
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Singapura.
Duli Yang Teramat Mulia memulakan program hari ini dengan melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) bagi meninjau kemajuan dalam penyelidikan perubatan translasi.
Duli Yang Teramat Mulia dijunjung sebaik keberangkatan tiba di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) oleh Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Republik Singapura.
Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat dan pembentangan mengenai kerjasama saintifik yang sedang dijalankan oleh institut tersebut bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD). Bertempat di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS), SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) merupakan sebuah kemudahan penyelidikan bersama yang mengkaji tumbuhan rantau ini bagi menemui rawatan perubatan baharu. Melalui makmal genomik bersama dengan UBD, institut tersebut telah berjaya memetakan genom bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam, iaitu bunga Simpur, bagi membuka potensi sifat anti-kanser dan penyembuhannya.
Selepas sesi pembentangan, Duli Yang Teramat Mulia berangkat melawat makmal-makmal penyelidikan dan menyaksikan demonstrasi saintifik secara langsung yang mempamerkan teknologi perubatan moden. Di makmal, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan berinteraksi dengan seorang penuntut tahun akhir jurusan Farmasi dari UBD yang sedang menjalani program ‘Discovery Year’ di BD-MED.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
