga, dan perdagangan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menzahirkan penghargaan atas kerjasama Persekutuan Rusia dengan Negara Brunei Darussalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan forum antarabangsa lain, dan atas komitmen bersama terhadap dialog yang membina.

Baginda bertitah bahawa Sidang Kemuncak Kommemoratif ASEAN-Rusia di Kazan, yang menandakan hubungan selama 35 tahun tersebut menawarkan peluang untuk memajukan perkongsian tersebut, dan Baginda mengalu-alukan penglibatan berterusan Rusia dengan ASEAN dan sokongan bagi ASEAN Centrality.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam menghargai persahabatan dan kepercayaan yang dibina selama 35 tahun dan asas yang kukuh ini dapat menjadi manfaat yang praktikal untuk rakyat kedua-dua buah negara. Mesyuarat dan perundingan yang kerap mengenai pertahanan dan keselamatan dapat mengukuhkan lagi persefahaman dan kepercayaan bersama. Baginda juga mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat melalui Dialog ASEAN-Rusia mengenai Keselamatan ICT, terutamanya dalam pembinaan kapasiti, dan menggalakkan komuniti perniagaan untuk meneroka peluang dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh diperbaharui.

Baginda bertitah menekankan kepentingan membangunkan kemahiran untuk pertumbuhan masa depan, mengalu-alukan tawaran biasiswa Persekutuan Rusia, dan menyokong hubungan yang lebih erat antara institusi pendidikan. Baginda bertitah bahawa pelancongan sebagai salah satu cara mendekatkan rakyat dan seterusnya mengalu-alukan lebih ramai pengunjung Rusia menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 dan menggalakkan kerjasama antara industri pelancongan kedua-dua negara. Bidangbidang ini, di samping kerjasama praktikal selepas sidang kemuncak Kazan dan penglibatan ekonomi serantau yang diketengahkan pada mesyuarat APEC di Shenzhen, boleh membantu mengeratkan hubungan ke arah Perkongsian Strategik.

Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan Rusia atas layanan dan peluang untuk bertukar pandangan, dan menaruh harapan agar penglibatan berterusan dalam mengukuhkan persahabatan negara-negara, dan seterusnya mengundang Tuan Yang Terutama Presiden Putin untuk mengadakan Lawatan Negara yang pertamanya ke Negara Brunei Darussalam pada masa yang sesuai.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto