Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-32
 
PADA HARI SELASA
1 RABIULAWAL 1444 / 27 SEPTEMBER 2022
 
TEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadhir di Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32 pada pagi ini. Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di Negara Brunei Darussalam.

Tema Hari Guru pada tahun ini berbunyi: “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan”. Pada hemat Beta, tema ini sangatlah relevan terutama sekali dengan keadaan global yang mengalami perubahan ketara, khusus akibat penularan COVID-19. Dunia telah mengharungi suasana amat mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran yang belum pernah dialami sebelumnya. Semua ini memberikan impak signifikan kepada sistem pendidikan, termasuk kepada para guru di seluruh dunia.

Dalam hubungan ini, kita wajar bersyukur, kerana pendidikan di negara ini, masih dapat diteruskan, walaupun adanya kekangan dan rintangan. Semua ini mampu dilaksanakan dengan adanya para guru yang bersemangat kental. Beta sukacita mengucapkan terima kasih kepada mereka itu.

Brunei Darussalam, turut mengambil maklum bahawa World Bank telah menganggarkan hampir 1.6 billion kanak-kanak di seluruh dunia telah terkesan dengan penutupan sekolah, semasa beberapa gelombang pandemik melanda dunia selama lebih dua tahun yang lalu. Pada gelombang pertama, purata kehilangan pembelajaran para pelajar adalah selama lebih setengah tahun bagi tempoh penutupan sekolah selama 15 minggu. Sekiranya tiada sebarang intervensi dilaksanakan, maka kehilangan pembelajaran sudah tentu boleh membawa kesan negatif jangka panjang terhadap produktiviti dan kesejahteraan para pelajar.

Beta berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus menggembling tenaga ke arah mengurangkan learning loss atau kehilangan pembelajaran, dengan melaksanakan program pemulihan yang bersesuaian.

Beta juga berharap agar kedua-dua Kementerian akan dapat meneliti kesan dan impak educational inequality ataupun ketidaksamaan pendidikan serta kaitannya dengan learning loss di kalangan kanak-kanak.

Beta yakin pengalaman semasa pandemik ini telah memaksa kita untuk melihat cara pengajaran norma baharu dan penggunaan teknologi. Secara tidak langsung, pengalaman ini juga membuka peluang inovasi dalam pendidikan, baik dari segi kurikulum, pedagogi pengajaran, teknologi pendidikan, penilaian, peperiksaan dan persekitaran sekolah.

Apabila sekolah kini telah dibuka sepenuhnya, maka kedapatan beberapa kaedah baru sebagai berkesan untuk diteruskan. Perlu diingat, adalah tidak mustahil krisis seumpama pandemik akan terjadi lagi dimasa akan datang. Oleh itu, mustahak bagi kita untuk sentiasa bersedia dengan membina sistem yang lebih berdaya tahan bagi menangani apa jua krisis yang melanda.

Bagi Kementerian Pendidikan adalah perlu fokus kepada menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua pelajar, dari peringkat awal pendidikan sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Para guru pula perlu diberikan dorongan padu oleh pihak Kementerian dengan memastikan professional development mereka terus diberikan perhatian.

Kesejahteraan para guru mesti diambil berat. Beta berharap dengan tertubuhnya Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar di Kementerian Pendidikan pada tahun 2021, isu kesihatan dikalangan tenaga pengajar akan dapat diberikan perhatian sewajarnya, dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan.

Kepada para guru, Beta menyeru supaya mereka sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat. Beta menganggap, para guru adalah pelopor budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Beta mengambil maklum bahawa beberapa inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan untuk memacu transformasi pendidikan di negara ini. Antara inisiatif tersebut ialah, penaiktarafan infrastruktur rangkaian info-teknologi sekolah-sekolah, pembekalan alat peranti dan data internet kepada semua para guru dan pelajar yang memerlukan. Semua ini adalah bertujuan untuk mendokong pembelajaran menggunakan teknologi, selaras dengan Pelan Transformasi Digital, Kementerian Pendidikan.

Di peringkat pendidikan teknikal dan pengajian tinggi, kita alhamdulillah telahpun mendapat pengiktirafan dan ranking peringkat dunia, yang ditafsir sebagai hasil pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan kita yang berkualiti. Beta berharap usaha akan terus dibuat untuk melahirkan rakyat yang future-proof. Sebagai way forward, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan merangka dasar dan pelan strategik bagi tujuan mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru, dan kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat dan motivasi bagi seluruh warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah Perutusan Khas KDYMM mengenai Rombakan dan Pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri Yang Baharu

TITAH PERUTUSAN KHAS

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

MENGENAI ROMBAKAN DAN PELANTIKAN
MENTERI-MENTERI KABINET
DAN TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI
YANG BAHARU

 

PADA:
HARI SELASA,
7 ZULKAEDAH 1443 BERSAMAAN 7 JUN 2022

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta merujuk Titah Beta semasa Rombakan dan Pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu pada hari Selasa 13hb Jamadil Awal 1439 Hijrah bersamaan dengan 30hb Januari 2018 Masihi. Pada masa pelantikan-pelantikan berkenaan telah berkuat kuasa mulai hari Selasa, 30hb Januari 2018 bagi tempoh selama 5 tahun.

Maka dengan ini Beta sendiri berpendapat telah tiba masanya untuk menukar dan melantik beberapa orang Menteri kabinet dan Timbalan Menteri yang baharu termasuk mengekalkan beberapa orang Menteri kabinet dan Timbalan Menteri iaitu untuk mengukuhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan Beta dalam meningkatkan keberkesanan fungsi kementerian yang berkenaan.

Oleh itu, dengan bertawakal kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, Beta telah membuat keputusan, dan dengan ini mengisytiharkan Pelantikan dan Pertukaran beberapa orang Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri. Pertukaran-Pertukaran dan Lantikan-Lantikan yang Beta maksudkan adalah seperti berikut;

Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yusof sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri untuk menggantikan Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk menggantikan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Doktor Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Dato Seri Paduka Doktor Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin sebagai Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk menggantikan Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid sebagai Menteri Pembangunan untuk menggantikan Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Datin Seri Paduka Doktor Dayang Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh sebagai Menteri Pendidikan untuk menggantikan Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Sulaiman.

Pengiran Haji Shamhary bin Pengiran Dato Haji Mustapha sebagai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi untuk menggantikan Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menggantikan Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama untuk menggantikan Pengiran Dato Seri Paduka Awang Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Dato Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi.
Pengiran Hajah Zety Sufinah binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi.

Bagi jawatan Timbalan Menteri Pembangunan adalah dengan ini belum lagi diperlukan. Pelantikan dan pertukaran ini adalah berkuat kuasa pada hari ini, Selasa, 7hb Jun 2022 Masihi bagi tempoh selama 4 tahun.

Manakala Beta sendiri masih menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Ekonomi, dan juga Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah masih dikekalkan sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim masih dikekalkan sebagai Penasihat Khas Beta dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman masih dikekalkan sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.

Dato Seri Setia Doktor Awang Haji Mohd Isham bin Jaafar masih dikekalkan sebagai Menteri Kesihatan.

Dato Seri Setia Doktor Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah masih dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof masih dikekalkan sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II.

Dan, Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw masih dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Jabatan Tenaga, di Jabatan Perdana Menteri.

Perlu Beta ingatkan sekali lagi, bahawa lantikan-lantikan ini adalah amanah. Amanah mestilah ditanai dengan penuh setia dan sikap bertanggungjawab. Tidak siapa pun boleh mengabaikan amanah. Kerana amanah itu adalah ia ibarat perjanjian suci kita dengan Allah Subhanahu Wataala.

Untuk akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik diatas khidmat dan jasa mereka yang disumbangkan selama ini. Semoga Allah jua yang akan membalas dengan ganjaran pahala serta kebahagiaan yang berterusan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-61 Tahun 2022

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-61 TAHUN 2022
 
HARI KHAMIS,
26HB MEI 2022
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulilah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dapat hadir bersama-sama pada pagi ini bagi meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke-61. Beta sangat berbangga dan gembira menyaksikan mutu kawad yang ditunjukkan oleh para peserta perbarisan yang sekaligus melambangkan tahap profesionalisme dan semangat kepahlawanan yang tinggi.

Beta juga telah dan sedang mengikuti perkembangan ABDB sepanjang penubuhannya lebih enam dekad yang lalu, baik dari sudut keupayaan anggota mahupun aset dan kelengkapan yang membolehkannya kekal sebagai institusi pertahanan yang teguh termasuk usaha pemodenannya yang berterusan.

Beta sedia mengambil maklum bahawa ABDB juga sedang merangka perancangan strategiknya berdasarkan ”Defence White Paper 2021” yang digabungkan dengan Force 2035 dan Force Structure Review yang masih dikemaskini sebagai panduan dan hala tuju seiring dengan konsep TEPIDOIL iaitu Training, Equipment, People, Information, Doctrine Organization, Structure dan Logistic yang bersesuaian bagi memastikan insiatif inisiatif yang dikenalpasti dapat dicapai dengan baik.

Dalam perkara permodenan ini beta pada hemat beta, perancangan yang titih dan kemas sangatlah diperlukan untuk mengatasi sebarang kekurangan atau untuk menutupi jurang jurang kepincangan yang ada. Inilah sasaran utama masa depan untuk dipenuhi. Dalam merangka perancangan ABDB juga adalah perlu untuk mempunyai Defence Posture yang jelas sesuai dengan keupayaan dan kapasiti ABDB sambil memperkasa pendekatan Whole Of Nation dalam Context Holistic Defence. Dalam erti kata lain, ABDB perlu terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan dalam sama sama mempertahankan kedaulatan negara, khasnya sempadan daratan, kawasan maritim dan ruang udara.

Melihat kepada peranan ABDB dan persediaan untuk mencapai Gagasan Angkatan 2035 nanti, maka mengambil sukut baik Hari Ulang Tahun ABDB Yang Ke-61 ini beta dengan sukacita mentauliahkan Squadron 39 Unmanned Aerial System UAS bagi Tentera Udara Diraja Brunei dan memperkenankan Penubuhan Squadron Bot Tempur dan Trup Risik bagi Tentera Darat Diraja Brunei dan sehubungan dengannya, beta juga sukacita memperkenankan Jawatan Pemerintah Medan Tentera Darat Diraja Brunei dan seterusnya menaiktaraf Jawatan Ketua Staf Tentera Laut Diraja Brunei, Ketua Staf Tentera Udara Diraja Brunei ke pangkat Kolonel iaitu sebanding dengan Unit Tentera Darat Diraja Brunei dan Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ketika ini.

Selain daripada memperkasa kekuatan fizikal, beta ingin mengulangi lagi peringatan akan pentingnya pembinaan kekuatan spritual dan sehubungan itu, beta gembira dengan penerbitan Mushaf Al-Quran Sempena Sambutan Jubli Intan ABDB baru-baru ini. Beta yakin, dengan niat ikhlas mengagungkan Kitab suci Al-Quran, semua anggota ABDB yang berugama Islam akan beroleh berkat celik Al-Quran dengan suka belajar dan menjadikan membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian. Bagi kita orang Islam, mendekatkan diri kepada Allah melalui pembacaan Al-Quran adalah satu kekuatan berdasarkan Al-Quran itu adalah mukjizat teragung yang tidak boleh ditundukkan oleh apa pun.

Lalu sesuai dengan tujuan untuk memperkasa sekuriti maka untuk membaca Al-Quran wajarlah dilazimi bagi meraih keberkatan berupa kekuatan dan keselamatan disamping jangan pula leka atau lalai dari menangani sebarang kepincangan yang boleh melemahkan kredibiliti ABDB.

Tidak kurang pentingnya juga, untuk diteruskan ialah komitmen, komitmen negara kepada keselamatan serantau dan antarabangsa, penglibatan ABDB dalam misi pengaman dan pemantau melalui International Monitoring Team sejak 2004, United Nation Interim Force in Lebanon sejak tahun 2008, Information Fusion Centre (IFC) sejak tahun 2013 dan International Decomissioning Body (IDB) sejak tahun 2019 di Republik Filipina serta penugasan di dalam Counter-Terrorism Information Facility (CTIF) sejak tahun 2020 di Republik Singapura telah menaikkan profesionalisme anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan sekaligus mengharumkan nama negara. Beta yakin dengan wujudnya rantau yang selamat maka negara kita juga pasti selamat dimana dengan itu rancangan rancangan pembangunan dan kemajuan negara akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Akhirnya, beta ingin mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Ke-61 dan tahniah kepada yang menyertai perbarisan pada pagi ini, tidak terkecuali seluruh warga ABDB yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-61 ini, setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Anggota ABDB yang telah bersara diatas kesetiaan dan kesediaan mereka menyumbangkan bakti bagi keselamatan dan keamanan negara, kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah kita sama-sama mendoakan semoga roh-roh mereka ditempatkan bersama sama dengan para syuhadah.

Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Sabda DPMM Sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1443 Hijrah Bersamaan 2022 Masihi

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN

 

                   BERTEMPAT                     

DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

PADA

1443 HIJRAH / 2022 MASIHI

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat berhimpun di Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada malam ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan keberkatan di atas kehadiran kita semua di Majlis berkebajikan ini yang juga merupakan syiar dan dorongan kea rah bersama-sama meraih manfaat dan syafaat yang dibaca para qari dan qari’ah serta menghayati maknanya.

Alhamdulillah, dalam usia musabaqah kebangsaan mencapai 63 tahun, sudah setentunya ramai qari dan qari’ah tempatan yang telah dilahirkan di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dalam mana nama negara juga telah mendapat tempat di persada bidang Tarannum Al-Qur’an.

Tarannum sebagai salah satu bidang kemahiran yang sudah matang serta pesat berkembang di seluruh jagat dengan generasi demi generasi bersilih melangkah aktif ke hadapan untuk terus mendalaminya menerusi berbagai variasi penyampaian dan kemahiran. Laluan bagi meningkatkan kemahirannya akan semakin mencabar ke arah memelihara serta mengekalkan keaslian dan hukum-hakamnya.

Di samping usaha berterusan pihak kerajaan dalam memperkasa kemahiran dalam bidang Tarannum Al-Qur’an, qari dan qari’ah muda juga seharusnya berusaha mempertingkatkan kemahiran dengan rajin berguru. Manakala tenaga pengajar pula hendaklah terus berusaha membekalkan kemahiran dengan mendalami kaedah-kaedah tarannum yang sentiasa dikemas kini seiring dengan keperluan untuk melahirkan generasi qari dan qari’ah yang berpotensi dan berkaliber.

Mengambil sukut tema Musabaqah, iaitu “Bertemankan Al-Qur’an Sepanjang Zaman”, menanamkan minat serta melestarikan budaya yang mencintai seni pembacaan Al-Qur’an secara bertarannum amatlah bersesuaian untuk diserapkan seawal usia khususnya di kalangan pelajar dan belia. Keberhasilannya adalah sebagai wadah untuk mengukuhkan pembangunan generasi yang menjadikan kitab suci Al-Qur’an sebagai teman sejati duniawi dan ukhrawi.

Al-Qur’an diturunkan sebagai penasihat, penawar dan petunjuk hidayah bagi seluruh umat manusia seperti mafhum Surah Yunus, ayat 57:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

Kecanggihan Teknologi dan kepesatan prasarana semata-mata bukan sekadar pengukur kemodenan dan tahap kemajuan sesebuah negara khasnya dalam kepesatan era globalisasi masa kini. Sebaliknya, acuan kemajuan perlu seiring dengan pembangunan insan yang sentiasa taat dan patuh menghayati nilai agama. Kemajuan tanpa akhlak akan akhirnya membawa kepincangan. Sejarah kegemilangan tamadun Islam adalah terbina atas keutuhan nilai akhlak dan iman yang ditunjangi dengan sempurna sebagaimana acuan keperibadian serta kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda pada Sambutan Awal Tahun Hijrah 1444 baru-baru ini menyeru kita untuk bersama-sama mengotakan azam menjadikan “niat baik kerana Allah” sebagai pasak dalam semua tindak-tanduk dan amal salih kita yang semata-mata untuk kebaikan semua:

“Kalau kita membangun, membangun itu kita niatkan kerana Allah untuk kesejahteraan rakyat. Kalau kita menjana ekonomi, menjana ekonomi itu kita niatkan kerana Allah untuk kemakmuran negara. Kalau kita menjalankan undang-undang, menjalankan undang-undang itu kita niatkan kerana Allah untuk menegakkan keadilan. Kalau kita memperkasa pertahanan, memperkasa pertahanan itu niatkan kerana Allah untuk keselamatan. Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita yang demikian itu, semua pekerjaan atau usaha kita yang berkebajikan akan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Al-Qur’an adalah mukjizat agung dalam merawat kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup sebagai utap kepada ummah dalam mendepani berbagai cabaran sepanjang zaman. Justeru, amalan dan budaya memartabatkan Al-Qur’an dengan niat baik adalah tuntutan untuk meraih berkah dan rahmah Allah Azza Wa Jalla. Semakin kerap kita berinteraksi dengan Al-Qur’an maka semakin berkah waktu yang kita miliki.

Dengan demikian, peri mustahaknya penghayatan nilai Al-Qur’an untuk diterjemahkan menerusi pengisian rutin kehidupan dalam mana rumah adalah institusi tarbiah terawal dalam membentuk sahsiah dan mendidik generasi Al-Qur’an. Golongan pelajar dan belia adalah tunas bangsa yang akan seterusnya mengambil peranan yang lebih besar sebagai aset dan peneraju pembangunan negara serta pewaris bangsa yang akan terus menegakkan syiar Islam di bumi Darussalam yang kita cintai.

Pada hemat Saya, di sinilah keperluannya bagi pihak yang berkenaan untuk memanfaatkan berbagai perkembangan berkaitan yang menjurus kepada meningkatkan minat serta memperluas akses kepada masyarakat untuk mengikuti program pengajian tertentu yang bersinambung dengan usaha untuk memartabat Al-Qur’an dan syiar di negara ini.

Dalam hubungan itu, adalah bersesuaian bagi pihak yang berkepentingan untuk seterusnya meraih manfaat kecanggihan platform infokomunikasi khasnya di dalam bidang pembelajaran online sebagai peluang tambahan mendekatkan masyarakat untuk mendalami nilai-nilai akhlak yang tersirat menerusi program-program tarbiah dan pengajian Al-Qur’an termasuk As-Sunnah ke arah melahirkan generasi Al-Qur’an yang menghayati sepenuhnya nilai-nilai murni Islam.

Akhirnya, dengan melafazkan kalimah berkat ‘Bismillah Hir Rahman Nir Rahim’, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1443 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
 

***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1443H/2022M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1443H/2022M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat pula memasuki gerbang Syawal untuk menyambut ‘Idil Fitri yang mulia. 1 Syawal adalah detik istimewa bagi kita umat Islam dimana saja berada. Ia merupakan detik yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua.

Kita orang-orang Islam berhari raya, bukanlah saja-saja seperti bersukaria biasa, tetapi sukaria kita adalah disandarkan kepada kejayaan kita menyempurnakan ibadat puasa. Kerana itu, cara kita menyambutnya, kita dahulukan dengan takbir dan tahmid serta Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri, sebagai tanda kita bersyukur.

Bersyukur dengan memuji dan membesarkan Allah Subhanahu Wata’ala adalah budaya kita orang-orang Brunei. Budaya ini mesti dikekalkan dan bahkan mustahak untuk dihayati oleh segenap lapisan.

Dalam susah dan senang kita, kita tidak mahu berenggang dengan Allah, tetapi mahu, untuk selama-lamanya bersama dengan Allah. Jika kita mengadu, kita mengadu kepada Allah, dan jika kita memohon, hanya memohon kepada Allah jua.

Inilah pegangan kita orang-orang Brunei. Pegangan ini, hendaknya akan terus berkekalan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sudah masuk tiga tahun kita menghadapi wabak koronavirus, namun di sepanjang masa tersebut, kita tetap sahaja tidak berganjak dari terus mendekati Allah.

Pada 19 April, 2022 yang baru lalu, kita umat di negara ini, telah menghampirkan diri kepada Allah melalui munajat “Berselawat Senegara” di masjid-masjid, iaitu satu-satunya pendekatan unik lagi luar biasa yang julung-julung kali pernah diadakan di Negara Brunei Darussalam.

Beta sangat teruja untuk merakamkan penghargaan, khasnya mereka yang mengambil bahagian, bahkan kepada semua yang berkenaan, tidak terkecuali juga seluruh warga negara yang sama-sama turut mengumandangkan selawat tersebut, di masjid mahupun tempat-tempat kediaman sendiri.

Kita semua berharap, semoga dengan berkat selawat itu, semua hajat kita yang baik akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Kita penuh yakin, janji Allah terhadap orang-orang yang berselawat pasti akan dipenuhi, berdasarkan, Allah Subhanahu Wata’ala sama sekali tidak memungkiri janji-Nya.

Namun jangan pula kita lupa, bahawa rahmat Allah itu hanya akan datang apabila persyaratan dapat kita penuhi. Apakah persyaratan itu? Jawabnya ialah firman Allah dalam Surah Al-A’raf Ayat 96, tafsirnya:

“Sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami bukakan kepada mereka pintu berkat (rezki dan rahmat) yang melimpah-limpah dari langit dan bumi…”.

Inilah persyaratan itu, iaitu ada ‘dua’: Iman dan takwa. Semoga kita di negara ini dapat memenuhi persyaratan tersebut.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta dengan hati yang tulus jernih sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri Al-Mubarak  kepada semua lapisan rakyat dan penduduk dimana sahaja mereka berada, semoga kita semua sama-sama berada dalam sejahtera, sihat ‘afiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***