Selepas Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-16 bersama para pemimpin ASEAN yang lain.

Pada Sidang Kemuncak tersebut, Baginda bertitah menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), atas pendirian teguh beliau dalam memperjuangkan keamanan, perlindungan kemanusiaan, dan pembangunan mampan di tengah-tengah krisis berterusan yang menguji peraturan antarabangsa, di samping menggariskan kepentingan kerjasama ASEAN-PBB dalam menegakkan Piagam PBB serta undangundang antarabangsa bagi memelihara kedaulatan negara-negara kecil dan menyelesaikan pertikaian secara aman. Baginda turut menggesa PBB agar meneruskan usaha bagi memastikan pematuhan penuh terhadap gencatan senjata di Gaza, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan bagi Palestin.

Menyentuh keutamaan iklim dan pembangunan menjelang tahun 2030, Baginda bertitah menekankan keperluan kerjasama ASEAN-PBB untuk memperkukuh daya tahan terhadap risiko iklim bagi melindungi kemajuan pembangunan yang telah dicapai, serta membina kapasiti Negara-Negara Anggota ASEAN bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Baginda mengetengahkan kepentingan bantuan teknikal dan latihan daripada agensi-agensi PBB yang berkaitan bagi membantu negara-negara mengaplikasikan penilaian risiko iklim dalam perancangan nasional dan kesiapsiagaan bencana, termasuk melalui kerjasama dengan Pusat Perubahan Iklim ASEAN.

Akhir sekali, Baginda turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan Setiausaha Agung yang kukuh terhadap ASEAN, serta menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada beliau sempena berakhirnya tempoh perkhidmatannya dan menzahirkan harapan untuk bekerjasama dengan penggantinya.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto