Titah KDYMM Sempena Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Malaysia

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERADA DI MALAYSIA
GRAND HYATT, KUALA LUMPUR

MALAYSIA
PADA HARI SELASA
5 MAC 2019
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta pada hari ini bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutama para pelajar dan pegawai Kerajaan yang sedang bertugas, termasuk juga mereka, yang kebetulan sedang bercuti bersama keluarga di sini.

Majlis ini memberikan peluang kepada Beta untuk lebih mendekati lagi para penduduk dan rakyat Beta serta para pelajar yang sedang menuntut di sini.

Alhamdulillah, kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan Negara yang ke-35 dengan tema “Menjayakan Wawasan Negara”. Tema ini wajar untuk mendapat perhatian kita semua, memandangkan jangka masa Wawasan Negara 2035 adalah semakin dekat. Semua pihak adalah dikehendaki untuk melipat gandakan lagi usaha ke arah merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan tersebut.

Para belia termasuk pelajar, sama ada mereka yang menuntut di dalam mahupun di luar negara, adalah memainkan peranan yang sama penting untuk menjayakan wawasan negara. Ini kerana, para belia dan pelajar adalah penggerak utama strategi dan inisiatif dalam tempoh 16 tahun mendatang.

Contoh keunggulan dari tenaga muda ialah, apabila mengetahui bahawa dari seramai 67 orang pelajar di bawah Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan yang telah tamat pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia setakat ini, seramai 12 orang pelajar iaitu 17.4% telah mendapat Kepujian Kelas Pertama manakala seramai 44 orang lagi iaitu 65.7% telah tamat dengan pangkat Kepujian Kelas Kedua Atas.

Lebih membanggakan lagi, ada juga dari kalangan pelajar kita di sini yang telah mendapat pengiktirafan serta dianugerahkan President’s atau Dean’s List dari universiti masing-masing. Kejayaan pelajar-pelajar ini membuktikan, bahawa negara kita memang mampu untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai asas kukuh serta adaptable untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi di mana-mana sahaja.

Namun ini, tidaklah sehaursnya menyebabkan kita leka atau mudah berpuas hati, kerana masih jauh lagi matlamat untuk kita capai, disamping cabaran-cabaran yang dibawa oleh Revolusi Industri ke-Empat juga perlu dihadapi. Di sinilah, negara kita perlu lebih giat dalam menyediakan sumber tenaga manusia yang berkualiti. 

Sehubungan ini, Beta sukacita menasihatkan semua pelajar yang belajar di luar negara, supaya merebut setiap peluang bagi melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu dan kemahiran, untuk dibawa pulang ke tanah air apabila tiba masanya nanti. Disamping belajar secara formal, mereka juga boleh mengasah diri melalui pengalaman dan pembacaan, dan jika ada kesempatan, mereka boleh menyaksikan sendiri apa-apa ‘usaha besar’ yang orang lain buat untuk dicontohi atau dipelajari. 

Dalam pada itu, para pelajar perlu bijak menimbang dan menilai apa-apa yang dipelajari atau didapat di luar negara. Kerana bukan semuanya mesti bagus untuk diambil atau dipakai, malah ada ketikanya ia wajib dihindari atau ditolak.

Bahkan para pelajar khasnya, perlulah berhati-hati terhadap sebarang perubahan atau kemajuan yang dibawa oleh teknologi, kerana ada masanya teknologi itu disalahgunakan untuk merekrut anasir-anasir perosak ke dalam masyarakat, khasnya masyarakat golongan muda.

Maka berkaitan dengan ini, Beta suka mengingatkan kepada para pelajar yang belajar di luar negara khasnya, supaya tidak terlibat atau senghaja melibatkan diri dengan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah yang boleh menyebabkan para pelajar terbabas dari tujuan asal mereka untuk mengambil ilmu yang berfaedah. Kekalkanlah komitmen dengan MIB, insya Allah semuanya akan selamat serta diberkati.

Akhirnya, Beta dengan tulus iklas mendo’akan supaya semua para pelajar dan pegawai yang sedang berada disini akan berada di dalam kesejahteraan di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-35 Bagi Tahun 2019

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-35 BAGI TAHUN 2019

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita meraikan lagi Hari Kebangsaan kita pada tahun ini.

Sambil meraikan hari bersejarah ini, sambil itu juga kita mensyukuri nikmat Allah berupa keamanan dan kemakmuran.

Kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran adalah idaman semua orang, semua bangsa di dunia. Tetapi untuk mendapatnya tidaklah semudah yang dikata.

Disinilah alhamdulillah, negara kita dengan izin Allah telah pun mencapainya. Ia sudah wujud dan sedang dinikmati. Kita akan tatang ia dan pertahankan.

Selain dengan kerja keras dalam mengisi kemerdekaan, antara cara kita menanai dan mempertahankannya, kita juga dikehendaki supaya konsisten dalam memelihara keamanan dan kemakmuran itu melalui langkah-langkah yang bersesuaian. Disamping itu, kita hendaklah berusaha sedaya upaya dan selebihnya kita berserah sepenuhnya kepada kuasa Allah, kerana hanya dengan ini saja insya-Allah, semua usaha akan berjaya dan diberkati.

Tema sambutan pada tahun lepas, masih saja kita kekalkan, berbunyi: “Menjayakan Wawasan Negara”. Tema ini hendaknya, akan mengingatkan kita kepada kewajiban dan peranan masing-masing untuk merealisasikan Wawasan Negara.

Pada tahun-tahun yang lalu kita telah menyandarkan harapan tinggi kepada generasi muda untuk menerajui pembangunan negara secara proaktif.

Alhamdulillah, Sedikit demi sedikit harapan itu termakbul, dengan para belia menunjukkan pencapaian-pencapaian yang menggalakkan di bidang-bidang keusahawanan, ekonomi dan kemasyarakatan. Serentak itu, agensi-agensi Kerajaan juga tidak ketinggalan dalam menyediakan prasarana serta membantu para belia, khususnya dalam memberikan bimbingan kepada mereka yang berkecimpung di bidang keusahawanan.

Beta mahu melihat, supaya usaha-usaha sedemikian ini terus dipertingkatkan, sehingga para belia benar-benar mampu untuk berganding bahu dengan Kerajaan. Maka untuk itu, agensi-agensi Kerajaan perlulah menggiatkan lagi peranan mereka selaku pemudahcara.

Pemudahcara di sini dimaksudkan ialah prasarana yang mantap, peraturan yang telus dan mudah, serta sokongan dan kerjasama padu semua agensi yang berkepentingan, dalam menghulurkan bantuan dan bimbingan itu.

Dalam memberi tumpuan kepada golongan muda, kebajikan dan pemedulian terhadap warga emas juga jangan diabaikan. Kerana mereka itu lebih-lebih lagi memerlukan sokongan dan pemedulian.

Juga selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2019, Sektor Kerajaan perlu melaksanakan dan mempelbagaikan lagi usaha-usaha menjana ekonomi melalui pengurusan-pengurusan yang cekap dan berhemah.

Kerajaan juga perlu memfokas segala aktiviti pembangunan, termasuk aktiviti pelaburan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Demikian juga kewajipan Kerajaan ialah memudahcara persekitaran perniagaan dan menjana sumber manusia yang Kompeten serta Employable, termasuk memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial, sebagai contoh, Kerajaan kini, melalui Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sedang giat melaksanakan aktiviti menanam padi, yang dihasratkan untuk memenuhi sara diri negara.

Dalam era digital sekarang ini, kita perlu peka dengan kemajuan teknologi yang pesat yang dibawa oleh Revolusi Industri Keempat. Sebagai sebuah negara yang mempunyai wawasan, kita tidak boleh ketinggalan dalam meneroka ekonomi digital.

Namun dalam perkembangan di bidang ini, keselamatan siber mesti diberikan perhatian khusus. Negara perlu menangani isu keselamatan siber, kerana kesan negatif siber boleh menyerap ke dalam negara, masyarakat dan keluarga.

Di arena antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan sikap hormat menghormati, mengekalkan hubungan rapat yang telus dengan negara-negara lain dan meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau serta penyertaan dalam rangkaian ekonomi global. Kita juga akan terus memberikan kerjasama dalam menangani isu-isu yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa seperti ancaman anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Kita juga akan sentiasa bersama-sama meningkatkan usaha ke arah keselamatan dan kestabilan serantau dan antarabangsa selaras dengan kapasiti yang ada. Ini termasuk menghulurkan bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan, seperti dalam bentuk operasi kemanusiaan atau bantuan mitigasi bencana serta misi pemantau dan pengaman.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-35 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi (Malam Ketiga)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN
SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA
AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1440 HIJRAH / 2019 MASIHI
(MALAM KETIGA)

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS,
NEGARA BRUNE DARUSSALAM
10 JAMADILAWAL 1440 / 14 FEBRUARI 2019

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat sama-sama berkumpul di Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah bersamaan 2019 Masihi Kali Ke-59 pada malam ini.

Mengadakan Majlis Musabaqah Tilawah Al-Qur’an adalah satu amalan sangat berkebajikan, di mana kita sama-sama dapat mendengar kata-kata Allah atau ayat-ayat suci Al-Qur’an dibaca. Ia adalah salah satu amalan zikir, sesuai sebagai pengisian Negara Zikir.

Merujuk tema Majlis ini, “Memperkasa Pembelajaran Al-Qur’an”, maka Beta percaya, semua rakyat yang berugama Islam telahpun memahami kepentingan Al-Qur’an, berasaskan, Kerajaan Beta telahpun sekian lama menerapkan pendidikan Al-Qur’an itu di sekolah-sekolah. Cuma barangkali tahap kemahiran membaca sahaja yang berbeza.

Secara formal, pembelajaran Al-Qur’an diberikan sekurang-kurangnya enam tahun di sekolah rendah ugama di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bagi pelajar yang memasuki sekolah-sekolah Arab, mereka bernasib baik kerana pembelajaran Al-Qur’an ada disediakan. Beta berharap, perkara pembelajaran Al-Qur’an ini juga hendaklah diteruskan di sekolah-sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan sekolah swasta. Beta ingin melihat, pelajar-pelajar bukan sahaja diberikan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam, tetapi juga secara khusus diberikan pelajaran Al-Qur’an.

Oleh itu Beta mengharapkan, supaya pihak-pihak bertanggungjawab dalam hal ini dapat memberikan inisiatif yang praktis ke arah mengembangkan kemahiran membaca Al-Qur’an itu secara berterusan. Inilah antara maksud Menjana Pembelajaran Al-Qur’an.

Untuk mencapai barakah di dalam kehidupan, kita mesti kembali kepada Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an itu Kitab Allah, petunjuk ke jalan yang lurus.

Kita semua adalah sekata meyakini Al-Qur’an. Tetapi menyebut ‘yakin’ sahaja tidaklah cukup. Kita juga mesti bersedia menerima nasihat, perintah dan hukum hakam daripada Al-Qur’an, barulah bermakna keyakinan itu.

Dalam konteks ini, Beta berpendapat, negara juga wajar dibangun dengan nasihat, perintah dan hukum hakam Al-Qur’an. Maka untuk itu, setiap kementerian, jabatan dan bahagian di bawahnya wajarlah meneliti semua dasar, falsafah, misi, visi dan matlamat serta perancangan strategik dan pelaksanaannya supaya bersesuaian dengan kandungan Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Mudah-mudahan dengan inisiatif dan tindakan semua pihak, khasnya yang berkaitan, segala perancangan akan berjalan dengan baik, dan khusus mengenai pemerkasaan Pembelajaran Al-Qur’an juga, dapat ditangani dengan berkesan.

Akhirnya Beta sukacita mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada peserta yang berjaya ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Qari dan Qariah kita yang akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Quran sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu Wata’ala dan dapat mempersembahkan tilawah yang baik dan bermutu tinggi.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-17 Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

MENTERI PERTAHANAN
PEMERINTAH TERTINGGI
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE-17
SEKOLAH PEGAWAI KADET
AKADEMI PERTAHANAN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS
12 JAMADILAWAL 1440 /
17 JANUARI 2019

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur Alhamdulillah, dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua, dapatlah kita menghadiri Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-17, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini.

Terlebih dahulu Beta ingin mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas persembahan perbarisan mereka sebentar tadi.

Beta merasa amat gembira di atas kejayaan 57 Pegawai Kadet dari Pengambilan Ke-17, selepas mereka mengharungi latihan selama 52 minggu.

Beta difahamkan Pegawai Kadet Pengambilan Ke-17 ini adalah termasuk seorang pemegang Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, seorang pemegang Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya termasuk juga seorang pemegang Sijil Hafazan 30 Juzuk keluaran Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Selain itu, Beta juga mengambil maklum bahawa 2 orang Pegawai Kadet dari Pengambilan Ke-17 telah menamatkan latihan Basic Military selama tiga bulan, yang pada ketika ini telah menjawat jawatan sebagai Pegawai Pergigian di Pusat Pergigian, Khidmat Bantuan Kombat Tentera Darat Diraja Brunei dan Pegawai Perundangan Tentera di Unit Perundangan Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berkenaan itu, termasuk juga kepada para ibu-bapa serta ahli keluarga Pegawai-Pegawai Kadet yang sentiasa mendorong dan menyokong dengan do’a untuk kejayaan anak-anak mereka.

Tidak diragukan lagi, sejak 10 tahun penubuhannya, Sekolah Pegawai Kadet, telah membuktikan keupayaannya meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, selaras dengan salah satu aspirasi Wawasan Brunei Darussalam 2035.

Beta berbangga, kerana Sekolah Pegawai Kadet mampu untuk melahirkan pemimpin tentera yang berkaliber melalui pendedahan modul serta kemahiran asas yang sentiasa relevan mengikut peredaran masa. Pencapaian juga terus dipertingkatkan melalui kursus mandatori dan professional yang teratur.

Dalam meniti arus perkembangan teknologi, peralatan canggih sahaja tidaklah mencukupi untuk mempertahankan keselamatan negara, malahan juga, negara memerlukan daya intelektual yang tinggi serta pemikiran bernas dan luas bagi menghadapi persekitaran geostrategik yang dinamik dan kompleks. Semua ini mencabar institusi pertahanan khasnya dan negara amnya untuk melahirkan dan membentuk barisan kepimpinan yang berwibawa.

Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pula turut memainkan peranannya dalam menyumbang ke arah Diplomasi Pertahanan yang benar-benar mantap. Ini dapat dilihat dengan kehadiran peserta-peserta kursus antarabangsa yang mengikuti Kursus Maktab Turus dan Kursus Pegawai Staf Rendah serta latihan dua hala Sekolah Pegawai Kadet Bersama Officer Cadet School, SAFTI Military Institute dan Officer Cadet School, New Zealand Defence Force yang berjaya dimanfaatkan sepenuhnya.

Beta juga gembira, Diplomasi Pertahanan ini turut diperluaskan lagi dengan lawatan daripada Royal Thai Military Academy serta jalinan program interaksi latihan dan pelajaran tentera, bersama Taruna dan Taruni dari Akademi Militer – Angkatan Darat, Tentera Nasional Indonesia. Adalah diharapkan, hubungan antara angkatan-angkatan sahabat di rantau ini, akan menjadi lebih erat lagi dengan adanya interaksi dari peringkat atasan membawa ke peringkat bawahan. Program-Program dua-hala sedemikian ini mampu, untuk meningkatkan lagi piawaian Sekolah Pegawai Kadet dalam membuat proses penilaian, terutama sekali bagi mengimplementasi Best Practices.

Perkongsian pendidikan, pengetahuan dan pengalaman memang penting, kerana ia adalah merupakan satu pelaburan dalam membina modal insan yang mapan dan efektif. Perkongsian modul yang diperkenalkan oleh pihak angkatan sahabat turut dihargai sebagai nilai tambah kepada doktrin-doktrin atau Tactics, Techniques and Procedures (TTPs) yang sedia ada.

Tidak dinafikan, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah satu dari simbol kemajuan dan perkembangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Dalam usianya menjangkau 10 tahun, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Beta yakin, akan dapat terus mengorak langkah ke arah sebuah institusi pendidikan tentera yang lebih berprestij dan diiktiraf sebagai sebuah pusat kecemerlangan serantau dan antarabangsa.

Akhir kata, Beta mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada 57 orang pegawai kadet yang akan menerima tauliah mereka. Beta berharap kesemua mereka ini akan menjadi barisan pemimpin muda Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkesan, berhemat dan professional di dalam menanai amanah besar selaku pemimpin di dalam institusi pertahanan dan keselamatan negara.

Dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan berkat kalimah Bismillahir Rahmaanir Rahim, Beta dengan sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 57 Pegawai Kadet Pengambilan Ke-17.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Manyambut Tahun Baru Masihi 2019a

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2019

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat melangkah ke Tahun Baru Masihi 2019 dalam keadaan aman lagi sejahtera, sedang orang lain di mana-mana mengalami pelbagai bencana. Ini tidak syak lagi adalah satu kurnia istimewa daripada Allah kepada kita. Kita wajiblah mensyukurinya.

Dari sudut ekonomi alhamdulillah, unjuran pertumbuhan pada tahun 2019 ini dijangka semakin lebih baik. Namun kita tidaklah boleh leka atau cepat-cepat berpuas hati, kerana di sana masih banyak cabaran untuk dihadapi.

Antara yang menjadi perhatian utama kini ialah Revolusi Perindustrian Keempat atau Fourth Industrial Revolution. Adapun langkah berkesan ke arah ekonomi ialah penyertaan kita dalam rangkaian global untuk meningkatkan produktiviti dan peluang, dengan memastikan juga kita dapat memenuhi prasyarat piawaian dan peraturan, selain berupaya menyesuaikan diri dengan teknologi digital.

Ini memerlukan kita untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara lain. Dalam rangkaian ekonomi global, kita perlu mengambil peluang yang sedia ada, termasuk di rantau ASEAN, di mana pasaran e-dagang ASEAN mempunyai potensi untuk meningkat dari $30 billion dollar Amerika dalam tahun 2016 kepada $200 billion menjelang tahun 2025.

Kemajuan teknologi hasil daripada Revolusi Industri Keempat ini walau bagaimanapun, akan mencabar kemahiran konvensional yang kita miliki, yang memerlukan peningkatan kemahiran yang ada dan pembelajaran sepanjang hayat.

Dari kesan ekonomi pada skop yang lebih luas, kita perlu menyediakan dasar-dasar yang bersesuaian untuk menjalin kerjasama serantau dan antarabangsa.

Khusus dalam konteks hubungan dengan negara-negara rantau ASEAN, kita perlulah berusaha ke arah proses membangun Komuniti ASEAN itu sendiri, di mana dengan berbuat demikian, kita akan mampu untuk memastikan kejayaan bagi generasi masa kini dan akan datang.

Rantau ASEAN sedang bergerak pantas ke arah pertumbuhan ekonomi. Ia dijangkakan menjadi kuasa keempat ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2030. Maka ke arah itu, kita perlulah melipatgandakan lagi usaha memperkasa perdagangan intra-ASEAN.

Langkah di dalam pula tidaklah kita abaikan. Kita akan terus bergerak ke hadapan untuk menemui sasaran, dalam makna, keperluan negara dan rakyat adalah diutamakan.

Kita melihat ini dengan kacamata yang jauh untuk jangka panjang. Misalnya apabila kita bercakap mengenai dengan ‘bumi hijau’, yang kita maksudkan ialah ke arah mencapai sara diri dari hasil pertanian.

Inilah sasaran atau matlamat yang ingin kita tuju. Kita akan kekalkan ia sehingga berjaya. Bagi pihak-pihak yang berkenaan di dalam kerajaan, hendaklah memahami perkara ini tanpa ada lagi sebarang alasan untuk mengabaikannya.

Kita mesti konsisten mara ke hadapan, bukan berundur ke belakang. Inilah namanya kita membangun dengan semangat juang.

Ini amat penting bagi mempastikan, bahawa bangsa tidak akan dipaliti oleh sindrom malas.

Kemudian berikutnya yang lebih utama, kita tidak akan lari dari nilai-nilai luhur yang telahpun menjadi pegangan kita semenjak dari beratus tahun lagi. Nilai itu ialah konsep MIB.

Akhirnya, bersukut dengan memasuki tahun baru ini, Beta menyeru rakyat dan penduduk supaya menguatkan lagi azam dan usaha untuk menjadi masyarakat yang lebih proaktif, produktif dan berintegriti dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang.

Beta juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan, dan sektor swasta, di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2018.

Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2019 kepada seluruh rakyat dan penduduk, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan, dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.