Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan melawat Singapore Oceanarium sebagai sebahagian daripada atur cara eksekutif Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12.

Sejurus keberangkatan tiba di Singapore Oceanarium, Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura.

Lawatan dimulakan dengan tinjauan sambil berjalan yang dipandu, dimana Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai kepelbagaian hidupan marin di galeri-galeri terpilih. Selepas lawatan itu, Perdana Menteri Lawrence Wong menganjurkan Majlis Santap Malam bagi meraikan lawatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. Majlis tersebut diadakan di Ocean Gallery.

Majlis ini mencerminkan perkongsian dua hala yang kukuh serta hubungan rapat yang berkekalan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto