Semasa majlis perjumpaan antara Duli Yang Teramat Mulia dan Perdana Menteri Republik Singapura, Singapura dan Negara Brunei Darussalam menekankan semula hubungan kukuh antara kedua buah negara serta membincangkan peristiwa penting yang bakal tiba, termasuk ulang tahun ke-50 kerjasama pertahanan dan ulang tahun ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) pada tahun hadapan. Perbincangan turut merangkumi keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Singapura pada tahun 2027, yang mana Singapura akan menjadi Pengerusi ASEAN.

Kedua-dua negara sedang memajukan beberapa projek ekonomi dan sosial, dengan perjanjian bagi menjamin rantaian bekalan sedang dimuktamadkan, zon makanan agriteknologi sedang dibangunkan, dan program pensijilan makanan Halal bersama sedang diwujudkan. Kedua-dua pihak juga menyambut baik peningkatan berterusan dalam pemberian biasiswa pelajar dan program pertukaran penjawat awam yang terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua buah negara.

Perbincangan juga menumpukan kepada aspek teknologi dan automasi, di mana Tuan Yang Terutama Perdana Menteri berkongsi pandangan mengenai usaha Singapura menguji kenderaan pandu sendiri bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja. Beralih kepada aspek keselamatan, Perdana Menteri Lawrence Wong mengetengahkan peranan penting teknologi pertahanan dan menegaskan bahawa meningkatkan keupayaan ketenteraan tanpa rangka kerja keselamatan yang mantap adalah sangat bahaya.

Menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, Perdana Menteri Lawrence Wong menekankan kepentingan kritikal untuk memperkukuh kesalingoperasian antara Singapura dan Negara Brunei Darussalam (SG-BD). Dalam ekonomi global yang semakin berpecah, pembinaan jambatan struktur dan digital antara kedua-dua negara adalah penting untuk menjana pertumbuhan generasi akan datang serta memastikan kestabilan kewangan bersama.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto