Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN
1440 HIJRIAH / 2019 MASIHI

BERTEMPAT DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS
17 RAMADHAN 1440 / 22 MEI 2019

Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulilah, syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua dapatlah kita hadhir di majlis memperingati Peristiwa Nuzul Al-Qur’an yang penuh berkat ini.
Peristiwa Nuzul Al-Qur’an berlaku pada malam 17 Ramadhan di Gua Hira’. Dan peristiwa inilah yang kita sambut, malah oleh seluruh umat Islam di serata dunia.

Al-Qur’an adalah sumber hidayah untuk kita memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apa jua yang terkandung dalam Al-Qur’an, adalah ia petunjuk ketuhanan untuk dipakai. Barang siapa yang mengikut atau memakainya, itulah orang-orang yang berjaya.

Pada awal surah Al-Baqarah, Al-Qur’an disifatkan sebagai kitab daripada Allah yang tidak terdapat padanya sebarang keraguan, dan menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Barangsiapa yang benar-benar beriman dengan Al-Qur’an, Allah menjamin, mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Begitulah hakikat Al-Qur’an, semakin ia dibaca, semakin banyak hikmah atau pengajaran yang diperolehi. Semua kita maklum, ayat pertama yang diturunkan adalah mengenai pembelajaran dan pembacaan Al-Qur’an itu, iaitu satu isyarat bahawa Al-Qur’an adalah sumber segala ilmu pengetahuan.

Kita tidak akan sesat selagi mana berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kerana Al-Qur’an adalah mukjizat agung yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk menjadi pemandu jalan, khasnya di zaman mutakhir yang penuh liku dan cabaran ini.

Diantara cabaran yang membebani kita, terdapat satu trend, orang suka bercakap atau berteori perkara-perkara yang bertentangan dengan Al-Qur’an atau Al-Hadits.

Mengenai mimpikan Nabi atau berjumpa dengan Nabi dalam mimpi adalah perkara benar, kerana syaitan tidak dapat menyerupai Nabi. Namun para ulama ada yang melarang atau tidak menggalakkan untuk menceritakan mimpi itu kepada umum. Kerana mimpikan Nabi adalah perkara besar dan sulit, tidak wajar ia untuk dijaja.

Di samping itu, perlu juga dinilai siapa yang bermimpi, apa latar belakangnya dan apa isi mimpinya itu. Kerana cerita boleh saja direka-reka, seperti Nabi berkirim salam kepada ramai orang, yang memberi gambaran betapa hebatnya ingatan orang yang bermimpi, sehingga mampu mengingat satu persatu nama-nama yang diminta untuk disampaikan salam itu.

Juga turut mustahak diperhatikan ialah isi mimpi, jika ianya bercanggah dengan Al-Qur’an atau Al-Hadits, seperti baru-baru ini ada orang yang membawa cerita mimpikan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, konon-kononnya Baginda itu memberitahu, bahawa yang mula-mula sekali masuk Syurga ialah umat Baginda. Kemudian baru Baginda sendiri.

Sedangkan menurut hadits sendiri, tiada siapapun yang mula-mula dibukakan pintu Syurga, melainkan hanya Nabi, dalam makna, Bagindalah orang pertama yang mula-mula sekali memasuki Syurga, sebelum lagi orang lain.

Tetapi walaupun kedudukan hadits ini sudah dijelaskan, namun masih ada juga pihak yang terus berdegil untuk membenarkan mimpi tersebut. Inilah yang Beta maksudkan sebagai cabaran yang membebani itu.

Sebagai langkah mengatasi perkara seumpama ini, Beta meminta kepada pihak berkenaan yang menjalankan kuasa dibawah akta Permohonan Tauliah Kebenaran Mengajar  Al-Qur’an / Ugama / Berceramah Ugama, Majlis Ugama Islam Brunei, supaya berhati-hati dalam memberikan sebarang kebenaran.

Sepatutnya, kalau benar seseorang itu memiliki ilmu ugama yang mantap, maka sudah barang tentu dia akan lebih sensitif dengan amaran Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Barangsiapa yang senghaja berdusta atas nama Baginda, maka siaplah tempatnya di dalam Neraka” (Hadits riwayat Al-Bukhari).

Inilah makanya Beta mahu, supaya Pelajaran Ugama dan Al-Qur’an itu dikuatkan disemua sekolah, bukan sahaja di Sekolah-Sekolah Ugama dan Arab, malah juga di Sekolah-Sekolah Menengah, di bawah Kementerian Pendidikan dan juga Swasta.

Beta sangat berhasrat, rakyat di negara ini mendapat pendidikan ugama yang betul, yang tidak menyimpang daripada Al-Qur’an dan Al-Hadits, supaya negara benar-benar beroleh keberkatan dan rahmat daripada Allah.

Beta yakin, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan telahpun melangkah ke arah merancang satu kurikulum pengajaran Al-Qur’an dan Ugama di Sekolah-Sekolah Menengah dan juga Swasta, di mana salah satu yang turut menjadi keutamaan ialah pelajaran ‘Sejarah Islam’.

Adapun skop pelajaran Sejarah Islam itu amatlah luas, meliputi Al-Qur’an dan Al-Hadits. Bukankah apa-apa jua yang telah dikhabarkan berlaku dalam Al-Qur’an atau Al-Hadits itu sejarah?

Maka kerana itu, Beta, sangatlah berhajat untuk melihat perkara ini direalisasikan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena menyambut bulan Ramadhan 1440 Hijriah / 2019 Masihi

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN 
1440 HIJRIAH / 2019 MASIHI

BERTEMPAT DI ISTANA NURUL IMAN
30 SYA’BAN 1440 / 5 MEI 2019

Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulilah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmatNya mengekalkan negara kita dalam suasana aman lagi sejahtera.

Dalam suasana yang penuh rahmat ini, insya Allah kita akan memasuki bulan Ramadhan yang mulia.

Maka bersempena menjelangnya bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat, Beta ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa Ramadhan, iaitu salah satu rukun ugama Islam.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga kita dikurniakan nikmat kesihatan dan keselamatan, sehingga dengan itu dapatlah kita melakukan ibadat puasa Ramadhan dalam keadaan penuh ceria dan selesa. 

Mengenai dengan undang-undang negara, sebagaimana rakyat dan penduduk mengetahuinya, Negara Brunei Darussalam telahpun mula melaksanakan sepenuhnya Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 (SPCO) pada 3 April 2019. Ini adalah tanggungjawab keugamaan kita disisi Allah selaku sebuah negara Islam.

Undang-undang berkenaan adalah semata-mata bertujuan untuk memelihara Maqasid Syar’iah yang meliputi ugama, nyawa, keturunan, harta dan akal.

Beta adalah menyedari, terdapat bermacam-macam persoalan dan salah-tanggapan berikutan dengan perlaksanaan undang-undang berkenaan. Untuk itu, kita telah memberikan penjelasan mengenainya. Kita juga sedia menyedari, salah-tanggapan memang boleh saja menimbulkan pelbagai kegusaran. Namun kita juga yakin apabila salah-tanggapan itu bertukar jadi kefahaman yang betul maka apa yang mulanya dianggap buruk, baru akan nampak pula kebaikkannya.

Siapapun tidak perlu risau terhadap undang-undang jenayah Syariah, kerana ia adalah undang-undang yang penuh rahmat, yang datang daripada Pemilik dan Pengurnia rahmat. Adalah mustahil bagi Pemilik dan Pengurnia rahmat (Allah) menyuruh kita untuk memakai undang-undang bagi menzalimi manusia, sedangkan undang-undang yang disuruh itu adalah undang-undang-Nya sendiri. Kerana itu, sebagai misalan, selama lebih dua dekad, Negara kita masih mengamalkan de facto moratorium iaitu penangguhan perlaksanaan hukuman mati bagi kes-kes di bawah common law. Ini akan dilaratkan kepada kes-kes di bawah SPCO yang sememangnya menyediakan ruang lebih luas bagi pengampunan hukuman mati. 

Dalam menegakkan komitmen dan tanggungjawab antarabangsa terhadap hak asasi manusia, negara kita akan mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Tentang Penyiksaan (U.N.C.A.T). Kedua-dua undang-undang, yakni common law dan Syariah, adalah bertujuan untuk memastikan keamanan dan keharmonian negara dan moral serta kesopanan orang ramai akan selamanya terpelihara, di samping menghormati privasi setiap individu.

Maka demi niat suci melaksanakan undang-undang ini, semoga Allah akan memberkati kita dan negara di bawah payung Ramadhan yang Mubarak. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Isra’ dan Mi’raj Peringkat Negara Tahun 1440H / 2019M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ 
PERINGKAT NEGARA TAHUN 1440H/2019M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul pada pagi ini bagi memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj. 

Sudah menjadi tradisi kita meraikan peristiwa ini dengan mengadakan majlis-majlis bercorak keugamaan. Majlis-majlis ini membawa makna sangat besar sebagai syi’ar kesucian Islam. 

