TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI-14
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI DARUSSALAM
(UTB)
PADA HARI RABU
13 RABIULAWAL 1448/
26 OGOS 2026
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-14 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.
Dalam kesempatan ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang diraikan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin bagi kecemerlangan berterusan di masa hadapan. Ucapan tahniah juga kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa memberikan dorongan sehingga para graduan beroleh kejayaan.
Pada tahun ini, Universiti Teknologi Brunei telah genap 40 tahun penubuhannya. Sepanjang tempoh tersebut, universiti ini telah berkembang daripada sebuah institut teknologi kepada sebuah universiti yang diiktiraf di peringkat global.
Alhamdulillah, pencapaian ini telah memperteguh lagi peranan dan sumbangan UTB dalam pembangunan pendidikan tinggi negara, yang menjadikannya semakin dikenali di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam era teknologi berkembang pesat, Beta gembira melihat teknologi baharu terus membuka ruang kepada pembangunan bakat dan kepakaran anak tempatan. Pada masa ini, teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (Artificial intelligence – AI) dapat dimanfaatkan untuk memperkaya pengalaman dan meningkatkan keberkesanan pengajaran.
Namun dalam pendidikan, Beta berpendapat, penggunaan teknologi ini hendaklah kekal berteraskan manusia (human-centric technology), bukan untuk menggantikan tenaga kerja secara keseluruhan. AI sama sekali tidak boleh menggantikan fungsi akal, walaupun ia mampu untuk memproses data dengan amat pantas, kerana AI tidak mempunyai jiwa dan pertimbangan moral yang hakiki. AI hanya alat untuk membantu manusia memperolehi maklumat, sedang maklumat pula mesti disemak dan dinilai kebenarannya oleh manusia.
Pada hemat Beta, setelah empat dekad negara membina keupayaan melalui penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), maka keupayaan ini sewajarnyalah dapat membuka lembaran baharu bagi IPT memainkan peranannya lebih besar dalam memperkukuh ekosistem inovasi, dan sekali gus memperluaskan lagi sumbangannya kepada negara. Ke arah itu, Beta menyarankan supaya semua IPT mengambil langkah proaktif memperkemas dasar masing-masing.
Beta telah difahamkan bahawa UTB sedang giat mempertingkatkan keupayaan makmal-makmalnya ke arah pensijilan dan akreditasi antarabangsa. Usaha ini juga mampu untuk memantapkan lagi kualiti infrastruktur negara serta memperluaskan sumbangan universiti kepada perkembangan industri berasaskan pengetahuan. Kemajuan di sini tidak dapat dicapai secara bersendirian, melainkan ada kerjasama diantara universiti, industri dan agensi berkepentingan.
Sememangnya kolaborasi strategik antara universiti dan pihak berkepentingan adalah tunjang kepada usaha UTB dalam menangani isu pengangguran melalui penyediaan graduan yang mahir secara praktikal. Menerusi perkongsian teknologi dan kepakaran, akan mampu untuk merapatkan jurang ketidakpadanan (mismatch) antara kelulusan akademik dan keperluan sebenar pasaran kerja masa kini.
Menyentuh mengenai penyelidikan dan pembangunan, Beta berharap supaya usaha-usaha yang dilaksanakan oleh UTB akan terus memantapkan keupayaan inovasi universiti. Inovasi ini tidak boleh bermula dan berakhir di dalam makmal semata-mata, tetapi mesti dipacu oleh minda yang kreatif dan rantaian kolaborasi strategik antarabangsa.
Demi mendukung hasrat suci, UTB perlu memastikan program-program yang ditawarkannya sentiasa responsif terhadap perubahan industri, supaya setiap graduan memiliki kebolehpasaran yang tinggi. Namun Beta ingin berpesan, apapun ilmu yang diburu, Islam sama sekali jangan dipinggirkan. Kerana Islam itu adalah suluh segala ilmu dan jalan lurus yang tidak pernah bengkok-bengkok.
Untuk akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan, atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
* * *
