Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-30 Tahun 2023

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH AL-MARHUM IBNI

SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

 

SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-30 TAHUN 2023

 

PADA HARI SELASA:

 16 RABIULAKHIR 1445H / 31 OKTOBER 2023M

 

TEMPAT:

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.​

​​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-30 Tahun.

Tidak dapat disangkal, bahawa dalam tempoh tiga dekad ini, pelbagai cabaran telah diharungi untuk menguji kedayatahanan perkhidmatan awam.

Maka sehubungan itu, setiap penjawat awam hendaklah sentiasa peka dengan perubahan semasa, disamping tidak lupa mengharapkan petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala dalam masa melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab.

Juga perlu dimiliki ialah idea-idea baru sebagai penambahbaikan proses kerja, peraturan, system penyampaian dan penghasilan.

Begitu juga dalam kepimpinan, setiap pemimpin dikehendaki bijak dalam mempelopori potensi kerja, khasnya potensi teknologi digital, sebagai asas kepada transformasi perkhidmatan yang berimpak besar.

Mengenai transformasi perkhidmatan, Beta telah memperkenankan bagi peralihan sebahagian besar proses pengambilan tenaga kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ke Kementerian-Kementerian, khusus bagi Bahagian dua ke bawah. Disamping untuk meningkatkan akauntabiliti, ia juga untuk mempercepatkan lagi pengisian kekosongan jawatan dengan memanfaatkan sepenuhnya Public Service Recruitment System atau PSCR yang sedia ada.

Beta juga ingin menekankan soal integriti perkhidmatan awam. Ia tidak boleh roboh, tetapi mesti sentiasa teguh. Kerana jika integriti roboh, maka pelbagai perkara negatif pasti akan berlaku, seperti penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya, sedangkan yang kita mahu ialah sebuah perkhidmatan awam yang bersih, amanah dan berkesan.

Maka ke arah itu, satu pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Am atau ‘General Orders’ telahpun dilaksanakan dan akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi. Pindaan ini dibuat adalah sesuai dengan keperluan semasa sambil terus menekankan aspek kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan.

Semua ini turut berkaitan dengan urustadbir perkhidmatan awam sendiri.

Juga turut penting ialah, Kementerian dikehendaki untuk memperinci penyediaan pelan masing-masing, sebagai dokongan kepada kajian mengoptimakan Sumber Manusia atau Manpower Optimisation Plan, yang diterajui bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi ketika ini.

Ini tidak terkecuali, kita menekankan pembangunan kapasiti dan kompentensi setiap warga kerja, dengan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai asas yang diperlukan.

Pada tahun ini, satu anugerah baru telah diperkenalkan sempena 30 tahun sambutan Hari Perkhidmatan Awam. Beta menyambut baik dan menghargai sokongan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam kerana mengetengahkan Paduka Ayahanda Beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, selaku tokoh besar “Arkitek Brunei Moden.”

Antara peristiwa penting dalam pemerintahan Al-Marhum ialah termaktubnya Perlembagaan Brunei dalam tahun 1959, yang membawa Brunei Darussalam berkerajaan sendiri.

Sesungguhnya, legasi kepimpinan Al-Marhum telah melakar pelbagai kemajuan yang dapat kita nikmati sehingga ke hari ini, khasnya bagi bidang-bidang utama, seperti Ugama, Pendidikan, Pertahanan, Pentadbiran Awam dan Kebajikan untuk rakyat dan penduduk.

Ternyata, kedayatahanan sektor awam negara ini adalah berpaksikan iltizam dan sumbangan Al-Marhum yang berimpak besar kepada kestabilan, kemakmuran dan kemajuan seumumnya.

Maka pada hari ini, Selasa 16 haribulan Rabiulakhir 1445 hijrah bersamaan 31 haribulan Oktober 2023 masihi, mengambil sukut baik sempena 30 tahun sambutan kali ini, Beta dengan sukacita memasyhurkan, bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam adalah TOKOH JASAWAN NEGARA. Semoga Allah Subahanahu Wata’ala merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang saleh.

Untuk akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah, Beta mengucapakan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih di atas usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan. Semoga penganugerahan ini akan mencetuskan semangat motivasi dan sumber inspirasi kepada seluruh penjawat awam.

Demikian juga penghargaan kepada setiap penjawat awam yang masih berkhidmat dan yang telah bersara di atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada pembangunan negara, dan juga kepada semua Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

​​​​​​***

Sabda DPMM Di Majlis Perasmian UTB- Sains, Teknologi Dan Kejuruteraan (UTB-STE Connect 2023)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI, PRO-CANSELOR UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB).

 
DI MAJLIS PERASMIAN UTB- SAINS, TEKNOLOGI DAN KEJURUTERAAN (UTB-STE CONNECT 2023)

 

BERTEMPAT

DEWAN PERSIDANGAN, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

 

PADA

HARI SELASA, 24HB OKTOBER 2023

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Universiti Teknologi Brunei (UTB) kerana menjemput saya untuk merasmikan Kongres UTB – Science, Technology and Engineering Connect (UTB – STE Connect 2023) Ke-1 dengan tema ‘Penyelidikan dan Aplikasi untuk Dunia yang Lebih Baik’.

Saya amat berbesar hati kerana kongres menghimpunkan beberapa persidangan dalam satu platform dan menerima sokongan yang amat menggalakkan, daripada perwakilan dalam dan luar Negara Brunei Darussalam.

15 tahun sejak penubuhannya sebagai universiti sepenuhnya, UTB mencapai beberapa kejayaan penting. Ini termasuk mengembangkan daripada disiplin Kejuruteraan, Perniagaan dan Pengkomputeran pada tahun 2008, hingga kini merangkumi Sains Gunaan dan Matematik, Reka Bentuk dan Komunikasi.

UTB terus matang kerana ia bersiap sedia untuk melangkah ke Times Higher Education (THE) World University Rankings.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam Titah semasa Istiadat Konvoksyen UTB Ke-11 awal tahun ini, menggalakkan penggunaan amalan terbaik, termasuk meningkatkan penerbitan penyelidikan.

Titah Paduka Ayahanda juga menggariskan kepentingan memfailkan hak harta intelek ke arah pengkomersialan yang boleh menyokong dan memupuk ekosistem inovasi dan memupuk pertumbuhan ekonomi.

Sebagai sebuah universiti kejuruteraan dan teknologi, UTB, juga memainkan peranan dalam merealisasikan kedua-dua Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau SDG PBB.

Saya gembira kerana UTB mengorak langkah dalam memajukan penyelidikan dan mempromosikan inovasi melalui kerjasama dengan universiti terkenal dan pemain industri utama.

Anugerah Creative, Innovative, Products and Technological Advancement (CIPTA) Duli Pengiran Muda Mahkota, adalah satu lagi inisiatif untuk melengkapkan ekosistem inovasi untuk menggalakkan komuniti penyelidikan STEM yang lebih luas.

Saya berharap UTB terus membina pencapaian dan usahanya, khususnya dalam menyokong bidang keutamaan negara, termasuk keperluan pasaran pekerja tempatan. UTB – STE Connect 2023 menyediakan platform penting untuk wacana intelektual, berkongsi idea dan membincangkan kemungkinan penyelesaian kepada cabaran kontemporari masa kini.

Keluasan dan kerumitan cabaran ini, memerlukan pendekatan yang komprehensif dan antara disiplin, di mana kemajuan pesat dalam teknologi dan inovasi terus memberikan peluang yang unik. Justeru, saya dapati tema persidangan ini tepat pada masanya dan berkaitan. Kongres Bienniel menyediakan platform tersebut, dan saya berharap untuk melihat perkembangan kepakaran dan inovasi tempatan.

Dalam hal ini, saya menggalakkan penyelidik dan saintis serta kerajaan dan rakan kongsi industri, untuk memanfaatkan kekuatan dan sumber masing-masing untuk bekerjasama dan berganding bahu dalam menyokong memajukan bidang sains dan teknologi masing-masing. Lebih penting lagi, saya berharap usaha ini dapat diterjemahkan ke dalam penyelesaian dunia nyata dan praktikal yang boleh meningkatkan kehidupan dan menyokong pembangunan mampan.

Saya berharap agar usaha kerjasama ini akan terus maju dan berkembang meliputi semua bidang yang memberi manfaat bersama. Saya berharap semua peserta mendapat pengalaman yang bermanfaat dan memenuhi intelek di UTB – STE Connect 2023. Dan saya yakin bahawa hubungan profesional yang terjalin di sini akan berterusan pada masa hadapan. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, dengan sukacitanya saya merasmikan Kongres UTB – STE Connect 2023.​

Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

***

 

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Tahun 1445H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KETIGA BELAS

KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN

TAHUN 1445H/2023M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala,  kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir Ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan ketiga Belas pada pagi yang Mubarak ini.

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Ucapan penghargaan juga Beta tujukan kepada semua tenaga akademik yang telah memberikan bimbingan dengan penuh ikhlas dan dedikasi. Begitu juga kepada ahli keluarga di atas doa dan prihatin mereka, sehingga anak-anak berjaya.

Ilmu dan pengalaman yang diraih oleh para graduan adalah amanah untuk diamalkan dan dicurahkan kepada masyarakat.

Pendidikan bukanlah proses berkala, malah merupakan proses berterusan untuk sepanjang hayat.

Pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah malah berterusan sehingga ke rumah atau ke mana sahaja.

Pendidikan sebenar, sepatutnya berlaku di rumah atau dalam keluarga. Kerana masa anak-anak adalah lebih banyak di rumah berbanding di sekolah.

Kerana itu, institusi keluarga mempunyai peranan penting dalam menyambung pembelajaran anak-anak di sekolah.

Sekarang, kita mendapati masyarakat secara umum telah dilanda oleh pelbagai isu sosial, kesan daripada penyalahgunaan media sosial atau medsos.

Ini, jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan kepada mental, akhlak dan pembaziran. Begitu juga boleh menyuburkan angan-angan fantasi yang jauh dari realiti.

Maka dalam hubungan ini, institusi keluarga berkewajipan untuk mengambil tahu segala aktiviti yang tidak sihat anak-anak, di dalam dan di luar rumah.

Di sini, pihak-pihak berwajib yang menangani teknologi maklumat dan komunikasi adalah dikehendaki untuk menggandakan usaha memantau dan mengawal laman sesawang, aplikasi dan permainan video atau media sosial yang boleh menjejaskan akidah, akhlak, kesihatan dan disiplin.

Beta sukacita mengambil maklum KUBU SB sentiasa mengemaskan kurikulum pengajiannya, tanpa mengabaikan objektif utama melahirkan para graduan yang bertakwa.

Beta juga sukacita mengetahui bahawa KUPU SB sentiasa berusaha untuk memantapkan program-program ko-kurikulumnya. Dan yang terbaharu, KUPU SB dengan kerjasama Jabatan hal Ehwal Masjid telah mula mengaturkan pelajar-pelajarnya untuk menyertai program Kepimpinan dan Pengimarahan Masjid di masjid-masjid yang bersesuaian.

Sehubungan itu, tentu pihak KUPU SB juga boleh memainkan peranan membimbing, bagaimana untuk memberikan kefahaman yang betul kepada generasi muda mengenai penggunaan media sosial dan sekali gus mengenai pengurusan masjid bagi para pegawai, imam, bilal, pelapis imam dan ahli jawatankuasa ta’mir masjid.

Pada hemat Beta, KUPU SB juga mempunyai potensi dalam melahirkan para guru yang bukan saja mendidik dalam Pengajian Islam, bahkan subjek-subjek umum yang lain juga. Dalam Majlis Konvokesyen Kesebelas 2021 yang lepas, Beta telah memperkenankan penubuhan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan khusus kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Rais, pegawai-pegawai utama dan ahli-ahli akademik serta kakitangan sekalian di atas khidmat yang telah mereka sumbangkan kepada Allah jua.

Marilah kita terus berdoa, semoga KUPU SB sentiasa berada di landasan yang betul kerana Allah Subhanahu Wata’ala.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Bagi Tahun 1445H / 2023M

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD

SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

BAGI TAHUN 1445H / 2023M

 ​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat lagi menyambut dan memperingati Maulud Nabi, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini.

Sudah menjadi tradisi kita, bulan Rabi’ulawal dimeriahkan dengan selawat dan puji-pujian kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam majlis-majlis keugamaan, seperti di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat. Semuanya itu tidak lain dari menzahirkan kecintaan kita kepada Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Namun ungkapan cinta sahaja tidak cukup tanpa diiringi dengan perbuatan mentaati suruhan dan meninggalkan larangan.

Apabila kita mengikut perintah Rasul, tandanya kita mengasihi Baginda, sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 31, tafsirnya:

“Katakan (Wahai Muhammad!): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Meskipun Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sudah tiada, namun Baginda meninggalkan pesanan-pesanan untuk dihayati dan ditaati. Jika semua ini dilakukan, pasti akan mengundang keberkahan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan juga untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Bercakap mengenai keluarga, bermakna kita merujuk kepada satu kelompok penting dalam masyarakat. Sesungguhnya keluarga bahagia menjadi asas dan matlamat pembangunan negara. Manakala keluarga bahagia, itulah jaminan untuk mendapatkan warisan insan yang berkualiti lagi beriman.

Kerana itu, memastikan setiap institusi keluarga berkeadaan sempurna lagi bahagia adalah tanggungjawab semua. Walaupun ramai yang berpuas hati menganggap keluarga masing-masing adalah baik-baik sahaja, namun kita juga masih patut bimbang kerana masih banyak berlaku permasalahan rumahtangga di dalam masyarakat kita di negara ini.

Beta difahamkan, statistik jumlah aduan rumahtangga secara keseluruhan yang dilaporkan ke Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syar’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, bagi tiga tahun kebelakangan ini (antara tahun 2020 hingga 2022) adalah berjumlah 1,952 kes. Manakala jumlah aduan yang diterima antara bulan Januari hingga bulan Jun tahun ini sahaja berjumlah 384 kes.

Pada hemat beta, jumlah kes aduan yang semakin meningkat ini, tidak boleh dipandang ringan, melainkan memerlukan usaha mengatasinya. Maka ke arah itu Beta mengambil maklum, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi menangani perkara ini dengan mengadakan perkhidmatan Kursus Pra-Nikah bagi pasangan yang akan bernikah, Seminar Kekeluargaan dan Kursus Pasca Perkahwinan bagi pasangan yang sudah bernikah yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan. Bukan itu sahaja, Beta juga difahamkan, bermula tahun 2014, taklimat berkaitan kekeluargaan, sudah dilaksanakan kepada institusi-institusi pengajian kerajaan dan swasta. Namun, sehingga kini aduan isu permasalahan rumahtangga masih saja terus meningkat pada setiap tahun.

Beta berpandangan, pihak-pihak yang berkenaan perlulah lebih proaktif mengambil inisiatif menangani isu-isu permasalahan rumahtangga, dengan menanam  kesedaran awal akan akibat yang sangat buruk jika ianya tidak ditangani segera. Ia boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian keluarga, malah juga boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Para ibu bapa mesti terus memainkan peranan mengasuh dan mendidik anak-anak, termasuk ke atas mereka yang akan dan sudah mendirikan rumahtangga, masih sahaja perlu ditegur atau diingatkan bagaimana menjaga atau memelihara keutuhan keluarga yang dibina. Kerana nasihat atau peringatan daripada ibu bapa itu adalah sangat besar pengaruhnya, di samping mempunyai keberkatan tersendiri.

Oleh itu, bersempena memperingati Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ini, marilah kita sama-sama berazam untuk menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati, mengikut calak keluarga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Semoga dengan azam ini, Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmatNya kepada semua keluarga, dari kalangan warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 Tahun 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-33 TAHUN 2023

 

PADA HARI SABTU:

7 RABIULAWAL 1445H / 23 SEPTEMBER 2023M

 

TEMPAT:

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bagi meraikan dan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 pada tahun ini.

Sambutan Hari Guru kali ini bertema: “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan”. Tema ini merujuk kepada peranan para guru selaku pengemudi dan pencetus kemajuan di masa hadapan. Kemajuan yang dimaksudkan lebih tertumpu kepada melahirkan insan-insan yang berilmu dan berkemahiran.

Untuk melahirkan insan-insan yang berkualiti ini, tentu sahaja memerlukan para guru yang berkalibar dan inovasi. Oleh itu Beta penuh berharap, supaya Kementerian Pendidikan dan Kementerian hal Ehwal Ugama dapat terus menumpukan usaha bagi meningkatkan kualiti para guru melalui sokongan dasar dan program-program pembangunan kapasiti.

Ke arah ini, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sama-sama memperkemaskan lagi dasar pendidikan negara. Maka sehubungan itu, Beta sukacita memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta Pendidikan  Wajib Penggal 211, yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah di negara ini iaitu dari enam (6) tahun kepada lima (5) tahun, untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan aspek utama dalam membina asas keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak.

Menyentuh pula mengenai kepentingan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik yakni STEAM, yang pernah Beta timbulkan sebelum ini, adalah tidak dapat disangkal lagi, bahawa kemahiran STEAM dapat meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif para pelajar, serta sekaligus dapat mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia yang semakin kompleks.

Beta gembira mengetahui bahawa penekanan kemahiran STEAM bukan sahaja dilaksanakan dalam kurikulum biasa, malahan juga diintegrasikan dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum sekolah.

Bagi mengukuhkan lagi kemahiran ini, maka Beta juga telah memperkenankan bagi mata pelajaran Teknologi, Kejuruteraan dan Seni dalam komponen STEAM dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran pilihan teras. Ini diharapkan akan dapat mendokong sistem pendidikan yang berkualiti tinggi selaras dengan keperluan mengikut perubahan dan perkembangan semasa.

Dari aspek inclusivity dan equality pendidikan, alhamdulillah Beta menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan dalam memeduli kesejahteraan dan pendidikan pelajar-pelajar berkeperluan khas. Dalam hal ini, Beta mengambil maklum mengenai penubuhan Sekolah Khas pertama di negara ini. Penubuhan ini tidak syak lagi telah berjaya melakar satu lagi pencapaian dan sistem pendidikan negara, dan diharapkan ianya menjadi pemangkin kepada masyarakat secara umum untuk sama-sama memeduli kesejahteraan pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Dengan perubahan dasar-dasar dan ekspektasi yang semakin besar terhadap tenaga pengajar, maka Beta berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak berkenaan meneliti dan memperkemaskan Skim Perkhidmatan Perguruan (SPG). Selain menambahbaik skop dan aliran kerja dalam pemilihan dan pengambilan guru, perlu juga pihak Kementerian mengkaji dan mengiktiraf tugas-tugas tambahan yang dipikul oleh para guru sebagai sebahagian komponen penting dalam proses penilaian. Selain dari memastikan kesejahteraan para guru, proses penelitian juga perlu mengekalkan kualiti guru-guru berkenaan.

Kita sama-sama berharap, bahawa apa jua perancangan berkaitan pendidikan, akan membawa lebih dekat kepada sasaran matlamat Wawasan Brunei 2035. Dalam hal ini, Beta turut melihat peranan penting institusi pendidikan teknikal dan vokasional dan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan tenaga manusia atau modal insan dengan memupuk dan mengembangkan kemahiran, kecenderungan, sikap, moral, nilai dan kreatif, ke arah melahirkan rakyat yang berdikari dan berguna.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini. Semoga segala usaha para guru dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

***