Titah Perutusan KDYMM Sempena Tahun Baru Ilal Hijrah 1447

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
​ 

SEMPENA
MENYAMBUT TAHUN BARU
ILAL HIJRAH 1447 ​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.​​

Marilah kita sama-sama merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat pula menyambut Tahun Baru Ilal Hijrah 1447 dalam keadaan riang dan selesa.

Semoga Tahun Baru Hijrah yang kita sambut ini akan membawa ‘keberkatan’ kepada kita semua dan negara, dengan keamanan dan kemakmuran menjadi milik kita, dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk.

Kita sedia memahami, bahawa era hari ini adalah era yang tidak menentu, yang berlaku di dalamnya pelbagai kemelut atau krisis. Maka oleh itu, kita adalah diperlukan untuk sentiasa waspada bagi menepis apa jua perkara yang tidak diingini dari menjangkiti kita.

Misalnya, perkembangan dan kepesatan teknologi menggunakan Artificial Intelligence (AI) adalah seumpama ‘Penghijrahan’ yang kini kita alami dalam kehidupanseharian. Meskipun perkara ini diambil positif, namun harus diingat jika AI disalahgunakan oleh mana-mana pihak, ianya boleh menjadi ibarat ‘virus’ yang merebak secara dalaman yang boleh meracuni pemikiran dan mengelirukan minda kita serta boleh memesongkan akidah seseorang.

Pada hakikatnya, Beta amat yakin dan optimis, bahawa kita Insyal Allah mampu untuk menjadi sebuah negara yang mantap dengan pembangunan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Perkara ini telah pun terbukti berjalan baik, dan Insya Allah ia akan berterusan pelaksanaannya.

Mengapakah perkara yang baik ini sentiasa memihak kepada kita? Jawabnya, kerana kita sentiasa konsisten menjadi Islam sebagai teras panduan dalam pentadbiran. Kita sentiasa patuh mengikut apa-apa yang disuruh oleh ugama, dan tidak membuat apa-apa yang dilarangoleh ugama.

Ini menjadi dalil, bahawa iman dan takwa sedang subur di bumi bertuah ini, Brunei Darussalam. Makan kerana itulah janji Allah sedang dan telah berlaku ke atas kita, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-A’raf, Ayat 96, tafsirnya:

 ​”Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan pintu kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…..”

Seyugia diingat, bahawa ‘berkat’ itu bukanlah satu tetapi pelbagai. Negara aman – adalah berkat. Negara makmur – adalah​ berkat. Ketaatan kepada Ulil Amri – adalah berkat. Rakyat hidup bersatu padu – adalah berkat, dan lain-lain seumpamanya.

Oleh itu, keperluan untuk mengekalkan berkat adalah perkara yang utama. Tetapi bagaimanakah cara untuk mengekalkan berkat itu? Caranya, kita anak watan hendaklah terus menyiram bumi kesayangan kita, Brunei Darussalam dengan iman dan amal takwa. Jika ini berlaku, maka Insya Allah, akan kekallah berkat itu.

Akan tetapi, cabaran untuk mengekalkan ‘berkat’ itu tetap ada. Antaranya, dalam meniti arus kemodenan, teknologi AI di dunia siber kini menjadi semakin canggih dan digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan. Ianya juga menyebabkan kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan.

Segelintir masyarakat kini sanggup melakukan apa sahaja untuk menipu di mana AI digunakan sebagai cabang fitnah di media sosial. Sedikit demi sedikit, penyebaran fitnah di akhir zaman ini boleh menghakiskan ‘keberkatan’ dengan melunturkan pengangan dan pengamalan ugama Islam, Oleh itu selamatkanlah diri kita dari fitnah seumpama ini dengan meperkukuhkan iman dan ilmu pengetahuan ugama yang kuat.

Maka bersempena kita memasuki Tahun Baru 1447 Hijrah ini, Beta ingin menyarankan supaya para da’ie dan penceramah ugama akan terus mempromosikan langkah untuk mengekalkan berkat, supaya sama-sama kita, tanpa ada kecualinya, menghayati kehidupan beriman dan bertakwa yang membawa kepada berkat itu.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ilal Hijrah 1447 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini, semoga sama-sama kita dilimpahi rahmat oleh Allah, dan negara berada salam selamat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*     *     *

Sabda DPMM Di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Pengakap Tunas & Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD)

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SELAKU KETUA PENGAKAP,
PERSEKUTUAN PENGANGKAP NEGARA BRUNEI DARUSSALAM (PPNBD)
 
DI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 PENGAKAP TUNAS & PERASMIAN PUSAT LATIHAN DAN PERKHEMAHAN PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGERA BRUNEI DARUSSALAM (PPNBD)
 
BERTEMPAT
PUSAT LATIHAN DAN PERKHEMAHAN PPNBD
KG.MATA-MATA, MUKIM GADONG
 
PADA
HARI SELASA
20 ZULHIJJAH 1446 BERSAMAAN 17 JUN 2025
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun pada hari yang penuh bersejarah ini, iaitu Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Pengakap Tunas yang diselajurkan dengan perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap Negara
Brunei Darussalam yang baharu.

Sesungguhnya, pencapaian Sambutan Ulang Tahun ini amatlah bermakna dalam menyemarakkan lagi semangat berpengakap dalam kalangan generasi muda, bahkan juga melambangkan komitmen berterusan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dalam mendukung usaha pembangunan modal insan yang berdisiplin, berintegriti dan berjiwa kebangsaan selaras dengan aspirasi dan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Keberhasilan pencapaian Ulang Tahun Ke-75 ini, pada hemat Saya adalah berkat hasil kerjasama dan dedikasi semua pihak dalam sama-sama memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda melalui nilai-nilai pengakap sebagai tunjang kepada pembangunan jati diri dan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.

Selaku Ketua Pengakap Negara, Saya turut berasa bangga mengikuti perkembangan dan pencapaian Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam di sepanjang 75 tahun tertubuhnya pasukan Pengakap Tunas. Ianya jelas mencerminkan usaha gigih semua pihak dalam memperkasakan pergerakan pengakap sebagai wahana pembangunan sahsiah dan kepimpinan bagi barisan generasi pelapis sebagai pewaris bangsa dan negara.

Dalam hal ini, Pengakap Tunas, sebagai asas kepada perjalanan kepengakapan, memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi unggul sejak dari usia dini. Melalui aktiviti-aktiviti yang bersifat mendidik, mencabar dan membina keyakinan diri, ianya telah berjaya melahirkan ahli-ahli muda yang celik nilai, bertanggungjawab serta memiliki semangat sedia berbakti kepada masyarakat dan negara.

Dalam hubungan ini, setinggi tahniah dan syabas Saya ucapkan kepada semua pihak yang telah bekerja keras dengan berbekalkan semangat tinggi dalam usaha menubuhkan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap (PLPP) yang akan menjadi landasan penting bagi pengembangan ilmu, kemahiran, serta jati diri Ahli-Ahli Pengakap pelbagai peringkat. Dengan beroperasi sepenuhnya PLPP, Saya menaruh keyakinan hasrat Persekutuan Pengakap untuk membangunkan pusat kecemerlangan latihan, kepimpinan dan penyatuan seluruh warga pengakap di negara ini akan dapat dicapai termasuk sumbangan langsungnya ke arah melahirkan masyarakat yang resilien.

Dalam masa yang sama, Saya turut menghargai peranan pucuk pimpinan Persekutuan Pengakap termasuk para sukarelawan serta ibu bapa yang tidak mengenal lelah dalam menyumbang bakti, tenaga, dan masa demi memastikan kejayaan dan juga kesinambungan gerakan berpengakap di negara ini.

Seiring dengan semangat “Selalu Bersedia”, Saya berkeyakinan nilai-nilai jati diri Pengakap akan dapat memacu dan menjana kejayaan dalam kehidupan seharian termasuk di luar konteks pergerakan pengakap dengan kesiagaan untuk menanai dan memikul tanggungjawab sebagai warga negara yang berjiwa patriotik, berakhlak mulia
dan berpandangan jauh.

