
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, malam ini berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura dan isteri, Puan Loo Tze Lui serta rombongan Republik Singapura yang akan menghadiri Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama dan isteri ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Menteri Pengiring, dan isteri; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, dan isteri.
Juga hadir ialah Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama pasangan masingmasing.
Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan diadakan pada 10hb. Oktober 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) di Muara.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
