
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-198 bagi Suku Ketiga tahun 2026. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BSP dan Syarikat BSM.
Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah penutup. Baginda menekankan akan pentingnya untuk mengekalkan prestasi yang kukuh serta meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi menyokong matlamat jangka panjang BSP dan BSM.
Baginda turut menegaskan kepentingan untuk terus mengekalkan tahap keselamatan dan prestasi operasi yang tinggi.
Baginda juga menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama dalam dan antara Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture, termasuk memanfaatkan keupayaan, sumber dan kepakaran secara kolektif bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuhkan daya tahan operasi serta menjana nilai yang lebih besar secara keseluruhan.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan perkara-perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, pembangunan tenaga manusia serta perancangan perniagaan bagi Syarikat BSP dan Syarikat BSM.
Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc, serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.
Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah SyarikatSyarikat Brunei Shell Joint Venture Companies bagi Suku Ketiga Tahun 2026.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