Pada kesempatan ini, Saya juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian-Kementerian serta agensi-agensi Kerajaan, khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Pendidikan di atas komitmen dan sokongan padu yang berterusan dalam bersama-sama menyumbang kepada usaha-usaha memajukan pergerakan pengakap khususnya dan juga pergerakan pasukan-pasukan kadet beruniform lainnya di negara ini.

Dalam hubungan ini, Saya juga gembira mengambil maklum bahawa sebahagian besar Pemimpin Pengakap adalah terdiri daripada kalangan guru-guru. Maka, sokongan bersepadu daripada pihak sekolah dan keseluruhan Kementerian Pendidikan adalah amat signifikan ke arah memperkukuh peranan kepimpinan pasukan Pengakap Tunas sebagai teras kepada kelangsungan keseluruhan gerakan berpengakap di peringkat kebangsaan dan global.

Seterusnya, Saya menaruh keyakinan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap yang baharu ini, selain akan menjadi mercu tanda bagi kemajuan dan kecemerlangan kegiatan berpengakap, ianya juga akan menjadi Pusat Kecemerlangan yang lengkap dan berupaya melahirkan anggota Pengakap yang memiliki jati diri dan mengamalkan nilai-nilai teras persatuan.

Akhir kata dengan mendahulukan kalimah Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, Saya sukacita merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Pengakap Tunas, dan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***​

Sabda DPMM Di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i Bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Di Negara Brunei Darussalam

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, TIMBALAN SULTAN

 

DI MAJLIS PERASMIAN 

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MAZHAB SYAFI’I

BERSEMPENA 60 TAHUN INSTITUSI FATWA DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

ANJURAN

UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) DAN JABATAN MUFTI KERAJAAN, 

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERTEMPAT

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

PADA

HARI SELASA, 6HB ZULHIJJAH 1446 BERSAMAAN 3HB JUN 2025

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua dapatlah kita sama-sama menghadiri Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam pada pagi ini.

Dalam majlis ilmu yang berkat ini, Saya sukacita menzahirkan rasa syukur atas pencapaian Institusi Fatwa di negara ini yang dilihat berjaya memainkan peranannya dalam mengeluarkan Fatwa dan Irsyad kepada masyarakat. Fatwa dan Irsyad adalah pasak memelihara keharmonian hidup berugama sesuai dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah Mazhab Syafi’i.

Penubuhan Institusi Fatwa di Brunei Darussalam bermula pada tahun 1962, diilhamkan oleh Paduka Ninda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang sangat menitikberatkan semua urusan yang berkait dengan ugama Islam.

Pada tahun tersebut, satu bahagian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal fatwa telah ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Ugama sebagai langkah awal memperkukuh kedudukan fatwa dalam sistem pentadbiran ugama negara.

Institusi Fatwa dalam sesebuah negara, khasnya di rantau ini adalah sangat mustahak untuk dipelihara, kerana ia bukan sahaja menjadi rujukan tertinggi dalam semua permasalahan agama, malahan juga menjadi tunjang kepada dasar-dasar negara. Tidak syak lagi keputusan yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Institusi Fatwa juga turut memainkan peranan penting dalam melahirkan ulama. Ulama adalah pewaris nabi-nabi yang mampu untuk membimbing ummah dengan ilmu mereka.

Menyentuh tema persidangan adalah berbunyi “Mazhab Syafi’i Dalam Era Digital: Relevan dan Cabaran”, Saya melihat ia sangat bertepatan dengan realiti semasa, khususnya bagi membincangkan keperluan mazhab dalam menghadapi arus pemodenan teknologi.

Pertemuan ulama dan ilmuwan Islam serantau dalam persidangan ini sudah setentunya akan membuka ruang berharga untuk meneliti isu-isu tersebut secara ilmiah dan mendalam. Antara isu yang semakin mendesak pada era digital ini ialah fenomena fatwa yang mudah diakses secara tidak terbimbing. Masyarakat mudah mendapatkan pandangan ugama melalui media sosial tanpa menilai kesahihan dan kesesuaiannya dalam konteks tempatan.

Dalam pada masa yang sama, sesiapa pun boleh mengaku sebagai “mufti” atau “ustaz” dalam dunia digital dan alam maya. Lebih membimbangkan lagi, segelintir masyarakat pula, mula mengenepikan autoriti rasmi dalam hukum-hakam dengan memilih “ulama digital” untuk memberikan jawapan segera terhadap persoalan-persoalan mereka.

Isu-isu sebegini, jika tidak ditangani dengan bijaksana, ia berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan yang besar dalam kalangan umat Islam, malahan boleh menggugat kedudukan dan kelangsungan Mazhab Syafi’i di rantau ini. Oleh itu, Saya berharap dalam perhimpunan para tokoh dan sarjana di persidangan ini, beberapa strategi berkesan akan dapat dikenal pasti bagi menanganinya.

Seiring dengan perkembangan era digital yang pesat dan mencabar, Institusi Fatwa serta Fuqaha dalam Mazhab Syafi’i perlulah mengukuhkan kehadiran mereka dalam ruang digital. Pembangunan platform fatwa digital yang berwibawa, yang mudah diakses dan mesra pengguna adalah amatlah penting.

Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Mazhab Syafi’i, bahkan menjadi benteng kepada masyarakat daripada terpengaruh dengan pandangan yang cuma berasaskan populariti tetapi tidak mempunyai sandaran sahih dalam ugama.

Akhirnya, Saya tidak lupa merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Jabatan Mufti Kerajaan, selaku penganjur utama, berserta semua organisasi dalam dan luar negara yang turut bekerjasama menjayakan persidangan ini. Saya juga mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari luar negara ke Negara Brunei Darussalam, dan mengucapkan selamat bersidang serta bermuzakarah.

Saya mendo’akan agar hubungan erat antara para ilmuwan, pakar dan sarjana rantau ini akan terus diperkukuh demi memartabatkan lagi kedudukan Islam di Asia Tenggara.

Dengan bertabarruk mengambil berkat Kalimat Suci, Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, maka Saya rasmikan Persidangan Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam, dan seterusnya Saya lancarkan Buku-Buku terbitan terbaharu Jabatan Mufti Kerajaan dan UNISSA.​

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1446H/2025M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1446H/2025M​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

‘Idil Adha adalah merujuk kepada peristiwa berkorban Nabi Ibrahim dan putera Baginda Nabi Ismail ‘Alaihumassalam. Dua beranak ini telah menunjukkan contoh, bagaimana cara untuk mematuhi perintah Allah, sekalipun perintah itu amat berat untuk dibuat.

Inilah juga yang kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dituntut untuk melakukannya, iaitu apa yang disuruh oleh Allah (oleh ugama) hendaklah dibuat dan yang dilarang hendaklah ditinggalkan.

Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 206, tafsirnya:

​”Apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah engkau kepada Allah”, maka timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) api neraka jahannam, dan demi sesungguhnya (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Oleh ugama, kita telah dituntut untuk mengamalkan sikap nasihat menasihati. Oleh itu, dikalangan umat, mestilah ada golongan yang menyuruh kepada kebajikan dan melarang dari kejahatan. Dalam makna, mana-mana orang atau pihak yang berkuasa melakukannya, hendaklah dia melakukannya, jika tidak, dia akan dianggap berdosa, kerana berdiam diri tidak menolong Ugama Allah.

Ini selaras dengan janji Allah dalam Surah Muhammad, Ayat 7, tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah (menolong ugama-Nya), nescaya Dia akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Oleh itu, Beta berseru kepada para Da’ie atau Muballigh dan orang-orang yang dipikulkan amanah untuk memelihara ugama, supaya mereka menyampaikan nasihat-nasihat ugama, dengan jujur dan ikhlas tanpa ragu-ragu atau takut-takut.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dalam zaman yang serba kacau ini, nasihat-nasihat ugama adalah sangat-sangat diperlukan, asal sahaja nasihat-nasihat itu menepati kehendak-kehendak syarak aliran Ahli Sunnah Waljama’ah dan pendekatan yang digunakan pula tidak berunsur mencerca atau menghasut.

Kerana itu dalam menjalankan tugas seperti berdakwah, adalah mustahak untuk memasang niat bagi menyelamatkan orang yang dinasihati daripada dosa dan kecelakaan yang amat dahsyat di akhirat.

Di sa’at yang bersukut baik ini, Beta ingin mengambil kesempatan mendo’akan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam sihat-sihat sahaja dapat menunaikan ibadat dengan sempurna.

Alhamdulillah dalam menyambut Hari Raya ‘Idil Adha yang mulia ini, dengan penuh rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu WaTa’ala dan  penghargaan yang mendalam, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang Beta kasihi, serta Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan dan juga para Dif-Dif Kerabat. Segala do’a dan ingatan baik yang diberikan semasa Beta berehat, setelah menghadiri Mesyuarat ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia, adalah amat-amat Beta hargai. Ucapan terima kasih yang sama juga Beta tujukan kepada pihak Institut Jantung Negara Malaysia atas layanan yang amat baik sepanjang keberadaan Beta di sana.

Akhirnya, Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan harapan semoga sekaliannya dalam keadaan bahagia menyambut ‘Idil Adha.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*  *  *

Sabda DPMM Di Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-64 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, TIMBALAN SULTAN

 

DI UPACARA PERBARISAN RAKSASA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN KE-64 ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI 

 

TEMPAT 

PADANG KAWAD PANGKALAN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI MUARA

 

PADA HARI SABTU,

3HB ZULHIJJAH 1446 BERSAMAAN 31HB MEI 2025

 ​

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas limpah rahmat- Nya jua, mengizinkan kita sama-sama menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang Ke-Enam Puluh Empat dalam suasana aman, damai dan sejahtera.

Tahniah dan Syabas, Saya ucapkan di atas pencapaian usia ini dan juga di atas mutu perbarisan dan keterampilan yang sangat kemas sebentar tadi yang sekaligus mempamerkan kepahlawanan bangsa yang sejati.

Alhamdulillah, dalam usianya yang sudah semakin matang, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah banyak menunjukkan perkembangan yang amat ketara. Sebagai sebuah institusi pertahanan, keupayaan ketenteraan yang moden adalah penting, namun apa yang lebih kritikal adalah mempunyai kapasiti sumber tenaga manusia yang berkelayakan dan kompeten melalui peningkatan pembelajaran akademik dan latihan bagi membolehkan pengemaskinian dasar dan doktrin selaras dengan keperluan pertahanan negara dan keadaan semasa.

Dalam hubungan ini, sukacita Saya mengambil maklum sejak tahun 2022 kekuatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah meningkat sebanyak sebelas peratus (11%), iaitu penambahan seramai 1,130 anggota. Ini antara lain adalah hasil daripada pengemaskinian dasar pengambilan dan pengekalan anggota melalui pertambahan kapasiti latihan asas ketenteraan rekrut daripada 540 ke 960 anggota, dan kapasiti maksima 100 Pegawai Kadet setiap tahun.

Di samping itu, pengemaskinian Dasar Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK) yang antara lain mengekalkan perkhidmatan melalui ikat janji bagi anggota-anggota yang dinaikkan pangkat dan menghadiri kursus-kursus tertentu sebagai langkah rancangan pelapis (succession planning) anggota yang mampan. Ini dapat dilihat melalui statistik tiga (3) tahun kebelakangan, dalam mana seramai 119 anggota telah melanjutkan perkhidmatan selepas 26 tahun, iaitu peningkatan sebanyak tiga belas peratus (13%) berbanding pada tahun 2022.

Saya juga gembira dengan usaha ABDB untuk meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusianya, antaranya memaksimakan pengendalian kursus dan latihan di dalam negara melalui kolaborasi dengan Universiti Brunei Darussalam bagi Pendidikan Profesional Ketenteraan, dan Institusi Pendidikan Teknikal Brunei bagi kepakaran teknikal, termasuk inisiatif mendatangkan jurulatih-jurulatih tertentu daripada negara sahabat ke arah mengoptimakan jumlah anggota yang mengikuti latihan serta penjimatan perbelanjaan negara.

Saya sukacita mengambil maklum terkini hanya segelintir kursus sahaja yang masih dihantar ke luar negara mengambil-kira keperluan prasarana khusus, ketiadaan pakar bagi kursus-kursus spesialis, serta jumlah pelatih yang kecil dalam satu masa untuk dikendalikan secara berkesan di dalam negara. Sehubungan dengannya, Saya berharap tahap profesionalisme tentera hendaklah terus dipertingkat agar dapat diiktiraf sebanding dengan kepakaran tertentu di Sektor Awam.

Dalam hal ini, Saya berpendapat Rejimen Jurutera Tentera Darat Diraja Brunei perlu mempunyai kelayakan dan kepakaran kejuruteraan yang diiktiraf untuk membolehkan ABDB melaksanakan reka bentuk, projek-projek pembinaan dan pengubahsuaian serta keperluan pelupusan selaras dengan peraturan negara, tanpa bergantung kepada kepakaran di Sektor Awam.

Ke arah itu, Saya berharap Kementerian Pertahanan, khususnya ABDB, melalui pendekatan Whole of Government akan dapat menjalinkan kerjasama dengan kementerian atau institusi berkepentingan untuk mencapai hasrat ini. Dengan meningkatnya ancaman digital daripada serangan siber dan teknologi maklumat, Saya mengambil maklum ABDB juga sedang giat mengungkayahkan pelbagai inisiatif yang menjurus kepada meningkatkan kompetensi anggota melalui kursus dan pendedahan tertentu dengan pihak-pihak yang lebih berpengalaman dari dalam dan luar negara.

Sayugia, Saya berharap kerjasama ABDB dengan agensi-agensi keselamatan siber kebangsaan, khususnya Cyber Security Brunei yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta kerjasama dengan Angkatan Tentera negara-negara sahabat untuk diteruskan agar keutuhan pertahanan siber negara dapat dicapai secara holistik.

Saya juga difahami Rejimen Pasukan Khas telah berjaya melahirkan seramai 28 anggota Pasukan Khas Tier 2 yang akan seterusnya menjadi perintis kepada penubuhan​​ Unit-Unit Pasukan Khas Tier 2 bagi Tentera-Tentera Darat, Laut, dan Udara Diraja Brunei mengikut kepakaran Tempur Khas Darat, Laut dan Udara masing-masing sebagai langkah kepada pembentukan Markas Operasi Khas atau Special Operations Command (SOCOM) yang bakal ditubuhkan.

Natijahnya, dengan adanya serta keberhasilan pelbagai usaha pelaburan dalam pembangunan kapasiti tenaga manusia ini, ABDB akan mampu menjamin tahap kesediaan dan kesiapsiagaan tempurnya yang tinggi pada setiap masa.

Di kesempatan ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, Saya turut merakamkan rasa gembira dengan kehadiran Ahli-Ahli PERWIRA, iaitu Persatuan Bekas Perajurit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Saya sukacita mengiktiraf komitmen dan sumbangan PERWIRA dalam melaksanakan serta penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti kenegaraan, keagamaan dan kebajikan.

Di atas semangat, sumbangan dan pengorbanan yang berterusan ini, Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih serta berdoa semoga mereka diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus produktif dalam bersama-sama menabur jasa dan bakti yang bermakna kepada negara.

Buat akhirnya, Saya mengucapkan selamat menyambut dan meraikan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-64 kepada seluruh warga ABDB yang sedang berkhidmat di dalam dan luar negeri serta mereka yang telah pun bersara. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam Upacara Perbarisan pagi ini serta semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini. Saya doakan agar Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua dan terus maju jaya. Aamiin Ya Rabbal ‘Aalaamiin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***​