Melalui kerai’an ini, kita berpeluang menyelusuri dan menyingkap balik sejarah Isra’ dan Mi’raj itu. Ia adalah sejarah berharga, menjadi guru sepanjang zaman bagi orang-orang yang beriman. Daripadanya kita belajar pelbagai pelajaran, khasnya pelajaran yang paling asasi, iaitu tentang ibadat sembahyang. 

Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-‘Ankabut Ayat 45 memberitahu, bahawa ibadat sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Ayat ini memberi isyarat, betapa hebatnya peranan sembahyang itu. Ia adalah kubu dan perisai untuk menolak mungkar. 

Barangsiapa yang ingin selamat dan terhindar daripada mungkar, maka hendaklah dia sembahyang. Inilah satu jaminan daripada Allah. 

Jelas di sini, mendirikan ibadat sembahyang itu bukan sahaja untuk memperolehi pahala, malahan juga bagi mendapatkan keberkatan. Bukankah beroleh keselamatan dan terhindar daripada mungkar itu satu dari keberkatan?

Jadi semua kita yang bernama Muslim ini adalah disuruh untuk segera meraih keberkatan itu, iaitu, keberkatan di dunia dan juga Insya-Allah keberkatan di akhirat berupa syurga Allah Ta’ala. 

Menyentuh mengenai keberkatan ini, Beta ingin melihat syi’ar Islam di negara ini bertambah teguh dan menyerlah. Di antara syi’ar Islam yang perlu menonjol ialah seruan azan bagi menandakan masuknya waktu sembahyang. Maka alangkah indahnya, jika seruan ini dikumandangkan bukan hanya di masjid-masjid, di surau-surau dan di balai-balai ibadat, malahan juga, boleh turut didengar di tempat-tempat kunjungan orang awam, sebagai memberitahu waktu sembahyang telah masuk, dan sekali gus menandakan di tempat-tempat berkenaan itu ada didirikan sembahyang. 

Sebagai sebuah negara zikir, penyediaan kemudahan untuk sembahyang di tempat-tempat bekerja dan pusat-pusat tumpuan orang ramai adalah merupakan satu syi’ar yang sangat bermakna, yang wajar untuk diberikan perhatian. Kerana apabila ini ada, maka ibadat sembahyang dengan sendirinya akan terpelihara di kalangan orang-orang Islam, di mana saja mereka itu berada. Ini juga adalah satu cara untuk memenuhi tuntutan mendirikan sembahyang. 

Tidak diragukan lagi, ia turut menyangkut kewajipan pihak-pihak berkenaan dan malah kewajipan kita semua. Oleh itu, untuk ia menjadi kenyataan, maka pihak-pihak berkenaan itu perlulah mengambil inisiatif mengenainya. 

Beta ingin tegaskan, bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang molek, yang sentiasa mementingkan ibadat kepada Allah. Ia dipandu oleh sistem MIB yang telah pun berjalan sekian lama sejak ratusan tahun lagi. Sistem ini berkewajipan untuk memelihara dan menjamin semua hak rakyat dan penduduk tanpa mengira puak dan pegangan mereka. Inilah MIB, konsep keramat yang telah berjaya menjelmakan sebuah negara yang adil lagi bahagia, yang hidup didalamnya sebuah komuniti yang bersatu padu. 

Sistem MIB juga telah terbukti amat mesra kepada dunia, sehingga siapa saja yang datang berkunjung ke negara ini akan beroleh pengalaman manis, dapat menikmati suasana aman dan harmoni serta layanan yang sebaik-baiknya. 

Inilah hakikat Brunei, Negara MIB, dimana selain dari itu, ia bukanlah Brunei. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Majlis Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kepimpinan Islam) Sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UITM) KE-90

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA 
MAJLIS PENGANUGERAHAN IJAZAH DOKTOR KEHORMAT 
(KEPIMPINAN ISLAM) SEMPENA ISTIADAT KONVOKESYEN 
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM) KE-90

BERTEMPAT 
DI DEWAN AGUNG TUANKU CANSELOR (DATC), UITM, SHAH ALAM, 
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA.
16 REJAB 1440 / 23 MAC 2019

Paduka Adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Yang Di-Pertuan Agong,
As-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, 
Canselor Universiti Teknologi MARA.
Yang Berbahagia Pro-Canselor-Pro-Censelor,
Yang Berbahagia Naib Canselor,
Yang Berbahagia Pengerusi Lembaga Pengarah-Pengarah,
Para Pimpinan dan Pengurusan Eksekutif-Eksekutif Universiti,
Ahli-Ahli Akademik,
Hadirian dan hadirat yang Beta hormati sekalian.

Terlebih dahulu, Beta merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Paduka Adinda Canselor dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA yang telah menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada Beta.  Penganugerahan ini sudah setentunya menjadi kenangan indah lagi bernilai kepada Beta dan Negara Brunei Darussalam pada umumnya.

Beta difahamkan bahawa Universiti Teknologi MARA adalah universiti awam yang terbesar dari segi infrastruktur di Malaysia.  Dalam tempoh 63 tahun sejak Universiti ini ditubuhkan, bermula dari sebuah Pusat Latihan pada tahun 1956 sehingga ianya dinaiktarafkan kepada sebuah Universiti, ia telah mampu melahirkan para graduan yang telah sama-sama membantu Malaysia membangun sebagai sebuah negara makmur dan maju.

Hubungan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia adalah amat istimewa.  Keakraban kedua buah negara dapat dilihat dari hubungan kerjasama di pelbagai bidang, termasuk dalam bidang pendidikan.

Beta amat gembira dengan hubungan kedua negara sentiasa diperkukuhkan dengan kerjasama antara Universiti-universiti di Brunei Darussalam dan Universiti-universiti di Malaysia, termasuk Universiti Teknologi MARA.  Antara kerjasama tersebut ialah mobiliti pelajar di antara UiTM dengan universiti-universiti di Brunei Darussalam, termasuk penghantaran para pelajar UiTM untuk mengikuti latihan industri di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA.

Beta juga difahamkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah merintis kerjasama dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dalam beberapa  bidang, termasuk Penganjuran Persidangan Antarabangsa Halal pada April akan datang.

Dalam perkara ini, Beta ingin melihat supaya hubungan baik melalui kerjasama di dalam bidang penyelidikan mahupun pertukaran pelajar antara institusi-institusi pengajian tinggi kita, akan dijalin lebih kukuh untuk memberikan impak yang besar kepada kedua-dua buah negara kita.  Negara Brunei Darussalam sendiri adalah sentiasa mengalu-alukan rakyat dan penduduk Malaysia untuk mengikuti pengajian mereka di institusi-institusi pengajian tinggi  di Negara Brunei Darussalam.

Ijazah Kehormat Kepimpinan Islam yang Beta terima pada hari ini adalah satu penghormatan besar, yang diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha kita mempertingkatkan lagi hubungan dua hala di antara kedua buah negara. Ia bukan sahaja satu penghormatan kepada Beta sendiri, malahan juga kepada seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Paduka Adinda Yang Di-Pertuan Agong, sebagai bangsa yang dianggap tua, sejarah kita adalah sejarah besar. Mantelah lagi, pegangan kita juga adalah Ugama Islam, yang menjadikan sejarah itu bertambah penting lagi dan malah suci.

Kerana itu, wajar bagi kita menghormati diri dan menyayangi sejarah sendiri. Kerana tanpa sejarah, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Sejarah adalah mahkota dan lidah bangsa.
Sekali lagi Beta amat menghargai dan berterima kasih atas penganugerahan ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara 2019

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SAADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA
DARI MUSIM PERMESYUARATAN KE- 15
MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2019
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Beta berharap, Majlis akan dapat bersidang dengan lancar, dengan Ahli-Ahli dapat menyumbangkan buah fikiran yang bermanfa’at untuk negara. Persidangan selama beberapa minggu ini hendaknya mampu untuk mengetengahkan perkara-perkara strategik demi kesejahteraan rakyat dan penduduk. 

Antara agenda utama dalam persidangan ini ialah, Ahli- Ahli Majlis akan membahaskan Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Negara untuk Tahun Kewangan 2019/2020. Beta penuh yakin peruntukan-peruntukan yang disediakan adalah benar-benar menepati keperluan negara. Semua program dan inisiatif yang dirancang tidak lain bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat.

Maka sehubungan ini, sistem pentadbiran perlulah diperkukuh, termasuk Dasar-Dasar dan Peraturan-Peraturan juga sentiasa dikemaskini, supaya lebih telus dan berkesan.

Beta mengambil maklum, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, khasnya mereka yang dilantik, telah mengadakan permuzakarahan dengan Kementerian-Kementerian, termasuk mengadakan lawatan-lawatan bagi mengetahui secara lebih dekat akan kedudukan projek- projek yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan, samada melalui Pelaburan Langsung Asing (FDIs), Public Private Partnership (PPP), syarikat-syarikat swasta dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan (GLCs).

Dalam hubungan ini, Beta ingin menasihatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat, supaya jangan mengemukakan soalan-soalan yang sudah pun pernah dibincangkan berulang kali, tetapi berbincanglah mengenai perkara-perkara baru, seperti bagaimana menjana ekonomi, dengan cara, merancakkan lagi aktiviti-aktiviti mempelbagaikannya, selaras dengan hasrat membina masa depan bangsa, khasnya generasi muda.

Bercakap mengenai generasi, kita semua sedia maklum bahawa golongan belia adalah aset negara, selaku ianya jentera pembangunan. Oleh itu Kementerian yang berkenaan hendaklah memastikan bahawa para belia itu diberikan suntikan semangat untuk meneruskan agenda pembangunan tanpa bosan-bosan.

Ini sesuai dengan kepesatan teknologi yang membawa perubahan besar dalam kehidupan, termasuk kemajuan industri digital yang memfokus kepada internet of things, artificial intelligence dan seumpamanya, dimana Fourth Industrial Revolution akan menjadi salah satu agenda utama dalam memperkasa masyarakat, khasnya masyarakat penuntut, peniaga dan pihak Kerajaan sendiri, termasuk akan mengubah landscape kehidupan seharian.

Meliputi pihak pengusaha, mereka juga perlu untuk mengambil kesempatan dari digital ekonomi, sambil meraih peluang dari perdagangan tanpa sempadan.

Menyentuh tentang ekonomi, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan membina persekitaran yang kondusif di peringkat antarabangsa dengan menyertai beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa sebagai memberi peluang pasaran di negara-negara berkenaan.

Insyaallah, tidak lama lagi negara akan memuktamadkan perundingan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) iaitu satu perjanjian kerjasama ekonomi diantara negara-negara ASEAN dan enam negara lain yang terdiri daripada: Australia, China, India, Jepun, Korea, dan New Zealand yang akan membuka pasaran perniagaan kepada lebih tiga bilion penduduk.

Dalam hubungan ini, peniaga-peniaga tempatan wajarlah memanfaatkan kesempatan dari perjanjian-perjanjian tersebut dengan menaiktaraf kualiti produk dan meningkatkan daya saing masing-masing, yang tentunya secara tidak langsung dapat menyumbang kepada hasrat negara mempelbagaikan ekonomi. Ini, bertepatan dengan keperluan negara mempunyai Industry Roadmap bagi kelangsungan ekonomi dan industri.

Bagaimanapun, kita sedikit rimas apabila sejak beberapa tahun kebelakangan ini pertumbuhan KDNK adalah kurang memberangsangkan, berikutan dengan harga minyak global jatuh, sedangkan sebahagian besar dari pendapatan negara bergantung kepada hasil  minyak dan gas. Namun alhamdulillah, terdapat sektor-sektor bukan minyak dan gas telah menunjukkan pertumbuhan positif seperti sektor perkhidmatan. Ini sudah barang tentu memerlukan ‘Whole of Nation Approach’, kerana jika jentera pentadbiran paling hadapan yang dibarisi oleh Jemaah Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap, dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan tidak menunjukkan kerjasama dan kesepakatan padu dalam merealisasikan Wawasan Negara, maka sudah pasti segala perancangan yang dibuat akan menjadi sia-sia.

Dalam fenomena berkaitan, kita terus bimbang dengan kadar pengangguran yang kian meningkat. Ini tidak boleh dipandang ringan. Kerana itu Beta mahu, supaya ia dikaji dan dicari jalan penyelesaian, samada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Termasuk turut dikenalpasti ialah, sejauh manakah sumber tenaga manusia dari Pusat- Pusat Pengajian Tinggi tempatan mahupun luar negara yang marketable dan relevan dengan situasi masa kini?
Ini juga adalah sebahagian dari kebajikan rakyat yang mesti diutamakan. 

Menyebut kebajikan rakyat ini, turut terkandung ialah bantuan-bantuan dan subsidi-subsidi yang telah dihulurkan hendaknya ia dilaksanakan dengan teratur, supaya tidak berlaku ketirisan atau penyalahgunaan dikalangan penerima.

Akhir sekali, Beta berharap Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada perkara-perkara yang strategik bagi mengukuhkan lagi pencapaian-pencapaian negara. Ahli-Ahli Yang Berhormat juga diharapkan akan dapat mengemukakan pandangan-pandangan atau saranan-saranan di dalam semua bidang, yang menjadi tanggungjawab kepada Kerajaan, tanpa tertentu kepada perkara ekonomi semata-mata.

Beta ucapkan selamat bersidang.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.