Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29; Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-16; Sidang Kemuncak ASEANAustralia ke-6; dan Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-27. SidangSidang Kemuncak tersebut telah diadakan di Philippine International Convention Center, Manila.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

SIDANG KEMUNCAK ASEAN-CHINA KE-29

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mula-mula berangkat bersama para pemimpin ASEAN yang lain, menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29.

Semasa sesi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa tahun 2026 menandakan 35 tahun hubungan ASEAN-China serta ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif.

Baginda bertitah menekankan kepentingan memanfaatkan hubungan ekonomi yang kukuh melalui integrasi digital serta kepakaran e-dagang China bagi memperluaskan akses pasaran untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya di Negara Brunei Darussalam, untuk berkembang melangkaui pasaran domestik yang terhad dan mencapai pembeli di seluruh ASEAN dan China. Baginda turut mengetengahkan bagaimana pengalaman China dalam bidang e-dagang dapat membantu perusahaan kecil memenuhi keperluan untuk menjual produk di pasaran baharu dan mencapai pelanggan melalui platform digital. Baginda bertitah menggalakkan pelaksanaan peruntukan ASEAN-China FTA 3.0 yang berkesan, seperti perdagangan tanpa kertas dan pemudahcaraan kastam serta mengalu-alukan cadangan China untuk menetapkan tahun 2027 sebagai Tahun Kerjasama Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN-China. Baginda turut mencadangkan pada tahun tersebut agar pelopor inovasi, institusi teknikal dan PMKS dihubungkan melalui projek-projek praktikal bagi meningkatkan produktiviti perniagaan serta memberikan pengalaman dan kemahiran praktikal yang bernilai kepada golongan belia. 

Bagi mengekalkan kepercayaan dan keyakinan dalam urus niaga dalam talian, Baginda bertitah menggariskan keperluan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab di samping perlindungan kukuh terhadap data peribadi dan perniagaan. Baginda bertitah menggalakkan penyelarasan yang lebih erat dalam kalangan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani penipuan siber rentas sempadan dengan pantas, serta mencadangkan agar menteri-menteri berkaitan memajukan kerjasama dalam bidang ini di bawah ASEAN-China Plan of Action for 2026–2030 bagi membantu perniagaan dan pengguna menyertai ekonomi digital dengan lebih yakin.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto