Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini menamatkan lawatan ke Republik Singapura bagi Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12. Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berkenan melawat Punggol Digital District (PDD) dan Singapore Institute of Technology (SIT).

Atur cara pada hari ini bermula di Punggol Digital District (PDD), di mana Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk Majlis Sarapan Pagi yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura. Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai PDD dan Singapore Institute of Technology (SIT). Sembah taklimat antaralain mengetengahkan PDD sebagai kawasan perindustrian pintar dan lestari pertama di Singapura yang dibangunkan melalui model perkongsian, serta direka bentuk untuk mengintegrasikan sektor industri, perusahaan, dan akademik secara menyeluruh, dengan SIT berperanan sebagai rakan strategik dalam
kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat, dan inovasi melalui kemudahan bersama serta pelbagai inisiatif penyelidikan.

Sebelum sesi pembentangan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia bersama dengan Tuan Yang Terutama telah meninjau kawasan PDD yang mempamerkan infrastruktur perkongsian, rangka kerja integrasi digital, dan ekosistem pendidikan inovatif yang menjadi ciri utama daerah pintar tersebut. Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berpeluang untuk berinteraksi dengan robot yang direka oleh para pelajar dan menaiki kenderaan autonomi bersama Tuan Yang Terutama. Lawatan ini mengetengahkan pertukaran ilmu yang berterusan antara pemimpin generasi masa hadapan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang transformasi digital, inovasi teknologi, dan reka bentuk bandar yang mampan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto