
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith, Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao. Majlis Perjumpaan tersebut telah diadakan di Philippine International Convention Centre, Republik Filipina.
Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao pada 5hb. Oktober 2026.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan hasrat untuk terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin demi manfaat serta kemakmuran bersama kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing. Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Republik Demokratik Rakyat Lao atas kejayaannya beralih keluar daripada status Least Developed Country (LDC), satu pencapaian penting yang mencerminkan daya tahan serta komitmen negara tersebut menuju pembangunan mampan.
Baginda juga bertitah menzahirkan rasa puas hati mengenai hubungan Perkongsian Strategik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Lao, yang merangkumi bidang perdagangan, pertahanan, pendidikan, dan pertukaran antara rakyat. Memandangkan landskap geopolitik yang sentiasa berubah, Baginda bertitah menekankan kepentingan memperkukuh sekuriti makanan dan rantaian bekalan. Dalam hubungan ini, Baginda bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam berminat untuk membangunkan hubungan perdagangan melalui usaha sama dalam sektor pertanian bagi meningkatkan kapasiti kedua-dua buah negara.
Baginda seterusnya bertitah bahawa biasiswa Kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi pelajar-pelajar dari Republik Demokratik Rakyat Lao telah dilanjutkan sehingga tahun 2029, yang akan terus merapatkan hubungan antara rakyat keduadua negara melalui pendidikan. Baginda juga menzahirkan penghargaan terhadap penyertaan Republik Demokratik Rakyat Lao dalam Kursus Bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh para pegawai pertahanan Negara Brunei Darussalam, serta berharap agar penyertaan tersebut akan berterusan.
Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Lao mula terjalin pada 27hb. Julai 1993. Kedua-dua buah negara menikmati hubungan dua hala yang erat dan mesra serta terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan dan pertukaran antara rakyat.
Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Lao telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik pada 3hb. Oktober 2023, bersempena dengan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
